LONDON – Seorang wanita di Britain memberitahu sudah enam tahun tidak makan makanan pejal dan bergantung kepada tiub cecair untuk membekalkan nutrien ke dalam badannya, lapor Badan Penyiaran British (BBC) semalam.
Loretta Harmes, 23, berkata dia menghidap sindrom Ehlers Danlos, satu penyakit tisu yang menyebabkan ususnyatidak mampu menghadam makanan pejal.
Menurut Harmes, dia mula mengalami simptom sejak zaman kanak-kanak namun pada ketika itu, kesakitan yang dialami setiap kali makan atau minum masih tidak begitu serius.
Ketika berusia 15 tahun, dia berdepan masalah anoreksia kerana berdepan masalah untuk makan dengan normal kerana sudah tidak mampu bangun dari katil jika makan atau minum sesuatu.
“Saya pernah cuba membunuh diri sebanyak tiga kali kerana dituduh mempunyai masalah mental sedangkan ada sesuatu yang tidak kena dengan perut saya.
“Pada 2015, saya akhirnya disahkan mempunyai sindrom Ehlers Danlos dan sejak itu, saya bergantung kepada tiub makanan untuk menyalurkan cecair nutrien yang diperlukan badan,” katanya.
Kini, makanan Harmes adalah cecair total nutrisi parenteral (TPN), yang bermaksud dia dihubungkan selama 18 jam sehari pada saluran tiub makan yang melewati sistem pencernaan dan mengalirkan semua nutrien terus ke aliran darah.
Tiub yang dikenali sebagai garis Hickman ditebuk di dadanya dan memasuki urat besar yang mengalir ke jantungnya.
Meskipun memiliki masalah pencernaan makanan, ia tidak pernah menghalang Harmes mencapai cita-cita bergelar seorang cef dan banyak berkongsi resepi di media sosial.
“Saya biasa akan meminta ibu atau ahli keluarga untuk merasa masakan saya. Biarpun saya tidak mampu merasa makanan yang dimasak, penyakit saya tidak membuatkan saya benci pada makanan malah lebih menghargainya,” ujarnya. – Agensi
0 ulasan:
Catat Ulasan