Ahad, 5 Mac 2023
Syarikat Jepun minat labur RM140 juta di Kelantan
Selasa, 23 November 2021
Pemindahan ibunegara Indonesia:Potensi pelaburan di Kalimantan

SAUDARA PENGARANG,
LAPORAN media baru-baru ini menyebut, Indonesia akan meneruskan rancangan memindahkan ibu negara ke kepulauan Borneo mulai suku pertama 2024.
Lokasi baharu itu berkeluasan 56,180 hektar di Kutai Kartanegara dan Penajam Paser Utara, wilayah Kalimantan Timur dengan nilai projek 489 trilion rupiah (RM192.16 bilion).
Kebijaksanaan Presiden Joko Widodo atau Jokowi untuk memindah lokasi ibu negara Indonesia tepat pada masa dan mampu mengubah landskap geografi dan ekonomi republik itu.
Kedudukan kepulauan Borneo dilihat secara geografi memang selamat daripada bencana alam dan lebih strategik bagi mengembangkan ekonomi Indonesia.
Republik itu mampu membangun pesat dan seterusnya menjadi sebuah negara maju jika dirancang dengan rapi oleh pemerintah.
Petuanya mudah sahaja, perlu ada komitmen dalam kalangan rakyat Indonesia yang kita tahu tahap semangat kecintaan kepada negara memang teguh.
Menjadi sebuah negara maju akan lebih mudah jika Jokowi berjaya merealisasikan janjinya untuk memastikan tiada tempat kepada sesiapa yang mahu melakukan penyelewengan kerana hukuman tersangat berat termasuk ditembak sehingga mati.
Dalam pada itu, semakin ramai pelabur di Indonesia, negara-negara jiran dan syarikat gergasi antarabangsa melihat potensi ibu negara baharu itu sebagai lokasi pelaburan hartanah dan perdagangan lain.
Jangan terkejut, mungkin dalam 50 tahun lagi, Borneo akan menjadi sebuah kepulauan paling maju dan sibuk di rantau ini.
Difahamkan, kerajaan negeri Sarawak sudah nampak potensi pertumbuhan ekonomi dan merancang dengan kerjasama kerajaan Pusat untuk membina lebuh raya dari negeri itu ke Kalimantan Timur.
Nasihat saya kepada para pelabur, jangan lepaskan peluang keemasan ini.
SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL, Seremban, Negeri Sembilan.
-utusanonline
Khamis, 18 November 2021
Pilihan pelaburan untuk nikmati pendapatan RM7,000 sebulan

Setiap orang mempunyai pandangan sendiri apabila ditanya apakah makna “pelaburan” kepada mereka.
Ada yang beranggapan pelaburan lebih penting daripada menabung. Ada pula yang percaya menabung adalah langkah pertama pelaburan kerana bagaimana mahu melabur kalau tiada duit tersimpan bukan?
Petua pelaburan adalah pempelbagaian, iaitu anda tidak mempertaruhkan segala-galanya dalam satu usaha.
Satu lagi faktor penting adalah masa, tak kisahlah sama ada saham, hartanah atau emas.
Cuba renung senario ini: kadar faedah hari ini rendah ketika harga emas sedang meningkat. Patutkah anda tukar semua wang tunai kepada emas? Sudah tentu tidak bukan? Bagaimana kalau anda perlukan wang tunai sekiranya berlaku kecemasan?
Satu lagi tanggapan salah mengenai pelaburan ialah ia satu bentuk perjudian atau kegiatan hanya untuk orang kaya dan bakal pesara.
Terdapat juga orang yang melihat pelaburan sebagai suatu bidang yang berisiko tinggi atau terlalu rumit dan mengundang tekanan.

Walaupun diakui pelaburan mempunyai risiko tersendiri, namun terdapat banyak jenis produk pelaburan selain bergantung kepada setinggi mana risiko yang sanggup anda hadapi dan masanya.
Selain itu, usia muda dengan hayat bekerja yang panjang boleh membantu mengimbangi jatuh bangun dunia pelaburan.
Simpanan tetap
Bentuk pelaburan paling asas adalah simpanan tetap. Salah sebuah bank terbesar di sini menawarkan simpanan minimum sebanyak RM1,000 untuk tempoh dua bulan dan ke atas.
Jumlah minimum untuk tempoh simpanan sebulan ialah RM5,000 dengan kadar faedah kurang 2% setahun.
JIka anda ada RM5,000 atau lebih di tangan, ia boleh dijadikan simpanan tetap untuk tempoh lebih panjang.
Simpanan tetap adalah sama baiknya dengan wang tunai kerana ia boleh dikeluarkan dengan segera, namun manfaat faedah yang patut anda perolehi akan berkurang sekiranya wang dikeluarkan sebelum matang.

Unsur pengkompaunan dalam simpanan tetap juga memberi manfaat kepada anda.
Bagaimanapun, adalah kurang menguntungkan sekiranya anda membuat simpanan tetap pada kadar faedah rendah ketika ini yang berada bawah 2%.
Meskipun begitu, beberapa bank mungkin menawarkan kadar faedah yang lebih tinggi sedikit daripada 2% setahun.
Ketika Malaysia sedang beralih ke arah fasa endemik Covid-19, banyak kawalan ke atas sektor ekonomi dan sosial ditarik balik.
Permintaan yang tertahan-tahan sebelum ini menyebabkan orang ramai lebih giat berbelanja dan kadar inflasi dijangka akan meningkat, mungkin lebih tinggi daripada 2%, pada suku akhir 2021.
Insurans
Pelaburan pada asasnya adalah menjana kekayaan. Insurans pula adalah perlindungan. Beberapa pelan pembiayaan dan polisi berkaitan pelaburan mempunyai unsur perlindungan.
Bergantung kepada syarikat insurans dan produk masing-masing, premium polisi insurans berkaitan pelaburan dilaburkan ke dalam unit amanah. Unit-unit ini pula dipengaruhi pasaran saham.
Prestasinya bergantung kepada prestasi dana-dana berkenaan dan pencapaian pengurusnya.

Anda boleh mengeluarkan wang lebih awal tetapi kemungkinan besar nilainya lebih rendah daripada jumlah yang sudah anda bayar. Oleh itu, nilai wang tunainya tidak terjamin.
Anda boleh sahaja meneruskan pembayaran sehingga berusia 100 tahun. Lebih lama anda meneruskan polisi itu, lebih banyak wang diasingkan untuk pelaburan, sama seperti lebih banyak wang diasingkan untuk perlindungan anda pada awal tempoh.
Pelan pembiayaan pula adalah sejenis pelan simpanan yang mempunyai banyak terma matang, misalnya 20 tahun.
Selepas matang, anda akan menerima wang secara sekali gus. Ada orang beranggapan ia adalah cara simpanan lebih selamat. Skop pelaburannya termasuk saham perdana (blue chip), hartanah, bon kerajaan dan produk berisiko rendah yang lain.
Tidak seperti polisi insurans berkaitan pelaburan, anda boleh memilih untuk membayar selama 10 tahun. Anda juga boleh meneruskannya untuk 10 tahun seterusnya tanpa perlu bayar sebarang premium. Ada banyak jenis produk ditawarkan.
Unit amanah
Unit amanah melibatkan banyak pelabur yang mengembleng wang masing-masing untuk diuruskan oleh sepasukan profesional sepenuh masa.
Pelabur boleh mengarahkan supaya wang daripada simpanannya disalurkan ke unit amanah setiap bulan.
Ada banyak jenis “dana amanah”yang ditawarkan dan bergantung kepada setinggi mana risiko yang sanggup anda hadapi, matlamat pelaburan dan tumpuan anda.
Umumnya ia terbahagi kepada tiga kategori, iaitu bon, saham dan dana seimbang yang menggabungkan bon dan saham.
Ada orang menumpu kepada satu-satu negara, atau satu-satu rantau, misalnya AS atau Asia, atau serata dunia. Ada juga yang memberi tumpuan kepada sektor atau industri khusus, misalnya sektor teknologi.
Komisyen agak tinggi di Malaysia dan mesti dibayar sekalipun hasilnya negatif.
Saham
Bergantung kepada saham, sektor atau syarikat yang dibeli, selaku pemegang saham anda akan meraih hasilnya dalam dua cara: dividen atau naik nilai modal atau kedua-duanya.
Saham, yang juga dikenali sebagai ekuiti, dianggap sebagai antara pelindung nilai terbaik bagi menghadapi inflasi.
Sebagai contoh, syarikat makanan yang tersenarai di bursa mungkin sekali menaikkan harga barangan kerana harga tepung, minyak, dan bahan lain meningkat.
Justeru harga produk akhir akan naik seiring inflasi.
Masalah dengan saham ialah ia tidak stabil. Terdapat banyak syarikat dan sektor yang tersenarai jadi anda disaran membuat penyelidikan terlebih dahulu kerana anda mungkin tidak tahu saham sektor atau syarikat mana yang perlu dibeli.
Strategi yang anda gunakan bergantung kepada risiko yang sudi anda tanggung.
Malaysia kini menuju pemulihan tetapi terdapat beberapa faktor yang boleh mempengaruhi pasaran seperti peningkatan kes Covid-19 atau kematian akibat wabak.
Hartanah
Membeli rumah boleh dikatakan pelaburan terbesar dalam hayat seseorang.
Memandangkan rumah memerlukan belanja yang tinggi, anda harus mempunyai sebab yang jelas untuk membelinya. Adakah rumah ini untuk kediaman atau untuk pelaburan?
Jika rumah itu merupakan tempat anda berteduh, maka anda harus tahu apakah kemudahan di sekitarnya akan memudahkan dan menyenangkan hidup anda. Ini amat penting kerana rumah itu akan menjadi syurga anda untuk tahun-tahun mendatang.
Sekiranya ia untuk pelaburan, anda mungkin mahu menetap di situ buat sementara dan kemudian menyewakannya sebelum dijual.
Membeli hartanah sebagai pelaburan melibatkan dua faktor – kenaikan nilai harga dan pendapatan sewaan.
Hartanah merupakan pelaburan jangka panjang. Ketika ini, pasaran cenderung kepada penyewa. Kediaman atas tanah lazimnya merupakan pelaburan yang popular.
Andaikata sebuah rumah berharga RM700,000 dan sewa bulanannya pula ialah RM2,000, maka kadar hasilnya sekitar 3.42% (RM2,000 x 12 = 24,000/700,000). Ini kiraan mudah. Tolak wang keluar daripada pendapatan sewa.
Pemaju hartanah Matrix Concepts Holdings Berhad menawarkan banyak projek kediaman bertanah yang mempunyai potensi pelaburan berbaloi.
Terletak di Bandar Sri Sendayan, terdapat banyak kemudahan di sekitarnya seperti sekolah, klinik dan tempat riadah. Ia juga mempunyai akses mudah ke lebuh raya-lebuh raya utama. Semua ini patut dipertimbangkan sebelum membeli rumah.
Jika pendapatan isi rumah anda adalah RM7,000, pasukan kami di Matrix Concepts boleh memberi nasihat tentang pelaburan hartanah yang patut dipertimbangkan.
Selain itu, apa kata jika anda sertai tinjauan ini dan berpeluang menangi e-dompet Touch n Go bernilai RM88.-FMT
Khamis, 28 Januari 2021
Lima mangsa ditipu pemanggil 011-23696711, rugi hampir RM1 juta

Polis negeri ini mengesan nombor telefon 011-2369 6711 digunakan oleh individu ‘scammer’ yang sehingga kini telah menipu lima mangsa melibatkan kerugian mencecah hampir RM1 juta.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Superintendan E. Sundra Rajan berkata, terbaharu, polis menerima laporan seorang wanita peniaga lemang kerugian RM96,930 selepas ditipu pemanggil sama yang mengajaknya menyertai pelaburan syarikat perkapalan.
Menurutnya, mangsa berusia 47 tahun itu dihubungi suspek pada Jun 2020 sebelum tertarik dengan pelaburan yang didakwa akan memberikan pulangan keuntungan dalam tempoh 14 hari berdasarkan hasil aktiviti perkapalan dijalankan.
“Mangsa yang berminat dengan pelaburan itu telah memasukkan wang berjumlah RM96,930 ke tiga akaun berbeza bermula 5 Jun 2020 sehingga 25 Januari lalu.
“Kesemua wang tersebut dimasukkan sebagai bayaran modal dan lain-lain caj seperti proses tekan tera (stamping),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambahnya, suspek bagaimanapun menyedari dirinya telah ditipu apabila suspek masih menghubunginya dan meminta untuk memasukkan wang.
“Mangsa kemudian telah membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
"Hasil semakan polis, nombor telefon 011-2369 6711 ini telah terlibat dengan empat laporan lain dan menggunakan modus operandi sama dengan kerugian keseluruhan ditanggung kesemua lima mangsa mencecah RM871,360,” katanya. – K! ONLINE
Rabu, 23 Disember 2020
Dividen ASB 4.25 sen, pengagihan ehsan 0.75 sen,terendah dalam sejarah
KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), mengumumkan pengagihan pendapatan bagi dana unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 5.0 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Disember 2020.
Pengagihan pendapatan ASB itu merangkumi 4.25 sen seunit dan pengagihan ehsan 0.75 sen seunit bagi 30,000 unit pertama pemegang unit sempena ulang tahun ke-30 ASB.
Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) berkata, ia membabitkan jumlah pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM7.6 bilion kepada 10.2 juta pemegang unit dengan pelaburan berjumlah 173.2 bilion unit.
Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz, berkata pengagihan pendapatan ASB kekal kompetitif meskipun berdepan cabaran ekonomi akibat COVID-19.
“Bagi pemegang lebih 30,000 unit, mereka juga menerima manfaat pengagihan ehsan ini sebagai tanda penghargaan kami kepada pemegang unit ASB yang terus setia bersama kami sepanjang 30 tahun dana ini diperkenalkan,” katanya ketika mengumumkan pengagihan pendapatan ASB secara maya, hari ini.
Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.
-BERITA HARIAN
Isnin, 27 Julai 2020
Harga emas cecah paras tertinggi dalam sejarah
Harga emas yang mencecah paras tertinggi dalam sejarah hari ini berpotensi melepasi AS$2,000 (RM8,503.50) seauns atau kira-kira RM300 segram, disebabkan tekanan lebih besar ke atas ekonomi.
Penganalisis Kanan Penyumberan MineLife, Gavin Wendt, berkata tumpuan ketika ini beralih kepada mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) minggu ini dengan wujudnya ramalan pelaksanaan langkah seterusnya dalam memacu ekonomi termasuk kemungkinan kadar faedah pada paras negatif.
"Situasi ini akan memberi tekanan lebih banyak dan menolak emas melepasi paras AS$2,000 seauns
"Wujud kebimbangan mengenai data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS yang lebih buruk daripada jangkaan pada suku kedua mencetuskan penjualan dolar," katanya.
Wendt berkata, selain kelemahan dolar AS menjadi pemangkin utama peningkatan emas, momentum positif logam berharga itu juga dipacu daya tarikannya sebagai aset selamat di tengah-tengah pergolakan perdagangan AS-China.
"Kenaikan kukuh memang tidak dapat dielakkan sama seperti mana pasca krisis kewangan global," katanya.
Harga emas mencecah paras tertingginya kepada AS$1,944.71 (RM8,268.43) seauns atau sekitar RM291.66 segram hari ini, mengatasi paras tertinggi AS$1,921.18 (RM8,168.60) atau RM288.14 segram yang dicatatkan pada 2011.
Penganalisis berkata, lonjakan harga logam berharga itu dicetuskan oleh kebimbangan mengenai ketegangan antara China dan AS serta peningkatan kes jangkitan COVID-19 di seluruh dunia.
Katanya, kekurangan isyarat jelas dan kemajuan dalam pakej rangsangan baharu di Washington juga mencetuskan impak positif kepada emas. "
"Langkah Fed melaksanakan langkah pelonggaran monetari besar-besaran menyaksikan dolar AS lebih rendah sekali gus melonjak harga emas. "
"Pelabur juga mula mempertimbang kesan ekonomi jangka panjang disebabkan COVID-19 dan kini kurang memasuki pasaran ekuiti selepas pasaran saham mencatat kenaikan," katanya.














