"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Khamis, 30 Julai 2026

MP Bachok mahu Tabung Haji Kembali Teratur, Sentiasa selepas keputusan RCI Tabung Haji didedahkan

 Supaya Tabung Haji Kembali Teratur, Sentiasa

(Gambar: Kenangan Haji 2017)

Oleh: Syahir Sulaiman

Amat terkilan melihat apa yang berlaku di Tabung Haji, namun tidak mengejutkan.

Saban tahun kita disajikan dengan laporan Ketua Audit Negara yang mendedahkan pelbagai kelemahan, ketirisan, dan kerugian melibatkan dana awam, sama ada di peringkat kerajaan mahupun GLC/GLIC.

Apa yang kita saksikan ialah pengulangan kelemahan tadbir urus, pengabaian etika dan amanah, serta kegagalan mematuhi prinsip akauntabiliti, walaupun telah ditegur dan diperingatkan berulang kali.

Terbaharu, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji mendedahkan wujudnya elemen campur tangan politik dan kelemahan tadbir urus yang ketara.

Antara lain, suruhanjaya itu menyarankan supaya audit forensik dijalankan terhadap 14 pelaburan bermasalah Tabung Haji, serta mempersoalkan amalan ‘perakaunan kreatif’ bagi pembayaran hibah yang tinggi antara 2014 dan 2017.

Laporan itu menjelaskan bahawa amalan tersebut menyumbang kepada jurang aset-liabiliti Tabung Haji yang semakin melebar, di samping mengkritik kelemahan dalam aspek pengawasan, kawal selia dan audit dalaman.

Selain itu, empat laporan polis telah dibuat dan enam kes dirujuk kepada SPRM berhubung dakwaan salah laku, penyembunyian maklumat, rasuah, penyalahgunaan kuasa, pemalsuan serta manipulasi laporan pelaburan.

Namun, sehingga kini, tiada satu pun berakhir dengan pendakwaan di mahkamah.

Untuk rekod, laporan RCI Tabung Haji yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai 2026 telah dikemukakan dan ditandatangani oleh Tun Raus Sharif selaku Pengerusi RCI kepada pihak kerajaan pada 19 Julai 2022, lebih empat tahun dahulu.

Justeru rakyat berhak mengetahui apakah langkah susulan yang telah diambil oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim sepanjang pentadbiran Kerajaan Madani, termasuk tindakan undang-undang terhadap pihak yang didapati bersalah.

Pengajaran daripada masa lalu.

Semua pihak perlu kembali menginsafi tujuan asal penubuhan Tabung Haji sebagai institusi simpanan umat Islam untuk menunaikan haji, seterusnya mengambil segala langkah bagi memperbetulkan keadaan.

Desakan supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat Tabung Haji timbul selepas Barisan Nasional kehilangan kuasa pada 2018, khususnya berhubung pelbagai dakwaan salah laku dan jurang aset-liabiliti yang mencecah RM11 bilion.

Ketika itu, pelbagai tanda amaran pernah dibangkitkan mengenai pematuhan Tabung Haji terhadap Akta Tabung Haji 1995, khususnya dalam pengisytiharan hibah atau dividen yang tinggi.

Pada penghujung 2015, sepucuk surat daripada Gabenor Bank Negara kepada Tabung Haji telah tersebar kepada umum, menyatakan bahawa Tabung Haji hanya mempunyai 98 sen aset bagi setiap RM1 liabiliti, sekali gus mendedahkan kedudukan kewangan institusi tersebut yang semakin meruncing.

Seksyen 22 Akta Tabung Haji memperuntukkan bahawa hibah tidak boleh diisytiharkan sekiranya nilai aset lebih rendah daripada jumlah liabiliti.

Hari ini, Tabung Haji mengurus simpanan melebihi RM95 bilion daripada hampir 10 juta pendeposit, meningkat daripada RM70 bilion pada 2019.

Cabarannya amat besar. Tabung Haji perlu menjana pulangan yang mampan, mengagihkan hibah, membantu bakal jemaah haji yang layak, dan pada masa yang sama membina semula rizab kewangannya.

Melangkah ke hadapan, Tabung Haji perlu terus memperkukuh mekanisme semak dan imbang serta mematuhi piawaian perakaunan secara profesional, bebas daripada campur tangan politik.

Selanjutnya, Tabung Haji perlu mengenal pasti formula baharu berkaitan kadar deposit, bayaran haji dan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) bagi menampung peningkatan kos ibadah haji tanpa menjejaskan kemampuan bakal jemaah.

Pihak pengurusan Tabung Haji juga perlu terus memperkukuh Rizab Penyamaan Keuntungan (PER) sebagai penampan jangka panjang bagi memastikan agihan hibah kekal mampan, disokong pengurusan rizab yang berhemat.

Pada masa yang sama, pelantikan Ahli Lembaga Pengarah hendaklah berasaskan merit, kompetensi dan integriti, selaras dengan kriteria kelayakan dan kesesuaian (fit and proper) yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia.

Walaupun amalan tadbir urus korporat dan piawaian perakaunan yang baik bukanlah sesuatu yang baharu di Tabung Haji, cabaran sebenar ialah memastikan semua prinsip tersebut dilaksanakan secara konsisten dan ‘dibudayakan’.

Berbalik kepada laporan RCI, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melaksanakan segala syor yang telah dikemukakan, termasuk membawa mana-mana pihak yang terlibat dengan salah laku ke muka pengadilan.

Adapun komitmen Perikatan Nasional amat jelas: menghormati setiap dapatan RCI dan bersedia mempertimbangkan setiap syor yang dikemukakan, demi memastikan Tabung Haji terus diurus secara profesional, teratur dan berintegriti.

Saya dan rakan-rakan Ahli Parlimen Perikatan Nasional menantikan Parlimen dibuka untuk membahaskan laporan yang amat berharga ini. 

Akujanji saya sebagai pendeposit Tabung Haji, apabila Perikatan Nasional diberi mandat mentadbir Putrajaya, saya akan memastikan komitmen ini sentiasa diperingatkan dan dilaksanakan, insya-Allah.

Syahir Sulaiman

Ahli Parlimen Bachok

30 Julai 2026

Source 

Selasa, 28 Julai 2026

DOKUMEN TUNTUTAN PAJAKAN PULAU PINANG SUDAH LENGKAP, TUNGGU MASA SESUAI-MB KEDAH

 DOKUMEN TUNTUTAN PAJAKAN PULAU PINANG SUDAH LENGKAP, TUNGGU MASA SESUAI

Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah mengesahkan segala dokumen dan asas perundangan bagi menuntut semakan semula kadar bayaran pajakan Pulau Pinang telah lengkap disediakan.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pihaknya hanya menunggu masa yang sesuai untuk mengemukakan tuntutan tersebut ke peringkat seterusnya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri optimis dengan hasil kajian yang dijalankan pasukan penyelidik dan perundangan selepas menemui pelbagai dokumen sejarah yang akan menjadi asas kepada tuntutan berkenaan.

“Dokumen semua sudah siap. Tunggu masa sesuai. Kita tak bolehlah dedahkan semua. Saya positif dengan apa yang kita usahakan ini.

“Ada beberapa kaedah, cuma belum boleh didedahkan lagi. Semua dokumen ada, jadi kita mempunyai asas untuk membawa isu ini ke peringkat seterusnya,” katanya ketika bersiaran secara langsung dalam Podcast Bersama MB Kedah di portal Kedah Online, hari ini.

Menurut beliau, antara saluran yang sedang dipertimbangkan ialah tindakan melalui mahkamah, membawa perkara itu ke Majlis Raja-Raja serta rundingan bersama Kerajaan Persekutuan.

“Tuntutan kita berasaskan kepada isu yang masih belum diselesaikan sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan.

“Hal ini tidak selesai kerana ketika itu keutamaan adalah mendapatkan kemerdekaan terlebih dahulu, kemudian barulah dirundingkan semula. Perkara itu turut direkodkan dalam Hansard dan selepas merdeka, isu ini terus senyap.

“Saya rasa sejarah ini sangat penting kerana ia menjadi asas kepada tuntutan yang kita kemukakan hari ini,” katanya.

Sanusi berkata, Kerajaan Negeri juga mengambil pendekatan berhati-hati dalam menentukan masa terbaik untuk mengemukakan semua dokumen kerana bimbang ia ditolak mentah-mentah.

“Kalau kita tunggu lama sangat, orang kata kita main-main. Kalau buat sekarang pula, kita tahu apa nasibnya.

“Kerajaan Persekutuan yang ada hari ini, sudah tentu mereka akan pertahankan Pulau Pinang kerana ia sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan mereka akan berusaha menolak tuntutan kita termasuk penemuan yang dibuat.

“Sebab itu kita tunggu keadaan yang lebih neutral sebelum mengemukakan semuanya,” katanya.

Beliau berkata, hasil kajian yang disediakan pasukan penyelidik dan perundangan yang dibentangkan kepada barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) menyatakan berpuas hati dengan pendekatan dicadangkan.

Sanusi turut memaklumkan, Kedah pernah menuntut supaya kadar bayaran pajakan Pulau Pinang dinilai semula kerana nilainya tidak pernah disemak sejak 1786.

Katanya, ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, beliau pernah mencadangkan supaya kadar bayaran pajakan tahunan dinaikkan kepada RM300 juta.

“Ketika itu, Kerajaan Persekutuan dan negeri selari bawah Perikatan Nasional (PN). Saya mula bangkitkan isu ini kepada beliau, saya mahu isu Pulau Pinang diselesaikan. Pada masa itu saya sebut RM300 juta sebagai bayaran tahunan. 

“Kalau benar ia pajakan, bayarlah harga yang sepatutnya. Itu sahaja kesimpulannya,” katanya.

Bagaimanapun Sanusi kesal apabila ada pihak yang memainkan naratif kononnya Kedah mahu memperoleh duit percuma, sedangkan ini hak negeri yang perlu dibayar mengikut nilai pajakan yang sewajarnya.

“Dimainkan naratif konon Kedah mahu duit percuma, kerja malas, usaha tak mahu. Itulah persepsi yang cuba dimainkan pihak tertentu,” katanya.

Menurut beliau, bayaran pajakan itu merupakan tanggungan Kerajaan Persekutuan sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 167 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh kewajipan Persekutuan terhadap perjanjian atau triti yang mengikat negeri-negeri sebelum merdeka.

“Kadar bayaran itu bermula pada nilai RM10,000 sebelum dinaikkan kepada RM10 juta setahun ketika pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, namun tidak pernah disemak semula selepas itu.

“Tahun depan genap 70 tahun, tetapi tidak pernah dibincangkan semula. Kenapa dibiarkan? Sebab tidak ada orang mahu bercakap mengenainya.

“Sebelum ini Menteri Besar dengan Perdana Menteri dari parti sama, mungkin mereka takut hilang jawatan jika bersuara. Rahmat parti tak sama, saya boleh bersuara bagi pihak negeri saya, sekurang-kurangnya orang tahu apa sebenarnya terjadi, apa yang tak selesai sebab saya tidak dikongkong,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, hasil penelitian terhadap dokumen berusia lebih 200 tahun menunjukkan terdapat fakta sejarah yang selama ini tidak diketengahkan berkaitan status Pulau Pinang.

“British menipu Sultan Kedah pada masa lalu. Penipuan itu menguntungkan British dan merugikan kita, akhirnya manfaat tersebut diwariskan kepada pihak lain.

“British tidak mempunyai hak pemilikan ke atas Pulau Pinang. Persoalannya, bagaimana pihak yang tidak mempunyai hak milik boleh menyerahkan wilayah itu kepada pihak lain sehingga menjadi sebuah negeri seperti hari ini.

“Semangat saya berkobar-kobar untuk menegakkan kebenaran,” katanya.

#UrusSetiaPeneranganDarulAman

#UPDA

#mbkedah

Source 

Khamis, 23 Julai 2026

Walaupun Aku Muslim, Tapi Burkina Faso Tidak Akan Sekali-Kali Menjadi Negara Islam-Ibrahim Traore

 “Walaupun Aku Muslim, Tapi Burkina Faso Tidak Akan Sekali-Kali Menjadi Negara Islam”

Oleh: Fahrin Azri

Baru-baru ini, Ibrahim Traoré telah membuat satu kenyataan yang buat ramai orang tercengang. 

Presiden Burkina Faso telah mengatakan bahawa walaupun beliau “sendiri seorang Muslim, tapi beliau jamin negaranya tidak akan sekali-kali menjadi negara Islam.”

Ibrahim Traoré juga telah menuduh sebilangan ulama telah membawa fahaman ekstrim yang boleh membarah dan boleh hancurkan seluruh negara kalau tidak dibendung.

Dalam ucapan di hadapan penduduk wilayah Yaadga itu, beliau juga tuduh golongan minoriti “ekstremis” ini menyumbang kepada ketidakstabilan.

Beliau juga sekaligus memberi amaran bahawa kerajaan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana ulama yang sebarkan fahaman radikal.

Ini terbukti apabila kerajaan Traoré juga dilaporkan sudah mula gantung sesi berkhutbah sesiapa yang cakap sesuka hati tanpa kawalan. 

Ini telah menunjukkan dasar ini memang hendak dan akan dilaksanakan secara serius di lapangan.

Di samping itu, Traoré juga isytihar undang-undang Islam tidak akan sekali-kali menjadi asas pentadbiran negaranya. 

Beliau nyatakan perlembagaan Burkina Faso mengatasi semua agama.

Tambahannya lagi, Traoré juga risau dengan generasi muda yang balik dari belajar di Arab Saudi lalu cuba memaksa fahaman “Islam radikal” menurutnya, yang dipelajari ke atas masyarakat.

Kenyataan ini sekaligus menolak terus sebarang cadangan syariah diguna pakai dalam sistem kehakiman atau pentadbiran awam negara itu. 

Bagi Traoré, perlembagaan negara adalah autoriti yang tertinggi, bukan mana-mana agama.

Dan, satu lagi dasar yang buat heboh dunia Muslim ialah rancangan bawa pulang ratusan pelajar Burkina Faso yang belajar di negara Arab. 

Menurut data terkini, kira-kira lebih 800,000 rakyat Burkina Faso sedang belajar di luar negara, khususnya negara-negara Arab. Hampir 2,000 dari mereka sahaja belajar di Arab Saudi.

Dan, kebanyakan mereka belajar bidang-bidang syariah serta undang-undang Islam tanpa sebarang kemahiran profesional lain.

Traoré melihat bahawa ini merupakan satu masalah besar buat Burkina Faso. 

Beliau terus menyoal secara terus apa sebenarnya yang dipelajari golongan ini, dan jawapannya hanyalah syariah, undang-undang Islam dan fiqh, tanpa satu pun kemahiran profesional yang boleh sumbang kepada pembangunan negara.

Beliau juga bahkan berkata bahawa mereka diarahkan untuk balik, atau mereka akan hilang kerakyatan Burkina Faso.

Objektif yang hendak dibawa Traoré jelas. 

Beliau ingin pelajar ini balik dan menyumbang tenaga dalam bidang sains dan teknologi, bukan menjadi lagi seorang alim tanpa kemahiran praktikal untuk bina ekonomi negara.

Dan, ada lagi satu lagi langkah Traoré yang sebenarnya benar-benar menggemparkan dunia Islam. 

Presiden ini telah bertindak dengan membuka jalan hubungan diplomatik dengan Israel, sesuatu yang jarang dilakukan pemimpin Afrika yang dikenali dengan retorik anti-Barat.

Pada 26 Jun 2026, Traoré terima surat kepercayaan dari Simon-Clément Seroussi, duta besar baharu Israel untuk Burkina Faso. 

Majlis ini secara rasmi mengesahkan hubungan diplomatik antara dua negara yang selama ini kekal senyap tanpa kedutaan tetap.

Sebenarnya Burkina Faso adalah satu-satunya anggota gabungan AES yang secara rasmi mengiktiraf Israel, walaupun tak pernah ada kedutaan atau konsulat tetap di bumi Burkina Faso. 

Kalau sebelum ini, rakyat Burkina Faso perlu pergi ke kedutaan Israel di Abidjan, Côte d'Ivoire untuk urusan visa dan konsular.

Yang buat lebih menarik, langkah ini berlaku serentak dengan Burkina Faso putuskan hubungan diplomatik dengan bekas penjajah, Perancis. 

Kerajaan Traoré beri tempoh tujuh hari kepada Perancis untuk tutup kedutaan di Ouagadougou pada masa yang sama duta Israel terima pengiktirafan rasmi.

Lantas, dasar-dasar yang dibuat Ibrahim Traoré akhirnya menimbulkan dua pandangan yang berbeza.

Bagi sesetengah penganalisis, langkah ini menunjukkan dasar luar Traoré makin pragmatik walaupun beliau terus mempertahankan imej anti-imperialis. 

Tetapi bagi golongan lain pula, dasar ini membuka persoalan besar tentang ke mana sebenarnya arah pemikiran seorang pemimpin yang naik populariti sebagai simbol perjuangan dunia Muslim Afrika.

Semua langkah ini sekaligus membentuk gambaran seorang pemimpin yang cuba pisahkan agama daripada urusan negara secara total. 

Sama ada ini langkah bijak demi kestabilan negara atau langkah yang akan renggangkan sokongan rakyat Muslimnya sendiri, masa yang akan tentukan.

Sebenarnya, Burkina Faso bukan satu-satunya negara yang dipimpin Muslim tetapi isytiharkan dirinya sebagai sekular. Kalau korang nak tahu lebih lanjut, dapatkan GEOPOLITIK DUNIA ISLAM dengan segera!

Eksklusif hanya di The Patriots.

Source 


Link Shopee: https://s.shopee.com.my/70Hj557Ipl


Link Webstore: http://bit.ly/43x2VGQ

Selasa, 21 Julai 2026

Burkina Faso dikatakan negara miskin kini berubah selepas dua tahun ditadbir Ibrahim Traore.Apa yang dilakukannya?

 


Pernah dengar pasal Burkina Faso? Negara kat Afrika Barat yang selama ni dalam berita asyik keluar pasal miskin, perang, dan kebuluran je. 

Tapi sejak dua tahun lepas, ada benda rare tengah berlaku kat sana yang buat pakar ekonomi barat pun garu kepala.

Semuanya berubah bila seorang kapten tentera muda umur 30-an, nama dia Ibrahim Traoré (orang sana panggil "IB"), ambil alih pimpinan. 

Yang paling syok, dia seorang pemimpin Muslim yang bawa nilai Islam yang sebenar bukan pada slogan, tapi pada amanah dan perbuatan.

Sebelum kita pergi jauh, jom tengok Fakta Ringkas Burkina Faso ni dulu supaya korang nampak gambaran sebenar:

 * Penduduk: Sekitar 24.6 juta orang, dan majoritinya adalah anak muda (umur penengah belasan tahun).

 * Agama: Islam (Sunni) adalah majoriti terbesar iaitu sekitar 63.8%!

 * Kedudukan: Negara bertanah darat (tak ada pantai) dan dikelilingi 6 negara (Mali, Niger, Benin, Togo, Ghana, & Ivory Coast).

 * Bahasa: Traoré dah tukar bahasa tempatan macam Mòoré dan Dioula jadi bahasa rasmi, manakala Perancis diturunkan pangkat jadi bahasa kerja je.

 * Industri Utama: Eksport emas dan pertanian (kapas).

Walaupun dah merdeka dari Perancis tahun 1960, bumi mereka yang kaya gila dengan emas ni tetap disakau oleh syarikat asing. 

Pemimpin lama pula sibuk melutut kat IMF dan World Bank untuk buat pinjaman yang akhirnya menjerat leher negara sendiri. Rakyat? Dapat habuk je.

Ini yang aku selalu bayangkan macam Enjin Kereta. Letaklah minyak gred tinggi macam mana pun (hasil bumi kaya), kalau enjin tu dah rosak, banyak ketirisan, rasuah, dan sakau, kereta tetap takkan jalan!

Pada September 2022, disebabkan negara makin huru-hara dengan ancaman militan, 

Traoré yang masa tu cuma Kapten tentera di barisan hadapan bertindak berani. 

Dia gerakkan unit khas "Cobra" untuk buat rampasan kuasa tentera (coup d'état) demi selamatkan negara. 

Bila naik, dia bersihkan enjin. Dia potong gaji menteri, dia sendiri pakai baju askar biasa, dan dia hidupkan balik ideologi self-reliance (berdiri atas kaki sendiri) macam ikon lagenda mereka dulu, Thomas Sankara.

Bila enjin dah bersih dan hasil emas diurus sendiri, tengok apa jadi pada ekonomi mereka:

 * KDNK Melonjak 5.3%: Kat zon konflik, pertumbuhan atas 5% ni luar biasa gila.

* Rekod Emas 94 Tan: Hasil sekat penyelundupan dan bina kilang penapisan sendiri.

 * Harga Makanan Turun (Deflasi -0.5%): Sebab duit emas tu tak masuk poket kroni, tapi di salurkan pada rakyat

Antara benda pertama dia buat ialah sekat ketirisan emas. Dia ambil alih lombong asing dan bina kilang penapisan sendiri. 

Duit hasil emas tu, dia tak beli kereta mewah untuk menteri. Dia lancarkan "Offensive Agro-pastorale" (Offensif Pertanian).

Kerajaan dia laburkan lebih puluhan juta USD untuk import lebih 1,000 buah traktor moden, jentera pembajak, dan mesin pam air untuk diagihkan terus kepada petani-petani tempatan. 

Siap bagi subsidi baja lagi! Dia tahu, nak merdeka betul-betul, rakyat kena cukup makan daripada hasil tanah sendiri, bukannya bergantung pada barang import.

Paling mind-blowing ialah projek Lebuh Raya 332 Kilometer dari Ouagadougou ke Bobo-Dioulasso. 

Dulu kontraktor asing kata projek ni ambil masa 10 tahun dan kos dekat RM8 Billion! 

Tapi Traoré tolak. Dia guna dana domestik sendiri, guna 100% jurutera dan buruh tempatan. 

Hasilnya? Dalam masa 60 hari pertama je laluan 332 KM tu dah berjaya dibuka!

Bukan tu je, dia sasar nak bina 5,000 KM jalan bertar baharu. 

Sebagai perbandingan, sejak merdeka 64 tahun lepas, kerajaan lama cuma mampu buat 3,642 KM je! Gila tak gila?

Malah, stadium nasional mereka yang kena banned dulu, dibina semula jadi super moden guna 100% hasil rizab emas negara, siap pakai teknologi lantai sukan daripada buluh tempatan yang lagi keras dari kayu oak Eropah.

Sebab tu wujud fenomena rakyat marhaen sanggup turun padang gotong-royong tar jalan raya secara PERCUMA! Mereka ada Trust (Kepercayaan). Mereka tahu pemimpin tak sakau duit mereka.

Formula dia mudah je. Leadership is everything. Bila pemimpin jujur, berani, membawa nilai Islam yang teguh dan amanah, rakyat automatik akan gerak bersama tanpa perlu dipaksa.

Korang rasa model kebangkitan macam Burkina Faso ni sesuai tak kalau buat kat tempat lain? Cuba komen sikit.

Source 

Ahad, 12 Julai 2026

KEPUTUSAN PRN JOHOR 2026: ISYARAT BESAR MENJELANG PRU16

 PRN JOHOR 2026: ISYARAT BESAR MENJELANG PRU16

Keputusan PRN Johor bukan sekadar menentukan siapa menguasai Dewan Negeri. Ia menjadi barometer awal landskap politik Malaysia menjelang PRU16.

Apabila komposisi undi diperhalusi, beberapa dapatan penting mula terserlah.

1. Formula UMNO-MCA-MIC kembali bernyawa

BN memperoleh 599,753 undi (43.11%), jauh meninggalkan pencabar lain.

Ini bukan lagi sekadar kemenangan UMNO. Ia membuktikan gabungan tradisi UMNO-MCA-MIC masih mempunyai keupayaan mengumpulkan sokongan rentas kaum apabila bergerak sebagai satu pasukan.

Ramai pernah menganggap formula ini sudah berakhir. Namun Johor membuktikan sebaliknya. BN bukan sahaja berjaya mempertahankan penyokong tradisi, malah berjaya menarik kembali sebahagian pengundi atas pagar yang mahukan kestabilan politik.

Momentum ini pasti menjadi modal besar mereka menuju PRU16.

2. PN masih pencabar utama, tetapi tidak boleh bergantung kepada formula lama

Dengan 334,457 undi (24.04%), PN kekal sebagai blok pembangkang terbesar.

Namun angka itu juga membawa satu mesej yang sangat jelas.

PN memerlukan proses rejuvenasi yang lebih berani dan menyeluruh.

Rejuvenasi bukan bermaksud mengubah prinsip perjuangan, tetapi memperbaharui pendekatan politik agar lebih sesuai dengan landskap pengundi hari ini.

Antara keutamaan yang wajar diberi perhatian ialah:

• Melahirkan lebih ramai pemimpin generasi baharu yang mampu menjadi wajah masa depan gabungan tanpa mengabaikan pengalaman pimpinan sedia ada.

• Mengembangkan naratif daripada politik reaktif kepada politik solusi. Isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), pendidikan TVET dan keusahawanan anak muda perlu menjadi agenda utama, bukan sekadar respons terhadap isu semasa.

• Memperkukuh penyelarasan antara parti komponen. Pengundi semakin menilai kekuatan sesebuah gabungan sebagai satu pasukan, bukan secara berasingan.

• Memperluaskan pengaruh dalam kalangan masyarakat bandar dan bukan Melayu. Johor membuktikan bahawa kemenangan nasional memerlukan sokongan yang lebih luas daripada asas tradisi semata-mata.

• Memperkasakan komunikasi digital dan naratif positif. Generasi muda semakin membuat keputusan berdasarkan kandungan yang meyakinkan, pantas dan mudah difahami, bukannya ceramah konvensional semata-mata.

Jika proses pembaharuan ini dapat dilakukan dengan baik, PN berpotensi tampil sebagai alternatif nasional yang lebih kukuh menjelang PRU16.

3. Prestasi blok kerajaan memberi isyarat yang wajar diperhatikan

Gabungan parti yang menjadi tunjang Kerajaan Persekutuan pula tidak menunjukkan penguasaan yang begitu meyakinkan.

PH (DAP dan Amanah) memperoleh 20.48%, manakala PKR hanya sekitar 5.93%.

Ini menunjukkan bahawa kedudukan sebagai kerajaan tidak semestinya diterjemahkan kepada peningkatan sokongan di peti undi.

Malah, angka PKR mengundang persoalan tentang kekuatan parti itu apabila bergerak di bawah lambangnya sendiri.

4. Politik Malaysia semakin kembali kepada persaingan gabungan besar.

MUDA, Gabungan Bersama dan parti-parti lain hanya memperoleh sebahagian kecil undi.

Corak ini memperlihatkan bahawa pengundi semakin cenderung memilih gabungan yang diyakini mampu membentuk kerajaan, berbanding memberi ruang kepada parti-parti kecil.

Persaingan nasional dijangka semakin tertumpu kepada blok-blok utama.

Kesimpulan

PRN Johor 2026 menghantar tiga mesej besar kepada politik Malaysia.

Pertama, BN berjaya menghidupkan semula kekuatan gabungan UMNO-MCA-MIC dan muncul sebagai blok paling dominan.

Kedua, PN masih kekal sebagai pencabar utama, tetapi memerlukan proses rejuvenasi yang strategik, tersusun dan berpandangan jauh agar dapat menembusi segmen pengundi baharu tanpa mengorbankan prinsip perjuangannya.

Ketiga, prestasi parti-parti kerajaan menunjukkan bahawa kedudukan di Putrajaya bukan jaminan sokongan yang terus berkembang di peringkat akar umbi.

PRU16 bukan lagi soal siapa paling lantang berpidato. Ia bakal ditentukan oleh siapa yang paling pantas menyesuaikan diri dengan kehendak pengundi baharu, tanpa kehilangan jati diri dan prinsip perjuangan.

-Catatan: AkhiMal-