Helikopter mini Ingenuity memulakan penerbangan pertama di planet Marikh pada Isnin. - Foto AFP
WASHINGTON - Sebuah helikopter mini, Ingenuity berjaya diterbangkan setinggi tiga meter di Marikh pada Isnin sekali gus mencipta sejarah kerana berjaya terbang di sebuah planet di angkasa lepas.
Ia yang seberat 1.8 kilogram (kg) terbang selama 39.1 saat manakala data dan imej yang dirakamkan dari hellikopter tersebut dihantar balik ke atena Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan di Bumi sejauh 278 juta kilometer.
Pasukan Ingenuity di Makmal Perejangan Jet di California Selatan, Amerika Syarikat (AS) mengesahkan kejayaan penerbangan helikopter tersebut selepas menerima data-data daripadanya.
Sebelum ini ia ditempatkan bersama kenderaan robotik Perseverance yang mendarat di planet tersebut pada 16 Februari lalu selepas berlepas dari Stesen Tentera Udara Cape Canaveral, Florida, AS dengan roket Atlas V-541, pada 30 Julai tahun lalu.
Misi untuk menerbangkan sebuah helikopter di planet tersebut telah dirancang sejak enam tahun lalu.
Menurut AFP, NASA sepatutnya menerbangkan Ingenuity pada 11 April lalu tetapi ditangguhkan ekoran masalah perisian yang dikesan berlaku ketika ujian dilakukan terhadap rotor helikopter berkenaan.
Namun, masalah tersebut akhirnya berjaya diselesaikan.
Pasukan Ingenuity akan terus menerima dan menganalisis data-data yang dihantar helikopter tersebut selain merancang misi untuk melakukan penerbangan kedua pada 22 April ini.
Misi kenderaan robotik Perseverance itu adalah untuk mencari tanda-tanda kehidupan organisma halus atau mikrob di planet tersebut.
Ekoran Marikh terletak terlalu jauh dari Bumi, helikopter tersebut tidak boleh dipandu oleh manusia. - Agensi
-SH Online
0 ulasan:
Catat Ulasan