Khamis, 8 April 2021

Fazura dituduh menyindir isu rentas negeri

Nur Fazura dan suaminya, Fattah Amin tidak sesekali mengeksploitasi anak apabila puteri kesayangannya, Nur Fatima Aisya sudah berlakon iklan dalam usia enam bulan. - NSTP/Aziah Azmee
Nur Fazura dan suaminya, Fattah Amin tidak sesekali mengeksploitasi anak apabila puteri kesayangannya, Nur Fatima Aisya sudah berlakon iklan dalam usia enam bulan. - NSTP/Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Aktres Nur Fazura menepis dakwaan menyindir mana-mana pihak apabila bertindak memberi komen mengenai isu rentas negeri yang sedang hangat diperkatakan.

Menjelaskan perkara itu, Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin, 38, berkata, sebagai juri program Muzikal Lawak Superstar 2 (MLS2) komentar dibuat berdasarkan kandungan lawak yang dipersembahkan peserta, bukannya menyindir sesiapa seperti yang didakwa.

"Komen mengenai isu rentas negeri dibuat berdasarkan bahan jenaka yang di persembahkan kumpulan UNI pada malam itu.

"Lawak mereka berkisar bagaimana sanggup menyeludup bapa dalam beg semata-mata untuk merentas negeri.

"Sebagai juri, sudah tentu komen saya berdasarkan penilaian terhadap persembahan peserta. Saya tak berniat langsung untuk menyindir sesiapa. Tetapi, jika ada yang terasa, terpulanglah," katanya kepada BH Online.

Sebagai selebriti, pelakon filem Dendam Pontianak itu menegaskan, dia berhak memberi apa sahaja pandangan berkaitan isu semasa.

"Sebagai juri, saya perlu telus dalam memberi kritikan. Sebagai 'public figure', saya juga berhak bersuara dan menyatakan pendapat," katanya ketika ditemui ketika menjayakan penggambaran iklan di Suria KLCC, hari ini.

Nur Fazura, suaminya, Fattah Amin dan anaknya, Nur Fatima Aisya. - NSTP/Aziah Azmee
Nur Fazura, suaminya, Fattah Amin dan anaknya, Nur Fatima Aisya. - NSTP/Aziah Azmee

Apa yang menarik, iklan itu menyaksikan buat julung kalinya Fazura bergandingan bersama anaknya, Nur Fatima Aisya yang kini berusia enam bulan.

Mengulas pembabitan pertama puteri kesayangannya itu, Fazura menyifatkan ia adalah rezeki.

"Semasa Fatima masih dalam kandungan lagi, saya pernah membuat penggambaran bersama pusat membeli-belah ini.

"Kiranya ini adalah kesinambungan kepada penggambaran sebelum ini. Alhamdulillah, penggambaran berjalan lancar dan Fatima sangat teruja dapat berjalan-jalan.

"Ini bukan bermakna kami cuba eksploitasi anak, tetapi ia adalah limpahan rezeki buat Fatima," katanya.

-BH Online

0 ulasan:

Catat Ulasan