Najib Razak berkata, beliau mula menyedari niat kerajaan PN tidak betul apabila ia pertama kali mencadangkan darurat dan Parlimen digantung pada Oktober 2020 tanpa berbincang dengan Umno.
PETALING JAYA: Najib Razak hairan mengapa Umno dan Barisan Nasional (BN) masih berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dikritik gagal menguruskan ekonomi dan Covid-19 dengan baik sehingga wujud gerakan tanda pagar #kerajaangagal.
“Saya segan untuk memberi komen tentang hashtag #kerajaangagal, walaupun saya juga tak faham kenapa sehingga hari ini Umno dan BN masih mahu berkait dengan kerajaan yang gagal.
“Melainkan ada yang lebih mementingkan jawatan berbanding kepentingan negara, rakyat dan parti,” tulisnya di Facebook.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, sejak Oktober tahun lalu, beliau sudah memberi amaran kepada Umno yang ia akan turut dipersalahkan atas kegagalan memulihkan ekonomi, walaupun tiada seorang wakil Umno/BN terlibat secara langsung menguruskan hal berkaitan hala tuju kewangan dan ekonomi yang dikuasai Bersatu.
“PPBM memonopoli jawatan perdana menteri, menteri kanan yang paling kanan, menteri kewangan, menteri ekonomi dan Majlis Tindakan Ekonomi tanpa sebarang wakil dari Umno, PAS atau mana-mana parti lain.”
Beliau berkata, tegurannya menyebabkan ada pihak menggunakan propaganda mendakwa dirinya mahu menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri bagi menyelesaikan kes mahkamahnya.
Katanya, beliau mula menyedari niat kerajaan PN tidak betul apabila ia pertama kali mencadangkan darurat dan Parlimen digantung pada Oktober 2020 tanpa berbincang dengan Umno.
“Saya berpendapat ia tidak akan membantu dalam usaha mengawal Covid-19 dan semakin melemahkan ekonomi dan pelaburan asing yang sudahpun lemah akibat kerajaan tak stabil dengan majoriti tipis.
“Ini terbukti benar hari ini bahawa darurat tak membantu, manakala pelaburan asing kami junam ke paling rendah dalam Asean berbanding paling tinggi sebelum pilihan raya umum ke-14.”-FMT
0 ulasan:
Catat Ulasan