"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label Kluster. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kluster. Papar semua catatan

Isnin, 19 Julai 2021

Penutupan Penuh Kilang Akan Beri Kesan Buruk Kepada Ekonomi

 

KUALA LUMPUR - Penutupan penuh sektor perkilangan yang menyumbang jumlah eksport lebih RM1 trilion setiap tahun akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara, kata Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

Beliau sebaliknya menyokong supaya tindakan bersasar dan penguatkuasaan lebih ketat dilaksanakan ke atas kilang yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta menunjukkan peningkatan kes Covid-19.

“Apabila kita bercakap tentang kluster, kita sering merujuk kepada perkilangan, pembinaan, peruncitan dan beberapa kategori lagi. Sebenarnya dalam konteks kluster, sekitar 15 ke 20 peratus sahaja (daripada keseluruhan kes).

“Namun untuk terjemahkan bahawa semua kilang kena tutup, itu tidak betul. Tidak semua kilang berhadapan dengan kes yang melonjak,” katanya dalam wawancara yang disiarkan di akhbar Sinar Harian hari ini.

Noor Azlan berkata, kilang-kilang di negara ini memainkan peranan sebagai sumber pertumbuhan ekonomi yang penting kerana sebahagian besarnya berada dalam jaringan pembekalan antarabangsa dan penutupan tanpa sebab akan menjejaskan pengeluaran syarikat gergasi yang pembekalnya beroperasi di Malaysia.

Beliau juga berkata, tujuh pakej rangsangan ekonomi kerajaan bernilai kira-kira RM530 bilion dengan sekitar RM83 bilion suntikan langsung seperti bantuan Program Subsidi Upah (PSU) dan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) boleh merangsang pertumbuhan ekonomi selain membantu kelangsungan hidup rakyat.

Noor Azlan berkata, jumlah suntikan langsung itu menyamai dua tahun perbelanjaan pembangunan kerajaan dan jumlah besar tersebut memberi kesan sehingga tiga kali ganda (kesan pengganda) kepada ekonomi negara.

“Bayangkan kalau saya daripada keluarga penerima BPR (Bantuan Prihatin Rakyat) dan saya berbelanja, bererti pusingan yang pertama mungkin kedai runcit tempat saya belanja dapat manfaat. Kedai runcit itu pula, dia berbelanja dengan beli barang untuk stok kedai yang akan jadi pusingan kedua dan begitulah seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, semua pakej rangsangan ekonomi yang dilancarkan kerajaan mengambil kira komponen kesihatan, rakyat dan perniagaan dengan penumpuan khusus kepada kumpulan rentan.

Mengulas kewajaran individu yang telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 diberikan keistimewaan seperti kebenaran untuk keluar bekerja, Noor Azlan berkata perkara itu wajar dipertimbang berdasarkan beberapa faktor bagi membantu pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita perlu ingat apabila mereka bergerak, mereka berbelanja,” katanya. - Bernama

Jumaat, 25 Jun 2021

Covid19: Penangan Kluster Tempat Kerja

ANGGOTA APM mengangkat seorang warga emas, Jah Rasiah Ab Rahman, 82, ke dalam kereta di hadapan rumahnya untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANGGOTA APM mengangkat seorang warga emas, Jah Rasiah Ab Rahman, 82, ke dalam kereta di hadapan rumahnya untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Kuala Lumpur: Kluster tempat kerja termasuk kilang masih dikesan berlaku ketika negara masih bergelut dengan penularan wabak Covid-19 dan di sebalik peringatan demi peringatan untuk semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Statistik yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini menunjukkan sektor perkilangan adalah penyumbang jumlah kes tertinggi bagi kategori kluster tempat kerja.

Menurut beliau, sehingga 14 Jun 2021, sejumlah 1,328 kluster tempat kerja dikesan dan kebanyakan kes positif yang dilaporkan dalam kategori kluster tempat kerja ini terdiri daripada bukan warganegara Malaysia iaitu sebanyak 100,086 kes (68 peratus) berbanding warganegara iaitu sebanyak 46,954 kes (32 peratus).

Sektor pengilangan melaporkan jumlah kes tertinggi dalam kategori kluster tempat kerja iaitu sebanyak 95,156 kes membabitkan 639 kluster.

Setakat ini, Kerajaan melaksanakan tiga kali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan pelbagai jenis peraturan dan SOP, tidak terkecuali untuk industri perkilangan. Justeru, mengapa masih ada kluster tempat kerja termasuk kilang? Mengapa masih ada yang berani melanggar SOP.

Penulis mengambil satu contoh kes apabila baru-baru ini, sebuah kilang pembuatan plastik di Taman Medan, Petaling Jaya dilaporkan dikompaun RM10,000 kerana beroperasi melebihi masa yang ditetapkan sekali gus melanggar SOP PKP3.0.

Hasil serbuan pihak polis turut mendapati kilang tersebut masih menggunakan surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) yang sudah tamat tempoh, iaitu bertarikh sebelum 1 Jun.

Ini baru satu dari banyak lagi kes pelanggaran SOP oleh pihak majikan dan pemain industri perkilangan. Di mana silap dan apa pula tindakan yang perlu dilakukan?

Naib Presiden 2, Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Zanuddin Kisman berkata, melalui peruntukan Seksyen 15, subseksyen (1) Akta Kesihatan Dan Keselamatan Pekerjaan (AKKP) 1994 adalah menjadi kewajipan am majikan dan tiap-tiap orang yang bekerja sendiri untuk memastikan - setakat yang praktik - setiap aspek keselamatan, kesihatan, dan kebajikan pekerjanya dipatuhi.

Oleh itu, secara umumnya beliau berpendapat, isu ketidakpatuhan SOP ini amatlah serius kerana ia bukan sahaja boleh mengancam tahap kesihatan awam negara, namun juga pihak majikan seolah-olah memperjudikan keselamatan dan kesihatan pekerja industri perkilangan itu sendiri.

"MSOSH melihat tahap kepatuhan di kalangan pemain industri masih lagi tidak sepenuhnya dan berada pada tahap amat tidak memuaskan. Apatah lagi, kita sering juga dengar ada kes majikan memaksa kakitangan hadir bekerja pada kapasiti penuh walaupun arahan diberikan bagi penjadualan semula atau kaedah penggiliran diadakan bagi mengurangkan risiko pendedahan atau jangkitan kepada para pekerja.

"Kami percaya isu kemampuan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam melakukan rondaan dan pemeriksaan di semua premis adalah terbatas. Maka dengan itu, industri tidak berasa takut untuk melanggar SOP yang diwujudkan kerana merasakan pengeluaran dan keuntungan syarikat adalah lebih utama dan sekiranya melanggar SOP yang ditetapkan, penalti yang dikenakan mampu dibayar oleh mereka," jelasnya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Menurut beliau, pelanggaran SOP oleh pihak majikan ini bukanlah perkara baru dan berlaku dengan begitu aktif semenjak PKP 1.0 lagi.

"Walaupun mungkin ia tidak mendapat liputan meluas tetapi dalam kalangan ahli-ahli MSOSH yang juga pengamal Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan, perkara ini sering menjadi topik perbincangan dalam usaha mencari solusi yang berkesan," katanya.

Zanuddin berpandangan salah satu usaha untuk membendung isu ini dari terus berlaku adalah pihak berkuasa perlu meningkatkan denda selain saringan yang ketat dilakukan kepada industri yang memohon untuk beroperasi semasa tempoh PKP.

"Dengan tahap denda terkini, MSOSH melihat pemain industri masih mampu untuk membayar penalti yang dikenakan kerana jumlah yang tidaklah begitu besar dibandingkan keuntungan yang mereka peroleh sekiranya operasi dijalankan secara kapasiti penuh.

"Jadi mereka dengan sewenang-wenangnya berani melanggar SOP kerana lebih mengutamakan keuntungan berbanding keselamatan nyawa pekerja serta tidak serius dalam membantu menangani masalah yang sedang dihadapi oleh negara kita secara khususnya dan dunia secara amnya, " katanya sambil menambah, cadangan untuk menaikkan denda atau saman diharap dapat meningkatkan tahap pematuhan oleh industri.

Menurut Ordinan Darurat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang dimuat naik dalam portal rasmi Jabatan Peguam Negara, "individu yang melanggar peraturan atau SOP yang ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19 boleh berdepan hukuman denda maksimum RM10,000 mulai 11 Mac 2021."

Ordinan itu turut menyatakan syarikat atau perbadanan yang melakukan kesalahan berkaitan SOP juga boleh didenda sehingga RM50,000.

Zanuddin turut menambah, Jabatan keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) jelas menyatakan antara lain tanggungjawab majikan ialah melantik pihak Penyelaras untuk melaporkan status pematuhan program Kawalan Risiko Covid-19.

Menurut beliau, perkara ini juga jelas tertera di dalam AKKP 1994 yang mengkehendaki pihak industri dan sektor serta keadaan yang memerlukan untuk syarikat atau organisasi mengambil bekerja orang yang cekap seperti Pegawai Keselamatan dan Kesihatan.

Langkah ini bagi membantu syarikat melaksana dan memantau program berkaitan kesihatan dan keselamatan di tempat kerja, dalam usaha memastikan para pekerja tidak terbabit dalam situasi yang memudaratkan kesihatan serta keselamatan mereka.

"Dalam konteks situasi terkini iaitu pandemik Covid-19, pegawai keselamatan dan kesihatan (SHO) juga bertanggungjawab membantu organisasi dan syarikat dalam mewujudkan prosedur dalaman untuk rujukan kepada organisasi dan semua pekerja semasa menangani keadaan pandemik ini. Selain daripada SHO, ahli jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan (SHC) di tempat kerja juga bertanggungjawab untuk membantu SHO dalam melaksana dan memantau pematuhan keseluruhan KKP di tempat kerja.

"Pemantauan berterusan oleh SHO dan SHC amatlah kritikal terutama apabila membabitkan organisasi yang besar. Namun dengan adanya SHO di dalam sebuah organisasi, proses pematuhan dan pelaporan menjadi mudah di mana mereka adalah individu yang terlatih dan cekap dalam aspek pematuhan kepada AKKP 1994. Kepada organisasi atau syarikat yang tidak mengambil bekerja seorang SHO, mereka mungkin akan menghadapi masalah untuk memastikan pematuhan atau pelaporan kepada PBT atau mana-mana agensi kerajaan yang berkenaan. Ini akan menyukarkan dalam konteks pematuhan secara menyeluruh," katanya.

-myMetro

Jumaat, 18 Jun 2021

Kluster Teratai rekod kes tertinggi dan Kluster Tabligh rekod kematian tertinggi Covid-19

 GAMBAR hiasan

GAMBAR hiasan

Kuala Lumpur: Kewujudan pelbagai kluster Covid-19 belum menunjukkan tren penurunan di negara ini, malah masih berlaku pertambahan setiap hari.

Penularan pandemik berkenaan jika tidak dikawal secara berkesan dalam kluster ini bakal membawa musibah lebih besar dalam komuniti.

Ini kerana jika wabak ini sudah 'terlepas' ke dalam komuniti sudah pasti kawalan jangkitan akan menjadi lebih rumit khususnya kepada petugas barisan hadapan.

Untuk rekod, sebanyak 2,532 kluster sudah dicatatkan di Malaysia sehingga kelmarin dengan tidak kurang 15 kluster direkodkan dalam tempoh seminggu yang lalu.

Menerusi data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kluster Teratai yang dikesan dalam kalangan kakitangan di kilang sarung tangan menjadi kluster terbesar negara, setakat ini.

Dengan jumlah jangkitan seramai 7,205 orang, sudah pasti bencana besar boleh berlaku jika KKM lewat mengambil tindakan sewajarnya.

Malah, lebih ditakuti kluster yang terdiri di kalangan warga asing itu sudah mula menyusup masuk ke dalam komuniti menyebabkan proses pengesanan kontak rapat semakin mencabar.

KKM juga melaporkan, Kluster Tabligh yang dikesan pada gelombang pertama Covid-19 tahun lalu merekodkan jumlah kematian tertinggi.

Perhimpunan jemaah tabligh di sebuah masjid di Bukit Jalil itu merekodkan sebanyak 34 kematian daripada pelbagai latar belakang dan peringkat usia.

Malah, tempoh pengesanan kontak rapat bagi kluster ini juga mencabar kerana jumlah peserta perhimpunan yang ramai dari pelbagai negara.

Siasatan lanjut KKM juga mengesyaki penjujukan genom terhadap sampel diambil daripada kalangan pesakit Covid-19 daripada kluster itu berpunca dari Indonesia.

Keengganan segelintir peserta perhimpunan itu membuat ujian calitan menambah lagi beban KKM untuk mengawal kluster berkenaan daripada merebak.

Dalam pada itu, kluster kedua tertinggi yang merekodkan kematian adalah Kluster Pasai di Sarawak dengan 25 kes.

Kluster Pasai menyebabkan ramai penduduk di beberapa rumah panjang di Bahagian Sibu dijangkiti selepas seorang wanita pulang dari Johor ke daerah itu untuk menghadiri pengebumian bapanya.

Kluster Dah Mahsuri menyebabkan 10 kematian yang terdiri daripada jemaah sebuah masjid di Taman Mahsuri, Jitra, Kedah setakat ini.

Kini, cabaran menjadi semakin besar apabila kes sporadik dikesan dalam komuniti yang tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kes atau kluster sedia ada.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham sebelum ini dilaporkan berkata, negara kini berdepan trend peningkatan mendadak kes baharu dan kes kematian Covid-19 terutama sejak 1 April lalu.

Katanya, kebanyakan kes baharu dan kematian adalah kes sporadik yang dikesan dalam komuniti dan tidak dapat dikaitkan dengan kes atau kluster sedia ada.

Apa yang menjadi harapan sebagai 'jalan keluar' untuk pandemik ini adalah program vaksinasi mega yang membolehkan Malaysia mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.

Dengan pertambahan pusat pemberian vaksin (PPV) mega, kaedah pandu lalu dan pembabitan sektor swasta diharap dapat merealisasikan sasaran 80 peratus rakyat divaksin menjelang akhir tahun ini.-myMetro

Rabu, 21 April 2021

TERKINI COVID19:KKM kesan 83 kluster libatkan sektor Pendidikan

Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Sebanyak 83 kluster Covid-19 dengan jumlah 4,868 kes melibatkan sektor Pendidikan telah dilaporkan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan Kementerian Kesihatan (KKM) bermula dari 1 Januari hingga semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 59.04 peratus atau 49 kluster dengan 2,617 kes adalah masih aktif manakala 40.96 peratus atau 34 kluster dengan 2,251 kes telah diisytiharkan tamat.

“Daripada jumlah kluster berkenaan, sebanyak 39 kluster dengan 1,420 kes melibatkan sub-kategori Sekolah atau Institusi Kementerian Pendidikan (KPM).

“Selain itu, terdapat 19 kluster dengan 1,870 kes melibatkan sub-kategori Pendidikan Tinggi manakala 25 kluster dengan 1,578 kes melibatkan sub-kategori Pendidikan Lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Adham berkata, keperluan penutupan sementara kelas atau premis akan dipertimbangkan hasil penilaian risiko oleh Pusat Kesihatan Daerah (PKD).

Menurutnya, penutupan sementara itu bertujuan untuk mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga sektor pendidikan termasuk pelajar, guru, pekerja yang bertugas dan selanjutnya kepada komuniti.

“Apabila pihak KKM, sama ada PKD atau Jabatan Kesihatan Negeri menerima laporan atau notifikasi kejadian kes positif Covid-19 atau kluster Covid-19, pasukan kesihatan daripada PKD akan digerakkan untuk menjalankan siasatan, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan serta penilaian risiko.

“PKD akan menasihatkan pihak pengurusan pendidikan agar pembersihan dan disinfeksi juga dijalankan,” katanya.

Katanya, KKM sentiasa bekerjasama dengan semua pihak dalam sektor pendidikan dalam pencegahan, kawalan dan menangani penularan jangkitan. -K! ONLINE

Selasa, 20 April 2021

COVID-19: Pelajar MRSM dikesan kluster baharu

 Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Sabah mencatat satu lagi kluster jangkitan COVID-19 membabitkan pelajar Tingkatan Empat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Semporna, di sini, yang dikesan positif menerusi saringan bergejala pada 8 April lalu.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kes indeks itu mencetuskan Kluster Tagasan yang dilaporkan di daerah Semporna semalam dengan kumulatif kes setakat ini seramai enam orang.

Beliau berkata, saringan kontak rapat dijalankan selepas kes indeks disahkan positif COVID-19 mengesan empat lagi pelajar dan seorang pemandu di institusi terbabit positif virus itu.

"Aktiviti pengesanan kontak rapat dan punca jangkitan sedang giat dijalankan," katanya dalam kenyataan media perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kota Kinabalu mencetuskan Kluster Jalan Khidmat menyebabkan sekolah itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 18 April hingga 1 Mei ini.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata Sabah mencatatkan 125 kes baharu COVID-19 dengan dua kematian di daerah Tawau, semalam.

"Seramai 125 pesakit juga sembuh dan dibenarkan keluar hospital semalam, menjadikan baki yang masih dirawat seramai 1,008 orang termasuk 55 dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 20 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

"Daripada 125 kes positif, sebanyak 62 kes atau 49.6 peratus berpunca daripada saringan kontak rapat, diikuti 12 kes atau 9.6 peratus menerusi saringan bergejala dan 45 kes atau 36 peratus daripada kluster baharu dan sedia ada," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, daerah Tawau masih lagi mencatatkan jumlah kes tertinggi semalam dengan sebanyak 58 kes, diikuti Tuaran (15), Papar (10), Putatan (9) dan Kota Kinabalu (7).-BH Online

Sabtu, 3 April 2021

SAYA PRESIDEN, SAYA TAHU APA STRATEGI TERBAIK UNTUK MENANG PRU15, ZAHID HAMIDI TEMPELAK APIT LEMPANG UMNO


 Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada Sabtu dan Ahad lalu menjadi saksi kepada sebuah perjuangan tanpa gentar.

Pemimpin dan para ahli UMNO sebulat suara menolak kerjasama dengan Bersatu dan PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Nah! Apa lagi mahu dipersoalkan wahai kluster apit lempang cencang galang, kluster broker, kluster oportunis? Cukup-cukup sudah.

Sebelum ini mereka tuduh saya Presiden UMNO memandai-mandai. Konon akar umbi mahu bersama Bersatu dan PN.

Kini mereka berhujah pula tanpa kerjasama Bersatu, mustahil UMNO boleh menang PRU15 dan menjadi kerajaan.

Hujah ini sedang gigih dicanangkan ketika ini. Namun ada banyak persoalan di sebalik hujah-hujah itu.

Persoalan pertama, bagaimana mereka begitu yakin UMNO akan tewas dan tidak mampu membentuk kerajaan tanpa Bersatu pada PRU15?

Kluster apit lempang cencang galang, kluster broker, kluster oportunis telah bertukar kepada ‘kluster pak nujum’ sekelip mata.

Begitu lemah jati diri selepas ‘lena diulit intan’. Seperti saya pernah katakan UMNO tahu apa yang UMNO perlu lakukan untuk menang PRU15.

InsyaAllah kita ada strategi terbaik. Cuma ia bukan lagi strategi jika terdedah kepada lawan politik.

Rakyat pun sudah belajar dari ‘dua siri pengalaman’ sejak PRU14 dan mengerti betapa fitnah yang telah menumbangkan UMNO.

Yang sebenarnya, tanpa UMNO mustahil Bersatu mampu menang PRU15 dan terus menjadi kerajaan. Bukan sebaliknya.

Persoalan kedua, wajarkah kita bekerjasama dalam sebuah kerajaan yang tidak menguntungkan rakyat dan negara?

Tidakkah kluster-kluster ini membaca segala rintihan dan keluh kesah yang dihadapi rakyat ketika ini?

Tidakkah mereka membaca laporan dalam dan luar negara mengenai ekonomi Malaysia yang terus merundum?

Maka tidakkah UMNO dikira berdosa jika melanggar amanah serta janji menjaga rakyat dan negara semata-mata mahu jadi sebahagian daripada kerajaan?

Persoalan ketiga, perlukah kita berada dalam sebuah kerjasama yang tidak jujur dan hipokrit, yang mahu ‘mendaulatkan’ individu tertentu?

Perlukah bekerjasama dengan musang berbulu ayam yang cuba menelan, menikam dan menguasai UMNO dalam diam?

Hukum akal mengajar manusia supaya bijak dan cermat berfikir. Mengapa UMNO mahu dibawa meredah kolam penuh buaya?

Persoalan keempat, siapakah yang akan mendapat keuntungan peribadi di sebalik kerjasama itu? Jangan malu jangan segan sila nyatakan.

Pemimpin dan ahli UMNO seterusnya sebulat suara memutuskan tiada kerjasama dengan DAP dan Anwar pada PRU15.

Presiden UMNO sendiri dengan tegas mengumumkan NO ANWAR, NO DAP di pentas perhimpunan.

Tidak ada perbincangan dengan mana-mana parti tersebut sama ada secara rasmi mahupun tidak rasmi.

Maka saya berkira tamatlah dakwa dakwi yang bukan-bukan oleh kluster broker tentang perkara ini. Ada masa boleh datang minta maaf.

UMNO juga mahu kekal jati diri sebagai parti tunjang orang Melayu bukanlah suatu keputusan yang melebih-lebih atau pentingkan diri.

Ini keputusan yang berpaksikan kepada kebenaran dan hakiki. Berlandaskan sejarah panjang perjuangan UMNO untuk bangsa agama.

Malah sejarah menyaksikan UMNO tidak pernah sekalipun sanggup bekerjasama dengan DAP. Walau kalah terus melawan.

Parti yang mereka puja-puja itu yang pernah bekerjasama mutlak dengan DAP untuk menumbangkan UMNO. Berpelukan dan bergandingan bahu.

Parti yang mereka agung-agungkan itu yang sanggup menarik sokongan beberapa pemimpin DAP yang terpalit dengan isu moral baru-baru ini demi mahu kekal berkuasa.

Justeru, tidak keterlaluan dikatakan tiada parti lain lebih Melayu berbanding Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. UMNO ‘The real’ Melayu Bersatu.

Tetapi ini tidaklah bermakna UMNO rasis atau assobiyah. Buktinya boleh dilihat sepanjang lebih 60 tahun BN mentadbir negara. Lihatlah sekeliling. Jelas UMNO menjaga kepentingan semua.

Sehubungan itu, nasihat saya pulanglah ke pangkuan UMNO dalam erti kata yang sebenar. Persona itu mengasyikkan. Tetapi maruah dan jati diri tiada galang ganti.

AHMAD ZAHID HAMIDI

Presiden UMNO.

Selasa, 13 Oktober 2020

Covid19:Laporan Harian terkini 13/10/2020

 Terkini #COVID19 Malaysia 13 Okt 2020

Kes sembuh=350

Jumlah kes sembuh= 11,372 kes

Kes positif= 660

(kes import=2, kes tempatan=658)

Jumlah positif= 16,880 kes

Kes kematian=4

Jumlah kes kematian= 163 kes

Kes dirawat di ICU= 101 kes

Bantuan Alat Pernafasan= 32 kes

PECAHAN KES BAHARU (660)

SABAH-443

162 saringan kontak rapat

38 dari kluster-kluster aktif sedia ada

13 kluster Semarak (baharu)

10 kluster Bina (baharu)

4 kluster Sabindo (baharu)

2 kluster Bestari (baharu)

214 lain-lain saringan COVID-19

SELANGOR-76

45 dari kluster-kluster sedia ada

16 saringan kontak rapat

9 saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi

5 saringan bergejala

1 kluster Bah Kenangan (baharu)

KEDAH-60

60 dari kluster Tembok

P.Pinang-23

18 kluster Penjara Reman

3 kluster Penjara Jawi (baharu)

2 saringan kendiri

LABUAN-19

9 saringan petugas kesihatan

6 saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi

2 dari kluster-kluster sedia ada

1 saringan kontak rapat

1 import BWN tiba dari India

PERAK-16 

16 kluster Tembok

JOHOR-10

5 saringan kontak rapat

4 dari kluster-kluster sedia ada

1 saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi

KL-10

6 saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi

2 dari kluster-kluster sedia ada

1 saringan kontak rapat

1 import BWN tiba dari Nepal

N.SEMBILAN-2

2 dari kluster-kluster sedia ada

PAHANG-1

1 kluster Jalan Meru



Daripada 76 kes baharu dilaporkan di Selangor hari ini, 45 adalah dari kluster-kluster sedia ada. Terdapat 1 kluster baharu iaitu Bah Kenangan (1 kes baharu).

Tiada kes dilaporkan di Kuala Selangor dan Sabak Bernam pada hari ini. Sabak Bernam kekal berada di zon hijau.

KKM ingin memaklumkan bahawa terdapat sebanyak 394 kes positif COVID-19 yang melibatkan pengunjung dengan sejarah perjalanan pulang dari Sabah sejak 22 September 2020. Dari jumlah itu, sebanyak 228 kes (57.9 peratus)  adalah dalam kalangan pengunjung yang tiba sebelum 27 September 2020, manakala sebanyak 166 kes (42.1 peratus) lagi adalah dalam kalangan

pengunjung yang tiba selepas 27 September 2020. 


Secara keseluruhan sehingga 13 September 2020, seramai 18,478 individu dengan sejarah perjalanan pulang dari Sabah telah disaring di semua pintu masuk antarabangsa dan domestik. Untuk makluman juga, sehingga kini terdapat sebanyak 23 kluster di seluruh Malaysia yang disebabkan oleh kes indeks yang juga merupakan pengunjung dengan sejarah perjalanan pulang dari Sabah.

Sumber:MKN

Ahad, 11 Oktober 2020

COVID19:LIMA (5) KLUSTER BAHARU DILAPORKAN (11/10/2020)

 KKM ingin memaklumkan bahawa terdapat lima (5) kluster baharu telah dikenal pasti pada hari ini iaitu di negeri:

  • Sabah – Tiga (3) kluster;
  • Selangor – Satu (1) kluster; dan
  • Wilayah Persekutuan Labuan – Satu (1) kluster.

1) KLUSTER KASIH, SABAH

Kluster baharu ini telah dikenal pasti di daerah Lahad Datu, Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-12509) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan petugas kesihatan pada 27 September 2020. Mereka telah dimasukkan ke Hospital Lahad Datu, Sabah. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 33 lagi kes positif COVID-19.

Sehingga 11 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 1,838 individu telah disaring, di mana:

  • 34 kes dikesan positif COVID-19;
  • Tiada individu negatif; dan
  • 1,804 individu masih menunggu keputusan.


2) KLUSTER SURAT, SABAH

Kluster baharu ini melibatkan daerah Sandakan, Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-15097) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Lahad Datu, Sabah. Saringan kontak rapat telah mengesan 24 lagi kes positif COVID-19.

Sehingga 11 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 74 individu telah disaring, di mana:

  • 25 kes dikesan positif COVID-19;
  • Tiada individu negatif; dan
  • 49 individu masih menunggu keputusan.


3) KLUSTER KHAZANAH, SABAH

Kluster baharu ini melibatkan daerah Lahad Datu di negeri Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-14842) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan kontak rapat pada 9 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Lahad Datu, Sabah. Saringan kontak rapat telah mengesan 13 lagi kes positif COVID-19.

Sehingga 11 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 652 individu telah disaring, di mana:

  • 14 kes dikesan positif COVID-19;
  • Tiada individu negatif; dan
  • 638 individu masih menunggu keputusan.


4) KLUSTER SUNGEI WAY, SELANGOR DAN WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

Kluster baharu ini melibatkan daerah Petaling dan Gombak, Selangor dan daerah Titiwangsa, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-14307) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 7 Oktober 2020 dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 17 lagi kes positif COVID-19.

Sehingga 11 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 149 individu telah disaring, di mana:

  • 18 kes dikesan positif COVID-19;
  • 124 individu negatif; dan
  • Tujuh (7) individu masih menunggu keputusan.


 

5) KLUSTER BAH BUNDLE, WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN

Kluster baharu ini melibatkan Wilayah Persekutuan Labuan. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-11771) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) pada 2 Oktober 2020 dan dimasukkan ke Hospital Labuan, Wilayah Persekutuan Labuan. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti dua (2) lagi kes positif COVID-19.

Sehingga 11 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 430 individu telah disaring, di mana:

  • Tiga (3) kes dikesan positif COVID-19;
  • 131 individu negatif; dan
  • 296 individu masih menunggu keputusan.