Jumaat, 16 April 2021

Polis siasat penerbit dan pelakon iklan raya promosi judi dalam talian

 

KUALA LUMPUR, 16 April - Pihak polis akan memanggil penerbit dan pelakon sebuah video iklan hari raya yang mempromosikan syarikat perjudian dalam talian.

Tegas Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah, video berdurasi dua minit satu saat yang tular di media sosial hari ini jelas melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan kegusaran awam.

Jelasnya dalam satu kenyataan hari ini, PDRM menerima satu laporan polis yang dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk menyiasat asal usul video itu dan pihak polis sedang giat mencari mereka yang terlibat.

Menurutnya lagi, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga akan dihubungi bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan (Memecahkan Keamanan Awam) dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Beliau turut mengingatkan agar orang ramai tidak berkongsi mahupun menyebarkan video berkenaan bagi mengelakkan kegusaran awam.

-berita.rtm.gov.my

0 ulasan:

Catat Ulasan