Jumaat, 16 April 2021

Padah Rentas Negeri Demi Majlis Kahwin, 26 Positif Covid-19



KUALA TERENGGANU: Tindakan seorang lelaki berusia 32 tahun merentas negeri dari Sabah ke Dungun, Terengganu semata-mata untuk menghadiri majlis perkahwinan adiknya membawa padah selepas 11 ahli keluarganya di samping 15 tetamu disahkan positif Covid-19.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, penganjuran majlis itu dikenal pasti gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sekali gus mewujudkan kluster baharu, Kluster Taman Rakyat.

Katanya, hasil pertemuan bagi mengirim duit kenduri di samping menyerahkan cenderahati perkahwinan menyebabkan wabak merebak dalam kalangan keluarga berkenaan di samping rakan karib.

“Kawannya pula telah mengadakan majlis akikah di kampung yang akhirnya menjangkiti lima ahli keluarga dan tujuh tetamu kenduri akikah.

“Sebab itu kami selalu berpesan tangguh dahulu berkumpul beramai-ramai kerana kita tidak tahu siapa yang kita jumpa walaupun ahli keluarga atau rakan sekerja,” katanya dalam hantaran terbaharu dalam laman Facebook.

Kluster Taman Rakyat yang didaftarkan pada 15 April lalu adalah kluster komuniti melibatkan daerah Dungun dengan kes indeks iaitu seorang lelaki berusia 32 tahun dilaporkan positif Covid-19 pada 6 April hasil saringan sebelum kembali ke Sabah.

Nor Azimi turut melahirkan kebimbangan sekiranya tiada kepatuhan SOP di bazar Ramadan tidak mustahil kluster baharu boleh tercetus membabitkan lokasi itu.

Sehubungan itu, katanya penguatkuasan SOP Covid-19 tidak seharusnya diserahkan kepada pasukan penguat kuasa semata-mata, sebaliknya menjadi tanggungjawab masyarakat untuk bersama-sama melaksanakannya.

Berdasarkan infografik dalam laman Facebook Jabatan Kesihatan negeri, sebanyak 238 kes Covid-19 direkodkan di Terengganu setakat semalam.

Daripada jumlah itu, Besut mencatatkan sebanyak 127 kes diikuti Kuala Nerus (43), Dungun (27), Kuala Terengganu (27), Hulu Terengganu (tujuh), Marang (empat) dan Setiu (tiga)

Sumber: Utusan

0 ulasan:

Catat Ulasan