"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Sabtu, 27 Jun 2026

MELURUSKAN FAKTA MENGENAI ISU PINTU BELAKANG KE UNIVERSITI AWAM OLEH HAIM HILMAN

 MELURUSKAN FAKTA MENGENAI ISU PINTU BELAKANG KE UNIVERSITI AWAM

Bagi menangkis naratif songsang dan kesalahfahaman masyarakat mengenai isu yang saya bangkitkan, berikut adalah penjelasan saya:

1. Mengapa ketika menjadi Naib Canselor dahulu saya tidak membangkitkan isu ini?

Kerana pada ketika itu pelaksanaan saluran ini belum dipromosikan secara meluas seperti hari ini. Malahan saya sendiri tidak mendukung cara kemasukan melalui kaedah Saluran Terbuka yang mana saya rujuk sebagai Pintu Belakang. 

Namun begitu, setelah saya tidak lagi berkhidmat sebagai Naib Canselor khususnya beberapa tahun kebelakangan ini, trend kemasukan melalui saluran ini semakin berkembang dan dilihat universiti awam semakin rancak mempromosikannya.  

Atas sebab itu saya mula bersuara khususnya apabila melihat perkara ini semakin serius dan pada saya bahawasanya penelitian serius perlu dibuat demi memastikan akses ke universiti awam berasaskan merit terus kekal terpelihara demi keadilan buat semua rakyat Malaysia.

2. Adakah saya membuat fitnah?

Tidak.

Saya mempunyai fakta, data dan asas yang kukuh bagi setiap kenyataan yang saya buat. Pengalaman, dokumen dan bukti berkaitan akan saya kemukakan kepada pihak mahkamah melalui pasukan peguam saya.

3. Adakah ini serangan politik?

Tidak.

Perjuangan saya adalah untuk memperbaiki sistem pendidikan tinggi negara. Saya berhujah atas isu kelemahan polisi berkaitan kaedah kemasukan pelajar yang diguna pakai oleh universiti awam dan KPT hari ini.

Saya percaya semua pihak yang rasional iaitu tanpa mengira fahaman politik akan bersama mempertahankan hak anak-anak Malaysia untuk mendapat akses pendidikan tinggi khususnya ijazah sarjana muda sepenuh masa secara adil iaitu berasaskan merit. 

4. Mengapa kemasukan berasaskan merit sangat penting?

Ia adil kepada semua pihak. Tempat anak miskin atau siapa sahaja yang layak berasaskan merit untuk mengikuti program akademik mesti dipertahankan. Tempat itu tidak boleh sama sekali 'dijual' kepada pelajar yang mampu 'membelinya' walaupun merit mereka setara apatah lagi jika lebih rendah dari pelajar miskin yang masuk melalui saluran UPU.  Dengan kata lain, 'menjual' tempat kepada pelajar melalui Saluran Terbuka adalah satu kezaliman kepada pelajar miskin.

Tambahan pula, saya memiliki data permohonan kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda Universiti Awam diterima melalui UPUOnline. Daripada jumlah itu, saya tahu berapa ramai berjaya ditawarkan tempat dan berapa ramai gagal.

5. Adakah benar saya menyebut jumlah seperti diperkatakan?

Ya, benar.

Angka tersebut bukan dibuat secara sewenang-wenangnya. Saya mempunyai asas dan analisis yang menyokong kenyataan tersebut. Malah, data yang berada dalam simpanan saya menunjukkan jumlahnya berpotensi lebih besar daripada itu.

6. Bukankah private wing memang sudah wujud di universiti awam?

Ya, memang ada beberapa universiti awam memilikinya. Namun begitu, konsep private wing sebenar perlu jelas di mana universiti awam itu perlu menubuhkan entiti private wing itu dengan jelas seperti mempunyai pensyarah, pentadbir, bangunan, fasiliti dan program akademiknya sendiri. Private wing yang memiliki semua ini tidak menjadi masalah.

Apa yang menjadi persoalan utama ialah apabila private wing itu menggunakan kemudahan universiti awam tanpa tadbir urus dan pemisahan yang jelas antara operasi public wing (core business universiti awam) dan private wing (entiti swasta milik universiti awam itu).

Lebih buruk lagi dari aspek tadbir urus ialah apabila pelajar masuk melalui Saluran Terbuka @ private wing dengan kadar yuran komersil tetapi belajar dalam kelas yang sama dengan pelajar yang masuk melalui saluran UPU yang membayar 10 peratus sahaja dari keseluruhan yuran pengajian.

7. Adakah isu yang saya bangkitkan juga merujuk kepada pelajar yang masuk melalui saluran Pembelajaran Jarak Jauh (PJJ), APEL, program kerjasama khas industri, program kerjasama khas institusi/agensi dan seumpama dengannya? 

Tidak.

Apa yang saya bangkitkan ialah berkaitan program akademik sepenuh masa dan lebih tepat lagi peringkat ijazah sarjana muda. Mereka yang masuk ke satu-satu program akademik itu dengan membayar yuran penuh dan atas sebab membayar yuran penuh itu, syarat atau merit mereka direndahkan berbanding kumpulan pelajar yang masuk melalui saluran UPU iaitu berasaskan merit sepenuhnya.

Seperti yang saya jelaskan di atas, pelajar melalui Saluran Terbuka ini mengikuti pengajian menggunakan program akademik, kelas, pensyarah, makmal, fasiliti dan infrastruktur yang sama dengan pelajar yang masuk melalui saluran UPU. 

Inilah titik utama permasalahan yang saya bangkitkan. Secara khususnya saya mempersoal akan kegagalan universiti awam mendukung aspirasi pendidikan negara, prinsip tadbir urus baik, integriti dan tanggungjawab moral dalam mengurus dan menggunakan fasiliti universiti awam yang dibiayai oleh wang rakyat atau pembayar cukai. 

7. Mengapa saya dihadapkan ke mahkamah?

Difahamkan terdapat 15 laporan polis yang dibuat dan kebanyakannya melibatkan universiti awam. Tidak pelik mengapa mereka membuat laporan polis kerana pendedahan saya ini menganggu gugat universiti awam yang sangat giat mempromosikan saluran terbuka ini.

Saya juga melihat terdapat beberapa institusi yang memberikan kenyataan secara terbuka di media sosial sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah mereka sedang mengambil pendirian dalam polemik ini.

Walau bagaimanapun, saya menghormati proses undang-undang dan akan menjawab segala dakwaan melalui saluran mahkamah.

8. Adakah pertuduhan ini bermakna saya bersalah?

Tidak.

Saya telah mengaku tidak bersalah dan memohon supaya kes ini dibicarakan sepenuhnya di mahkamah.

Sebutan semula kes telah ditetapkan pada 30 Julai 2026 bagi tujuan serahan dokumen.

9. Apa yang berlaku semasa prosiding mahkamah?

Pihak pendakwaan memohon wang jaminan sebanyak RM10,000 serta memohon supaya pasport antarabangsa saya diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Barisan peguam saya, yang diketuai oleh Tuan Mohd Faizi Che Abu, berhujah bahawa jumlah tersebut adalah tidak munasabah dan bersifat menghukum.

Beliau turut berhujah bahawa permohonan sekatan perjalanan adalah tidak wajar kerana ia seolah-olah menghukum seorang tertuduh sebelum kes diputuskan oleh mahkamah.

Mahkamah akhirnya membenarkan saya diikat jamin sebanyak RM5,000, tanpa sebarang sekatan perjalanan dan tanpa syarat tambahan.

Sesungguhnya perjuangan saya dalam hal ini adalah untuk membela nasib semua anak Malaysia (Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak dan lain-lain bangsa) khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan iaitu B40 dan M40. 

Saya mahu hak mereka untul masuk ke universiti awam terbela. Kemasukan melalui saluran UPU berasaskan merit membolehkan  semua pihak iaitu pelajar miskin dan kaya mempunyai peluang yang sama untuk mengikuti program-program akademik kritikal seperti perubatan, farmasi, kejuruteraan, perakauan, perundangan, IT dan lain-lain.

Untuk itu saya akan kekal istiqomah dalam memperjuangkan hal ini demi masa depan pendidikan anak-anak Malaysia dan demi keadilan buat semua anak muda negara. Dengan kata lain saya akan berjuang dan memastikan tiada satu pun tempat di universiti awam 'dijual' kepada mereka yang mempunyai duit. 

Akhir kata, seluruh rakyat Malaysia perlu mempertahankan dasar dan kaedah untuk masuk ke universiti awam itu kekal berasaskan merit demi keadilan dan ketelusan kepada semua.

Haim Hilman Abdullah

26.06.2026

Rabu, 24 Jun 2026

Liku-liku kejayaan pelumba cilik Hakim Danish juarai Moto3 Grand Prix Republik Czech

 

Ada satu benda yang menarik tentang kemenangan Hakim Danish ni. Dia tidak menang dalam keadaan semuanya mudah.

Muhammad Hakim Danish Ramli, anak muda dari Terengganu, baru sahaja menang Moto3 Grand Prix Republik Czech di Litar Brno. Bukan menang biasa-biasa.

Dia sepatutnya bermula di petak hadapan, tetapi dikenakan penalti dan terpaksa mula dari petak ke-14. Dari belakang, dia kejar satu demi satu pelumba dunia, masuk kelompok depan, tunggu masa, pilih ruang, kemudian sailang pada saat paling tepat.

"Tak kosong" orang kata.

Hakim Danish bukan muncul tiba-tiba dari langit. Dia datang daripada sistem pembangunan yang panjang. Asia Talent Cup. Red Bull Rookies Cup. JuniorGP. SIC. ZK Racing. AEON Credit-MT Helmets-MSI. Terengganu Inc. Semua ini bahagian penting dalam cerita dia.

Dalam sukan permotoran, orang selalu nampak pelumba sahaja. Tapi di belakang seorang pelumba, ada satu pasukan yang hidup dalam tekanan.

Ada mekanik yang tak tidur lena. Ada jurutera yang baca data sampai pening kepala. Ada jurulatih yang tegur benda kecil. Ada pengurus pasukan yang pening cari dana. Ada penaja yang percaya sebelum budak itu jadi berita besar.

Kita jangan lupa orang-orang yang percaya ketika dia belum menang. Sebab percaya sebelum menang itu mahal. 

Sebelum ini KBS pernah sahkan tiada dana khusus untuk Hakim mengharungi Moto3 musim ini. Selepas dia naik podium, barulah disebut pintu sokongan sentiasa terbuka.

Alhamdulillah, pintu terbuka.

Sukan permotoran bukan sukan murah. Untuk bawa Jalur Gemilang ke pentas dunia, bakat sahaja tidak cukup. Perlu duit. Perlu logistik. Perlu mesin. Perlu pasukan. Perlu kalender perlumbaan. Perlu latihan luar negara. Perlu keberanian institusi untuk melabur sebelum keputusan datang.

Kalau tunggu atlet menang baru hendak nampak, itu bukan pembangunan. Itu menumpang cahaya (limelight).

Satu lagi yang saya hormat, Hakim Danish bukan sahaja bawa nama Malaysia. Dia juga bawa prinsip dirinya.

Ketika podium di Itali sebelum ini, dia dilihat meninggalkan pentas lebih awal untuk mengelak semburan champagne. Untuk seorang anak muda Muslim, itu "statement" yang besar.

Sewaktu di pentas kemenangan di Republik Czech ni pula, awal-awal lagi pengurus dia dah ketepikan botol champagne dari podium. Maknanya pasukan dia pun faham dengan prinsip itu.

Itu indah.

Hari ini kita raikan Hakim Danish. Kita raikan pasukannya. Kita raikan semua orang yang bekerja dalam senyap sampai Jalur Gemilang naik di pentas dunia.

Bakat seperti ini mungkin datang 10 tahun sekali. Jangan tunggu dia sudah sampai podium baru kita berebut mahu berdiri di sebelahnya.

Tahniah Hakim Danish.

Source 

Tambahan dari komen netizen

ADA SEPEKARA LAGI YANG KALIAN PERLU TAHU👇

Majoriti pelumba rookie (pelumba baharu) di Moto3 memang tidak dibayar gaji pokok langsung oleh pasukan mereka.

Malah, dalam kebanyakan kes, situasinya adalah terbalik. Pelumba rookie yang perlu membayar pasukan untuk mendapatkan tempat (seat) bagi berlumba dalam musim tersebut.

Mengapa Rookie Moto3 Tiada Gaji Pokok? 

Sistem Pay Rider 

Pasukan Moto3 mempunyai bajet yang sangat terhad. Kos operasi satu pasukan Moto3 je boleh mencecah RM7 juta hingga RM10 juta semusim. 

Oleh itu, kebiasaannya pasukan terpaksa menjual slot perlumbaan kedua mereka kepada pelumba rookie yang mampu membawa dana penajaan untuk membantu menampung kos operasi pasukan.

Contohnya macam kes Hakim Danish.

Beliau ialah pelumba rookie, pelumba baru yang belum ada nama.  Bermaksud beliau juga ialah pelumba kedua bagi pasukan MT Helmets – MSI.

Apabila pasukan tidak tahu keupayaan sebenar seorang pelumba, mereka tak akan mengambil risiko untuk menghabiskan jutaan ringgit setahun kepada pelumba tersebut.

Jadi untuk mendapatkan seat pelumba kedua, Hakim Danish perlu "membayar" kos operasi yang pasukan tetapkan.

Dalam situasi ini, AEON Credit Service (M) Berhad sudi masuk sebagai penaja utama untuk menyokong slot rider kedua tersebut.

Kemasukan syarikat gergasi kewangan itu telah menyelesaikan isu dana perlumbaan Hakim Danish yang mencecah RM4 juta semusim, sekali gus mengubah nama pasukan kepada AEON Credit MT Helmets - MSI.

Tetapi perkara yang bagusnya ialah..

Pelumba Kedua lebih bagus dari Pelumba Utama.

Dalam contoh kes pasukan AEON Credit MT Helmets - MSI, pelumba kedua (Hakim Danish) lebih menyerlah dan lebih hebat berbanding pelumba utama iaitu Ryusei Yamanaka.

Jika perkara ini berterusan, Hakim Danish bakal dinaikkan pangkat menjadi pelumba utama pasukan (musim hadapan) Itu bermakna pasukan MSI mungkin akan mengurangkan jumlah yuran slot (seat cost) yang perlu dibawa oleh Hakim.

Pasukan juga sanggup membayar gaji pokok peribadi yang jauh lebih lumayan. Berserta dengan bonus perlumbaan yang lebih tinggi.

Malah penaja tidak lagi perlu "dicari", sebaliknya jenama-jenama korporat besar pula yang akan beratur untuk menaja Hakim kerana nilai komersialnya yang sudah melonjak tinggi.

Perkara ini bukan berlaku ke atas pelumba Moto3 sahaja. Ia perkara sama yang perlu dilalui oleh pelumba-pelumba kelas atasan yang lain seperti Moto2 dan MotoGP.

Bilakah Pelumba Langsung Tidak Perlu Membawa Penaja?

Pelumba hanya akan bebas 100% daripada bebanan membawa penaja komersial apabila mereka berjaya melangkah masuk ke dalam pasukan kilang (factory team)

Pada tahap premium tersebut, pengeluar motosikal gergasi dunia itu yang akan membayar gaji serta bonus yang mahal kepada pelumba. Tak perlu pening fikir pasal penaja lagi.

Dan ada ura-ura mulai tahun 2027, semua pelumba MotoGP akan menerima gaji minimum tahunan berjumlah €500 ribu atau RM2.4 juta.

Angka €500,000 ini dirancang sebagai had gaji paling sedikit setahun untuk pelumba kelas utama MotoGP mulai musim 2027 bagi memastikan tiada pelumba di kelas premium tersebut yang dibayar terlalu rendah.

Berita tersebut sangat bagus untuk pelumba-pelumba masa hadapan dan kita doakan semoga prestasi Hakim Danish sentiasa cemerlang dan terbilang bagi menghadapi mana-mana perlumbaan kelak.

Supaya beban mencari dana tajaan tidak terasa dan ada gaji dan bonus yang mencukupi untuk kegunaan beliau sendiri dan keluarga.

Khamis, 11 Jun 2026

Minda Presiden:Hadi Awang dedah 'perangai' Bersatu

 

PAS mendedahkan beberapa punca yang didakwa menjadi sebab kepimpinan pusat parti itu mengambil keputusan memutuskan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), termasuk dakwaan cubaan melemahkan dan memperbodohkan PAS.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, bentuk kerjasama yang paling longgar bersama Bersatu dan parti lain sebelum ini adalah bagi mengambil alih kerajaan menerusi akuan berkanun (SD).

Menurut beliau, langkah itu melalui proses yang betul dan bukannya menerusi apa yang dinamakan sebagai Langkah Sheraton yang bersifat singkat, sebelum diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk menonjolkan individu tertentu.

Katanya, apabila Bersatu mengambil peluang mendapatkan kuasa melalui perkiraan kerusi, tujuan asal demi perpaduan umat didakwa telah berubah kepada usaha menguasai majoriti umat Islam bersama parti bukan Islam,  tanpa mengambil kira kedudukan Islam sebagai teras pemerintahan dan dominasi Melayu bumiputera.

“Tiba-tiba, Bersatu cuba melemahkan peranan PAS yang meneroka perubahan politik dan membodohkan PAS dengan menghalang penyertaan parti yang lebih banyak, khususnya parti Melayu Islam.

“Seperti parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) serta Kongres India Malaysia (MIC) yang merupakan parti bukan Islam yang tidak ekstrem,” katanya menerusi penulisan Minda Presiden PAS di Facebook, hari ini.

Abdul Hadi berkata, Bersatu turut melakukan pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) secara rakus tanpa mengambil kira kelayakan calon, kemampuan jentera dan jumlah keahlian, selain didakwa memberikan maklumat yang tidak tepat mengenai jumlah ahli serta kekuatan jentera parti itu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan ahli PAS yang bekerja secara sukarela terpaksa bertindak seperti buruh paksa bagi membantu calon-calon yang didakwa tidak mempunyai kelayakan dan jentera sendiri.

“Malah, berlaku krisis dalaman yang parah dalam Bersatu sendiri kerana perebutan kuasa sehingga berlaku pemecatan yang tidak mengikut proses disiplin yang bermoral.

“Sehinggakan, sebahagian besar ahli Parlimen yang berperanan dan aktif bersama PAS yang dikenali oleh PAS telah disingkirkan, digantung dan dipecat.

“Ada juga yang melompat keluar daripada parti, apabila dicampurkan kesemuanya, jumlahnya sangat besar iaitu dua pertiga daripada ahli parti yang boleh menjejaskan kekuatan PN dan menjatuhkan maruahnya,” katanya.

Beliau turut mengimbau episod kejatuhan bekas Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli yang menyaksikan Abu Bakar Hamzah daripada Bersatu mengisi jawatan berkenaan.

“Demikian juga langkah merosakkan operasi politik yang dirancang kerana mahukan jawatan Perdana Menteri dan operasi mengambil alih kerajaan Negeri Sembilan yang dipengaruhi DAP dengan menarik SD sokongan sehingga menggagalkan jumlah yang sudah mencukupi.

“Langkah oportunis pemimpinnya mengganggu perjuangan asal penyatuan ummah. Maka, PAS wajib melakukan sesuatu yang tegas demi perjuangannya yang berprinsip,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, PAS sebelum ini telah berusaha melakukan pembetulan terhadap Perlembagaan PN yang disifatkan lemah serta menegur sikap yang dianggap tidak wajar menerusi mesyuarat, pertemuan khusus dan perbincangan secara peribadi.

“Namun begitu, tiada tindakan daripada Bersatu yang sibuk dengan masalah dalamannya. Akhirnya, PAS terpaksa menelan pahitnya dalam PRU, Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Dalam kerjasama ta‘awun siyasi yang bersifat fleksibel, sebenarnya PAS tidak terikat dengan perlembagaan yang dicipta dan tidak perlu menghabiskan masa dengan masalah dalaman pihak lain yang boleh menjejaskan urusan yang patut diutamakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PAS terbuka kepada semua kumpulan dengan berpegang teguh kepada prinsip serta meneruskan perjuangan secara istiqamah, khususnya dalam menjayakan agenda perpaduan umat Islam dan masyarakat majmuk.

“PAS tidak pernah rugi dalam semua kerjasama termasuk dengan parti Bersatu walaupun mengorbankan tenaga ahlinya kerana meraikan pihak yang lain. Sehinggakan, PAS terpaksa mengorbankan kerusinya dan memberi lebih banyak kerusi kepada Bersatu yang rakus akan kerusi.

“Namun begitu, ia memberikan kemenangan besar kepada PAS sehingga berjaya menawan empat negeri dan menambah jumlah kerusi yang dimenangi di beberapa negeri termasuk menembusi Sabah dan mendapat kerusi terbanyak di Parlimen.

“PAS juga menambah kawan baharu yang dipecat daripada parti Bersatu yang bertaraf pemimpin yang menjadi kekuatan baharu kepada PAS,” katanya. – UTUSAN

Isnin, 8 Jun 2026

KENYATAAN MEDIA PAS PUSAT berkaitan KERJASAMA POLITIK PAS–BERSATU

 KENYATAAN MEDIA PAS PUSAT

KERJASAMA POLITIK PAS–BERSATU

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diadakan pada hari ini, Isnin 8 Jun 2026, telah membuat ketetapan seperti berikut:

i. Memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Jun 2026 berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik PAS, atas prinsip penyatuan ummah;

ii. Meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik PAS–BERSATU berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa;

iii. Menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU;

iv. Meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya (electoral pact) demi penyatuan ummah, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum ke-16; dan

v. Menerima hasrat tokoh-tokoh akademik, profesional, pemimpin politik, dan aktivis masyarakat untuk menyertai PAS.

“Kembali Kepada Penyelesaian Islam”

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 22 Zulhijjah 1447 / 8 Jun 2026

Source