Kuala Lumpur: "Kurang ajar!"
Itu reaksi pelakon dan pengacara Ashraf Muslim terhadap iklan judi dalam talian menggunakan latar lagu raya yang tular di media sosial sejak malam tadi.
Ashraf berkata, video yang diiklankan di platform digital itu secara terang-terangan mengajak orang Islam membuat dosa apatah lagi ia muncul pada minggu pertama Ramadan ini.
"Makin menjadi-jadi manusia sekarang. Secara terang-terangan mengajak orang ramai buat dosa. Bulan Ramadan, bulan yang baik, bulan yang penuh rahmat Allah tapi video ini sudah merosakkan bulan yang suci ini," katanya.
Ashraf menyifatkan pihak yang terbabit dalam pembikinan video itu kurang ajar dan tidak tahu apa hukumnya bermain judi.
"Takkan tak tahu video ini mengenai apa? Judi itu haram. Mana iman? Mana akidah? Ini negara Islam jangan buat onar macam ni.
"Saya tak tahulah yang berlakon dalam video ini sedar atau tidak apa yang dinyanyikan itu. Memang tak fikir panjang apabila buat semua ini. Kemudian berani pula nak promosi. Kalaulah anda beragama Islam, jawablah dengan Allah SWT," katanya.
Video berdurasi dua minit dan 1 saat itu memaparkan aksi lakonan, nyanyian empat individu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita yang mana liriknya menggalakkan serta mengajak orang awam berjudi untuk mendapatkan 'duit raya'.
Ashraf berkata, dia memuat naik video itu di Instagram kerana ingin memberitahu masyarakat di mana video berkenaan adalah contoh anasir yang ingin merosakkan Islam secara halus.
"Saya muat naik video ini bukan untuk main judi atau nak promosi perniagaan mereka, tapi nak beritahu kepada masyarakat, ini adalah cara anasir yang ingin merosakkan Islam secara halus.
"Media sosial adalah tempat yang mudah untuk mereka sampaikan. Video ini adalah jahat sama sekali dan ini adalah salah," katanya.
Dalam masa sama, Ashraf berharap kerajaan melalui pihak berkaitan perlu segera ambil tindakan.
"Kepada pihak berkuasa tolong ambil tindakan kepada mereka yang terbabit dalam video ini. Daripada yang buat idea, klien, pihak produksi, barisan pelakon, penyanyi, kru dan mereka yang terbabit dengan video ini.
"Perbuatan ini memang tidak boleh dimaafkan oleh masyarakat Islam. Tindakan ini sudah melanggar sensitiviti orang Islam dan memalukan negara yang mengamalkan agama Islam sebagai agama rasmi," katanya.
Terdahulu, portal Harian Metro melaporkan, Pengerusi Gerakan Transformasi Pengguna Malaysia (GTPM) Azman Kang Abdullah berkata, promosi berkenaan adalah susulan beberapa 'kempen' judi dalam talian yang disebarkan menerusi nombor tidak dikenali sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, ia dipercayai dijalankan sindiket yang turut mempunyai data peribadi pengguna telekomunikasi di negara ini dan menghantar promosi sama ada menerusi SMS, WhatsApp dan Telegram.
"Sebelum ini kita terima aduan mengenai mesej promosi judi daripada pelbagai nombor tidak dikenali. Malah dalam kumpulan Telegram, sindiket judi ini diikuti oleh ribuan orang.
"Semuanya mempromosikan 'cuci duit' dengan harga tertentu. Ini semua judi cara maya yang akan mengumpan mangsa," katanya.
Justeru katanya, pihaknya bersama Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) akan membuat laporan polis berhubung perkara itu bagi memastikan tindakan diambil sewajarnya.
-myMetro
0 ulasan:
Catat Ulasan