"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label PAS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PAS. Papar semua catatan

Khamis, 11 Jun 2026

Minda Presiden:Hadi Awang dedah 'perangai' Bersatu

 

PAS mendedahkan beberapa punca yang didakwa menjadi sebab kepimpinan pusat parti itu mengambil keputusan memutuskan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), termasuk dakwaan cubaan melemahkan dan memperbodohkan PAS.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, bentuk kerjasama yang paling longgar bersama Bersatu dan parti lain sebelum ini adalah bagi mengambil alih kerajaan menerusi akuan berkanun (SD).

Menurut beliau, langkah itu melalui proses yang betul dan bukannya menerusi apa yang dinamakan sebagai Langkah Sheraton yang bersifat singkat, sebelum diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk menonjolkan individu tertentu.

Katanya, apabila Bersatu mengambil peluang mendapatkan kuasa melalui perkiraan kerusi, tujuan asal demi perpaduan umat didakwa telah berubah kepada usaha menguasai majoriti umat Islam bersama parti bukan Islam,  tanpa mengambil kira kedudukan Islam sebagai teras pemerintahan dan dominasi Melayu bumiputera.

“Tiba-tiba, Bersatu cuba melemahkan peranan PAS yang meneroka perubahan politik dan membodohkan PAS dengan menghalang penyertaan parti yang lebih banyak, khususnya parti Melayu Islam.

“Seperti parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) serta Kongres India Malaysia (MIC) yang merupakan parti bukan Islam yang tidak ekstrem,” katanya menerusi penulisan Minda Presiden PAS di Facebook, hari ini.

Abdul Hadi berkata, Bersatu turut melakukan pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) secara rakus tanpa mengambil kira kelayakan calon, kemampuan jentera dan jumlah keahlian, selain didakwa memberikan maklumat yang tidak tepat mengenai jumlah ahli serta kekuatan jentera parti itu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan ahli PAS yang bekerja secara sukarela terpaksa bertindak seperti buruh paksa bagi membantu calon-calon yang didakwa tidak mempunyai kelayakan dan jentera sendiri.

“Malah, berlaku krisis dalaman yang parah dalam Bersatu sendiri kerana perebutan kuasa sehingga berlaku pemecatan yang tidak mengikut proses disiplin yang bermoral.

“Sehinggakan, sebahagian besar ahli Parlimen yang berperanan dan aktif bersama PAS yang dikenali oleh PAS telah disingkirkan, digantung dan dipecat.

“Ada juga yang melompat keluar daripada parti, apabila dicampurkan kesemuanya, jumlahnya sangat besar iaitu dua pertiga daripada ahli parti yang boleh menjejaskan kekuatan PN dan menjatuhkan maruahnya,” katanya.

Beliau turut mengimbau episod kejatuhan bekas Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli yang menyaksikan Abu Bakar Hamzah daripada Bersatu mengisi jawatan berkenaan.

“Demikian juga langkah merosakkan operasi politik yang dirancang kerana mahukan jawatan Perdana Menteri dan operasi mengambil alih kerajaan Negeri Sembilan yang dipengaruhi DAP dengan menarik SD sokongan sehingga menggagalkan jumlah yang sudah mencukupi.

“Langkah oportunis pemimpinnya mengganggu perjuangan asal penyatuan ummah. Maka, PAS wajib melakukan sesuatu yang tegas demi perjuangannya yang berprinsip,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, PAS sebelum ini telah berusaha melakukan pembetulan terhadap Perlembagaan PN yang disifatkan lemah serta menegur sikap yang dianggap tidak wajar menerusi mesyuarat, pertemuan khusus dan perbincangan secara peribadi.

“Namun begitu, tiada tindakan daripada Bersatu yang sibuk dengan masalah dalamannya. Akhirnya, PAS terpaksa menelan pahitnya dalam PRU, Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Dalam kerjasama ta‘awun siyasi yang bersifat fleksibel, sebenarnya PAS tidak terikat dengan perlembagaan yang dicipta dan tidak perlu menghabiskan masa dengan masalah dalaman pihak lain yang boleh menjejaskan urusan yang patut diutamakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PAS terbuka kepada semua kumpulan dengan berpegang teguh kepada prinsip serta meneruskan perjuangan secara istiqamah, khususnya dalam menjayakan agenda perpaduan umat Islam dan masyarakat majmuk.

“PAS tidak pernah rugi dalam semua kerjasama termasuk dengan parti Bersatu walaupun mengorbankan tenaga ahlinya kerana meraikan pihak yang lain. Sehinggakan, PAS terpaksa mengorbankan kerusinya dan memberi lebih banyak kerusi kepada Bersatu yang rakus akan kerusi.

“Namun begitu, ia memberikan kemenangan besar kepada PAS sehingga berjaya menawan empat negeri dan menambah jumlah kerusi yang dimenangi di beberapa negeri termasuk menembusi Sabah dan mendapat kerusi terbanyak di Parlimen.

“PAS juga menambah kawan baharu yang dipecat daripada parti Bersatu yang bertaraf pemimpin yang menjadi kekuatan baharu kepada PAS,” katanya. – UTUSAN

Isnin, 8 Jun 2026

KENYATAAN MEDIA PAS PUSAT berkaitan KERJASAMA POLITIK PAS–BERSATU

 KENYATAAN MEDIA PAS PUSAT

KERJASAMA POLITIK PAS–BERSATU

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diadakan pada hari ini, Isnin 8 Jun 2026, telah membuat ketetapan seperti berikut:

i. Memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Jun 2026 berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik PAS, atas prinsip penyatuan ummah;

ii. Meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik PAS–BERSATU berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa;

iii. Menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU;

iv. Meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya (electoral pact) demi penyatuan ummah, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum ke-16; dan

v. Menerima hasrat tokoh-tokoh akademik, profesional, pemimpin politik, dan aktivis masyarakat untuk menyertai PAS.

“Kembali Kepada Penyelesaian Islam”

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 22 Zulhijjah 1447 / 8 Jun 2026

Source 

Ahad, 24 Mei 2026

Siri Pengkhianatan PAS:Dari UMNO,DAP,PKR hingga BERSATU

 

Ramai duk bawak cherita versi PAS mengkhianati semua gabungan yang disertainya. Setiap cherita akan ada sekurang-kurangnya dua naratif yang berbeza. Oleh sebab ramai dah share naratif PAS MENGKHIANATI, kita bawak pula cherita bersi PAS DIKHIANATI:

1) PAKATAN RAKYAT

-Isu suara akar umbi PAS tak dilayan oleh PKR/DAP di beberapa negeri dalam hal pentadbiran negeri

-PKR/DAP sailang jawatan-jawatan dalam negeri, menyisihkan PAS

-DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS (isu RUU Hudud Kelantan), tapi masih mahu bekerjasama dengan pemimpin PAS yang lain (G18)

-Muktamar PAS respon dengan memutuskan hubungan dengan DAP

-Kumpulan G18 dalam PAS keluar parti, tubuh AMANAH

-PKR pula putuskan hubungan dengan PAS

-Pakatan Rakyat terbubar.

(DAP dan PKR yang khianati PAS)

2) GAGASAN SEJAHTERA 

-Tiada isu

-rakan gabungan tewas dalam PRU14

(Tak tau jadi apa)

3) MUAFAKAT NASIONAL 

- PAS mahu penyatuan ummah

- dimulakan dengan PAS dan UMNO

- menjemput BERSATU, sama-sama tandatangan

- UMNO tidak mahu berkawan dengan BERSATU

- BERSATU menubuh Perikatan Nasional 

- PAS ajak UMNO bersama-sama dalam Perikatan Nasional untuk PRU15

- UMNO enggan, sebab BERSATU jadi ketua 

- UMNO/BN go solo. MN terbarai.

- UMNO/BN join Kerajaan Madani (komplot Cikgu/Murid)

(UMNO kata PAS khianat MN, PAS kata UMNO yang khianat MN)

4) PERIKATAN NASIONAL 

- beberapa pemimpin BERSATU hadapi tuduhan mahkamah

- krisis dalaman BERSATU: Hamzah vs Muhyiddin

- isu Perlis: SD tolak MB, MB PAS letak jawatan

- pemecatan Hamzah daripada BERSATU

- isu N9: Tarik SD tanpa berbincang

- BERSATU reject permohonan Berjasa, Pejuang, Reset, Kuasa dan Perkasa untuk join PN

- Presiden PAS mahu kaji hubungan dengan BERSATU

- On going... (status terkini: PAS menguasai PN)

Jika ada naratif lain, boleh cheritakan di ruangan komen.

Source 

Jumaat, 2 Januari 2026

PAS tak larang mufti kritik krisis politik Perlis- Hadi

 PAS tak larang mufti kritik krisis politik Perlis- Hadi

PAS tidak melarang mana-mana pihak termasuk agamawan sama ada mahu menyokong ataupun tidak berhubung krisis di Perlis, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu berkata, kebebasan bersuara tidak dihalang dalam sebuah negara demokrasi asalkan jangan terbabas atau bercakap tanpa pengetahuan.

"Kepada sesiapa yang berkenaan, sama ada daripada kalangan agamawan ataupun bukan agamawan, ditegaskan bahawa PAS tidak melarang sesiapa pun daripada membuat kenyataan, sama ada menyokong atau tidak menyokong tindakan yang berlaku di Perlis.

"Kebebasan bersuara tidak dihalang dalam sebuah negara demokrasi asalkan jangan terbabas atau bercakap tanpa pengetahuan yang betul atau jahil murakkab yang tidak sedar dirinya jahil dan berlagak tahu semua perkara. Akhirnya, akan memalukan diri sendiri.

"Prinsip tidak memisahkan Islam daripada politik menjadi aqidah perjuangan PAS, bahkan dimaktubkan dalam perlembagaannya. Segala langkah dan tindakannya dibuat berpandukan fiqh politik yang menepati al-Quran, al-Sunnah dan ijtihad para ulama’ yang bertafaqquh.

"Semua tindakan dilakukan mengikut disiplin jemaah sepertimana yang ditetapkan dalam undang-undang tubuhnya. PAS tidak bercakap dengan cara yang terpilih dalam melaksanakan kewajipan amar ma‘ruf nahi munkar," katanya dalam tulisan terbaru Minda Presiden yang disiarkan di Facebooknya.

Tulisan terbaru Hadi dipercayai merujuk kepada kritikan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung krisis politik di Perlis.

Asri sebelum ini mengkritik PAS berhubung krisis di Perlis yang membawa kepada pertukaran Menteri Besar.

Malah, Asri turut mencabar Hadi mendedahkan faktor projek yang menjadi punca pertelingkahan politik di negeri itu.

"Bahkan, semua ahli PAS ditarbiah menghadapi sesiapa sahaja dan tidak takut kepada apa-apa tindakan, daripada pihak berkuasa yang paling tinggi dalam negara hinggalah tindakan rakyat yang menghukum melalui pilihan raya.

"PAS berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah dalam semua urusan, bukan terpilih mengikut kemahuan atau disebabkan takut-takutan," kata Hadi lagi.

- MalaysiaPost

Rabu, 17 September 2025

Mukhriz Mahathir lihat PAS bersedia untuk ke Putrajaya

 Mukhriz Mahathir lihat PAS bersedia untuk ke Putrajaya

September 15, 2025

ALOR SETAR: Presiden PEJUANG, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir berkata, sudah tiba masanya kepimpinan bercirikan Islam diberi peluang untuk membuktikan kebaikan serta keberkesanannya dalam pentadbiran negara.

Menurut beliau, kepimpinan berasaskan nilai Islam bukan sahaja berupaya melahirkan pemerintahan berintegriti, malah mampu menjadi penyelesaian kepada pelbagai masalah yang dihadapi rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Saya kira perlu diberi peluang kepada kepimpinan yang bercirikan Islam supaya ditonjolkan kebaikannya dan bukannya dilihat daripada imej yang kurang baik akibat tindakan pihak tertentu yang mencemarkan nama Islam,” katanya.

Mukhriz berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan dasar Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-71 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini hari ini.

Beliau menyifatkan ucapan Tuan Guru sebagai menyeluruh kerana tidak hanya membincangkan isu-isu dalam negara, malah turut menyentuh perkembangan antarabangsa.

Katanya, pendekatan yang ditampilkan Ahli Parlimen Marang itu menunjukkan PAS bersedia mengemudi negara dengan corak kepimpinan baharu yang lebih inklusif.

“Saya juga lihat bahawa cara Tuan Guru mengemudi parti ini, iaitu parti PAS, terdampak kesediaannya untuk menuju ke arah Putrajaya. Ini satu perkembangan yang baik.

“Tambah-tambah lagi apabila beliau menyentuh beberapa isu berkaitan yang mungkin (selama ini) sensitif bagi kaum-kaum yang beragama lain berkenaan dengan persepsi mereka terhadap PAS.

“Ini sesuai dengan masanya kerana kita memerlukan cara kepimpinan yang berbeza dengan apa yang telah kita lalui sebelum ini tambah-tambah lagi yang ada sekarang ini yang bagi saya sentuhan dari segi keagamaan itu penting.

“Bukan untuk menidakkan hak orang lain sebaliknya untuk menonjolkan ciri-ciri kepimpinan yang mempunyai nilai murni iaitu yang sangat didambakan oleh rakyat Malaysia tak kira agama dan kaum,” ujarnya.

Terdahulu Tuan Guru menyampaikan ucaptama pada Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke 71 yang bertemakan Kembali Kepada Penyelesaian Islam.

Beliau berkata, negara sedang menyaksikan keruntuhan moral, politik yang zalim dan menipu, keruntuhan sistem ekonomi sehinggalah kemusnahan alam sekitar.

Selain itu kata beliau lagi, politik yang menjadi amanah telah bertukar menjadi peluang bagi mendapatkan pangkat dan harta sehingga menipu, khianat penyewengan dan rasuah. – HARAKAHDAILY 15/9/2025

#MuktamarPAS71 

#KembaliKepadaPenyelesaianIslam

Ahad, 1 Disember 2024

PAS “Repack” Bantuan JKM?

 PAS “Repack” Bantuan JKM? 

Nampaknya mereka tak habis-habis main politik dengan bencana banjir. 

Yang tulisan si Miqdad tu aku malas nak komen. Korang baca sendiri dan nilaikan akhlak mereka. Bagi yang tak tahu Miqdad ni adalah pimpinan Pakatan Harapan. 

Cuma satu je pesan aku kepada Miqdad, Pahang dan Selangor juga banjir. Yang tu bayaran ansuran ke apa?

Berkenaan video yang disebarkan mengatakan Parti PAS mengambil bekalan makanan disediakan oleh JKM dan dibungkus semula guna plastik berlogo PAS.

Saya nak tanya kepada penyebar fitnah, sejak bila bantuan JKM beri megi cup? Kalau nak tahu bantuan JKM datang dalam bentuk Kit seperti gambar saya letak dalam hantaran ni

Banyak tempat bekalan kit makanan telah terputus dan ditampung dengan sumbangan makanan sedia dimakan seperti maggie dan roti oleh orang ramai termasuk ahli dan penyokong PAS.

Jadi kepada pembuat fitnah, hentikanlah berpolitik musim banjir ni. Fokuslah kepada membantu mangsa banjir. Kalau tak nak bantu, elok duduk diam je. 

Salam Hormat,

Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff

Ahad, 24 November 2024

PAS usah bermimpi calonkan ahli mereka menjadi PM-Dato Zaid Ibrahim

 Calon Perdana Menteri Perikatan Nasional

Hari ni Dato Zaid Ibrahim sindir PAS supaya jangan bermimpi nak jadi Perdana Menteri. 

Rilekslah Dato, 

Kalau Nuar Berahim mahaspin boleh jadi PM, Zahid Hamidi 47 boleh jadi TPM, apa kurangnya pimpinan PAS yang telah terbukti kepimpinan mereka diperingkat persekutuan dan negeri?

Ketika Dato Seri Tuan Ibrahim jadi Menteri, dia telah laksanakan pelbagai projek tebatan banjir yang sepatutnya menyelesaikan masalah banjir, walaupun kemudiannya dibatalkan oleh PMX.

Dibawah kepimpinan YAB Sanusi, Kedah berjaya mencapai FDI tertinggi dalam negara mengalahkan Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Dibawah kepimpinan YAB Ir Dr Samsuri, Terengganu berjaya menutup hutang yang ditinggalkan oleh Kerajaan BN terdahulu. Kesemua GLC - GLC utama Negeri Terengganu yang sebelum ini catat kerugian kini dah mencatat keuntungan. 

Ketika YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan jadi Menteri, beliau banyak rancang dan laksana pembaharuan dalam teknologi hijau dan neutral karbon. 

Jadi Dato, PAS bukan hanya melihat kepada lesen jud1, ar@k, pusat hiburan sahaja. Banyak lagi aspek pentadbiran kita berjaya buktikan kecemerlangan. Aspek pentadbiran, ekonomi, GLC. 

Bab “sin industry” tu memanglah tanggungjawab sebagai pemimpin beragama Islam, kita percaya sumber kepada negeri yang datang dari hasil yang halal, akan membawa kepada keberkatann rezeki dan kejayaan negeri itu sendiri. 

Naratif PAS parti tok lebai, parti kuno, parti konservatif, layak ceramah agama sahaja, adalah naratif yang ketinggalan zaman.

Nampak sangat awak dah “expired” dan tidak mengikuti perkembangan semasa. 

Please update yourself Dato’.

Oh ya, isu siapa Perdana Menteri nanti kami bincang secara dalaman dan putuskan. InsyaAllah kami harmoni jer dan boleh terima keputusan pimpinan PN. Tak perlu yang takde kaitan untuk jadi batu api. 


Salam Hormat,

Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi

Lajnah Penerangan PAS Pusat

Jumaat, 22 November 2024

Pemimpin PAS gesa PM tolak tajaan lawatan rasmi

 


Seorang pemimpin PAS menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak tajaan syarikat swasta untuk lawatan rasmi, kerana bimbang amalan itu memberi contoh buruk kepada penjawat awam.

Naib Presiden Amar Abdullah berkata tindakan menerima tajaan syarikat swasta untuk lawatan rasmi membuka ruang kepada konflik kepentingan dan menjejaskan integriti pentadbiran.

“Ia juga mencetuskan persepsi bahawa keputusan kerajaan boleh dipengaruhi oleh kepentingan pihak penaja, sekaligus menghakis keyakinan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

“Lebih membimbangkan, amalan ini memberi contoh buruk kepada penjawat awam. Ia berpotensi mewujudkan budaya kronisme dan rasuah dalam pentadbiran, merosakkan kepercayaan kepada institusi kerajaan.”

Amar berkata Anwar sebagai perdana menteri harus menolak tajaan sebegitu dan memastikan semua perbelanjaan rasmi dibiayai secara telus melalui saluran rasmi.

“Rakyat berhak mendapat kepimpinan yang bebas, bersih, dan telus tanpa sebarang pengaruh luar,” tambahnya.

Terdahulu, Anwar beritahu Dewan Rakyat bahawa sebahagian besar kos lawatan rasminya ke lima negara baru-baru ini ditanggung oleh syarikat berkaitan kerajaan dan swasta yang turut mengikuti program itu.

Katanya, ia pendekatan berbeza yang dibuat oleh pentadbirannya memandangkan kos lawatan kerja rasmi ke luar negara lazimnya menelan perbelanjaan yang tinggi.

Beliau melaporkan syarikat berkenaan diundang dalam lawatan kerja itu dan mempunyai kepentingan perniagaan serta pelaburan, dan kerajaan membantu syarikat itu sama ada import dan eksport.

Anwar berkata Petronas, Sapura Energy, dan Proton antara syarikat yang diundang, lapor Astro Awani.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah, mengenai implikasi kewangan hasil lawaatn kerja beliau itu.

Anwar pulang dari lawatan rasmi ke Kaherah (Mesir), Riyadh (Arab Saudi), Lima (Peru), Rio de Janeira (Brazil), dan Doha (Qatar) semalam.

Source 

Khamis, 12 September 2024

Pemuda PAS lulus usul gesa Anwar letak jawatan

 

MUKTAMAR PAS l Pemuda PAS hari ini meluluskan usul bagi mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim meletakkan jawatannya atau diturunkan dengan kadar segera.

Usul tersebut dibawa dan dibentangkan perwakilan Pemuda PAS Kawasan Tambun, Abdul Abidi Mohd Maznan yang kemudiannya dibahas dan diluluskan dengan sebulat suara.

Dalam pembentangannya Abdul Abidi antara lain berkata tujuan usul tersebut bagi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran rakyat, dan negara perlu memiliki kepimpinan baharu yang benar-benar kompeten serta mempunyai akauntabiliti untuk menyelesaikan masalah rakyat.
Jelasnya, sudah cukup tempoh selama dua tahun diberikan kepada kepimpinan Anwar untuk melaksanakan dasar dan janji yang selama ini mereka laungkan.

“Namun, setakat ini satu persatu janji manis dilanggar. Bukan itu sahaja, kepimpinan PMX (perdana menteri ke-10) tidak pernah cuba menjadi kerajaan yang matang dan bertanggungjawab dalam mentadbir.

“Sikap kepura-puraan dalam mentadbir serta keengganan mengambil tanggungjawab terhadap masalah ekonomi dihadapi negara menyebabkan rakyat makin meluat dengan pentadbiran PMX,” katanya pada sesi pembentangan usul Muktamar Pemuda PAS ke-65 di Kerdau, Temerloh, hari ini.

Abdul Abidi turut mengemukakan empat asas pertimbangan isu membabitkan usul berkenaan.

Pertama katanya kerana kegagalan Anwar melunaskan janji-janji yang dilaungkan semasa kempen PRU dahulu.
“Kedua kegagalan PMX dalam menghapuskan rasuah, malah melepaskan perasuah dan diangkat sebagai orang kanan beliau.

“Ketiga, kegagalannya menyelesaikan isu kos sara hidup yang membebankan rakyat dari hari ke hari dan terakhir penindasan yang dilakukan kepada wakil-wakil rakyat pembangkang dengan menafikan peruntukan,” jelasnya.

Perwakilan Pemuda PAS dari Pokok Sena, Hamadah Syauqi kemudian tampil menyokong usul yang mendesak Anwar supaya segera berundur.

“Kita bagi tempoh kepada beliau wahai ketua pemuda, kalau sebulan dia tak letak, dua bulan dia tak letak, setahun dia tak letak, kita akan memimpin kebangkitan rakyat turun ke jalan raya,” katanya.

Selain itu, usul lain turut diluluskan dalam muktamar agung tahunan tersebut membabitkan cadangan sejarah Palestin diangkat sebagai silibus dalam sistem pendidikan di bawah PAS.

Pemuda PAS turut menerima usul tergempar mengutuk campur tangan DAP dalam urusan umat Islam dan ia kemudiannya diluluskan sebulat suara.

-Wak Labu Farm 

Jumaat, 2 Ogos 2024

Kalau GERAKAN nak keluar PN, silakan - Sanusi

 bharian.com.my

Oleh Noorazura Abdul Rahman
bhnews@bh.com.my
 - Ogos 1, 2024 @ 8:43pm
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - Foto BH

ALOR SETAR: GERAKAN tidak perlu mengugut untuk keluar dari Perikatan Nasional (PN), sebaliknya mereka boleh meninggalkan gabungan itu jika sudah tiada lagi persefahaman.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata beliau bukan angkuh tapi hanya mengulas kenyataan dikeluarkan Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong.

Katanya, PAS bersedia berbincang kemelut yang tercetus dalam mesyuarat bulanan PN bulan ini.

"Dia (GERAKAN) yang buat kenyataan secara terbuka, ugut nak keluar PN. Sila keluar. Itu respons kami.

"Dia kata kalau tak ikut pandangan mereka, GERAKAN akan keluar PN. Silakan, 'the door is there' (pintu ada di sana). Bukan kita tolak dia keluar. Tapi, kalau dia nak keluar, pintu sentiasa ada. Boleh keluarlah, bukan tak boleh," katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, Tong Keong dilaporkan berkata parti itu tidak teragak-agak keluar daripada PN dan kekal teguh menyokong serta mempertahan usaha sekolah Cina mengumpul dana walaupun terdapat ancaman tidak munasabah daripada sekutunya.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, PAS mungkin tidak akan bekerjasama dengan GERAKAN pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), susulan kecewa dengan pendirian parti itu yang menyokong isu derma syarikat arak kepada sekolah.

Semalam, Presiden GERAKAN, Dominic Lau berkata, PN perlu berbincang untuk menyelaraskan perbezaan bagi menguatkan kerjasama mereka.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, PAS tidak akan mengikut telunjuk parti lain kerana setiap parti mempunyai pendirian masing-masing dalam sesuatu isu.

Beliau berkata, tindakan GERAKAN berhubung isu berkenaan didorong oleh kehendak untuk menyenangkan hati pengundi Cina.

"Bincang dalam mesyuaratlah secara dalaman. Kalau GERAKAN ada rasa tidak puas hati pada PAS, cakaplah. Kami (PAS) tak ada apa pun masalah. Kita hanya jawab apa dia kata. Dia yang ada masalah, dia punya pasal lah," katanya.

-Wak Labu Farm 

Ahad, 28 Julai 2024

PAS bukan 'taiko', Gerakan tak teragak-agak keluar PN -Timb Presiden Gerakan

 malaysiakini.com

Diterbitkan: Jul 28, 2024 
Gerakan tidak akan teragak-agak untuk keluar dari PN jika tindakan itu bermakna mempertahankan pendidikan Cina, kata timbalan presiden parti Oh Tong Keong.

Dia berkata Gerakan juga tidak akan kekal dalam gabungan itu jika terpaksa tunduk terhadap tuntutan konservatif dan tidak munasabah yang melampau daripada "parti tertentu."

Oh menjawab amaran Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari bahawa PN mungkin menggugurkan Gerakan pada pilihan raya umum akan datang.

Ini selepas PAS dan Gerakan mengambil pendirian bertentangan dalam isu syarikat minuman keras menyalurkan dana kepada sekolah vernakular.
“Gerakan mengesahkan sokongan padu terhadap usaha masyarakat Cina mengumpul dana untuk pendidikan Cina.

"Walaupun ugutan tidak munasabah daripada sekutu PN bahawa tidak akan ada lagi kerjasama dalam pilihan raya umum akan datang, kami bersedia untuk menghadapinya," kata Oh pada satu kenyataan hari ini.

Gerakan semalam menyokong pendirian DAP menyokong sekolah vernakular yang bekerjasama dengan kilang bir untuk menganjurkan acara mengumpul dana.

Gerakan berpendapat kutipan derma sebegini perlu dilakukan kerana sekolah Cina tidak diberikan dana yang mencukupi oleh kerajaan persekutuan untuk meneruskan operasi mereka.
Bagaimanapun, Fadhli berkata pandangan sedemikian mengecewakan dan menegaskan jika Gerakan mengekalkan pendapat sedemikian, PAS tidak akan bekerjasama dengan Gerakan pada pilihan raya umum ke-16.

Membalas amaran PAS itu, Oh menjelaskan Gerakan sebelum ini meninggalkan BN pada 2018 untuk menentang rakan pakatan yang korup.

Begitu juga, katanya, jika rakan pakatan dalam PN terus mempamerkan ekstremisme agama dan mencabul hak orang bukan Islam, Gerakan tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan gabungan politik sekali lagi.

“Walaupun PAS mempunyai kerusi parlimen dan DUN terbanyak dan merupakan parti terbesar dalam PN, PAS mesti menghormati parti-parti lain dalam gabungan itu.
Presiden Gerakan Dominic Lau bersama pimpinan tertinggi PN.
"Mereka tidak sepatutnya bertindak seperti taiko (abang besar) dan menuntut pematuhan daripada semua pihak lain. Mereka mesti belajar untuk meyakinkan orang lain melalui pertimbangan hujah," kata Oh.

Oh juga menegaskan Gerakan menjunjung prinsip perjuangan politik bukan perkauman dan mempertahankan hak semua kumpulan etnik seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, tidak ada salahnya kaum Cina dan India Malaysia mempertahankan dan mengekalkan pendidikan bahasa ibunda. Ia bukan sahaja tidak dihalang tetapi juga digalakkan dan disokong.

Sementara itu, Ahli Parlimen DAP Kampar Chong Zhemin pada kenyataan berasingan hari ini mencabar Presiden Gerakan Dominic Lau supaya berhenti menafikan tidak ada masalah berlaku dan mengelak ancaman yang dibuat oleh Fadhli.

Sebaliknya, dia menggesa Lau tegas mempertahankan sisa-sisa maruah terakhir Gerakan dengan meninggalkan PN dan memutuskan hubungan bersama PAS.

Gerakan rakan gabungan PN tanpa kerusi parlimen dan cuma memiliki satu kerusi DUN di Kedah yang dikuasai PAS, dimenanginya semasa pilihan raya negeri tahun lepas.

-Wak Labu Farm 

Rabu, 24 Julai 2024

Isu PN mahu guling kerajaan Pahang sengaja dicetus, kata pemimpin

Bersatu Pahang berkata tiada perbincangan dibuat antara pemimpin PN dengan anak bekas perdana menteri Najib Razak berhubung pembentukan kerajaan baharu.


 Pemimpin PN Pahang Mohd Yazid Mohd Yunus dan Andansura Rabu tidak mengetahui ada pertemuan wakil gabungan itu dengan Adun Peramu Nizar Najib.

PETALING JAYA
Isu pertemuan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan Adun Peramu Nizar Najib untuk menggulingkan kerajaan Pahang sengaja dicetuskan pihak tertentu bagi menjejaskan reputasi gabungan itu menjelang PRK Nenggiri bulan depan.

Timbalan ketua Bersatu Pahang yang juga Adun Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus, berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung khabar angin konon pertemuan itu diadakan.

Katanya, tiada perbincangan rasmi dibuat antara pemimpin PN Pahang dengan anak bekas perdana menteri Najib Razak berhubung pembentukan kerajaan baharu bagi menggantikan pentadbiran Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.

Saya tidak pasti pula (bagaimana cerita itu boleh timbul). Cerita sebegini tiba-tiba timbul mungkin PRK Nenggiri sudah dekat,

 katanya yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu kepada FMT.

Semalam, Nizar menafikan beliau berjumpa pemimpin pembangkang untuk menggulingkan pentadbiran Wan Rosdy.

Katanya, mustahil untuknya berkomplot mengkhianati Umno yang diperjuangkan keluarganya bersama ahli parti sejak ia ditubuhkan pada 1946.

Terdahulu tular satu hantaran di media sosial yang mengatakan kerajaan Pahang sedang goyah dan akan membentuk pentadbiran baharu.

Hantaran itu mengaitkan ‘anak Bossku’ yang dilaporkan mengadakan pertemuan dengan pemimpin PN.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu, juga memaklumkan isu tersebut tiada dalam pengetahuannya.

Saya tidak ada maklumat tentang ini (perbincangan gulingkan kerajaan Pahang), jadi saya tidak mahu mengulas lanjut,

 kata Adun Beserah.-FMT

Isnin, 22 Julai 2024

PAS dakwa ada bincang kerjasama dengan pemimpin utama Umno

 malaysiakini.com

Diterbitkan: Jul 22, 2024
PAS mendedahkan beberapa siri pertemuan bersama pemimpin utama Umno untuk membincangkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata pertemuan itu dibuat secara tidak formal namun tidak mendedahkan pemimpin Umno tersebut, lapor Utusan Malaysia.

Menurutnya, pemimpin utama Umno tersebut meluahkan 'rasa serba salah' bekerjasama dengan Kerajaan perpaduan yang didakwa merugikan Umno.

“Ia perbincangan itu ada dan ia bukan satu gerakan, tetapi lebih kepada harapan. Ia membabitkan pemimpin utama. Dan dalam pertemuan itu, mereka mengharapkan agar kerjasama bersama dengan PAS dapat bersatu kembali, cuma mereka tidak berani ingin melawan apa yang diputuskan Presiden Umno.

“Malah, mereka juga berharap Presiden Umno berubah sikap kerana perubahan, visi misi yang cuba dibawa oleh Presiden Umno itu tidak sampai ke peringkat bawah, ini luahan mereka termasuk kepada saya sendiri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata, tiada jaminan parti itu akan bekerjasama mana-mana gabungan politik bagi berdepan PRU16.
Ini kerana tegasnya, Umno hanya terikat dengan perjanjian untuk menguruskan negara bagi menubuhkan sebuah kerajaan yang mantap selepas PRU15.

Malah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Jalaluddin Alias turut mengakui kerjasama antara BN dan PH dalam Kerajaan Perpaduan hari ini baik di peringkat Persekutuan tetapi keadaan itu berbeza di peringkat negeri.

Kata Ahmad Fadhli lagi, daripada luahan tersebut, beliau yakin ramai pemimpin Umno mulai sedar akan kerjasama yang dibina bersama dengan PH tidak diterima orang Melayu, akhirnya parti itu dikhuatiri tewas dalam PRU-16 nanti.

“Sebab itu saya tidak kata mereka menyesal dengan kerjasama yang dibina bersama PH, tetapi lebih kepada serba salah. Rasa serba salah itu sebab Umno akan terpahat dalam sejarah sebagai orang yang mendukung PH untuk berada di puncak kuasa yang ada pada hari ini.

“Dalam keadaan ini, saya melihat UMNO sudah mula sedar apabila Timbalan Presidennya sendiri kata tiada jaminan Umno mahu kerjasama dengan siapa. Namun seperti saya katakan tadi, akhirnya yang tentukan kata putus adalah Presiden Umno,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga ahli parlimen Pasir Mas berkata, PAS tiada masalah dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, malah sedia menghulurkan tangan jika beliau ingin bekerjasama dengan parti Islam tersebut.

“ Kita bukan tidak suka orangnya, tetapi kita tidak suka sikapnya, itu sahaja. Kalau hari ini beliau (Ahmad Zahid) kata ingin bekerjasama dengan Pas, kalau sebut pukul 12..pukul 10 lagi kita sudah buka pintu. Kita bincang dan perkukuhkan kembali,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Umno dan PAS membentuk kerjasama menerusi Muafakat Nasional pada 14 September 2019 ketika kedua-dua parti itu menjadi pembangkang.

Bagaimanapun Muafakat Nasional tidak bertahan lama apabila Bersatu berpihak kepada Muafakat Nasional selepas keluar daripada gabungan PH pada 2020 dan membentuk kerajaan.

Pada 13 Oktober 2022, PAS menyatakan pendirian kekal bersama PN dalam menghadapi PRU15 selepas Ahmad Zahid memberi kata dua kepada parti itu untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.

-wak Labu Farm 

Rabu, 10 Julai 2024

PAS Kedah pertahan dasar tutup premis judi.

 

Sebahagian rakyat menyokong pengharaman judi. - Foto hiasan BH

ALOR SETAR: PAS Kedah mempertahan tindakan kerajaan negeri menutup sepenuhnya semua premis dan kedai perjudian mulai 1 Januari 2023 lalu.

Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Yahaya, berkata langkah penutupan itu dibuat mengikut bidang kuasa kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah.

Berikutan itu, jelasnya, PAS kesal dengan tindakan syarikat perjudian melakukan semakan kehakiman bagi menghalang penutupan kerana hanya memikirkan keuntungan dan mengetepikan kesan ketagihan judi.

"PAS Kedah mengambil maklum mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar yang membenarkan semakan kehakiman terhadap tindakan Kerajaan Negeri Kedah menghentikan premis dan kedai perjudian di Kedah bermula 1 Januari 2023 yang lalu.

"Alasan yang dikemuka syarikat judi itu bahawa tindakan menghapuskan aktiviti perjudian itu tidak mempertimbang kepelbagaian kaum di negeri ini sebenarnya jelas tersasar.

"Agama dan budaya mana yang membenarkan penganutnya berjudi? Sudah tentu tidak ada. Bahkan ia tidak membawa sebarang kebaikan melainkan semata-mata keuntungan yang dibolot oleh operator premis judi berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, dasar 'Kedah Bebas Judi' yang dilaksanakan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ialah tindakan yang tepat.

Katanya, PAS Kedah turut menyokong langkah kerajaan negeri untuk menggunakan jalan perundangan bagi mempertahan penutupan kedai judi.

"Perkara ini sememangnya berada di bawah kuasa Kerajaan Negeri Kedah melalui PBT. Garis pemisah perundangan kerajaan negeri dan Kementerian Kewangan dalam hal ini juga jelas.

"Perkara yang menjadi kebaikan kepada rakyat keseluruhannya wajar sentiasa menjadi keutamaan bagi sesebuah kerajaan negeri yang bertanggungjawab," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun lalu, membenarkan permohonan semakan kehakiman dibuat bagi menghalang tindakan kerajaan negeri mengharamkan aktiviti perjudian berlesen.

Berikutan itu, kerajaan negeri difahamkan memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Muhammad Sanusi pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 14 November 2021, mengumumkan Kedah tidak lagi memberi kelulusan lesen premis perjudian, selain mengehadkan jualan arak di seluruh negeri itu.

Semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya mulai 1 Januari 2023, apabila kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian selepas tarikh itu. (BH)

Isnin, 3 Jun 2024

PRK Sungai Bakap: BERSATU sedia beri laluan kepada PAS

 Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris

KUALA TERENGGANU: BERSATU bersedia memberi laluan kepada PAS untuk meletakkan calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan negeri (DUN) Sungai Bakap.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris, berkata Majlis Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan perbincangan mengenai calon selepas Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pilihan raya DUN itu.

Bagaimanapun, katanya, BERSATU dan PAS serta parti kompenan PN di Pulau Pinang sudah mengerakkan jentera sebagai persediaan menghadapi PRK DUN Sungai Bakap.

"Kita akan putuskan calon sama ada daripada BERSATU atau PAS untuk bertanding di kerusi itu pada perbincangan yang akan diadakan nanti.

"Majlis Pimpinan Tertinggi PN juga akan mendapatkan maklum balas daripada pucuk pimpinan parti itu di Pulau Pinang," katanya.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Nor Zamri Latiff meninggal dunia pada 24 Mei lalu.

SPR akan mengadakan mesyuarat pada Khamis ini bagi menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi pada PRK Sungai Bakap.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang pada Ogos lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, berkata parti berkenaan akan berlapang dada siapa pun calon yang akan diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi.

"Kita akan menyokong siapa pun calon sama ada daripada PAS atau BERSATU, paling utama adalah untuk mengekalkan kerusi DUN itu kepada PN," katanya.

-BH Online 

Selasa, 9 Januari 2024

SANGGAH RASUAH POLITIK DEMI PERTAHAN ISLAM DAN NEGARA

 SANGGAH RASUAH POLITIK DEMI PERTAHAN ISLAM DAN NEGARA

Firman Allah SWT;

“Dan janganlah sebahagian daripada kalian memakan (atau mengambil) harta (sebahagian orang lain) antara kalian dengan jalan yang batil (salah dan haram), dan janganlah pula kalian menghulurkan harta kalian (memberi rasuah) kepada pihak yang mengendalikan hukuman (pemerintah yang berkuasa dan para hakim), supaya kalian dapat memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kalian mengetahui (akan salahnya perbuatan itu).” 

(Surah Al-Baqarah: 188)

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) ingin menegaskan bahawa politik wang tidak pernah menjadi sebahagian daripada amalan politik PAS sejak keberadaan parti ini dalam pentas siasah negara. Malah PAS sentiasa bertegas dalam menyanggah serta membanteras apa juga bentuk rasuah politik demi mempertahan Islam dan negara tercinta.

Tidak wajar sama sekali ada pihak menyamakan PAS dengan parti mereka sendiri yang menggunakan harta dan kedudukan sebagai habuan utama dalam berpolitik.

Ironi sekali apabila ada pihak yang membuat dakwaan palsu bahawa PAS dan Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha membeli wakil rakyat ketika ini dengan kemewahan harta dan pangkat.

Bagaimana mungkin sebuah parti miskin boleh menggunakan duit sebagai sogokan untuk mendapatkan sokongan? 

Sebaliknya merekalah yang telah menjadikan amalan tersebut untuk mendapatkan sokongan wakil rakyat. Segelintir daripada wakil rakyat daripada pembangkang menerima tawaran mencecah jutaan ringgit sebagai balasan sokongan kepada mereka. 

Bukankah itu adalah amalan politik rasuah yang sudah berakar dalam kalangan parti dan kepimpinan mereka? 

DUPP ingin mengingatkan Kerajaan bahawa sepatutnya mereka melihat dan menilai kepada parti mereka sendiri dalam menanggapi perkembangan politik yang berlaku akhir-akhir ini.

Satu demi satu kegagalan yang ditampilkan dalam pentadbiran hari ini menyebabkan rakyat semakin menjauhi mereka. 

Usah menjadi mata lalat yang hanya tahu menyalahkan orang lain sedangkan rumah mereka sendiri hanya menanti masa untuk rebah gugur menyembah bumi.

Sekian.

Dato' Ahmad bin Yahaya,

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.


9 Januari 2024


#AdilPrihatinBerkebajikan

Ahad, 31 Disember 2023

DAP KONSISTEN CAMPUR URUSAN UMAT ISLAM

 DAP KONSISTEN CAMPUR URUSAN UMAT ISLAM 

DAP sekali lagi menunjukkan taring dalam kerajaan PH-BN apabila mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti urusan agama Islam. 

Hakikat ini dilihat daripada kenyataan Ngeh Koo Ham, Ex Officio Jawatankuasa DAP Pusat yang juga Ahli Parlimen Beruas. Beliau telah mencadangkan penglibatan orang bukan Islam menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam baru-baru ini.

Walaupun Koo Ham telah menyatakan maaf dan YB Anthony Loke, Setiausaha Agung DAP mengatakan kenyataan Ngeh Koo Ham ini adalah kenyataan peribadi, rakyat telah mengenali sikap DAP yang tidak pernah diam menyentuh dan mencampuri urusan umat Islam.

Walhal, tidak sepatutnya kenyataan sensitif seperti itu dikeluarkan oleh seorang Ahli Jawatankuasa DAP Pusat. Perlu diingat, Ngeh Koo Ham juga pernah bercakap dalam Parlimen tahun ini berkenaan perkahwinan antara orang Islam dengan bukan Islam di luar negara. Lebih celupar lagi, beliau juga pernah menggesa mana-mana pihak supaya menghormati dan tidak mempertikaikan hak orang Islam yang murtad pada tahun 2014 lalu.

Saya melahirkan kebimbangan dengan kenyataan- kenyataan seperti ini yang seolah- olah mendapat restu mereka yang berkehendakkan kelangsungan kuasa.

PAS mendukung penuh titah DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bahawa orang bukan Islam tidak mencampuri hal ehwal umat Islam. PMX perlu lebih tegas untuk menegur DAP supaya menghentikan terus tindakan mereka dalam hal ini.

Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan sepatutnya bagi memadamkan persepsi rakyat bahawa isu 3R ini hanya terpakai kepada Perikatan Nasional sahaja. Namun, sekiranya melibatkan PH-BN-DAP disenyapkan.

PAS terus menyeru agar umat Islam dan Melayu bersatu teguh mempertahankan hak dan memelihara negara demi kesejahteraan Malaysia.

DATO' SRI TUAN IBRAHIM TUAN MAN

Timbalan Presiden PAS

31 Disember 2023