"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label Strategi Bisnes. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Strategi Bisnes. Papar semua catatan

Ahad, 2 November 2025

Fleximart:Apa Sebenarnya Idea Di Sebalik Kedai Serbaneka YB Rafizi Ramli Ni ?

 Apa Sebenarnya Idea Di Sebalik Kedai Serbaneka YB Rafizi Ramli Ni ?

Takde angin, takde ribut tiba-tiba YB Rafizi Ramli bekas Menteri Ekonomi umumkan pembukaan kedai serbaneka Fleximart.

Ramai tanya ni nak tiru Kedai 1Malaysia ke ?

Kebetulan hari ni saya ada sedikit masa saya sendiri turun ke Fleximart sempena pembukaan rasmi kedai ini.

Saya sendiri turun tengok apa sebenarnya konsep yang cuba dibawa oleh YB Rafizi ni.

Kat bawa ni saya senaraikan beberapa dapatan saya. 

1. Konsep Kedai

Secara keseluruhan Fleximart ni gabungan antara 99 Speedmart dan Family Mart.

Bahagian depannya ada island counter tempat pelanggan boleh pesan minuman panas, makanan ringan dan aiskrim.

Kalau Kedai 1Malaysia dulu lebih fokus kepada barangan asas Fleximart pula cuba bawa gaya modern convenience store tapi masih kekal dalam kategori mesra rakyat.

2. Variasi Barangan Runcit

Buat masa ni saya tengok pilihan barang asas masih terhad. Yang ada kebanyakannya produk biasa seperti beras, mi segera, sardin, dan barang keperluan diri asas.

Nampak macam kedai ni masih fasa percubaan mungkin nak tengok dulu barangan apa yang paling laku sebelum diperluas.

3. Keunikan

Yang saya rasa menarik Fleximart bawa vending machine makanan panas ke dalam kedai. Konsep ni jarang kita nampak di Malaysia beli terus makanan keluar panas harga bawah RM5.

Kalau idea ni berjaya dikembangkan ke kawasan universiti atau flat kos rendah boleh jadi satu solusi baru untuk makan bajet tapi pantas.

Menu Vending Machine Flexi Mart

A- Nasi & Roti

Nasi Lemak – RM5.00

Roti Sosej – RM3.00

B – Spaghetti & Sandwich

Spaghetti Carbonara – RM5.00

Spaghetti Bolognese – RM5.00

Chicken Sandwich – RM3.00

C – Ayam Goreng

Ayam Goreng Crispy – RM4.00

Ayam Goreng Korea – RM5.00

D – Chicken Wrap

Chicken Wrap – RM4.00

E – Nasi & Tuna

Tuna Sandwich – RM3.00

Nasi Goreng Biasa – RM5.00

Nasi Goreng Seafood – RM5.00

4. Harga Barangan Runcit

Bila saya semak dan banding sendiri dengan 99 Speedmart ini hasilnya:

Harga di 99 Speedmart

▶️ Jalen kecil – RM4.15

▶️ Habhal 345ml – RM6.20

▶️ Milo Stick – RM13.99

▶️ Ayam Brand Sardin – RM6.85

▶️ Maggi Cup – RM2.40

▶️ Maggi Pedas Gila – RM9.20

Harga di Flexi Mart

▶️ Jalen kecil – RM5.93

▶️ Habhal 345ml – RM7.63

▶️ Milo Stick – RM16.68

▶️ Ayam Brand 230g – RM8.41

▶️ Maggi Cup – RM2.64

▶️ Maggi Pedas Gila – RM10.90

Perbezaan harga antara Fleximart dan 99 Speedmart lebih kurang 20–30% lebih tinggi mungkin sebab Fleximart masih baru dan belum dapat harga borong besar-besaran macam 99 speed mart.

5. Menu Minuman dan Makanan Panas

Selain barangan runcit Fleximart ada menu kafe mini yang agak menarik. Harga pun nampak masih dalam kategori mampu milik .

Coffee Menu

▶️ Americano Hot 8oz – RM2.50

▶️ Americano Cold 12oz – RM2.90

▶️ Café Latte Hot 8oz – RM4.50

▶️ Café Latte Cold 12oz – RM4.90

▶️ Vanilla Latte Hot 8oz – RM5.00

▶️ Vanilla Latte Cold 12oz – RM5.50

▶️ Caramel Latte Hot 8oz – RM5.50

▶️ Caramel Latte Cold 12oz – RM5.80

Non-Coffee

▶️ Chocolate Hot 8oz – RM2.50

▶️ Chocolate Hot 12oz – RM4.50

▶️ Chocolate Cold 12oz – RM4.90

▶️ Apple Tea Cold Drink – RM1.79

▶️ Lemon Lime – RM1.79

Dessert

▶️ Ice Cream Soft Serve (Chocolate/Vanilla) – RM1.79

Warm Food

▶️ Mee Kari – RM5.90

▶️ Chicken Katsu – RM5.90

▶️ Chicken Karage – RM4.90

▶️ Chicken Popcorn – RM4.90

▶️ Meatball – RM4.90

▶️ Jumbo Cheese – RM3.00

▶️ Inari (3 pcs) – RM3.50

Hand Roll (Cut)

▶️ Deep Fried Chicken / Salmon / Butter Cheese / Rankfurter / Prawn / Crab Stick / Mayo / Teriyaki / Sweet / Tuna – RM3.00 setiap satu

Harga minuman dia saya rasa agak kompetitif kalau nak banding dengan Family Mart memang jauh lebih murah.

Kalau Family Mart ada Oden sebagai menu signature mereka, Fleximart pula tampil dengan Mee Kari sebagai pilihan utama makanan panas. 

Saya yakin lepas ni Fleximart akan mula pelbagaikan lagi jenis makanan supaya setanding dengan Family Mart.

Cuma kalau nak dibandingkan dengan 99 Speedmart, kategori dia memang lain sebab Fleximart lebih kepada konsep “grab-and-go café” berbanding kedai runcit tradisional.

Secara keseluruhan saya nampak usaha YB Rafizi Ramli ni ke arah eksperimen sosial ekonomi baru gabungkan model kedai runcit rakyat dengan pengalaman beli-belah moden.

Walaupun dari segi harga barangan asas masih belum mampu lawan 99 Speedmart tapi dari sudut konsep dan pengalaman pelanggan Fleximart ada potensi jangka panjang.

Kalau mereka berjaya kukuhkan sistem supply chain dan tambah variasi produk tempatan saya rasa Fleximart boleh jadi “kedai rakyat 2.0” versi lebih moden dan praktikal.

Source 

Sabtu, 13 Julai 2024

GEORGE ANG...Dari Budak Rider Pizza Hut Ke 'Raja Franchise'

 GEORGE ANG...Dari Budak Rider Pizza Hut Ke 'Raja Franchise'

Di Malaysia, dialah CEO A&W, CEO Subway, CEO kopi Jamaican Blue etc.

Di bawah syarikat Inter Mark miliknya, banyak jenama makanan terkenal dunia yang dijual di Malaysia telah dibelinya.

Itulah dia George Ang bekas pelajar Sekolah Menengah Gajah Berang, Melaka.

Menariknya, sewaktu remaja, Ang pernah bekerja sebagai penghantar atau rider dengan Pizza Hut. Masa tu dia baru dapat lesen motorsikal.

Gajinya ketika itu RM2 satu jam, lepaslah untuk dia hidup sebagai student di Sunway College.

"Masa ribut atau hujan lebat, ramai rider taknak buat penghantaran atau berhenti berteduh bawah jambatan, tetapi saya nampak ini adalah peluang.

"Masa nilah saya ambil kesempatan untuk redah hujan hantar pesanan, bila mereka tengok saya basah kuyup, pelanggan selalunya jatuh kesian dan bagi tips lebih kat saya,' kata George. 

Bila dapat sambung belajar di Australia, dia lagi pening kerana yuran dan kos pengajiannya tinggi menggila.

Namun dia berpegang pada kata-kata Cikgu Manaf (guru Matematik kesayangannya) - "Hidup ini lebih menarik dari Matematik!"

George nekad bekerja kuat termasuk membasuh pinggan di restoran-restoran bagi mencari duit sampingan serta pada masa yang sama menghabiskan pengajiannya itu.

Bila tamat dan pulang ke tanah air, dia bekerja dengan sebuah syarikat kewangan. Namun dia tetap menanam cita-cita nak jadi ahli perniagaan kerana bosan bekerja di bawah orang, dia nak jadi taukeh!

Pada tahun 1998, ketika masih bekerja 'makan gaji' dengan syarikat itu, George dan seorang lagi rakannya membuka sebuah restoran ‘fish n chip’ The Fish Shop (franchise dari New Zeland) dengan modal pusingan sebanyak RM60,000. 

George menceritakan bukan mudah untuk dia menyakinkan pihak bank ketika itu agar memberi pinjaman wang kepada mereka kerana masih muda dan tidak berpengalaman.

Sampai satu tahap dia terpaksa memakai kacamata dan menyikat rambutnya dengan cara tersendiri supaya kelihatan 'lebih matang' dari usianya sewaktu berhadapan dengan pihak bank. 

Perniagaan mereka berjalan baik sehinggalah dua tahun kemudian syarikat franchaisor mereka di New Zealand menghadapi masalah.

”Kami kemudian ambil keputusan buka sebuah restoran yang mengambil konsep yang sama seperti The Fish Shop tetapi dengan branding kami sendiri. Kami pilih nama Manhattan Fish Market untuk menarik perhatian orang. 

"Ini kerana orang ingat ia sebuah restoran dari Amerika Syarikat dan mereka nak cuba rasa.  Akhirnya bila sedap dan puas hati, mereka terus datang lagi.

"Ternyata strategi kami berjaya walaupun restoran ini tak pernah wujud di Amerika pun,” katanya.

Tak cukup dengan itu, beberapa tahun kemudian, George berjaya pula memiliki pula francais untuk buka restoran steak terkenal Tony Roma’s, Popeye’s, Subway dan beberapa jenama besar lagi kat Malaysia. 

Sampai ada yang gelar George sebagai 'Franchaise Kingpin!'

Dan terbaru, George telah mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan yang beliau telah mengambil alih perniagaan makanan segera terkenal A&W Malaysia daripada KUB Malaysia Bhd dengan harga lebih RM34 juta.

"Masa saya beli A&W dari KUB dulu, keadaannya agak teruk tetapi saya nekad untuk mengembalikan kegemilangannya.

"Antaranya saya kembalikan semula trademark gelas atau mug  kaca yang sinonim dengan air root beer, sebelum ini mereka guna cawan plastik.

''Kami juga ganti nama hidangan 'corney dog' kepada 'corney beef' untuk mematuhi garis panduan JAKIM.

"Kami juga dah mula tawarkan air milo dan ribena, jadi ibu bapa ada lebih pilihan kalau nak bagi anak-anak mereka minum selain root bir,' katanya.

Terbaru syarikat Pan Malaysia dikatakan membeli 49 peratus saham dalam A&W Malaysia dari George dengan nilai hampir RM70 juta!

Banyak yang kita boleh belajar daripada kesungguhan budak rider pizza ini sebenarnya.

Bagi George setiap kesukaran pasti ada hikmah tersendiri seperti mana masa dia basah kuyup waktu hantar pizza masa hujan ketika zaman remajanya. 

Kata George: "I saw the opportunity created by rainy days.” 

Mendalam maksudnya, kan? - SAK

Sabtu, 27 April 2024

Bagaimana SMO Menjadi Pengedar Buku Terbesar di Pantai Timur?

 "Bagaimana SMO Menjadi Pengedar Buku Terbesar di Pantai Timur?"

Tanyalah orang Kelantan, mesti majoritinya akan beli buku di SMO. Bila dah nak habis cuti sekolah je, pasti SMO penuh diserbu budak-budak sekolah yang nak beli kelengkapan persekolahan.

Malah Pesta Buku Kelantan yang sedang berlangsung sekarang di Mydin Tunjong sehingga 4 Mei 2024 turut dianjurkan oleh SMO Sdn Bhd.

Macam mana sebenarnya sejarah SMO ini bermula?

SMO yang merupakan akronim kepada Syarikat Muda Osman dibangunkan oleh Allahyarham Haji Muda Osman pada 1939. Wah lama dah rupanya SMO ni!

SMO bermula sebagai perniagaan yang menjual karung guni, pinggan mangkuk, kisaran dan kitab berpusat di Pasir Mas, Kelantan. Sekitar 1940-an, perniagaan runcit ini diteruskan dengan menambah perkhidmatan menjahit baju dan songkok.

Pada 1955, SMO dilantik sebagai “sub-distributor” untuk mengedarkan rokok Malayan Tobacco Company di kawasan Pasir Mas.

Pada 1961, SMO menukarkan perniagaan mereka dari menjual pinggan mangkuk dan peralatan dapur kepada buku dan alat tulis.

Setahun kemudian, mereka dilantik menjadi ejen untuk mesin jahit jenama PFAFF (Jerman) di kawasan Pasir Mas.

Lama-kelamaan, anak-anak Haji Muda Osman mengembangkan perniagaan ke Kota Bharu pada 1967 dengan membuka sebuah kedai buku dan alat tulis di Bangunan Dewan Perniagaan Melayu.

Anak-anaknya, Haji Hassan, Haji Othman, dan Haji Yusoff meneruskan perniagaan SMO ini sehinggalah ianya diturunkan kepada generasi ketiga iaitu cucu-cucu Haji Muda Osman iaitu Tuan Haji Ahmed Azim Othman, Tuan Haji Noor Hisham Yusoff, dan Tuan Haji Ahmed Azman Othman.

Siapa sangka, pada 1976 SMO dilantik menjadi pengedar tunggal buku Dewan Bahasa dan Pustaka untuk seluruh negeri Kelantan. Selepas lebih 10 tahun, Syarikat Muda Osman diperbadankan menjadi sebuah syarikat sendirian berhad yang membawa konsep “kedai buku dan alat tulis serba lengkap serta selesa” dengan membuka sebuah kedai di Jalan Buluh Kubu, Kota Bharu pada 1987.

SMO terus berkembang dan pada 1993, mereka membuka sebuah kedai buku dan alat tulis serba lengkap di Pasir Puteh.

Pada tahun 1998, walaupun dalam suasana ekonomi negara yang sedang meleset SMO telah menambah modal dibenarkan dari RM500,000 ke RM5,000,000 dan modal berbayar dari RM165,003 ke RM1,005,003. Ini menunjukkan satu petanda positif dari segi penilaian prestasi, keupayaan perniagaan dan kestabilan kewangan.

SMO yang pada asalnya menjadi pengedar rokok Malaysian Tobacco Company bagi seluruh negeri Kelantan termasuk utara Terengganu memberhentikan perniagaan rokok tersebut pada 1999 dan hanya tertumpu pada buku dan alat tulis. Pejabat cawangan pengedaran rokok SMO di Machang diubahsuai menjadi kedai buku dan alat tulis.

SMO telah diiktiraf sebagai pengedar tunggal Dawama Sdn. Bhd. untuk buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka di seluruh negeri Kelantan di samping beberapa penerbit yang tidak asing lagi di kalangan pembaca. 

SMO juga merupakan pembekal utama buku-buku teks pelajaran ke sekolah-sekolah serta institusi-institusi pengajian tinggi di negeri Kelantan. 

SMO juga merupakan penaja kepada beberapa Pesta Buku Kelantan, satu acara tahunan anjuran Jabatan Pelajaran Kelantan dan Persatuan Perpustakaan Sekolah Kelantan (PUSTAKA) bagi mempromosikan buku-buku disamping menggalakkan budaya membaca di kalangan pelajar-pelajar sekolah serta kanak kanak di pelbagai peringkat usia.

Kini, SMO telah mempunyai 32 cawangan rangkaian kedai buku dan alat tulis di seluruh negeri Kelantan seperti di Kota Bharu, Kubang Kerian, Pasir Mas, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Kuala Krai, Rantau Panjang, Tumpat dan tak ketinggalan di Terengganu, Pahang dan Selangor.

Oleh: Azizul Farhan

___


Credit 

Ahad, 4 Februari 2024

Jual nilai bukan komoditi : Tentang kejayaan Khairul Aming (KA) buat kesekian kali.

 Jual nilai bukan komoditi

Tentang kejayaan Khairul Aming (KA) buat kesekian kali. 

Jualan USD1 juta setiap minit mungkin perkara biasa bagi syarikat multinasional seperti Amazon. Tetapi bagi syarikat bersaiz kecil dan sederhana, jualan RM 1 juta dlm masa 3 minit memang suatu yang luar biasa.

Dalam dunia bisnes hari ini di mana persaingan semakin lama semakin sengit, adalah menjadi semakin sukar untuk sesuatu jenama itu mencipta perbezaan (differentiation) dari segi produk mahupun harga.

Situasi ini dipanggil 'commoditization' di mana produk menjadi semakin tidak boleh dibezakan di antara satu sama lain.

Maka apa yang membuat jenama KA berbeza? Ia adalah pada 'nilai' yang dibina.  Jika nilai sekadar pada 'rasa', saya percaya ada sahaja sambal atau dendeng yang lebih sedap. Jika 'nilai' hanya sekadar pada 'harga', ada saja sambal dan dendeng yang dijual pada harga yang lebih murah.

Bersaing menggunakan ciri produk seperti rasa, harga, 'packaging' dan sebagainya, mudah ditiru pesaing. Tetapi nilai seperti keikhlasan, kesantunan dan kejujuran adalah sesuatu yang tulen (authentic) dan tidak boleh dibuat-buat. Ia lahir bukan hanya dari kebijaksanaan tetapi juga dari hati yang tulus.

Philip Kotler, sifu pemasaran dalam satu wawancara menyatakan sekiranya ada seseorang yang ingin belajar ilmu pemasaran dengan beliau untuk mencipta kekayaan, akan ditolak. Menurut beliau, ilmu pemasaran adalah untuk membantu lebih ramai orang, dan untuk menjadikan dunia ini lebih baik (to make this world a better place to live). Sebab itu saya menolak pendapat bahawa 'bad marketing is marketing'.

Islam mengajar tentang kepentingan niat. Niat yang baik dan betul akan melahirkan tindakan (tentunya beserta ilmu yang benar) yang menjadikan dunia ini lebih baik dan aman. Bagi orang Islam, semoga semua usaha serta penat lelah tersebut menjadi ibadah, diberi ganjaran bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.

Tahniah saudara KA. Bukan sahaja kerana mencapai jualan berjuta, tetapi kerana contoh baik yang ditunjukkan. Semoga saudara KA terus maju dan ramai lagi KA akan dilahirkan dalam banyak lagi industri yang berbeza, InshaAllah

Kredit: FB Suharni Maulan

Khairul Aming & fenomena Dendeng Nyet Berapi. Macam mana 80,000 pek terjual dlm masa 3 minit?

 Khairul Aming & fenomena Dendeng Nyet Berapi. Macam mana 80,000 pek terjual dlm masa 3 minit?


Aku adalah salah seorang di antara 3.8 juta followers Instagram Khairul Aming yang tertunggu-tunggu nak beli produk kedua Khairul Aming selepas 3 tahun - Dendeng Nyet Berapi. 

Kalau dulu, 10,000 botol Sambal Nyet Berapi dilancarkan 6 Januari 2021, pukul 12.30pm di Shopee licin dalam masa 54 minit.

Kali ni, 80,000 pek Dendeng Nyet Berapi dilancarkan pada 2 Februari 2024, pukul 9pm dekat live Tiktok Khairul Aming licin dalam masa 3 minit 39 saat.

Aku dah buat kira-kira, dengan jumlah followers 7.9 juta :

• 3.8 juta di Instagram

• 4.1 juta followers di Tiktok

belum termasuk followers social media @KhairulAmingBrand , kalau yang beli Dendeng Nyet Berapi cuma 1% daripada follower tersebut, jumlah pembeli adalah 79,000 orang.

Jadi, pelancaran hari pertama dengan stok awal 80,000 pek adalah relevan. Tak terlalu banyak, tak terlalu sedikit. Just nice.

Marketing untuk Dendeng Nyet Berapi dekat media sosial hanya bermula 4 hari sebelum hari pelancaran. In just 4 days, fuh!

Dan Dendeng Nyet dihasilkan untuk melengkapi produk pertama, iaitu Sambal Nyet. Maksudnya produk kedua ni adalah produk untuk compliment produk pertama, bukan produk yang dihasilkan untuk bersaing dengan product pertama tu. Smart kan?

✅ 4 hari sebelum hari pelancaran, dalam video 1 minit 45 saat, Khairul Aming mulakan video marketing dengan :

• Step 1 : 

Aerial view kilang Rasapop, lokasi Dendeng Nyet dihasilkan.

• Step 2 : 

Bahan-bahan yang digunakan untuk buat Dendeng Nyet Berapi - bawang, halia, cili, daun limau purut. Dan dinyatakan jugak R&D Dendeng Nyet ambil masa selama setahun sebab bukan R&D resepi semata-mata tapi jugak R&D mesin, packaging dan jugak cara penyimpanan.

• Step 3 : 

Cara penyediaan Dendeng Nyet Berapi.

Dari proses kisar, rebus, goreng dan pemilihan packaging untuk menjadikan Dendeng Nyet ni produk yang sedia dimakan (ready to eat). 

• Step 4 : 

Update progress Sambal Nyet selepas 3 tahun dalam pasaran. Tahun 2023, sales Sambal Nyet Berapi adalah RM20 juta, meningkat 40% dari tahun 2022. Total keseluruhan Sambal Nyet dah terjual sebanyak 3 juta botol dan Khairul Aming cerita jugak macam mana hasil keuntungan penjualan Sambal Nyet ni dilaburkan semula ke kilang untuk tingkatkan fasiliti sedia ada termasuklah modal lebih dari RM 2 juta yang digunakan untuk membeli mesin, packaging dan bahan-bahan untuk penghasilan produk kedua, Dendeng Nyet Berapi.

Dan video diakhiri dengan pengenalan produk baru, tarikh, masa dan jumlah stok yang akan dilancarkan pada hari pertama. 

✅ 3 hari sebelum pelancaran, dalam video 1 minit 25 saat, Khairul Aming share pulak cara makan dan cara simpan :

• Cara makan :

   1) Koyak je dan boleh terus makan atau rebus

      dulu packaging tu untuk makan panas-panas

   2) Sesuai dimakan dengan nasi putih, nasi

        goreng dan sebagainya.

Nak makan dengan apa ni semua orang tahu, tapi Khairul Aming bijak, dia selitkan sikit macam mana Dendeng Nyet ni boleh bantu untuk mudahkan kita pada bulan puasa baik sahur atau berbuka. 

Smart move!  

• Cara simpan : 

  - Ada expiry date belakang packaging.

  - Produk tahan 1 tahun walaupun pada suhu bilik

  - Kalau dah bukak tapi tak habis, packaging tu boleh lipat je dan simpan dalam bekas, masukkan dalam freezer, nak makan nanti panaskan balik.

Ni pun benda yang kita dah tahu, tapi dihighlight jugak supaya pembeli tak payah ragu-ragu kalau nak beli banyak-banyak buat stock.

Dan video diakhiri dengan reminder sekali lagi tarikh dan masa pelancaran.

✅ 2 hari sebelum pelancaran, dalam video 5 minit lebih, Khairul Aming explain tentang soalan-soalan yang orang tanya tentang Dendeng Nyet. 

* Harga  : RM 14.99

* Berat    : 180g

* Level pedas : 4/10

* Texture daging dendeng 

* Platform launching : Tiktok (2 Feb 2024,9pm)

* Purchase Limit : Maksimum 6 pek dalam 1 order

Selain tu Khairul Aming explain jugak rasionalisasi kenapa maksimum 6 peket dalam 1 order :

• Kekangan masa sebagai online seller yang terikat dengan time frame postage sebab kalau lambat postage, seller akan kena penalti

• CNY dah dekat, jadi parcel kena clear cepat sebelum courier cuti sebab kalau tak nanti akan ada overload parcel dekat warehouse courier.

Dan akhir sekali Khairul Aming explain yang packaging Daging Dendeng ni 95% lebih ringan daripada botol kaca Sambal Nyet. Semua penjelasan dan penerangan sangatlah telus. 

✅ Sehari sebelum hari pelancaran, dalam video 3 minit lebih, Khairul Aming share pulak : 

1) Macam mana pemilihan produk dan resepi dibuat. Mula-mula testing resepi dekat video 30 hari bulan puasa tahun 2023, bila feedback bagus, team Khairul Aming improvised lagi resepi untuk hasilkan produk.

2) Beli mesin custom untuk kilang yang makan masa berbulan-bulan sebab proses filling, packaging semua mesin yang buat supaya production Dendeng Nyet lebih efficient.

3) Pemilihan packaging - Warna kuning dan simple supaya dari jauh orang dah tau tu produk Dendeng Khairul Aming.

4) Renovate kilang yang menelan kos paling tinggi untuk pastikan proses penghasilan produk kedua ni dapat dilakukan dengan baik. Dia tunjuk jugak video-video kegagalan R&D Dendeng Nyet di peringkat awal. Stok meleleh, isi tak masuk etc. 

5) Meeting dengan team untuk tetapkan SOP penghasilan Dendeng Nyet dari A-Z.

6) Shooting produk untuk marketing. Dari dalam studio sampailah ke New Zealand.

7) Behind the scene staff dah siap pack 30,000 parcel Dendeng Nyet Berapi, tinggal nak post je, walaupun order belum bukak lagi. Power kan?

✅ 4 jam sebelum waktu pelancaran, keluar  1 lagi video santai as a reminder untuk live malam ni. Pukul 9.00 malam, Khairul Aming dah standby untuk live Tiktok dari Kelantan. Aku pulak dah standby depan henpon dari Uzbekistan.

Yes, I am currently in Uzbek menunggu nak beli Dendeng Nyet. Sini baru pukul 6.00 petang 🥹

Dalam masa 3 minit lebih, licin semua 80,000 pek! Walaupun ramai yang komen sedih tak dapat tapi aku percaya ramai jugak yang gembira tengok kejayaan produk kedua Khairul Aming.

Khairul Aming adalah seorang content creator paling berjaya, lulusan universiti luar negara tapi langsung tak pernah keluarkan statement tak sekolah pun tak apa, gagal SPM pun tak apa. Tak. 

Masa menang anugerah Creator of The Year, 

dalam ucapan Khairul Aming siap pesan —

“Kepada anak muda yang nak jadi content creator, teruskan pembelajaran walaupun nak jadi content creator. Kena ingat, jadi content creator bukan sekadar untuk viral. Untuk relevan lama dalam industri, perlu banyak pengetahuan, critical thinking, problem solving, ada adab, ada common sense. Habiskan pelajaran dan jadilah pelapis content creator yang bagus, yang boleh majukan negara kita Malaysia.”

Khairul Aming is one in a million. 

Tahniah Khairul Aming untuk kejayaan hari ini dan tahniah juga sebab selalu bagi nasihat betapa pentingnya kena jadi content creator yang berkualiti. 

We have enough content creator yang kata sekolah tak penting, gagal SPM pun takpe. 

Semua orang boleh buat bisnes, semua orang boleh viral, semua orang boleh buat duit. 

Tapi tanpa adab dan pelajaran, tak semua orang boleh jadi seperti Khairul Aming!

Sumber

Rabu, 17 Januari 2024

Apa cerita yang berlaku disebalik kewujudan Ayam Bismi....

 "Dulu sembelih ayam sebelah rumah mak dan ayah"

Itulah kenangan yang dipotretkan di dalam gambar ini sebelum Ayam Bismi diperluaskan kewujudannya.

Cerita disebalik kewujudan Ayam Bismi ....

Dari proses 50 ekor ayam, kini miliki 18 ladang bersepadu terbesar di utara tanah air dengan kapasiti ternakan 2 juta ekor ayam.

Di belakangnya adalah, Haji Jaffri Ahmad selaku Pengasas dan Presiden Ayam Bismi Empire Sdn. Bhd., yang sudah 36 tahun berkecimpung dalam industri tersebut dan terus berkembang saat ini.

Berkat kegigihan anak jati Kedah itu sebuah bisnes kecil-kecilan yang bermula hanya dengan memproses dan menjual 50 ekor ayam berkesudahan dengan 18 ladang  dengan kapasiti ternakan dan pemerosesan di bawah Bismi Empire Sdn. Bhd. atau Ayam Bismi itu adalah lebih dua juta ekor setiap kitaran.

Ia sekali gus menjadikan Ayam Bismi sebagai sebuah syarikat bumiputera terbesar dalam sektor penternakan, pemerosesan dan pengedaran ayam.

Lahir dengan nama Ayam Bismi, idea bisnes Haji Jaffri yang kuat didukung isteri kesayangannya, Hajah Mazlina Kamarudin itu, bermula pada 1988 setelah beliau menamatkan pengajian dalam industri perladangan di UiTM di Arau, Perlis.

“Bila saya keluar dari ITM (kini UiTM) zaman inflasi jadi memang susah nak dapat kerja. Tetapi memandangkan saya suka berniaga sejak di bangku sekolah sampai ke ITM. Kecil-kecil sekolah rendah saya diasuh oleh keluarga bawa kuih ke kedai sampai ke masa sekolah saya jual buah di tepi jalan, tidur di tempat berniaga, sudah biasa… pernah suatu masa lepas SPM ambil upah cuci bas dan di ITM macam-macam kerja saya buat.

“Memang saya minat berniaga. Sehingga lepas habis belajar, saya diperkenalkan dengan seorang rakan yang mengajak saya membuka bisnes memproses ayam,” kata Penternak Jaya Kedah 2003 ini dan penerima Anugerah Pemasar Terbilang Lelaki Kebangsaan-FAMA 2004.

Bercerita lanjut kata Pengasas Ayam Bismi ini, pusat pemerosesan ayam pertama yang diusahakan dengan rakan kongsinya itu  terletak bersebelahan dengan rumah keluarganya iaitu tapak asal Pusat Jualan dan Ibu Pejabat Ayam Bismi ketika ini.

“Saya masih ingat hari pertama saya sembelih 50 ekor ayam yang dibeli daripada FAMA dan seronok untuk bekalkan. Saya ingat lagi dengan sebuah pikap buruk saya bawa ayam itu untuk dihantar ke pemborong."

“Itu pun bukan senang kerana saya mampu jual 10 ekor sahaja dan lebih bawa balik letak dalam peti sejuk rumah kawan kerana nak bawa balik risau ibu bapa bimbang,” ceritanya.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila rakan kongsi beliau turut menghilangkan diri menyebabkan beban untuk meneruskan perniagaan tersebut tertanggung di bahunya sendirian.

“Sedikit demi sedikit bisnes itu saya besarkan dan saya pun sudah jadi pembekal ayam mahu tak mahu terpaksa teruskan bisnes ayam. Dari situlah saya perlahankan bangunkan diri langkah demi langkah. Bulan puasa saya berniaga di tepi pasar, dan banyak dugaan juga dimarah peniaga lain dan disaman majlis. Sehinggalah saya mula dapat tapak tetap di Pasar Tani Alor Setar dan dari satu meja tambah ke lima meja seterusnya bekalkan kepada semua peniaga ayam di situ,” katanya.

Walaupun semakin maju, Haji Jaffri mengakui pernah meninggalkan seketika perniagaan itu untuk bekerja makan gaji di sebuah syarikat multinasional di Kuala Lumpur namun cuma bertahan sehari apabila menyedari minatnya hanya dalam dunia perniagaan.

Demi untuk mengembangkan bisnes tersebut, Haji Jaffri memberanikan diri membuka ladang ternakan pertamanya di Binjal, Napoh pada 1995 dengan kapasiti 20,000 ekor.

“Tanah itu saya sewa… itu pun ada cabaran apabila daripada 20,000 ekor anak ayam yang saya ternak hamper 80 peratus mati kerana penyakit hawar. Tetapi kegagalan itu tetap memberi pengajaran kepada saya untuk berhati-hati,” katanya.

Ceritanya lagi, selang dua tahun selepas itu beliau membesarkan ladang tersebut dengan menyewa tanah bersebelahan sekali gus meningkatkan kapasiti kepada 50,000 ekor ayam setiap kitaran.

Pelbagai masalah daripada pemilik tuan tanah yang disewanya di kawasan itu juga tidak mematahkan semangat Haji Jaffri apabila ia memberi hala tuju baharu kepadanya untuk membeli tanah dan membuka ladang baharu sebagai langkah mengembang perniagaannya itu.  

“Di ladang tanah yang kita sewa itu kita hadapi banyak masalah termasuk orang yang diupah untuk ternak ayam itu semakin hari tidak dapat bagi komitmen kepada kita… dari situ salah faham terjadi walaupun buat kontrak lima tambah lima tahun tapi bila tak ada persefahaman dengan tuan tanah akhirnya ternak ayam ini mula kerugian sebab ayam tak besar… ayam mati banyak. Kita ambil langkah pindahkan reban  ke tapak tetap tapi bukan langkah mudah akhirnya kita terpaksa bayar pampasan kepada tuan tanah,” jelas penerima Anugerah Usahawan Cemerlang Agrobank 2018 ini.

Serik menyewa tanah selain dihadapkan dengan karenah tuan tanah, Haji Jaffri akhirnya membeli sebidang tanah dengan harga RM80,000 di Kampung Lampam, Pendang pada 1998 dan memindahkan ladang di Napoh ke kawasan itu.  Langkah Ayam Bismi tidak terhenti di situ.

Sehingga kini, dengan visi Peneraju Solusi Ayam Halal Untuk Ummah Di Malaysia, Bismi Empire mempunyai 18 ladang bersepadu di seluruh Kedah dengan kapasiti daripada 20,000 hingga 235,000 ekor setiap kitaran malah enam daripadanya ditukarkan kepada ladang tertutup. Pada masa kini kapasiti keseluruhan ladang milik Bismi Empire adalah 2 juta ekor.

Bukan itu sahaja untuk memastikan kualiti ayam yang dipasarkan pada tahap terbaik dan suci, syarikat berkenaan turut membuka makmalnya sendiri dengan pelaburan lebih RM250,000 demi memastikan proses penjagaan pemakanan ayam ternakan bebas daripada penyakit dan sisa khinzir.

Bismi Empire Sdn. Bhd. kini memiliki empat anak syarikat di bawah seliaannya iaitu Bismi Cergas Sdn. Bhd., Ayam Bismi Sdn. Bhd., Ayam Bismi Food Sdn. Bhd. dan Naka Biolife Sdn. Bhd. Bismi Cergas Sdn. Bhd. menjalankan aktiviti menternak ayam, manakala Ayam Bismi Sdn. Bhd. menjadi ejen pemasar, yang menjalankan aktiviti memproses dan memasar ayam.

#ayambismi

Selasa, 6 Jun 2023

Peluang Bisnes:Pendaftaran sebagai Vendor di MISI secara percuma dibuka

Kelebihan untuk Peniaga di Misi

Anda pernah dengar Foodpanda,Grab,Lalamove dan banyak lagi perkhidmatan 'delivery'?

Terbaru.....

Sekarang pihak MISI ingin menawarkan peluang kepada semua peniaga untuk mendaftar sebagai vendor di MISI bersama team kami untuk melariskan lagi jualan di premis perniagaan anda dengan mengguna konsep pekhidmatan RIDER DELIVERY.

Anda yang mempunyai perniagaan mesti mengambil peluang untuk memperbanyakkan lagi jualan dengan bantuan para RIDER tersebut.


Apa kelebihan yang anda perolehi dengan mendaftar sebagi VENDOR MISI...

1. Untung 100% daripada jualan

Guna Percuma dengan syarat anda wajib kekalkan harga kedai di dalam app misi kerana anda untung 100% tanpa sebarang potongan.

2. Payout bila-bila masa sahaja.

Anda boleh keluarkan duit jualan pada bila-bila masa sahaja. Segala transaksi direkod untuk anda rujuk sentiasa.

3. Set masa untuk setiap order

Anda tidak perlu lagi sidai rider di kedai anda. Kerana rider akan datang pickup mengikut masa yang anda tetapkan.

4. Refund item terpantas

Selalu pening kepala nak refund order bila item habis? Di misi anda boleh refund duit masuk terus ke wallet customer.

5. Admin Official Full Support

Anda akan mendapat bimbingan khas daripada admin official dari misi untuk bantu anda setup app dan naikkan sales.

6. Buka Unlimited Bisnes

Anda boleh membuka banyak bisnes dengan akaun yang sama. Sesuai untuk mereka yang mempunyai banyak cawangan dan ingin centralizekan bisnes.

7. Lantik Staff untuk kedai

Sebagai owner, mesti anda tak sempat uruskan kedai dalam app. Jangan bimbang, anda boleh lantik staff di dalam app untuk jaga dan urus order kedai.


p/s:Kod Admin kawasan Kangar adalah oOrzjd

Sila gunakan kod diatas untuk anda mendaftar sebagai vendor bagi kawasan Kangar Perlis

Untuk bantuan vendor yang mendaftara kawasan kangar boleh hubungi/wasap 0194774970 Master Pak Long

Sabtu, 28 Januari 2023

Kisah terciptanya Marrybrown dari pasangan cina di Johor.

 Kisah terciptanya Marrybrown dari pasangan couple cina di Johor. BUAT KERJA GILA DIAORANG NI

Tahun 1981 ada couple kat Johor ni… kena sampuk agaknya… Dia fikir nak buka restoran mcm Kepci.. and nak lawan Kepci

1. Berdekah dekah masyarakat ketawa kan si Nancy dgn suami nama Lawrence…

2. Lagi gelak besar orang bila Nancy dgn Lawrence cakap

“kita olang mau buat itu halal punya kedai… kasi senang melayu makan happy happy takda susah”…

Ramai geleng kepala… sapa je nak makan makanan halal kat kedai apek ni???

3. Diaorang keluar duit sendiri, pastu pinjam kawan dan sedara mara… ada lak yang terpedaya bagi pinjam kan…. “Aiyaa kasi can la itu nancy banyak kesian ooo” kata pakcik Nancy

4. Masa ni bank taknak bagi pinjam tapi diaorang raise fund and dapat kumpul 120 ribu (zaman tu pun dah ada ECF)

5. So diaorang buka la first outlet kat Johor.. Guna nama Marrybrown simply pasal dia rasa nama ni catchy dan ada international appeal… awal dah fikir nak keluar negara

6. SeTahun lepas tu …tahun 1982 saya lahir… mcm takder kaitan kan…sabar dulu, baca sampai habis

7. 1986 dia buat francais… mmg fikir nak grow je

8. 1989 start introduce nasi ke Marrybrown… ramai yang rasa amender restoran QSR ada nasi.. takder standard langsung

9. Tapi orang tak sedar, Lawrence dah fikir… kalau 100% american style… camner nak lawan kepci… dia nak buat Malaysia style QSR (Quick Service restaurant)… banyak elemen Malaysia dia bawa.. Sate pun pernah

10. 1992 Marrybrown jadi Restoran Malaysia pertama yang buka outlet di luar negara secara Francais

11. 1996 dia start buat kerusi buaian … Saya pening kalau makan Marrybrown masa ni… terbuai buai

12. 20 Jan 2023 … 41 tahun lepas saya lahir… 42 tahun lepas dia buka… Bangga saya nak share kat korang… Marrybrown adalah rangkaian francais HALAL terbesar di dunia

13. Bangga sebab orang Malaysia berjaya capai kejayaan sebesar ini… outlet Marrybrown bersepah serata dunia… Negara kecil ini Menjadi Champion dalam Industri Halal !!!!

14. Tapi jeles juga kenapa saya sendiri, sebagai muslim belum mampu nak ada bisnes dgn sijil Halal… Kejayaan Dato Nancy dan suami bagi saya adalah satu inspirasi untuk saya usaha lebih lagi… saya pun nak berusaha bagi seiring dgn diaorang

15. Padahal mereka buat bisnes yang dah ada orang buat, menu biasa, konsep biasa dah orang buat… Competitors pasaran yang dia nak masuk adalah jaguh dunia.. Nak lawan Mekdi and Kepci kat Malaysia… negara yg rakyat nya mmg suka makanan QSR amarika ni ?? (Dan masa tu mmg susah orang nak sokong local brand)

16. Takder benda baru tapi dia berusaha melaksana kan konsep dgn kesungguhan dan penerapan budaya setempat untuk membeli jiwa pelanggan… Benda biasa jadi luar biasa

17. Saya tak check berapa sales diaorang tapi pengamatan saya ratusan juta tu biasa je utk mereka..: tak jumpa bila saya buat quick search pagi and malas lak nak beli ssm dia

18. Tapi… citernya…Sambil orang gelak kan diaorang, diaorang berusaha sampai hari ni… oulet ada lebih 500

19. Bila orang kampung fokus pertikaikan halal ke nak makan kedai cina ni? Dia fokus buat sistem yang patuh Halal dan Haramnya… Dapat sijil halal… pastu mengajikan beribu ribu orang islam bagi ada pendapatan dan kehidupan baik… nampak tak… lain fokus memberi lain hasil kan…

20. Moral of the story

📍Usaha luar biasa convert hasil luar biasa

📍Boleh raise fund dgn public kalau takder modal

📍Kena ada fokus dan abaikan org gelak

📍Ada target market yang betul

21. Saya menulis tentang industri F&B dan pandangan saya , dgn hasrat untuk memberi harapan dan inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia … Kita Boleh !!!

Mohd Nazri Md Akim 

Credit: FB Warisan Johor

Rabu, 6 Julai 2022

Tak perlu jual ayam mahal macam nak ke Mekah balik hari - Jukee Ayam

 


Seorang peniaga ayam menyifatkan penjual yang meletakkan harga tinggi untuk ternakan itu seperti individu yang mahu ke Mekah 'balik hari.'

Zukila Deraman - yang terkenal kerana harga ayam murahnya di Kelantan - berkata peniaga terbabit meletakkan harga tinggi kerana mahukan margin keuntungan yang besar.

Katanya harga daripada pihak pemborong sebenarnya sudah wajar.

"Pemborong letak harga molek (murah) dah, tapi geng peniaga saja yang jual harga tinggi RM8.50 hingga RM9 sekilogram.

"Nak untung (banyak) ibarat nak pergi Mekah balik hari. Nak untung banyak, untung RM5 atas seekor ayam, itu yang jadi masalah," katanya dalam satu perkongsian video di media sosial.

Kerana itu, kata Zukila, orang ramai kecoh apabila dia menawarkan ayam pada harga RM6.99 sekilogram.

Terdahulu, Zukila, 44, yang lebih dikenali sebagai Jukee Ayam menarik perhatian ramai kerana harga yang ditawarkannya itu jauh lebih murah berbanding harga siling ditetapkan kerajaan iaitu RM9.40 sekilogram.

Katanya, harga jualannya itu sudah memberi keuntungan memandangkan harga ayam ladang daripada pembekal ialah antara RM5.50 hingga RM6.30 sekilogram.

Justeru jelas Jukee, peniaga tidak sepatutnya menjual ayam dengan harga yang mahal semata-mata mahu mengaut keuntungan besar tetapi akhirnya pembekal juga akan menaikan harga jualan mereka.

"Kebanyakan peniaga dapat bekalan daripada pembekal sama dengan harga yang sama sahaja, jadi bergantung kepada peniaga sekiranya mereka mahu keuntungan lebih, mereka akan menjual dengan harga mahal.

"Tetapi perlu ingat, apabila kita menjual dengan harga yang mahal bukan sahaja ia membebankan pengguna, sebaliknya pembekal juga akan mengambil kesempatan menaikkan harga dengan alasan peniaga mendapat keuntungan tinggi," katanya yang mempunyai tujuh cawangan kedai ayam proses.

-malaysiakini

Isnin, 16 Mei 2022

KEMPEN BMF TIDAK SESUAI UTK PERNIAGAAN:Malakat Mall Masjid Tanah ditutup

 Simpati penutupan Malakat Mall di Masjid Tanah

KEMPEN BMF TIDAK SESUAI UTK PERNIAGAAN 

Saya baru membaca berita kisah pasaraya Malakat Mall di Masjid Tanah ditutup kerana kos sewaan yg terlalu mahal iaitu RM 70k sebulan. Saya bersimpati dgn berita ini kerana ada formula dari pemilik syarikat ini yg boleh dibanggakan.


Rasa segan ingin menasihati Coach Fadzil kerana saya bukan peniaga yg hebat sepertinya. Begitu juga bukan berjaya seperti Datuk Vida tetapi saya sekadar ingin memberi pandangan sebagai pengguna . Jika rasa baik harap boleh menerimanya dan jika sebaliknya abaikan sahaja.


Saya puji niat Coach Fadzil utk membantu peniaga2 kecil atau produk2 Melayu (Islam) termasuk dgn konsep pelaburan. Niat atau formula tersebut wajar dipuji dan disokong.


Malangnya faktor2 lain yg telah merencatkan perniagaan Malakat Mall dari pengamatan saya. 


Pertama saya berpandangan kesilapan terbesar ketika kempen awal kemunculan Mall ini apabila marketing mereka dikaitkan ke arah BMF ( Buy Muslim First). Bagi saya ia tidak sesuai dan hanya mengecilkan sasaran pelanggan Mall ini.


Bukan sahaja ia mengecilkan pelanggan daripada pelbagai bangsa seperti Cina, India dan kaum2 lain tetapi kelompok Melayu yg dingin dgn kempen BMF. Ini kerana ketika kempen BMF dilancarkan ada org2 politik mengambil kesempatan ke atas kempen tersebut utk tujuan politik hingga menjadi bahan sindiran kek pun di beli di Secret Recipe.


Akhirnya Malakat Mall menjadi mangsa keadaan. Tanya saya… BMF ini kempen yg hanya memakan diri sendiri. Ini kerana berdasarkan senario politik… 30% org Melayu tidak suka dgn sentimen berbau perkauman. 


Tanya saya buat sahaja konsep seperti Mydin… terbuka utk semua dgn jualan harga yg murah. Akhirnya bukan sahaja pelanggan tetapi peniaga2 bangsa lain tidak mahu menyewa di ruang Mall tersebut.


Kedua bila saya bertanya kpd rakan2 di KL… mereka beritahu Malakat Mall gagal bersaing dari segi harga. Harga adalah sgt penting bila kita membuka perniagaan Hypermarket. Marketing terbaik adalah free marketing dari mulut ke mulut bila org ramai bercerita HARGA MURAH.


Saya beri contoh kejayaan Speedmart. Kempen Malakat Mall ‘Buy Muslim First’ tapi kempen Speedmart ‘Murah dan Dekat’. Nampak cara marketing siapa yg jauh lebih bijak? Mereka tidak sasarkan kawasan2 Cina sahaja tetapi di mana2 kita akn jumpa mini market ini.


Ya harganya yg murah adalah tarikan utama tetapi bukan semuanya murah. Rempah Kari Babas di pasaraya lain dijual dgn harga RM 5 tetapi di Speedmart dijual hanya RM 4.30. Jauh bezanya yg  menjadi buah mulut org ramai Speedmart murah.


Dkt sini kita kena belajar bagaimana org Cina berniaga. Org Cina ada mendidik anak2 mereka buy Chinese first di rumah tetapi bukan secara terbuka dlm perniagaan. Mereka tak perlu kempen beli barangan Cina dulu tetapi ia telah diselami dari kecil.


Peniaga Cina tahu org Melayu adalah kuasa membeli terbesar bukan sahaja kerana kaum majoriti tetapi jika waktu perayaan org Melayu terkenal sikap boros berbelanja membeli pakaian sebagai contoh. 


Sebab itulah macam di Sabah byk peniaga kedai makan menggunakan pekerja muslim bertudung sebagai tarikan kpd pelanggan Islam. Begitulah juga tauke Cina sanggup menggunakan nama Rosyam Mart sebagai satu bentuk marketing. 


Sebenarnya byk lagi peniaga2 Cina yg menggunakan kaedah meletakkan individu Melayu yg seolah olah pemilik perniagaan tersebut. Hebatkan strategi perniagaan mereka mencari jalan menarik pelanggan.


David Teo pemilik syarikat filem Metrowealth sgt bijak menjaga hati org Melayu. Dlm majlis promosi filem dia pasti akn membuat majlis kesyukuran dgn menjemput Ustaz membaca doa selamat. 


Niat BMF itu baik tetapi bukan Malakat Mall yg memikul tanggungjawab itu. Kesedaran itu patut dipikul oleh NGO2 sahaja utk diamalkan oleh org2 Melayu di rumah dan bukan utk marketing perniagaan.


Jadi utk saya BMF dan daya saing harga barang perlu diambil perhatian. Malakat Mall juga wajar tukar konsep dgn menyewa 2 lot kedai kerana kos dan risikonya lebih kecil. 


Bila sewa dan penggunaan kakitangan yg sedikit Malakat Mall boleh bermain dgn harga bagi bersaing dgn pasaraya2 yg tumbuh bak cendawan. Biar kecil tapi ada di mana2. 


Sekadar beri pandangan…. Malakat Mall boleh juga belajar konsep sepertimana kedai2 runcit di Sabah yg dikuasai oleh peruncit Pakistan. Saya tidak tahu modus operandi mereka sebenar… tetapi saya agak2 sahaja mereka ini mempunyai persatuan yg membekal produk barangan2 runcit.


Harga mereka agak sedikit mahal tapi ada di mana2. Contohnya di Kg. Likas sahaja tak kurang 20 kedai runcit Pakistan ada di situ. Tiada yg tutup perniagaan sejak 12 tahun saya di Sabah… semua boleh survive. 


Mengapa tidak Malakat Mall bertindak menjadi pemborong bekalan barangan runcit utk peniaga2 kecil di kawasan2 kampung. Dapat membantu dan dpt berniaga dgn peniaga2 kecil Melayu dgn memberi modal barangan dahulu dan mereka menjalankan perniagaan.


Sekadar pandangan kpd mereka yg baru ingin menceburi bidang perniagaan dlm perniagaan jgn sesekali dikaitkan dgn perkauman. Kedua jika terlibat dlm politik jgn pamirkan perniagaan kita kerana ia akn memberi kesan ke atas perniagaan tersebut ( ini amalan saya sendiri ). 


Dlm perniagaan tidak boleh dikaitkan dgn perkauman dan politik kecuali jika berniaga agama… apa kata anda?

Sumber

Jumaat, 17 Disember 2021

Inspirasi: Ditertawa rakan jual kayu api,tetapi......

 MOHAMAD Ammar menjual kayu api ‘Unggun By The Shepherd’ yang pada mulanya dibuat secara sampingan. FOTO BERNAMA

MOHAMAD Ammar menjual kayu api ‘Unggun By The Shepherd’ yang pada mulanya dibuat secara sampingan. FOTO BERNAMA

Kuala Lumpur: "Sekadar mencuba, akhirnya membuahkan hasil yang tidak disangka." Demikian kisah Mohamad Ammar Sobri dengan perniagaan menjual kayu api Unggun By The Shepherd yang pada mulanya dibuat secara sampingan.

Anak muda berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang ini menjalankan perniagaan jualan 'kambing golek' dan menggunakan kayu api sejak awal 2021, untuk menggantikan arang.

Pada awalnya, beliau menjual kayu api sekadar untuk menampung pendapatan perniagaan 'kambing perap dan golek' yang sedikit terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Sebenarnya saya sendiri tidak pernah terfikir akan menjual kayu api ini. Asalnya mahu mencuba menu daging yang berasaskan salai. Sebelum ini, kami menggunakan arang untuk bakar daging tapi kali ini kami cuba menggunakan kayu api.

"Jadi semasa tengah buat menu daging smoked, ada rakan yang tanya kenapa tidak tolong sediakan kayu api untuk orang yang minat dengan aktiviti perkhemahan dan juga mahu membuat barbeku (BBQ). Dari situ saya mula terfikir dan cuba peluang ini ditambah pula saya sekeluarga suka berkhemah," katanya dalam wawancara di premis perniagaannya di Kajang, Selangor. baru-baru ini.

Beliau turut menjelaskan perbezaan daging smoked yang dihasilkannya berbeza dengan daging salai yang biasa ada dalam pasaran.

"Daging smoked menggunakan kayu api tetapi dimasak di dalam smoker brick atau dalam smoker offset antara 6 hingga 12 jam (bergantung kepada jenis daging) sehingga daging boleh dimakan terus berbanding daging salai yang perlu dimasak balik, sebagai contoh daging salai masak lemak," katanya.

Menurut Mohamad Ammar, 33, beliau kemudian membuat keputusan untuk menjadikan jualan kayu api sebagai satu lagi sumber pendapatannya selepas yakin ia mempunyai potensi dan mensasarkan golongan yang gemar aktiviti perkhemahan serta sukar mendapatkan bahan bakar itu.

"Sekarang ramai yang suka aktiviti perkhemahan dan kebanyakannya tidak tahu cara untuk mendapatkan kayu api. Daripada situ saya terfikir mengapa saya tidak membekalkan kayu api yang mereka perlukan untuk aktiviti perkhemahan," katanya.

 MOHAMAD Ammar memotong kayu mengikut saiz yang ditetapkan sebelum dijual kepada pelanggan. FOTO BERNAMA

MOHAMAD Ammar memotong kayu mengikut saiz yang ditetapkan sebelum dijual kepada pelanggan. FOTO BERNAMA

Bermula daripada cetusan idea, kemudian lahirlah perniagaan menjual kayu api Unggun By The Shepherd. Untuk perniagaan ini, beliau mempunyai tiga orang pekerja untuk memotong kayu.

"Biasanya pekerja saya akan masuk di kawasan yang hendak dijadikan projek pembangunan semula. Contoh ada kebun getah yang perlu dibersihkan, dan kami akan bersihkan secara percuma dan pokok yang ditebang, kayunya kami ambil sebagai upah.

"Dalam hal ini, kami bekerjasama dengan pihak pemaju, dan kawasan yang dibersihkan adalah untuk projek perumahan, " jelas Mohammad Ammar, sambil menambah pihak bertumpu di kawasan sekitar Klang, Selangor.

Kesemua kayu yang dijual Mohamad Ammar kepada pelanggan adalah batang kayu dari pokok yang boleh ditanam semula seperti pokok rambutan, durian, getah, akasia, petai, cempedak, pokok bakau serta leban.

"Kebanyakan kayu yang dijual adalah daripada pokok buah-buahan. Setiap kayu mempunyai kelebihan dan kekurangan. Terdapat dua jenis kategori kayu iaitu ringan atau kayu lembut dan kayu jenis keras.

"Contoh kayu lembut ialah kayu pokok getah dan durian. Manakala kayu keras dari pokok bakau, rambutan, cempedak dan leban. Kayu keras sangat sesuai untuk tahan bara, untuk memasak dan sangat sesuai untuk kegunaan perkhemahan," katanya.

Kayu yang dijual mempunyai dua saiz, iaitu yang pendek, bersaiz 22.9 sentimeter sementara yang panjang, bersaiz 45.7 sentimeter. Setiap ikat mempunyai 17 batang kayu dengan harga bermula daripada RM20 hingga RM55, bergantung kepada jenis kayu.

Selain kayu api yang dijual kepada pelanggan, Mohamad Ammar turut menghasilkan papan pemotong yang diperbuat daripada kayu manggis, yang dijual dengan harga RM100 satu.

Bercakap lanjut mengenai pelanggannya, Mohamad Ammar berkata, selain mereka yang mencari kayu api bagi kegunaan aktiviti perkhemahan serta pengusaha tapak perkhemahan, terdapat juga pelanggan, yang kebanyakannya kaum Cina, mencari kayu untuk kegunaan hiasan.

Berkongsi pendapatannya dalam penjualan kayu itu, Mohamad Ammar berkata beliau mampu meraih antara RM400-RM600 sehari.

 Mohamad Ammar memotong kayu api untuk dijual. FOTO BERNAMA

Mohamad Ammar memotong kayu api untuk dijual. FOTO BERNAMA

Menurut Mohamad Ammar, sehingga kini, masih ada yang tidak yakin dengan potensi perniagaan jualan kayu api yang beliau usahakan bersama isterinya, Noremilia Sharmila Nawawi, 33.

"Bila saya cakap saya jual kayu api, ramai yang gelakkan saya. Soalan yang sering diajukan, apa dapat jual kayu api? Ada lagi ke orang di Kuala Lumpur hendak beli kayu api? Ternyata mereka silap. Sebenarnya di Kuala Lumpur masih ada golongan yang memang mencari kayu api.

"Contoh, baru-baru ini datang lima orang pelanggan ke kedai saya mereka mencari kayu api untuk kegunaan majlis kenduri yang berkonsepkan rewang. Mereka perlu banyak kayu api. Selain itu ada juga yang baru berjinak dengan aktiviti perkhemahan. Kita akan kongsi kelebihan kayu yang sesuai digunakan," katanya, sambil menambah, beliau memulakan perniagaan kayu api dengan modal hanya RM600 untuk membeli sebilah kapak jenama Fiskars yang berkualiti tinggi.

"Jadi apa yang saya nampak perniagaan kayu api ini bukan semata-mata kayu api, banyak lagi boleh dilakukan, bergantung kepada apa yang boleh kita tawarkan kepada pelanggan," katanya.

Di akhir wawancara, Mohamad Ammar menasihatkan anak muda yang mungkin melalui pengalaman pahit yang sama atau sebarang masalah, untuk bangkit dan tabah menerima sebarang ujian.

"Dengan keadaan yang kita lalui ini, jangan terlalu memilih kerja, jangan cepat putus asa sebab kadang-kadang ada perkara yang datang itu, ia datang dengan ujian. Mesti bijak mencari peluang dan mencuba sesuatu yang baharu untuk diteroka.

"Disebalik ujian, insya-Allah ada ganjaran yang Allah SWT hendak beri yang mungkin mempunyai 1001 kelebihan," jelasnya.-myMetro