FIQAH PUASA
Bahagian 9
PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA
4. JIMAK
Suami isteri yang sengaja melakukan persetubuhan ketika sedang berpuasa samada puasa fardu atau puasa sunat maka batal puasa keduanya.
Ada pun pada waktu malam maka tiada larangan sama sekali sama seperti dibenarkan makan dan minum.
أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَى نِسَآئِكُمْ
Artinya : “Telah dihalalkan bagi kamu semua pada malam hari berpuasa melakukan jimak dengan isteri-isteri kamu.” (Al-Baqarah : 187)
Sekalipun sudah halal sebab hubungan suami isteri namun Allah mengharamkan jimak ketika siang waktu sedang berpuasa sebagai suatu perintah daripada-Nya dan menjadi ujian ke atas hamba-Nya.
Siapa yang melakukannya adalah berdosa kerana melanggar larangan Allah dan membatalkan ibadah puasanya yang telah dikerjakan.
Jimak yang membatalkan puasa ialah jimak yang sengaja.
Olih itu jika jimak dengan sebab terlupa atau tersalah maka tidaklah membatalkan puasa dan tidak berdosa.
Berkata Syeikh Al-Ghamrawi :
فَلَا كَفَّارَة على نَاس إِذْ لَا إِفْسَاد فِيهِ
Artinya ; “Maka tiada kafarah atas yang lupa kerana lupa itu tdak merosakkan pada puasa.” (Kitab As-Siraj Al-Wahhaj)
KAFARAH JIMAK
Bagi kesalahan melakukan jimak di siang hari puasa Ramadhan maka diwajibkan ke atas suami membayar kafarah dan wajib atas isterinya itu qadha.
Berkata Imam Nawawi :
مَنْ أَفْسَدَ صَوْمَ يَوْمٍ مِنْ رَمَضَانَ بِجِمَاعٍ تَامٍّ أَثِمَ بِهِ بِسَبَبِ الصَّوْمِ لَزِمَتْهُ الْكَفَّارَةُ وَبِهَذَا قَالَ مَالِكٌ وَأَبُو حَنِيفَةَ وَأَحْمَدُ وَدَاوُد
Artinya : “Barangsiapa yang merosakkan akan puasa pada suatu hari daripada Ramadhan dengan jimak yang sempurna nescaya dia berdosa dengan sebab puasanya itu dan wajib atasnya membayar kafarah. Dengan inilah berkata olih Imam Malik dan Abu Hanifah dan Ahmad dan Daud.” (Kitab Al-Majmu’)
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. katanya :
بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلَكْتُ قَالَ مَا لَكَ قَالَ وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي وَأَنَا صَائِمٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَلْ تَجِدُ رَقَبَةً تُعْتِقُهَا قَالَ لَا قَالَ فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ قَالَ لَا فَقَالَ فَهَلْ تَجِدُ إِطْعَامَ سِتِّينَ مِسْكِينًا قَالَ لَا قَالَ فَمَكَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَيْنَا نَحْنُ عَلَى ذَلِكَ أُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَقٍ فِيهَا تَمْرٌ وَالْعَرَقُ الْمِكْتَلُ قَالَ أَيْنَ السَّائِلُ فَقَالَ أَنَا قَالَ خُذْهَا فَتَصَدَّقْ بِهِ فَقَالَ الرَّجُلُ أَعَلَى أَفْقَرَ مِنِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ فَوَاللَّهِ مَا بَيْنَ لَابَتَيْهَا يُرِيدُ الْحَرَّتَيْنِ أَهْلُ بَيْتٍ أَفْقَرُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي فَضَحِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى بَدَتْ أَنْيَابُهُ ثُمَّ قَالَ أَطْعِمْهُ أَهْلَكَ
Artinya : “Sedang kami duduk-duduk di sisi Nabi saw tiba-tiba datang seorang lelaki lalu berkata : Wahai Rasulullah! Binasa aku.
Sabda Rasulullah : Apa berlaku atasmu?
Kata lelaki itu : Aku telah menjimak isteriku sedangkan aku berpuasa.
Sabda Rasulullah : Adakah kamu mempunyai hamba untuk dimerdekakan?
Kata lelaki itu : Tidak ada.
Sabda Rasulullah : Adakah kamu mampu berpuasa dua bulan berturut-turut?
Kata lelaki itu : Tidak mampu.
Sabda Rasulullah : Adakah mampu kau beri makan enam puluh orang miskin?
Kata lelaki itu : Tidak.
Lalu Rasulullah saw duduk disitu dan kami juga duduk kemudian dibawa datang kepada Rasululllah satu bekas dari kurma. Lalu Rasulullah bersabda : Mana lelaki yang bertanya tadi?
Kata lelaki itu : Saya Ya Rasulullah.
Sabda Rasulullah : Ambil kurma ini dan sedekahkan kepada orang faqir.
Kata lelaki itu : Demi Allah tidak ada keluarga yg lebih faqir dari keluarga aku.
Rasulullah ketawa mendengar itu sehingga nampak gigi-gigi geraham baginda. Kalau begitu engkau berilah makan kaum keluargamu.” (Hadith riwayat Bukhari)
Dalam hadith yang lain yang juga diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. ada menyebut peristiwa ini berlaku ketika puasa Ramadhan.
قَالَ : إِنِّى وَقَعْتُ عَلَى أَهْلِى الْيَوْمَ وَذَلِكَ فِى رَمَضَانَ
Artinya : “Kata lelaki itu : Aku telah menjimak isteriku pada siang hari dan yang demikian itu pada bulan Ramadhan.” (Hadith riwayat Al-Baihaqi)
Berkata Dr Mustafa Al-Khin :
موجب الكفارة هو إفساد صوم يوم من أيام رمضان بجماع بشرط أن يكون المجامع ذاكراً لصومه، عالماً بالحرمة، غير مترخص بالسفر
Artinya : “Yang mewajibkan kafarah itu ialah merosakkan puasa pada satu hari dari hari-hari Ramadhan dengan jimak dengan syarat bahawa adalah orang yang melakukan jimak itu sedar dia sedang berpuasa dan tahu tentang haramnya selain dari orang yang diberi keringanan dengan sebab musafir.” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)
TERTIB KAFARAH
Bermula kafarah kesalahan jimak ketika sedang puasa Ramadhan ialah tiga perkara :
1. Memerdekakan hamba sahaya yang beriman.
2. Berpuasa sebanyak dua bulan berturut-turut.
Olih kerana itu jika dia tidak berpuasa berturut hari selama dua bulan sebab terlupa niat misalnya maka wajiblah atasnya berpuasa dari awal semula dua bulan berturut-turut.
Berkata Syeikh Abu Bakar Ad-Dimyathi :
فإن أفسد يوما ولو اليوم الأخير ولو بعذر كنسيان نية وسفر ومرض استأنف الشهرين
Artinya : “Maka jika dia rosakkan puasanya satu hari sekalipun pada hari yang terakhir dan walau pun dengan uzur seperti terlupa berniat atau kerana musafir atau sakit nescaya hendaklah dia memulakan kembali dari awal akan dua bulan.” (Kitab I’anah At-Talibin)
3. Memberi makan kepada enam puluh orang miskin yaitu setiap seorang miskin diberinya secupak makanan mengenyangkan dalam negeri yang dia tinggal itu.
Jika hanya ada tiga puluh orang miskin maka diberinya setiap seorang miskin akan dua cupak makanan.
JIKA TIDAK MAMPU BAYAR KAFARAH
Kafarah hendaklah dibayar dengan tertib yakni jika tidak mampu yang pertama barulah harus ia membayar dengan yang kedua kemudian yang ketiga.
Jika masih belum mampu maka jadilah ia sebagai hutang dibawah tanggungannya yang apabila dia mampu pada masa hadapan maka wajib atasnya membayarnya.
Berkata Syeikh Zakaria Al-Ansori :
(وَإِذَا عَجَزَ) عَنْ جَمِيعِ خِصَالِ الْكَفَّارَةِ ثَبَتَتْ فِي ذِمَّتِهِ
Artinya : “Dan apabila lemah seorang itu dari membayar sekelian jenis kafarah itu nescaya tetaplah kafarah itu dibawah tanggungannya.” (Kitab Asnal Matalib)
Tersebut pada Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji :
الكفارة التي تجب بإفساد الصوم هي عتق رقبة مؤمنة، أي نفس رقيقة ذكراً كانت أم أنثى، فإن لم يجد، أو لم يستطيع، فصيام شهرين متتابعين، فإن لم يستطع أيضا فإطعام ستين مسكيناً لكل مسكين مد من غالب قوت البلد. فإن عجز عن الكل ثبتت الكفارة في ذمته حتى يقدر على خصلة منها
Artinya : “Bermula kafarah yang wajib atas orang yang merosakkan puasa Ramadhan itu ialah memerdekakan seorang hamba yang beriman samada lelaki atau perempuan. Kemudian jika dia tidak dapat akan hamba atau dia tidak mampu maka wajib dia berpuasa selama dua bulan berturut-turut. Kemudian jika dia tidak mampu berpuasa maka wajib dia memberi makanan kepada enam puluh orang miskin bagi setiap orang miskin itu secupak makanan yang mengenyangkan di negeri itu. Maka jika dia lemah dari kesemuanya tetaplah kafarah itu di bawah tanggungannya sehingga masa dia berkuasa atau menjelaskan satu daripadanya.”
Bermula makanan yang mengenyangkan di negeri kita ini ialah beras.
SYARAT DIWAJIBKAN KAFARAH
Menurut ulamak-ulamak mazhab Syafie diwajibkan membayar kafarah ialah dengan syarat-syarat berikut :
1. Dia berpuasa pada hari tersebut dan puasanya sah.
Maka jika dia tidak berpuasa pada hari itu seperti terlupa niat pada malamnya lalu melakukan jimak maka tidak kena kafarah sekalipun dia berdosa dengan jimaknya itu kerana orang yang terlupa niat itu tidak sah puasanya dan wajib dia imsak dari melakukan perkara yang membatalkan puasa.
Berkata Imam As-Syairazi :
إذَا نَسِيَ النِّيَّةَ وَجَامَعَ فِي ذَلِكَ الْيَوْمِ فَلَا كَفَّارَةَ فِي ذَلِكَ الْيَوْمِ بِلَا خِلَافٍ لِأَنَّهُ لَمْ يُفْسِدْ بِهِ صَوْمًا
Artinya : “Apabila seorang itu terlupa berniat kemudian ia jimak pada hari tersebut nescaya tidak ada kafarah pada demikian hari tanpa khilaf kerana sungguhnya ia tidak dikira merosakkan puasa dengan jimak.” (Kitab Al-Muhazzab)
2. Dengan sengaja bukan terlupa atau tersalah kerana dikiaskan dengan hadith terlupa makan dan minum tidak membatalkan puasa.
Berkata Imam Nawawi :
فلا كفارة على ناس ولا مفسد غير رمضان أو بغير الجماع
Artinya : “Maka tiada kafarah atas orang yang lupa dan tiada kafarah atas orang yang merosakkan puasanya dengan jimak pada selain Ramadhan atau merosakkan puasanya (pada Ramadhan) dengan selain jimak.” (Kitab Minhaj At-Talibin)
Berkata Dr Mustafa Al-Bugha :
فمن فعل ذلك ناسياً للصوم، أو جاهلاً بالحرمة، أو أفسد به صوماً غير صوم رمضان، أو أفطر معتمداً ولكن بغير الجماع، أو كان مسافراً سفراً يخوله الإفطار فجامع، فلا كفارة عليه، وإنما عليه القضاء فقط
Artinya : “Maka barangsiapa melakukan yang demikian itu (jimak) dalam keadaan dia lupa sedang berpuasa atau dia jahil tentang keharamannya atau dia merosakkan selain puasa Ramadhan atau sengaja berbuka dengan perkara selain jimak atau adalah dia sedang musafir dengan musafir yang membolihkan berbuka kemudian jimak ia maka tidak ada kafarah atasnya hanya diwajibkan atasnya qadha sahaja.” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)
3. Tahu tentang diharamkan jimak pada ketika puasa Ramadhan.
Jika tidak tahu ianya haram kerana baru memeluk Islam maka dimaafkan tiada kena kafarah.
Tetapi jika seorang itu tahu diharamkan jimak ketika puasa Ramadhan tetapi dia tidak tahu wajib bayar kafarah nescaya wajib atasnya bayar kafarah.
Berkata Imam Nawawi :
وَلَوْ قَالَ عَلِمْتُ تَحْرِيمَهُ وَجَهِلْتُ وُجُوبَ الْكَفَّارَةِ لَزِمَتْهُ الْكَفَّارَةُ بِلَا خِلَافٍ ذَكَرَهُ الدَّارِمِيُّ وَغَيْرُهُ وَهُوَ وَاضِحٌ
Artinya : “Dan kalau seorang itu berkata : Aku tahu tentang haramnya jimak itu tetapi aku tidak tahu tentang wajibnya kafarah nescaya wajib atasnya kafarah tanpa khilaf. Telah menyebutnya olih Imam Ad-Darimi dan lainnya dan yaitulah yang terang.” (Kitab Al-Majmu’)
4. Pada puasa Ramadhan sahaja.
Maka tidak ada kafarah pada puasa wajib yang lain seperti puasa qadha atau nazar. Ini adalah kerana kewajipan kafarah itu ialah sebab menghurmati bulan Ramadhan.
Berkata Imam Nawawi :
لَوْ جَامَعَ فِي صَوْمِ غَيْرِ رَمَضَانَ مِنْ قَضَاءٍ أَوْ نَذْرٍ أَوْ غَيْرِهِمَا فَلَا كَفَّارَةَ كَمَا سَبَقَ وَبِهِ قَالَ الْجُمْهُورُ
Artinya : “Kalau seorang itu jimak di dalam puasa yang selain puasa Ramadhan samada puasa qadha atau puasa nazar atau lain dari keduanya maka tidak ada kafarah sebagaimana telah lalu dengannya dan dengannyalah berkata olih jumhur ulamak.” (Kitab Al-Majmu’)
5. Dia adalah orang yang wajib berpuasa.
Maka tidak ada kafarah ke atas orang yang tidak wajib berpuasa seperti orang sakit atau musafir atau orang yang sangat tua tiada mampu berpuasa.
6. Dia membatalkan puasanya dengan jimak tersebut.
Adapun jika puasanya telah batal dengan sebab yang lain maka tidak dikenakan kafarah sekalipun berdosa ia dengan perbuatan jimaknya itu.
7. Benar-benar terjadi jimak yaitu tenggelam sekurangnya kepala zakar dalam faraj isterinya sekalipun sesaat sahaja dan sekalipun tidak keluar mani.
Ada pun selain dari jimak seperti mengeluarkan mani atau berpeluk atau bercium tidak dikenakan kafarah sekalipun membatalkan puasa.
Tersebut pada Kitab Fathul Muin :
ويجب على من أفسده أي صوم رمضان بجماع أثم به لأجل الصوم لا باستمناء وأكل
Artinya : “Dan wajib (kafarah) atas yang merosakkan puasa Ramadhan dengan jimak yang berdosa ia dengan sebabnya itu kerana puasa itu dan tidak wajib kafarah dengan sebab mengeluarkan mani dan tidak wajib dengan sebab makan.”
Akan tetapi sengaja mengeluarkan mani itu membatalkan puasa lagi haram hukumnya.
Berkata Syeikh Abu Bakar Ad-Dimyathi :
ويفطر باستمناء، وهو استخراج المني بغير جماع حراما كان كإخراجه بيده، أو مباحا كإخراجه بيد حليلته
Artinya : “Dan membatalkan puasa dengan sebab istimna’ yaitu mengeluarkan mani tanpa jimak samada dengan cara haram seperti mengeluarkannya dengan tangannya atau harus seperti mengeluarkannya dengan tangan isterinya.” (Kitab I’anah At-Talibin)
8. Berlaku kemasukkan zakar pada kemaluan sahaja yaitu faraj atau dubur sekalipun tidak keluar mani.
Tidak wajib kafarah jika berlaku kemasukan pada selain dari keduanya. Dan begitu juga tidak wajib kafarah dan tidak membatalkan puasa dengan hanya bersentuh zakar dan faraj. Dan tidak wajib kafarah dengan memasukkan selain zakar seperti jari atau siku atau seumpamanya.
Akan tetapi memeluk isteri atau menciumnya kemudian keluar mani maka batal puasanya sekalipun tidak dikenakan kafarah.
Berkata Imam Nawawi :
الْمَنِيُّ إِذَا خَرَجَ بِالِاسْتِمْنَاءِ، أَفْطَرَ، وَإِنْ خَرَجَ بِمُجَرَّدِ فِكْرٍ وَنَظَرٍ بِشَهْوَةٍ، لَمْ يُفْطِرْ، وَإِنْ خَرَجَ بِمُبَاشَرَةٍ فِيمَا دُونَ الْفَرْجِ، أَوْ لَمْسٍ أَوْ قُبْلَةٍ، أَفْطَرَ. هَذَا هُوَ الْمَذْهَبُ، وَبِهِ قَالَ الْجُمْهُورُ
Artinya : “Apabila keluar mani dengan sengaja mengeluarkannya maka batal puasa. Dan jika keluar mani sebab semata-mata berfikir dan melihat dengan syahwat maka tidak batal puasaya. Dan jika keluar mani dengan bersentuhan pada anggota selain faraj atau menjamah atau mencium maka membatalkan puasa. Inilah pendapat mazhab dan denganya berkata olih jumhur ulamak.” (Kitab Raudhah At-Talibin)
HUKUM JIMAK KETIKA PUASA QADHA RAMADHAN
Jumhur ulamak tidak mewajibkan kafarah ke atas orang yang merosakkan puasa qadha Ramadhan dengan jimak kerana berlainan dengan puasa tunai Ramadhan yaitu dikerjakan dalam bulan yang dimuliakan maka qadha Ramadhan tidak dilakukan dalam bulan tersebut.
Berkata Syeikh Ahmad Syarif An-Nu’san :
اتَّفَقَ جُمهورُ الفُقَهاءِ على أنَّهُ لَيسَ في الفِطْرِ عَمْداً في قَضاءِ رَمَضانَ كَفَّارَةٌ، لأنَّ زَمَنَ القَضاءِ لَيسَ لهُ حُرمَةٌ كَحُرمَةِ شَهرِ رَمَضانَ.
Artinya : “Telah sepakat olih jumhur fuqahak atas sungguhnya tidak dikenakan kafarah bagi orang yang sengaja membatalkan puasa qadha Ramadhan. Ini adalah kerana zaman qadha adalah tidak sama kehormatannya seperti kehormatan bulan Ramadhan.”
BEBERAPA PERSOALAN
- Kafarah hanya diwajibkan membayarnya ke atas suami sahaja tidak wajib ke atas isteri sekalipun isteri yang mengajak suaminya melakukan jimak dan atas isteri tersebut hanya wajib qadha sehari puasanya yang batal itu.
Berkata Imam Nawawi :
قَدْ ذَكَرْنَا أَنَّ الصَّحِيحَ مِنْ مَذْهَبِنَا أَنَّهُ لَا يَجِبُ عَلَى الْمَرْأَةِ كَفَّارَةٌ أُخْرَى وَبِهِ قَالَ أَحْمَدُ
Artinya : “Dan sungguhnya telah kami sebut bahawa pendapat yang sahih dari mazhab kami bahawasanya tidak ada kafarah atas isteri dan dengannyalah telah berkata olih Imam Ahmad.” (Kitab Syarah Al-Muhazzab)
Berkata Imam Al-‘Imrani As-Syafie :
تجب الكفارة على الرجل وحده، وهو الصحيح؛ لأن النبي - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - أمر الذي جامع في نهار شهر رمضان بالعتق
Artinya : “Kafarah hanya wajib atas suami seorang sahaja dan ialah pendapat yang sahih dari kerana sungguhnya Nabi saw menyuruh dengan lelaki yang menjimak pada siang Ramadhan itu memerdekakan hamba.” (Kitab Al-Bayan)
- Jika suami menjimak isterinya dua atau tiga kali atau lebih tetapi pada hari yang sama maka dia hanya dikenakan satu kafarah sahaja sekalipun dosanya berulang dengan berulang jimak.
- Jika suami menjimak isterinya pada setiap hari maka wajib atas suami membayar kafarah sebanyak satu kafarah untuk satu hari.
Yakni jika suami merosakkan puasa Ramadhan dengan jimak sebanyak dua kali pada hari yang berlainan maka wajib atas suami itu membayar dua kali kafarah.
Berkata Dr Mustafa Al-Khin :
وكذلك يجب أن يعلم أن الكفارة، تتعدد، وتتكرر بتكرر الأيام التي أفطرها في رمضان بالجماع.
فإذا جامع في يومين من رمضان لزمه - مع القضاء - كفارتان، وإذا جامع في ثلاثة أيام، لزمه، مع القضاء، ثلاث كفارات، وهكذا
Artinya : “Dan begitu juga wajiblah diketahui bahawa kafarah itu berbilang ia dan berulang ia dengan berulangnya hari-hari yang dia rosakkan puasa Ramadhan dengan sebab jimak. Maka apabila seorang itu jimak ia pada dua hari daripada Ramadhan nescaya wajib atasnya dua kali kafarah serta qadha. Dan jika dia jimak pada tiga hari nescaya wajib atasnya tiga kali kafarah serta qadha dan begitulah seterusnya.” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)
- Orang sedang melakukan jimak dekat waktu subuh kemudian masuk waktu subuh lalu dia berhenti maka sah puasanya dan tidak dikenakan kafarah.
- Jika sedar waktu subuh sudah masuk tetapi masih diteruskan jimak walau pun sesaat maka batal puasanya dan wajib membayar kafarah atas suami dan qadha atas isteri.
- Orang yang salah sangka bahawa waktu subuh belum masuk maka tidak batal puasanya dan tidak dikenakan kafarah kerana dia tidak berdosa dengan tersalahnya itu.
Berkata Imam Taqiyuddin Ad-Dimasyqi :
وَكَذَا لَا كَفَّارَة على من ظن بَقَاء اللَّيْل فَبَان نَهَارا لانْتِفَاء الاثم
Artinya :“ Dan seperti itu juga tiada kafarah atas seorang yang zhan (kuat sangkaan) masih malam maka ternyata sudah siang kerana ternafi dosa.” (Kitab Kifayatul Akhyar)
- Jika suami terlupa bahawa dia sedang berpuasa lalu melakukan jimak namun isterinya sedar sedang berpuasa tetapi isterinya mendiamkan sahaja sehingga selesai jimak maka isteri sahaja yang berdosa dan batal puasanya manakala suami tidak berdosa dan tidak batal puasanya dan tidak kena kafarah.
- Jika suami pula yang sedar sedang berpuasa manakala isterinya tidak sedar maka batal puasa suami tidak batal puasa isteri dan wajib atas suami kafarah.
HELAH BATALKAN PUASA UNTUK JIMAK
Hukum berbuat helah dengan membatalkan puasa terlebih dulu dengan makan dan minum sebelum jimak supaya tidak kena atasnya kafarah adalah haram dan dosa besar sekalipun terlepas ia dari kafarah.
Dia berdosa sebab membatalkan puasa tanpa uzur dan berdosa kerana melakukan jimak setelah melakukan helah dan berdosa kerana berbuat helah itu sendiri.
wallahua'lam
0 ulasan:
Catat Ulasan