Rabu, 14 April 2021

MAJORITI DAN INTERGRITI – MAKNA SEBENAR UNTUK DIFAHAMI OLEH HADI AWANG


Presiden PAS, Hj Hadi Awang menulis dalam Facebooknya bahwa apa guna orang politik memegang majoriti besar kalau mereka tidak ada integriti.

Rumusan yang saya faham dari kenyataan ini ialah kalau parti seperti UMNO dan Pakatan Harapan mendapat kemenangan besar, itu semua tidak ada erti kerana mereka tidak ada integriti.

Bagi Presiden PAS dan barisan kepimpinan hari ini, integriti itu bererti hanya ada pada orang yang belum dituduh atau tidak ada kes jenayah di mahkamah, sebaliknya ramai pemimpin UMNO sekarang ini (ramai menggelar kumpulan pemimpin ini “court cluster”) nampaknya tidak berintegriti.

Integriti itu berbeza dengan keperluan majoriti. Ia dua konsep yang berlainan.

Kerajaan yang sah di negara kita adalah kerajaan yang disokong oleh sebahagian besar wakil rakyat yang dipilih semasa pilihan raya umum. Ini konsep yang mudah difaham.

Kalaulah peluang diberi oleh Speaker, kita sudah lama mengetahui hal ini tanpa was-was. Keperluan majoriti adalah tuntutan perlembagaan dan kalau kita hormati perlembagaan itulah yang perlu dilaksanakan.

Integriti, untuk maklumat Tok Guru Hadi Awang adalah sifat dan nilai seseorang seperti keikhlasan, keterbukaan, patuh kepada undang-undang dan tidak putar belit fakta untuk sesuaikan diri mereka dengan keadaan Semasa.

Mereka bukan hipokrit, mereka tidak menyalahguna kuasa dan sebagainya. Orang yang dihadapkan di mahkamah, di mana keputusan muktamad belum selesai tidak termasuk dalam golongan orang yang tidak berintegriti.

Contoh terbaik kumpulan orang yang tidak berintegriti termasuk mereka yang menggunakan Covid-19 sebagai alasan untuk kekal berkuasa melalui darurat.

Contoh lain ialah menggunakan kuasa kerajaan untuk “memujuk wakil rakyat lompat parti, menggunakan wang kerajaan tanpa perlu diluluskan oleh Dewan Rakyat, bercakap mengenai reformasi dan kerajaan cara Islam, tetapi tidak sanggup membuat perubahan “structural” dan menyeluruh dalam sistem pentadbiran negara secocok dengan kehendak negara demokrasi tulen.

Akhir kata, biarlah rakyat menentukan siapa ada majoriti dan siapa ada integriti.

Buatlah pilihan raya secepat mungkin supaya kita tidak lagi perlu bercakap mengenai hal-hal yang kita sendiri tidak faham atau tidak mahu faham.

DATUK ZAID IBRAHIM

Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri

14 Mac 2021.

credit:shahbudindotcom.net

0 ulasan:

Catat Ulasan