"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label Hj Aminuddin Yahaya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hj Aminuddin Yahaya. Papar semua catatan

Sabtu, 17 Februari 2024

Kenyataan JKSM kes Nik Elin memalukan!


SAYA baru sahaja membaca kenyataan media dari Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dalam isu kes Pembatalan 16 Enakmen Syariah baru-baru ini.

JKSM secara jelas menyebut tanpa segan silu dalam kenyataan media ini bahawa keputusan ini sebagai “satu pengukuhan terhadap perundangan Islam” di Malaysia. Saya tak tahulah betapa tebalnya muka mereka.

Sangat memalukan juga, tanpa silu lagi JKSM sendiri telah mengakui bahawa Mahkamah Syariah telah terhakis kuasanya (“ia HANYA tidak boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah, namun boleh dibicarakan di mahkamah sivil”). Pendirian bermudah-mudah terhadap apa yang berlaku ini adalah sangat memalukan.

Lebih parah lagi, pendirian ‘inferior’ JKSM terhadap mahkamah sivil adalah sangat mengecewakan. Seolah-olah redha Mahkamah Syariah dihinakan sebegitu rendah. Entah kalau disuruh hapus terus Mahkamah Syariah kerana sudah ada Mahkamah Sivil, silap-silap JKSM bersetuju sahaja tak?

Kenyataan ini seolah-olah telah menguatkan lagi naratif kononnya mahkamah sivil itu lebih berhak dan lebih adil. Bagi saya, JKSM telah menghina sistem dan pengamal undang-undang Syariah di Malaysia apatahlagi ianya merupakan autoriti yang sepatutnya menaungi.

Entahlah. Dengan sedemikian hina respon dan pendirian JKSM sebegini, mengapa tidak JKSM sendiri yang memfailkan petisyen mencabar peruntukan-peruntukan enakmen syariah di negeri-negeri lain pula selepas ini? Tak perlu Nik Elin atau puak-puak liberal lain yang buat.

Kalau dah sampai macam nak dijulang sebagai hero yang telah memperbetulkan dan mengukuhkan perundangan Islam di Malaysia macam ini, kerajaan lantik sahaja Nik Elin masuk JKSM!

Memalukan betul!

Haji Aminuddin Yahaya
13 Februari 2024

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu


Isnin, 5 Julai 2021

Isu Musang King: Pertahan penceroboh haram, ADUN DAP tak malu

Mengapa mereka marah sangat bila penguat kuasa kerajaan masuk tanah kerajaan?

 

BANGI, 24 Zulkaedah 1442H, Isnin – ADUN Tras DAP, Chow Yu Hui makin melampau menuduh pihak berkuasa tidak mematuhi perintah mahkamah apabila menghalang penceroboh haram memasuki kebun durian di Raub, Pahang.  

Walhal, secara dasarnya, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya menegaskan, tanah yang diceroboh itu adalah milik kerajaan dan para penceroboh telah mengaut hasil jutaan selama berpuluh tahun. 

“Dakwaan ini sungguh ironi dan tidak malu. Mengapakah mereka marah sangat apabila pihak penguatkuasa kerajaan masuk tanah kerajaan?,” soalnya. 

Terdahulu, dalam satu video tular, Chow Yu Hui mendakwa, apa yang dilakukan penguat kuasa terhadap pekebun adalah salah kerana mereka mempunyai perintah mahkamah.

Chow mendakwa, beliau akan meminta nasihat pasukan undang-undang untuk langkah selanjutnya.

“Operasi dilakukan pada musim buah durian di mana pihak berkuasa terus mengeksploitasi pekebun. Penguatkuasaan itu didorong oleh kepentingan konsortium yang disokong negeri (Royal Pahang Durian Resources-PKPP Sdn Bhd),” katanya.

Selain itu, penceroboh mendakwa, mereka memiliki hak untuk memasuki tanah itu kerana mereka telah mendapat penangguhan terhadap pengusiran mereka dari Mahkamah Rayuan.

Ini sementara menunggu rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di Kuantan menolak permohonan untuk semakan kehakiman terhadap notis pengusiran mereka.

Save Musang King Alliance (Samka) mendakwa, walaupun mahkamah memberi penangguhan itu, pekebun durian tidak dibenarkan masuk ke tanah berkenaan.

Walau apa alasan sekalipun, Haji Aminuddin menyokong usaha Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menjalankan operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub, Pahang.

“Saya menyokong usaha pihak berkuasa ini dan mencadangkan agar pihak berkuasa mengambil kesempatan ini untuk menyiasat dan mengkaji apakah tanah yang diceroboh itu menjadi semakin besar; apakah ada tanah baharu berdekatan yang diceroboh? 

“Ini menjadi tanda tanya masyarakat dalam kes pencerobohan tanah oleh pekebun haram tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan terbaharu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dilaporkan menahan 18 orang disyaki pekebun haram durian Musang King dalam operasi tersebut.

Jabatan itu berkata, sepanjang operasi itu dijalankan, mereka berdepan dengan keadaan provokasi pekebun haram termasuk membuat halangan kepada kenderaan untuk keluar dan masuk ke kawasan berkenaan.

Malah, anggota jabatan tersebut juga dihalang daripada menjalankan tugas.

Kenyataan itu memaklumkan, kesemua 18 pekebun itu dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Raub untuk mendapatkan tahanan reman dan akan disiasat selanjutnya serta diambil tindakan di bawah peruntukan Akta Perhutanan Negara. 

Operasi memusnahkan kebun haram durian Musang King di dalam Hutan Simpan Batu Talam itu bermula kelmarin sehingga 2 Ogos ini melibatkan pelbagai agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kawasan seluas kira-kira 101 hektar itu dilaporkan mempunyai pokok durian Musang King yang mula luruh dan mengeluarkan hasil.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Ahad, 4 April 2021

Naratif baru politik Malaysia: KEBERANIAN

 


Menjelang PRU15, yang ramai menjangkakan akan diadakan pada tahun ini selepas habisnya tempoh darurat, maka rakyat telah dihidangkan pelbagai retorik politik oleh parti-parti yang ada. Isu yang sering digembar-gemburkan ialah mengenai 𝗽𝗲𝗿𝗽𝗮𝗱𝘂𝗮𝗻 𝗼𝗿𝗮𝗻𝗴 𝗠𝗲𝗹𝗮𝘆𝘂. 

Kalau sebelum ini ada parti yang tak kisah sangat pasal orang Melayu kerana mereka menganggap itu rasis. Mereka kononnya memperjuangkan semua kaum kerana yakin dengan dokongan semua kaum mereka boleh mendapat tampuk kepimpinan negara. Namun segalanya berubah apabila berlakunya Himpunan Tolak ICERD pada 8 Disember 2019 yang akhirnya menyebabkan PH jatuh dan kerajaan PN dibentuk. 

Himpunan yang bersejarah ini telah menyaksikan perpaduan orang-orang Melayu merentasi parti yang bimbang dengan sikap kerajaan PH ketika itu. Melihat perhimpunan yang begitu besar dan bersejarah di kalangan orang-orang Melayu dan diikuti dengan kekalahan PH dlm beberapa pilihanraya kecil, maka pandangan parti-parti tanahair terhadap orang Melayu mula berubah.

Kekuatan penyatuan ini menyebabkan parti-parti terpaksa mengungkap konon sikap keperihatinan mereka terhadap bangsa Melayu termasuk parti chauvinis DAP. Maknanya mereka mula menyedari dalam sebuah negara demokrasi, kekuatan bangsa majoriti tidak harus dipandang enteng walaupun bangsa minority juga ada peranan penting.

Kini negara sudah diketuai oleh sebuah kerajaan yang ramai mengistilahkan sebagai 'Kerajaan Melayu'. Mungkin di sana-sini ada kenyataan-kenyataan seolah-olah ada perpecahan sesama mereka tetapi saya yakin itu hanya gimik politik. Tidak dapat di nafikan orang-orang Melayu meletakkan harapan yang cukup tinggi kepada kerajaan Melayu ini agar nasib agama dan bangsa dapat di bela setelah di robek-robek oleh PH. 

Namun sehingga hari ini harapan itu masih tinggal harapan apabila isu-isu besar yang dihadapi oleh orang Melayu masih terbiar dan ada ketika dilihat semakin meruncing. Mungkin ada yang beralasan bahawa kerajaan ini baru dan negara menghadapi pandemik COVID-19 tetapi kalau diteliti barisan kabinet, ramai diantara mereka bukan orang baru tetapi berpengalaman belaka. 

Kalaupun ada yang baru memegang jawatan kabinet, tetapi mereka bukan baru dalam arena politik. Persoalannya, kenapa ini berlaku? Bagi saya punca kepada semua ini bukan disebabkan tiada PERPADUAN tetapi disebabkan tiada 𝗞𝗘𝗕𝗘𝗥𝗔𝗡𝗜𝗔𝗡 di kalangan pemimpin Melayu. 

Ini noktah yang harus dibicarakan kerana isu perpaduan sudah usang dan terbukti tidak banyak membawa apa-apa kebaikan kepada agama dan bangsa, jika tidak ada keberanian. Saban hari kita mendengar kenyataan yang menyantuni bangsa lain; kita perlu berkompromi, perlu menjaga semua bangsa, perlu ada toleransi dan pelbagai lagi. Akhirnya, atas sikap sebegini secara berlebih-lebihanlah nasib bangsa Melayu terus dipinggirkan, agama boleh jadi bahan mainan, undang-undang sentiasa di cabar, perlembagaan semakin tidak dihormati. 

Kalau orang Melayu terbuat silap sedikit, maka bergegarlah negara tetapi apabila pemandu mabuk melanggar maut 5 orang anak muda Melayu, negara sunyi sepi. Kematian Beng Hock diangkat oleh pemimpin bangsa lain bertahun-tahun sehingga mendapat balasan pampasan yang terlalu banyak tetapi kematian Adib pemimpin Melayu semua menjauhkan diri. 

Walaupun kerajaan Melayu yang ada hari ini diasaskan atas perpaduan Melayu tetapi tidak ada seorang pemimpin melayu pun yang betul-betul 𝗕𝗘𝗥𝗔𝗡𝗜. 

Apalah erti perpaduan kalau ia tidak membawa apa-apa kebaikan akhirnya?

Oleh itu, selagi kita berbincang tentang perpaduan tetapi tidak difikirkan tentang 𝗞𝗘𝗕𝗘𝗥𝗔𝗡𝗜𝗔𝗡 maka selagi itu kita akan berlegar-legar di ruangan yang sama. Jadi saya menyeru kepada semua rakyat untuk mula membawa naratif baru politik negara iaitu 𝗞𝗘𝗕𝗘𝗥𝗔𝗡𝗜𝗔𝗡 !

Aminuddin Yahaya 

Pengerusi PEMBELA 

28 Mac 2021

Selasa, 2 Februari 2021

Hutan di Lipis, Pahang diceroboh 6 kali: Kenapa masih tak jumpa dalang?

 


BANGI, 20 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Tidak masuk akal apabila identiti syarikat atau ‘taukeh’ kumpulan sindiket yang menjalankan kegiatan melombong emas secara haram masih tidak diketahui.

Walhal, mengikut rekod, pihak berkuasa telah mengesan lima kes sama tahun lalu dan menahan beberapa individu.

Demikian persoalan dibangkitkan Pengerusi PEMBELA yang juga Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahaya susulan terbongkarnya kegiatan melombong emas secara haram dengan penemuan kawasan cari gali bahan berharga itu di Kompartmen 86, Hutan Simpan Ulu Jelai, Mukim Batu Yon, Lipis, Sabtu lalu.

Mengulas perkara itu, beliau berkata, kes pencerobohan bagi tujuan perlombongan emas secara haram di hutan bukannya kali pertama berlaku bahkan sudah berkali-kali.

Justeru, beliau menganggap serbuan demi serbuan yang dilakukan seolah-olah kerja sia-sia sahaja apabila kes sama masih berulang.

“Tahun 2020 sahaja, dilaporkan sebanyak lima kes serbuan diadakan. Ini sungguh tidak masuk akal. Pada setiap kali serbuan, dilaporkan pihak berkuasa menyita jentera dan jentolak besar serta alat-alat cari gali.

“Jentera, jentolak dan alat-alat cari gali bukanlah murah. Dan operasi cari gali dengan skala sebegini bukannya boleh dilakukan oleh orang sebarangan tetapi ianya pasti dilakukan oleh syarikat yang besar,” katanya.

Terdahulu, hasil semakan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis berjaya mengesan sebuah kawasan cari gali emas haram di tempat berkenaan.

Pegawai PHD Lipis, Nor Shahrini Nordin Ahmad berkata, serbuan di kawasan itu menemukan tapak khemah sindiket terbabit dipercayai dianggotai antara empat hingga enam individu yang berpengalaman luas dalam kegiatan itu.

Katanya, kes itu adalah kejayaan pertama PHD Lipis tahun ini yang sentiasa memberi perhatian serius terhadap kegiatan melombong emas secara haram dan tahun lalu sebanyak lima kes dikesan dan menahan beberapa individu.

Katanya lagi, difahamkan terdapat sindiket terbabit menggunakan kemudahan moden untuk mengesan kedudukan kawasan jajaran emas menyebabkan mereka mengeluarkan modal besar untuk menyediakan kelengkapan seperti palong, jentera dan enjin pam air.

Serentak itu, Haji Aminuddin mempersoalkan sama ada penceroboh itu – jika sama – terlalu kaya sehingga mampu beli jentera-jentera baharu sebanyak lima kali.

“Jika ini dilakukan oleh penceroboh yang berlainan, apakah di daerah Lipis ini terlalu ramai penceroboh yang pandai melombong emas? Ini baru di Lipis, berapa ramai di seluruh Pahang pula?

“Sudah lima kali serbuan dan ada beberapa tangkapan sebelum ini, mengapa identiti syarikat atau ‘taukeh’ masih tidak diketahui? Apakah ada ‘deal’ dengan pihak-pihak tertentu yang mempunyai kuasa?,” soalnya.

Haji Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) turut menegaskan kegiatan menjarah hasil secara haram di tanah milik kerajaan adalah satu pencurian harta rakyat.

Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa menjejak penceroboh dan dalangnya dan memberikan hukuman yang setimpal.

-pembela.com.my

Khamis, 7 Januari 2021

20 wakil rakyat DAP masuk MCA? - Adakah Ini Agenda UMNO?

 


Biasanya berita politik Cina yang dilaporkan secara eksklusif dalam akhbar Cina tidak pernah menipu kerana akhbar Cina memang benar-benar berobjektif.

Baru-baru ini, akhbar China Press melaporkan tentang khabar angin bahawa akan ada 'perpindahan' beramai-ramai wakil rakyat DAP ke MCA. Dilaporkan juga ini disambut baik oleh Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon.

Jika benar khabar tentang 'rancangan' mereka ini, maka saya tidak terkejut kerana kita tahu yang parti politik Cina hanyalah wadah bagi menjayakan agenda-agenda masyarakat mereka. Ini merupakan rahsia yang diketahui umum atau 'open secret' kerana lihatlah bagaimana agenda-agenda mereka dapat dijayakan walau siapa pun yang memerintah.

Lihatlah bagaimana mereka bersolidariti dan bersepakat dalam isu-isu kepentingan bangsa mereka walaupun berlawanan dengan undang-undang dan malah salah di segi perlembagaan sekalipun. Mereka akan cuba pelbagai jalan dan strategi, sama ada dalam atau luar kerajaan tanpa menggunakan alasan-alasan karut seperti 'tidak cukup kerusi'.

Mereka sanggup berbuat apa sahaja demi percaturan politik yang strategik demi bangsa mereka walaupun perlu menukar parti. Mungkin menukar-nukar parti ini pun adalah aturan di belakang tabir di antara mereka. Mereka ini terlalu 'isolated' dalam masyarakat mereka dengan isolasi bahasa mereka tersendiri, akhbar mereka tersendiri, persatuan-persatuan mereka tersendiri dan sebagainya yang membuatkan kita terlepas pandang pelbagai perkara dan perspektif terutamanya tentang politik.

Pastinya mereka sudah merancangkan pelan A, B, C dan seterusnya untuk menghadapi kemungkinan politik yang sangat tidak menentu pada hari ini. Boleh jadi pelan A adalah DAP bekerjasama dengan UMNO. Boleh jadi pelan B adalah untuk memperkasakan MCA kerana MCA pasti akan menang di banyak kerusi dengan menumpang ihsan orang Melayu yang setia mengundi lambang 'dacing', dan seterusnya. Jangan pandang rendah akan kelicikan dan ketelitian perancangan-perancangan mereka.

Persoalannya, apakah UMNO akan teruskan kerjasama dengan MCA jika mereka hanya salin kulit dari DAP sahaja nanti (jika jadi)? Jika UMNO membiarkan sahaja dan terus memanjakan MCA, maka ini adalah penipuan moral yang akan mengotorkan lagi lanskap politik negara. Akhirnya tiba pada persoalan, apakah orang Melayu perlu menolak BN? Takkanlah kita mahu pilih PH pula? Politikus akan mengambil kesempatan atas dilema ini dengan pelbagai cara memanipulasi dan kata-kata dusta.

Perpecahan politik Melayu pada hari ini semakin menjadi-jadi sedangkan mereka bijak mengatur strategi sesama mereka dan bersama 'musuh dalam selimut' yang dianggap kawan kita sekalipun. Saya tidak tahulah kebodohan apa yang ada pada pemimpin kita sehingga boleh ditipu siang-siang. Atau mereka sendiri menipu rakyat dengan membiarkan penipuan berlaku.

Bak kata pepatah yang sering diungkapkan sendiri oleh pemimpin Melayu kita, "Antan dengan antan berlaga, Ayam tepi lesung yang kenyang". Tetapi malangnya mereka tidak pernah ambil iktibar pun atas apa yang diratibkan itu. Fikir-fikirkanlah.

Aminuddin Yahaya
Presiden ISMA / Pengerusi PEMBELA
7 Januari 2021

Isnin, 4 Januari 2021

Karikatur komunis di restoran: MCA sifatkan tindakan polis terlalu keras

 

SHAH ALAM - Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng menyifatkan tindakan polis menyerbu serta merampas pelbagai gambar dan cawan yang mempamerkan karikatur berunsurkan wajah pemimpin komunis pada dua premis restoran di Georgetown, Pulau Pinang adalah terlalu keras.

Menurutnya, beliau berpandangan kertas dinding dengan gambar pemimpin era revolusi kebudayaan China serta wajah pemimpin Komunis, Mao Tze Tong itu hanyalah sekadar digunakan sebagai hiasan.

"Saya menasihatkan pihak berkuasa agar tidak terlalu agresif dan menangani perkara itu dengan cara yang lebih mesra.

“"Pada masa sama, saya juga berharap agar netizen tidak menjadikan perkara ini sebagai isu perkauman untuk mengelakkan merosakkan keharmonian antara kaum dan juga hubungan persahabatan antara Malaysia dan China," katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Ahad.

Terdahulu, sebuah restoran yang menjadikan karya lukisan semasa era revolusi kebudayaan China menjadi tular di laman sosial WhatsApp dan Facebook, sekali gus mendapat kecaman netizen.

Susulan itu, polis mengesahkan pihaknya telah membuat serbuan dan rampasan terhadap dua premis restoran tersebut pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais berkata, siasatan awal mendapati restoran di Juru dan di Pulau Tikus di sini adalah kepunyaan pemilik yang sama iaitu seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Nga Kor Ming bakal saman PDRM RM10juta kerana cabut perhiasan komunis di restoran Cina

Menurutnya, polis telah membuka kertas siasatan berhubung tindakan pemilik restoran itu yang menghiasi gambar pemimpin era revolusi kebudayaan China serta wajah pemimpin Komunis, Mao Tze Tong pada dinding premisnya.

Sementara itu, Teik Cheng dalam kenyataan yang sama turut menyamakan kertas hias dinding karikatur Mao di restoran tersebut dengan senario di mana orang Malaysia memasang gambar Tunku Abdul Rahman ketika membuka restoran di luar negara.

Beliau yang juga Pengerusi biro MCA mengenai hubungan China berkata, tindakan pemilik restoran tersebut tidak seharusnya dianggap sebagai agenda untuk mempromosikan ideologi tertentu.

Katanya, tindakan pihak berkuasa yang terlalu sensitif dalam berhadapan dengan isu berkenaan dikhuatiri berpotensi untuk merosakkan hubungan baik antara Malaysia dan China yang boleh dilihat melalui aspek ekonomi dan perdagangan ketika ini.

"Dari tahun 2013 hingga separuh pertama tahun 2020, China telah melabur sejumlah RM9.1 bilion di bahagian utara Semenanjung Malaysia.

"China juga memainkan peranan aktif dalam membantu Malaysia memerangi wabak Covid-19," katanya.

Restoran yang mempamerkan wajah pemimpin komunis telah diambil tindakan oleh polis.

-SH Online

APA KATA PRESIDEN ISMA BERKENAAN KENYATAAN DIATAS 

Kenyataan Naib Presiden MCA ini sekali lagi manampakkan parti berkenaan tidak sensitif dengan masyarakat di negara ini terutama para prajurit yang telah berkorban nyawa mempertahankan kedaulatan negara ini. 

Ini menampakkan wajah sebenar MCA dan apa yang mereka perjuangkan. Apakah mempromosikan pejuang-pejuang komunis itu dianggap biasa-biasa? Atau apakah ini satu usaha normalisasi atau lebih parah lagi satu usaha untuk membangkitkan kembali semangat yang sudah lama hilang? Kalaulah benar ianya sekadar hiasan, maka apakah tidak ada lagi gambar lain untuk dijadikan hiasan? 

Persoalannya mereka bukannya tidak tahu sensitiviti perkara ini kerana ia telah disuarakan banyak kali. Tidakkah mereka lupa peristiwa pembawaan pulang abu mayat Chin Peng dan perkumpulan besar-besaran mengenang perjuangan komunis di Kajang dua tahun lalu yang dihadiri sendiri oleh wakil-wakil rakyat?

Yang lebih aneh ialah, bukan pemilik restoran itu yang ditegur oleh MCA tetapi pihak polis pula yang dipersalahkan kerana kononnya bertindak keras. Adakah MCA sebenarnya dalam diam memang menyokong ideologi komunis? 

Bagaimana nanti kalau ada perarakan mereka yang memakai baju dan sepanduk pejuang-pejuang komunis? Adakah kita perlu biarkan? Apakah MCA ingin menggunakan alasan 'menghormati hubungan dengan negara China' lagi? Ini bukan isu sentimen perkauman tetapi ini isu keselamatan negara kerana kita semua memang maklum bahawa wujudnya gerakan untuk mengembalikan ideologi komunis ke dalam masyarakat dengan penuh licik dan bersistematik. 

Sebenarnya MCA sedang cuba untuk mencari talian hayat kerana mereka sudah tidak mendapat sokongan kaum Cina. Mereka akan mencuba segala upaya untuk menarik sokongan kaum Cina walaupun ianya terpaksa melanggar adab-adab keharmonian kaum dan lunas undang-undang apatahlagi prinsip dan ideologi perjuangan mereka.

Eloklah keberadaan MCA dalam BN dinilai kembali kerana mereka sudah tidak relevan dan tidak mungkin BN boleh mengharapkan apa-apa undi dari kaum cina melalui MCA lagi kerana apa bezanya sangat mereka dengan DAP. PRK Tg Piai menjadi bukti bahawa MCA hanya mengharapkan talian hayat daripada orang Melayu semata-mata. Tetapi selepas menang, mereka terus lagi dengan kebiadapan mereka dan malah lebih melampau-lampau lagi.

Setakat ini, saya tidak dengar apa-apa berita tentang persidangan UMNO bahagian yang membangkitkan usul mengenai MCA. Apa yang penuh di dada-dada akhbar hanyalah mengenai usul menolak BERSATU. Sudah tidak terkira siri-siri isu kebiadapan MCA yang timbul, dalam tempoh hanya kurang setahun. Apakah itu masih tidak cukup untuk menjadikannya satu agenda dalam persidangan mana-mana parti Melayu terutamanya UMNO? 

Dengan pelbagai kebiadapan dan kejanggalan itu pun MCA masih dirai dengan pelbagai jawatan, lantikan, penghargaan dan sebagainya. Malah, Tan Teik Cheng yang biadap ini juga diberikan jawatan menerajui sebuah GLC, iaitu Pelabuhan Pulau Pinang sejak Perikatan Nasional memerintah. 


Aminuddin Yahaya

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

4 Disember 2020



Selasa, 22 Disember 2020

Hebatnya MCA di bumi Melaka

 


Saya masih belum lupa penentangan kuat MCA di Melaka terhadap cadangan penukaran nama Bukit St Paul kepada nama asalnya, Bukit Melaka yang akhirnya gagal ditukar sehingga sekarang oleh kerajaan Melaka walau asasnya sangat kuat dan disokong kuat oleh rakyat. 

Semalam, Timbalan Pengerusi MCA Melaka Datuk Koh Nai Kwong yang dilantik sebagai Ahli Dewan Negara mewakili kerajaan negeri Melaka (DUN) mengangkat sumpah secara rasmi sebagai Senator. Baru sahaja sebelum ini, kita saksikan juga Ketua Pemuda MCA yang penuh dengan kontroversi dianugerahkan pingat 'Datuk' oleh Melaka juga.

Saya benar-benar tidak faham dengan kerajaan negeri Melaka yang diterajui oleh UMNO ini yang baru sahaja ditubuhkan bersama Perikatan Nasional ini. Dalam kerajaan negeri, MCA tiada langsung kerusi yang dimenangi oleh mereka walaupun mereka diberi laluan banyak oleh UMNO tetapi hebat sungguh pengaruh mereka. 

Biasanya dalam politik ini ada 'sesuatu' yang menjadi taruhan, antaranya sokongan wakil rakyat tetapi MCA tidak perlu ada kerusi dalam DUN Melaka tetapi mereka mampu meraih pelbagai perkara hanya melalui tuntutan ataupun bantahan sahaja. Entah apa yang menjadi 'bargain' yang membuatkan mereka terlalu 'kuat' sebegini. 

Saya selalu dengar politikus Melayu mengatakan bahawa kepentingan Melayu semakin terancam, maka kita perlukan kekuatan politik. Tetapi apakah meletakkan MCA secara percuma di Dewan Negara bagi mewakili sebuah negeri yang ditadbir oleh 100% parti Melayu itu menepati apa yang mereka perkatakan itu?

Jika saya tidak mengatakan hal ini, saya pasti rakyat pun tidak tahu tetapi memang hakikatnya sudah sejak dahulu lagi MCA ini diberikan 'tongkat' sebegini tanpa berbelah bahagi. 

Apabila waktu pilihanraya, mahu kerusi majoriti Melayu. 

Lepas kalah pilihanraya, dapat jawatan exco, dapat jawatan GLC, dapat jawatan Senator dan macam-macam lagi.

Tetapi orang Melayu tidak pernah pun diiktiraf sebagai bangsa yang bertoleransi, malah sentiasa terpalit dengan pelbagai label negatif sahaja.

Apabila orang Melayu dituduh rasis dan menindas, tidak pula kedengaran puak-puak ini bersuara mempertahankan orang Melayu selepas segala apa yang dinikmati atas ihsan orang Melayu. Sedih sekali. 

Aminuddin Yahaya

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

22 Disember 2020

https://www.sinarharian.com.my/article/115696/BERITA/Nasional/Dua-senator-angkat-sumpah-hari-ini

Isnin, 23 November 2020

Kenapa saya perjuangkan isu pencerobohan Tanah -Presiden Isma

 


Mungkin ada yang bertanya, kenapa saya perjuangkan isu pencerobohan tanah di Raub dan di Pahang? Apa kepentingannya dan impak apa yang saya harapkan?

Saya ingin jelaskan sama ada di Raub, di Pahang atau di mana-mana sahaja, isu tanah ini bukanlah satu perkara kecil dan boleh dipandang enteng. Tanah bukan seperti barang dagangan. Tanah adalah lambang kewujudan bangsa, lambang peradaban dan lambang akan sejarah sesuatu bangsa. 

Penjajah British amat sedar akan perkara ini maka sebab itu mereka akur dengan tuntutan Raja-Raja Melayu bahawa hak orang Melayu di atas tanah ini harus dipertahankan dengan memberikan apa yang diistilahkan sebagai Tanah Rizab Melayu.

Tanpa tanah, suatu bangsa itu akan hilang kewujudan dan keabsahannya. Kemuliaan bangsa itu akan hilang dan sebaliknya akan dihina dan menjadi tidak lebih seperti pelarian sahaja. Malah jika dibiarkan suatu bangsa itu hilang tanahnya, maka ianya akan menjadi pengemis dan pelarian di bumi sendiri. Inilah yang berlaku di Palestin dan di negara-negara lain. 

Namun, apa yang menyedihkan ialah wujudnya mereka-mereka yang tidak sedar diri oleh kerana kerakusan dan haloba duniawi, sehingga sanggup menggadaikan tanah-tanah rizab Melayu yang kini hanya tinggal 12% sahaja atau mungkin kurang daripada itu. 

Mereka juga menggadaikan tanah-tanah kerajaan yang bernilai jutaan ringgit kepada tauke-tauke yang membiayai hidup mereka. Mereka tidak sedar sebenarnya mereka telah menggadaikan maruah bangsa Melayu, memperjudikan nasib anak cucu mereka sendiri, menjatuhkan maruah watan dan bangsa hanya kerana nafsu serakah diri yang menggila. 

Sebab itu tidak ada perkataan lain yang lebih layak yang harus diberikan kepada mereka melainkan ‘PENGKHIANAT’. Walaupun mereka memegang jawatan dan mempunyai kedudukan yang berkuasa tapi mereka tidak lebih hanyalah bahan ketawa dan mainan “tauke-tauke”. Sungguh memalukan.

Saya tidak akan perkatakan sebegini kalau ia hanya melibatkan 10 ekar atau 20 ekar tetapi sudah melibatkan ribuan malah mungkin mencecah jutaan hektar yang telah hilang di seluruh negara. Walaupun ada undang-undang yang menjaga tanah rizab Melayu dan tanah kerajaan, namun ia tidak lebih dari sekadar nota-nota yang tercatit di dalam kertas-kertas yang layak disampahkan.

Saya benar-benar tidak faham apa yang dilakukan oleh penasihat undang-undang negeri, pihak Pejabat Tanah dan Galian, pihak Jabatan Perhutanan, pihak SPRM dan sebagainya. Semuanya menyepi diri dan mengunci mulut dalam isu-isu sebegini. 

Apa erti politik dan kepimpinan Melayu kalau tanah sudah hilang? Apakah kita hanya mahu dan sanggup memerintah tanah orang? Ini kegilaan apa namanya? Kalau kita telusuri sejarah maka kita akan dapati banyak tanah orang-orang Melayu yang telah hilang. 

Telah hilang baik di utara mahupun di selatan tanah air yang menjadi bukti bahawa ianya sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita semua. Itu belum saya sebut lagi beberapa pulau di dalam negara juga telah tergadai.

Ini bukan isu mainan tetapi isu kelangsungan hidup orang Melayu. Jangan kita biarkan pengkhianat-pengkhanat ini bermaharajalela meratah dan menggadai hak kita sebagai rakyat. 

Ayuh, marilah bersama-sama pejuangkan tanah air tercinta ini. Saya dan kawan-kawan tidak mampu berjuang tanpa sokongan rakyat semua. 

Ini adalah isu survival orang Melayu!

Aminuddin Yahaya

Presiden ISMA / Pengerusi PEMBELA

23 November 2020

#MembangunUmatBeragenda

#MengangkatSuaraUmat

____

▪️Telegram: telegram.me/aminuddinyahaya

▪️Twitter: www.twitter.com/AminuddinYahaya

Rabu, 7 Oktober 2020

Kematian Adib Bukti Murahnya Nyawa Penjawat Awam Malaysia

 

BANGI, 19 Safar 1442H, Rabu – Seolah-olah tiada pembelaan dan keadilan isu kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim memperlihatkan betapa murahnya nyawa seorang penjawat awam di Malaysia.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) – gerakan yang lantang memperjuangkan isu-isu rakyat -, Haji Aminuddin Yahaya berkata, insiden kematian membabitkan penjawat awam ketika bertugas akibat dibunuh bukan satu perkara kecil.

Beliau berkata, kematian anggota bomba dan penyelamat itu seharusnya diberikan pembelaan yang sewajarnya, ini kerana Allahyarham berjuang untuk menjaga keamanan negara sewaktu insiden rusuhan pada November 2018.

“Orang ramai bertanya kenapa kita (ISMA) beria-ia membela kematian Adib, sedangkan ramai sahaja penjawat awam yang meninggal dunia ketika bertugas.

“Bagi saya, isu Muhammad Adib ini sangat signifikan dalam konteks keadilan kepada penjawat awam.

“Tetapi, jika soal ini tidak diberi pembelaan oleh pihak tertentu, di mana keadilan yang berlaku di Malaysia ini?,” katanya.

Aminuddin berkata, seolah-olah ada kepentingan tertentu yang sedang dilindungi, tetapi nyawa seorang penjawat awam yang terkorban tiada pembelaan.

“Bagi ISMA, kami sentiasa berpegang kepada lima teras utama terutamanya ‘Peduli’, yang mana kita peka dan prihatin terhadap permasalahan serta kepentingan ummah dan bangkit membela nasib rakyat serta mengamalkan ihsan dan keadilan sejagat.

“Jadi, membela nasib rakyat seperti keluarga Encik Mohd Kassim dan Puan Asma Abdul Aziz yang kematian anak tetapi tidak mendapat pembelaan sewajarnya menjadi tumpuan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran buku fotobiografi ‘Muhammad Adib’ di Ibu Pejabat ISMA, di sini hari ini.

Buku yang ditulis sendiri oleh adik Allahyarham, Siti Aishah Mohd Kassim bakal berada di pasaran bermula minggu hadapan.

“Kelahiran buku ini tepat pada masanya untuk kita mengenal dengan lebih dekat siapa susuk tubuh lelaki ini dan mengenang kembali Allahyarham Adib sebagai hero yang tidak didendang.

“Tahniah kepada penulis iaitu Siti Aishah yang juga merupakan adik Allahyarham dan penerbit yang bertungkus-lumus menyiapkan buku ini.

“Saya yakin bukan sahaja penulis, tetapi juga keluarga dan seluruh keluarga besar pihak Bomba dan Penyelamat Malaysia akan berasa dekat apabila membaca buku ini nanti,” katanya.-Ismaweb

 

Isnin, 21 September 2020

PRN Sabah:Mohammadin Ketapi Anggap Peristiwa Berdarah Tanduo Lahad Datu Sandiwara Sahaja

 Astaghfirullahalazim. 

Betapa hinanya apabila seorang yang bertaraf wakil rakyat yang pernah menjadi menteri sanggup mengungkapkan kata-kata sebegini. Apakah beliau terlalu asyik berpolitik dan berkempen sampai sanggup keluarkan kenyataan menghina dan memperlekehkan wira-wira negara sebegini?

Dalam sebuah ucapan yang tular dan dilaporkan dalam berita, beliau menganggap anggota-anggota keselamatan sebenarnya bukan ‘berperang’ dengan pengganas sebaliknya hanya ‘berperang’ dengan ayam dan anjing dalam peristiwa berdarah pencerobohan Lahad Datu 2013 dulu.

Lebih menyedihkan lagi, apabila beliau berkata begitu semasa berucap, kedengaran hadirin yang hadir bersorak dan bergelak ketawa pula. Ini bukan sahaja menyedihkan, tetapi saya anggap sebagai satu perkara yang perlu dirisaukan kerana ada yang bersetuju dan menyokong kenyataan itu dengan penuh bersemangat. Inilah yang kita panggil sebagai para 'pentaksub' yang sentiasa bersorak pada apa jua yang diperkatakan oleh pemimpin mereka. 

Semestinya, aggota-anggota keselamatan akan tersinggung terutamanya yang pernah terlibat dalam operasi tersebut. Yang pasti paling tersinggung adalah keluarga anggota-anggota keselamatan yang telah terkorban dalam perjuangan mempertahankan Lahad Datu daripada penceroboh itu.

Saya pasti, warga Sabah turut tersinggung akan kata-kata nista bekas menteri PH itu kerana perjuangan mempertahankan Sabah daripada ancaman luar diperlekehkan. Lebih-lebih lagi ketika sekarang, ancaman dari pihak luar terhadap Sabah semakin kian terasa terutamanya isu pertikaian Laut China Selatan dan isu tuntutan Filipina ke atas wilayah Sabah. 

Sebab itulah saya katakan dalam ucapan Hari Malaysia saya baru-baru ini, agar rakyat Sabah memilih mereka yang benar-benar patriotik, cintakan negara dan paling penting yang mempunyai kesedaran bahawa kedaulatan Sabah perlu dipertahankan dari ancaman luar. 

Bayangkan, apa implikasinya jika pemimpin kawasan anda yang berjaya naik sebagai wakil rakyat (tidak kira kerajaan mahupun pembangkang) tidak peduli pun mengenai keselamatan dan kedaulatan negeri dan negara. Lebih teruk lagi, jika kita tidak cakna, mungkin akan ada yang menjadi talibarut pula.

Sepatutnya semua pihak bersatu padu dalam agenda dan isu yang melibatkan kedaulatan negara, bukannya menjadi bahan dagangan politik murahan kerana musuh di luar sentiasa memerhati. 

Jangan hanya menang bersorak, NEGARA tergadai. 

Aminuddin Yahaya

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

21 September 2020


Sumber: https://malaysiagazette.com/2020/09/21/mohamaddin-anggap-kes-lahad-datu-hanya-sandiwara/


#MembangunUmatBeragenda

#MengangkatSuaraUmat

____


▪️Telegram: telegram.me/aminuddinyahaya

▪️Twitter: www.twitter.com/AminuddinYahaya

Khamis, 10 September 2020

MCA bakal jatuhkan kerajaan Melayu, Islam?

MCA kena ikut kehendak Melayu, bertanding di kerusi majoriti Cina  


SEJAK Pilihan Raya Umum pertama (PRU-1) pada tahun 1955, parti MCA telah dianggap sebagai penyokong tegar kerajaan daripada Parti Perikatan dan Barisan Nasional (BN) dalam mendapatkan sokongan masyarakat Cina di seluruh Malaysia.

Baiknya orang Melayu, walaupun orang-orang Cina baru sahaja diberikan kerakyataan pada waktu itu, sudah boleh tubuhkan parti politik, bertanding dalam PRU dan menang atas undi-undi orang Melayu.

Malah, MCA diberi laluan untuk bertanding atas tiket Parti Perikatan yang mesti menang kerana kekuatan UMNO ketika itu.

Sejak dari itu, MCA telah memainkan peranan yang penting untuk mendapatkan sokongan masyarakat Cina buat BN sehinggalah pilihanraya ke-12, di mana kita menyaksikan gelombang besar-besaran orang Cina beralih kepada DAP.

Sejak daripada itu, mereka hanya bergantung pada kerusi majoriti ‘ihsan UMNO’ kepada MCA semata-mata kerana UMNO mahu ada ahli parlimen Cina untuk duduk di blok kerajaan.

Jumlah kerusi yang dimenangi oleh MCA sejak PRU-11:
PRU11: 31 kerusi
PRU12: 15 kerusi
PRU13: 7 kerusi
PRU14: 1 kerusi
Pada PRU 14, MCA sebenarnya sudah mati tetapi diberi nafas kembali oleh UMNO.

Ini kerana lebih 90 peratus daripada masyarakat Cina sudah menyokong DAP melalui Pakatan Harapan (PH) dan menolak MCA.

MCA yang memang sudah sekian lama terdesak mahu memenangi kembali hati pengundi Cina, mereka sanggup berbuat apa sahaja termasuklah ‘berperangai’ seperti DAP.

Ini dapat dilihat jelas melalui tindak tanduknya yang sentiasa berlumba-lumba dengan DAP dalam sesuatu isu.

Lihat sahaja isu Rang Undang-Undang (RUU) 355, tulisan Jawi, Sijil Peperiksaan Bersepadu(UEC), sekolah vernakular dan sebagainya.

Kita tidak lupa juga apabila MCA mahu keluar dari BN ketika UMNO sedang tersungkur dan lemah sejurus kalah teruk dalam PRU14.

Malah, ada khabar mengatakan bahawa MCA ada berbincang dengan MIC untuk menendang UMNO keluar daripada BN.

Senarai kerusi yang dimenangi oleh MCA pada PRU14 dan Pilihan Raya Kecil (PRK):
Kerusi Parlimen
Ayer Hitam, Johor – 58 peratus Melayu
Tanjung Piai, Johor (PRK 2019) – 57 peratus Melayu

Kerusi DUN
Cheka, Pahang – 72 peratus Melayu
Titi Tinggi, Perlis – 78 peratus Melayu

Mereka tiada rasa segan silu kerana UMNO pun dilihat tidak peduli, mungkin kerana mereka juga mahukan undi dan pengundi Melayu memang akan setia dengan UMNO tidak kira apa pun.

Ini dapat dilihat melalui perangai mereka ketika mahu melobi kerusi parlimen Tanjung Piai ketika suatu PRK pada 2019.

Walaupun UMNO mahu bertanding, tetapi MCA pula main ugut-ugut sampaikan ada yang mahu keluar parti beramai-ramai.

Malah, hangat juga diperkatakan bahawa jika MCA keluar dari BN, maka koalisi itu akan terbubar mengikut perlembangaan BN.

Akhirnya UMNO dan PAS terpaksa akur dan ‘tutup aib’ berkenaan dengan alasan “Muafakat Nasional tidak rasis”.

Namun, ‘pengorbanan’ masih tidak dihargai oleh MCA apabila kita dapat lihat pertelingkahan-pertelingkahan antara MCA dan UMNO di peringkat bahagian yang berebut kerusi, seperti yang dilaporkan oleh media.

Ditambah lagi dengan isu-isu selepas itu yang melibatkan isu sekolah vernakular, UEC dan terkini iaitu isu pencerobohan tanah di Raub, Pahang.

Dalam isu pencerobohan tanah kerajaan di Raub, Pahang, walaupun jelas terbukti ianya satu pelanggaran undang-undang, namun MCA telah bertindak secara luar biasa – apabila menyokong penceroboh-penceroboh tersebut sampaikan mereka perlu menubuhkan jawatankuasa khas di peringkat parti yang dianggotai sendiri oleh pimpinan mereka, termasuklah yang mempunyai jawatan Timbalan Menteri yang tiada kaitan pun.

Nampak betapa pentingnya isu ini kepada MCA, mungkin kerana mereka mahu terus melobi kerusi parlimen Raub, lebih-lebih lagi PRU sudah dekat. Sekali lagi, kerusi parlimen Raub yang majoriti pengundinya ialah orang Melayu tetapi menjadi ‘kerusi tradisi’ MCA selama ini.

Lebih mengecewakan, pimpinan UMNO dan PAS yang bersuara dalam isu ini tidak pernah pun menyentuh apa yang diusahakan oleh MCA ini.

Sudah terang-terang mereka ini mengambil ‘pintu belakang’ dengan melakukan rundingan-rundingan di belakang tabir walaupun Menteri Besar Pahang (UMNO) sudah muktamad tidak mahu berkompromi dengan penceroboh.

Ya, benar memang DAP juga bersungguh-sungguh membela para penceroboh tanah ini.

Tetapi pimpinan UMNO dan PAS kelihatan tidak jujur apabila hanya menuding jari pada DAP dan PH, bak kata pepatah ‘kuman seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak’.

Trend ini sama sahaja dalam pelbagai isu, tidak kiralah RUU 355, UEC, sekolah vernakular, hudud, kempen BMF dan sebagainya.

Jika parti-parti Melayu ini jujur dalam memperjuangkan sesuatu isu ataupun agenda, mereka akan lawan siapa sahaja yang menghalangnya, termasuklah rakan satu gabungan politik itu sendiri.

Jika tidak, sebenarnya mereka ini hanya melepaskan batuk di tangga yang hanya dahagakan publisiti semata-mata. Sampai bila kita mahu begini?

Sekarang ini bukan sahaja orang Cina yang menolak MCA, tetapi orang Melayu sudah mula meluat dengan sikap MCA.

Mungkin kesannya tidak nampak dalam masa terdekat, malah dalam PRU akan datang, yakinlah satu hari nanti orang Melayu akan hilang sabar juga.

Lebih-lebih lagi sekarang ini maklumat sudah berada di hujung jari dan maklumat itu akan dapat terus diakses sampai bila-bila.

Sangatlah malang jika MCA terus dapat bertanding di sebahagian besar kerusi dalam pilihanraya akan datang.

Paling kurang mereka akan bertanding 39 kerusi parlimen dan 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebagaimana jumlah mereka bertanding dalam PRU14 dahulu.

Dengan ketiadaan GERAKAN yang selama ini bertanding di sebahagian besar kawasan Cina, pasti bilangan kerusi yang bakal mereka tandingi akan meningkat.

Jumlah kerusi yang ditandingi oleh MCA sejak PRU-11:
PRU12: 40 kerusi parlimen, 83 kerusi DUN
PRU13: 37 kerusi parlimen, 90 kerusi DUN
PRU14: 39 kerusi parlimen, 90 kerusi DUN

Percayalah, MCA tidak akan menang satu pun kerusi majoriti Cina dan mereka akan hanya bergantung di kerusi majoriti Melayu yang ‘disedekahkan’ oleh UMNO kerana itulah talian hayat mereka.

Melihat perkembangan pada hari ini, ada kemungkinan juga wujudnya peratusan pengundi Melayu yang signifikan, yang akan menolak MCA dan sanggup mengundi calon Melayu PH semata-mata bencikan MCA, tidak turun mengundi atau mengundi pihak ketiga (third force) yang mampu menyebabkan BN terlepas kerusi tersebut.

Tidakkah UMNO dan PAS (Muafakat Nasional) fikir akan kemungkinan ini?

Bagi saya, eloklah Muafakat Nasional (UMNO dan PAS) muhasabah kembali apa yang saya perkatakan ini.

Jika MCA ini terus dimanjakan, mereka akan terus besar kepala dan timbulkan pelbagai masalah.

Mereka perlu tegas dengan MCA, jika mahu terus bersama, maka MCA perlu akur dan selari dengan kehendak orang Melayu dan fokus bertanding di kerusi majoriti Cina sahaja.

Jika tidak, apakah perlu kita gerakkan kempen ‘kerajaan Melayu-Islam tanpa DAP dan MCA’ pula?

Di mana kita pastikan MCA tidak menang satu kerusi pun di kawasan Melayu dan pada masa yang sama pastikan parti-parti Melayu mendapat majoriti untuk tubuh kerajaan.

Manakala DAP kekal di blok pembangkang kerana berjaya membolot kerusi-kerusi majoriti Cina yang MCA telah biarkan terlepas akibat hanya selesa mahu menang kerusi Melayu?

Atau kita akan terus melihat MCA terus menjahanamkan ‘kerajaan Melayu Islam’ yang kita semua idam-idamkan selama ini?

Aminuddin Yahaya
Presiden ISMA

sumber:ismaweb.net

Isnin, 31 Ogos 2020

"Merdekakah Kita?". Jawapan yang biasa adalah "secara fizikalnya kita merdeka, tetapi pemikiran masih terjajah".

Mungkin ramai yang terlupa atau ada yang tidak tahu pun, bahawa tarikh 31 Ogos 1957 adalah Hari Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Tetapi hakikat inilah yang kita perlu ingat dan hargai, bahawa asal negara ini adalah Tanah Melayu dan kita perlu berbangga dengannya.

Banyak kecemerlangan yang dikecapi bersama sebagai satu negara yang berdaulat, dan banyak juga peristiwa pahit getir yang kita lalui bersama. Maka, pengalaman-pengalaman ini sepatutnya mematangkan diri, menguatkan identiti dan semakin izzah dengan apa yang ada.

Namun, saban tahun ramai yang membangkitkan persoalan "Merdekakah Kita?". Jawapan yang biasa adalah "secara fizikalnya kita merdeka, tetapi pemikiran masih terjajah". Itu benar, dan saya tidak mahu mengulanginya lagi kerana kita semua faham akan hakikat tersebut.

Saya ingin membawa persoalan; selepas 63 tahun Tanah Melayu merdeka, sebanyak manakah kita mampu membina bangsa mengikut acuan sendiri? Ini kerana masih banyak perkara yang kita gagal laksanakan sebagai sebuah bangsa yang merdeka.

Lihat sahaja bagaimana hasrat nenek moyang kita dulu, mereka sanggup menukar tulisan Bahasa Melayu dari sistem tulisan Jawi kepada Rumi hanya untuk meraikan kaum-kaum lain bagi memudahkan mereka menerima bahasa kebangsaan. Tetapi lihatlah hari ini. Bukan setakat ramai yang masih gagal berbahasa kebangsaan, malah tulisan Jawi dipijak-pijaknya pula. Lebih teruk, tulisan-tulisan selain Rumi pula mula diletakkan di papan-papan tanda dengan alasan ada rakyat yang tidak boleh memahami Bahasa Melayu dalam Rumi.

Lihat pula bagaimana nenek moyang kita bertoleransi dengan menghapuskan sekolah aliran Melayu untuk dijadikan satu sistem pendidikan untuk semua tetapi tidak diendahkan pun. Bukan setakat gagal mengikut aspirasi sekolah satu aliran, malah sekolah vernakular semakin banyak dan semakin diperkasakan melalui pelbagai peruntukan, tatkala sekolah-sekolah kebangsaan di pendalaman masih banyak yang daif.

Itu belum lagi kita bicara mengenai tanah-tanah Rezab Melayu yang sudah kurang dari 10 peratus. Puas kita merayu-rayu untuk kerajaan bertindak, tetapi nampaknya sia-sia. Tiba-tiba apabila bangsa lain ceroboh tanah, dibiarkan sahaja dan akhirnya sampai tahap dibela lagi.

Ditambah lagi dengan pelaksanaan undang-undang berkenaan Islam, seringkali gagal dilakukan dengan alasan "tidak cukup ahli parlimen Melayu". Tetapi apabila tiba pilihanraya, kerusi-kerusi Melayu digadainya pula kepada bukan Melayu. Wakil-wakil rakyat Melayu pula ramai yang hanya fikir bagaimana mahu kekal kuasa dan memperkasa parti masing-masing sahaja.

Oleh itu, saya mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya orang Melayu untuk berfikir sejenak, sampai bilakah kita mahu dicengkam dengan helah-helah politik yang sebenarnya banyak terbukti kepincangannya? Kita perlu bijak berfikir, tidak terlalu naif dan taksub serta berani bersuara sebagai rakyat Malaysia yang merdeka.

Kalau ditanya kepada saya; apakah impian kemerdekaan yang saya inginkan? Maka saya akan berkata; "Saya inginkan SISTEM POLITIK BAHARU DENGAN PEMIMPIN BAHARU!”.

Selamat Hari Kemerdekaan !

Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
31 Ogos 2020

#MembangunUmatBeragenda
#MengangkatSuaraUmat
____

▪️Berjuang bersama kami: ahli.isma.my/register
▪️Telegram: telegram.me/aminuddinyahaya
▪️Twitter: www.twitter.com/AminuddinYahaya

Jumaat, 21 Ogos 2020

Pantau media Cina jadi ‘medium’ sebar hasutan

TUDUHAN LIAR DAKWA MOHD ASRI, NGO ADA AGENDA TERSEMBUNYI


BANGI – Kerajaan perlu memantau akhbar dan portal berita berbahasa Cina supaya tidak menerbitkan sebarang artikel berbaur hasutan.

Sekiranya pantauan itu tidak mampu dilakukan oleh kerajaan, syarikat media lain atau NGO mungkin boleh mengambil tanggungjawab berkenaan, kata Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.

“Mungkin boleh keluarkan sedikit wang untuk proses menterjemah artikel yang diterbitkan di media-media Cina untuk dijadikan berita dalam bahasa yang kita semua faham.

“Malah, ianya mampu membuka peluang dan dimensi baharu dalam landskap media di negara ini.

“Dengan itu juga, media-media Cina akan lebih berhati-hati jika mahu menerbitkan artikel-artikel berbaur hasutan sebegini atau ‘mesej-mesej’ tertentu daripada politikus-politikus Cina kepada masyarakat Cina yang tidak dilapor di media bahasa Melayu atau Inggeris,” katanya.

Haji Aminuddin berkata demikian sebagai mengulas artikel yang disiarkan di akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily, mendakwa wujud ‘agenda tersembunyi’ di antara Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid dan NGO dalam isu pusat perjudian di Sungai Buloh.

Memetik artikel bertajuk Hew Wai Weng: Krisis Ekonomi Melayu Bandar yang disiarkan kelmarin, penulis mendakwa ISMA dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mempunyai agenda sama apabila membantu Mohd Asri menularkan videonya.

“PPIM selalu melancarkan serangannya melalui kerja-kerja ‘menolong golongan lemah’ baik secara langsung atau tidak langsung menuding jari pada orang Cina bukan Islam membuli atau menindas pengguna dan peniaga muslim,” dakwa penulis.

Menyifatkan dakwaan itu tuduhan liar dan berbaur hasutan, Aminuddin menyelar penulis artikel terbabit yang mewujudkan ‘teori’ kononnya PPIM, ISMA dan parti-parti politik Melayu memanipulasikan isu berkenaan demi manfaat politik.

“Apakah beliau lupa isu ini cepat tular kerana sentimen benci masyarakat terhadap sindiket perjudian berleluasa yang merosakkan masyarakat? Malah masyarakat Cina pun ramai yang memuji pendedahan ini.

“Apa yang lebih lucu, tiba-tiba penulis menyebut mengenai ICERD dan Kempen Beli Produk Muslim yang dipelopori oleh dua NGO ini. Apakah motif beliau?,” soalnya.

Beliau berkata, dakwaan penulis itu menimbulkan persoalan terhadap cubaannya menghasut masyarakat Cina yang menyokong pembanterasan kegiatan judi di daerah berkenaan.

“Lebih-lebih lagi artikel ini hanya ditulis dalam bahasa Mandarin dan diterbitkan di portal media Cina.

“Sudahlah sekolah pun diasingkan dengan naratif yang berbeza dan subversif, takkan media mahu begitu juga,” katanya.

-Dialog Rakyat