Kuala Lumpur: Tuan rumah yang mengadakan kenduri kahwin atau majlis sosial perlu bertanggungjawab menggunakan khidmat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi 'menegur' tetamu yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam Dr Hanafiah Bashirun berkata, peningkatan mendadak kes Covid-19 yang melebihi 2,000 ketika ini disebabkan tiada pematuhan SOP di majlis kenduri kahwin dan sosial lain.
"Bagi saya, siapa yang dapat jangkitan Covid-19 ini kerana mereka tidak patuh SOP dan tak dengar nasihat.
"Sudah lebih setahun kita berhadapan dengan pandemik ini dan tahu macam mana jangkitan berlaku dan langkah pencegahan, namun masyarakat kita masih alpa.
"Inilah masalah rakyat Malaysia, apabila diberi kelonggaran mereka mengambil kesempatan dan kini kes baharu pandemik ini sudah melebihi angka 2,000.
"Pastinya kita tidak boleh sambut hari raya juga tahun ini kerana perangai segelintir rakyat yang degil hingga meningkatkan kes harian Covid-19," katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, setiap kelonggaran diberi kerajaan sepatutnya diambil dengan perasaan bersyukur dan bukan mengambil kesempatan tidak mematuhi SOP.
"Di majlis kenduri kahwin, amat sukar untuk kerajaan pantau, takkan kita nak letak polis atau ATM (Angkatan Tentera Malaysia) untuk pantau, tidak boleh.
"Agak sukar untuk kerajaan menyekat majlis kahwin sebab orang nak berkahwin tetapi cadangan saya perketatkan jumlah kehadiran tetamu.
"Jika kehadiran tetamu seramai 250 orang, kerajaan perlu perketatkan jumlah tetamu 100 orang saja," katanya.
Menurutnya, dia berharap tuan rumah kenduri kahwin lebih bertanggungjawab dengan menempatkan anggota Rela tempatan untuk mengawal selia pematuhan SOP.
"Jika ada tetamu bersalaman dan berpelukan, mereka perlu ditegur kerana inilah cara mudah penularan jangkitan yang boleh kita dapat daripada pandemik ini," katanya.
Menurutnya, melihatkan gambar di sosial media, beliau tidak menolak kemungkinan wujud Kluster Bazar pula selepas ini kerana pengunjung boleh bersesak tanpa mengawal kendiri di bazar Ramadan.
"Bukan saya mahu mendoakan, tetapi tunggulah kluster itu pula apabila pengunjung duduk dalam keadaan rapat yang boleh mengundang penularan.
"Walhal 'benda' ini 'simple' saja, kita boleh kawal Covid-19 ini jika mematuhi SOP dan terima hakikat Covid-19 ini sudah berada dengan kita," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan