Rabu, 21 April 2021

FIQAH PUASA:Solat Tarawih (Bahagian 2)

 


SOLAT SUNAT TARAWIH

Bahagian Kedua

WAKTU SOLAT TARAWIH

Waktu solat tarawih ialah waktu isyak sebagaimana waktu solat witir dan disyaratkan hendaklah dikerjakan selepas ditunaikan solat isyak dan kekal waktunya sampai terbit fajar.

Jika belum ditunaikan solat isyak maka belum dikira masuk waktu solat tarawih walaupun dia telah tunaikan solat maghrib dan walaupun sudah masuk waktu isyak.

Dan begitu juga jika dia kerjakan tarawih sebelum waktu isyak melainkan pada masalah jamak takdim.

Ada pun jika dikerjakan dalam waktu maghrib pada masalah solat jamak takdim maka yaitu sah yakni dikerjakan akan tarawih itu selepas ditunaikan solat isyak jamak takdim dalam waktu maghrib.

Berkata olih Syeikh Said Al-Hadhrami As-Syafie :

(ووقتها): (بين) فعل (العشاء) ولو مقدمة في الجمع (و) طلوع (الفجر) الصادق كالوتر

Artinya : “Bermula waktu solat tarawih itu ialah antara dikerjakan solat isyak sekalipun isyak jamak takdim dan terbit fajar sadiq (subuh) sama seperti witir.” (Kitab Busyral Karim)

Maka jika dia baru menunaikan solat isyak jam 12 tengah malam maka saat itulah bermulanya waktu solat tarawih baginya.

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah :

وَلَوْ صَلاَّهَا بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَقَبْل الْعِشَاءِ فَجُمْهُورُ الْفُقَهَاءِ وَهُوَ الأْصَحُّ عِنْدَ الْحَنَفِيَّةِ عَلَى أَنَّهَا لاَ تُجْزِئُ عَنِ التَّرَاوِيحِ

Artinya : “Kalau seorang kerjakan solat tarawih selepas maghrib dan sebelum isyak maka jumhur ulamak fiqh yaitu mazhab Maliki dan Syafie dan Hanbali dan pendapat paling sahih mazhab hanafi bahawasanya ia tidak menjadi solat tarawih.”

Olih itu tidak sah dikerjakan solat tarawih sebelum ditunaikan solat isyak sekalipun di dalam waktu isyak.

Berkata Imam Nawawi :

يَدْخُلُ وَقْتُ التَّرَاوِيحِ بِالْفَرَاغِ مِنْ صَلَاةِ الْعِشَاءِ 

Artinya : “Masuk waktu solat tarawih itu dengan selesai seorang dari menunaikan solat fardu isyak.” (Kitab Al-Majmu’)

Jika selepas menunaikan solat tarawih seorang itu sedar bahawa solat isyak yang telah dia kerjakan  sebelum itu tidak sah maka hendaklah diulangi akan solat tarawih kerana solat tarawih itu telah dikerjakan sebelum menunaikan solat isyak.

Begitu juga jika keesokkan harinya misalan baru seorang itu teringat bahawa semalamnya dia hanya kerjakan solat tarawih tanpa mengerjakan solat isyak.

Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili :

ووقتها بعد صلاة العشاء وبعد سنتها قبل الوتر إلى طلوع الفجر الثاني، فلا تصح قبل صلاة العشاء، فمن صلى العشاء ثم التراويح، ثم ذكر أنه صلى العشاء محدثاً، أعاد التراويح؛ لأنها سنة تفعل بعد مكتوبة، فلم تصح قبلها، كسنة العشاء. وإن طلع الفجر، فات وقتها، ولا تقضى. وإن صلى التراويح بعد العشاء، وقبل سنتها، صح جزماً، ولكن الأفضل فعلها بعد السنة، على المنصوص.

Artinya : “Dan waktu solat tarawih itu ialah selepas menunaikan solat isyak dan selepas solat sunat isyak sebelum dari witir sehingga terbut fajar yang kedua (fajar subuh). Maka tidak sah tarawih sebelum solat isyak. Maka siapa yang kerjakan solat isyak kemudian solat tarawih kemudian dia teringat bahawa dia solat isyak dalam keadaan berhadas nescaya hendaklah dia ulangi solat tarawih itu kerana bahawasanya tarawih itu ialah sunat yang dikerjakan selepas yang fardu maka tidak sah dikerjakan sebelumnya. Dan jika telah terbit fajar maka habislah waktu solat tarawih. Jika dikerjakan solat tarawih selepas solat isyak tetapi sebelum solat sunat isyak necsaya sah ia akan tetapi yang afdhal mengerjakan tarawih itu selepas sunat isyak atas yang telah dinaskan.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Dan yang afdhal ialah mengerjakan solat sunat tarawih ini pada satu pertiga malam atau tengah malam sebagaimana diriwayatkan para sahabat mengerjakannya.

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah :

وَذَهَبَ الْحَنَفِيَّةُ وَالشَّافِعِيَّةُ إِلَى أَنَّهُ يُسْتَحَبُّ تَأْخِيرُ التَّرَاوِيحِ إِلَى ثُلُثِ اللَّيْل أَوْ نِصْفِهِ

Artinya : “Dan telah berjalan olih ulamak mazhab Hanafi dan Syafie kepada bahawasanya disunatkan melambatkan solat tarawih hingga satu pertiga malam atau di tengah malam.”

Adapun yang biasa diamalakan di negera kita solat tarawih awal malam selepas solat isyak maka yaitu tidak menjadi kesalahan.

QADHA SOLAT TARAWIH

Jika seorang itu terluput dari menunaikan solat tarawih pada malamnya maka disunatkan atasnya qadha pada ketika ingatnya dan begitu juga jika terhalang dari menunaikannya kerana sesuatu uzur.

Berkat Syeikh Khatib As-Syarbini :

قَال النَّوَوِيُّ: لَوْ فَاتَ النَّفَل الْمُؤَقَّتُ نُدِبَ قَضَاؤُهُ فِي الأْظْهَرِ

Artinya : “Telah berkata olih Imam Nawawi : Kalau seorang itu terluput solat sunat yang berwaktu nescaya disunatkan atasnya qadhanya pada pendapat yang Azhar.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)

Yakni solat tarawih itu sama seperti solat sunat yang lain apabila luput dengans sebab suatu uzur maka sunat diqadha bila berkesempatan.

DIKERJAKAN DUA RAKAAT SATU SALAM

Telah berjalan olih fuqahak kepada bahawasanya siapa yang solat tarawih hendaklah dia beri salam dari tiap-tiap dua rakaat kerana sungguhnya tarawih itu ialah dari solat-solat waktu malam maka hendaklah ada ia dua-dua rakaat kerana sabit pada hadith Nabi saw telah bersabda :

صَلاَةُ اللَّيْل مَثْنَى مَثْنَى

Artinya : “Bermula solat pada malam itu ialah dua dua rakaat.” (Riwayat Al-Bukhari)

Dakn hikmah diringkaskan dengan satu salam setiap dua rakaat ialah memelihara orang-orang yang menjadi makmum supaya tidak memberatkan mereka.

Berkata Imam Nawawi :

فَلَوْ صَلَّى أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ بِتَسْلِيمَةٍ لَمْ يَصِحَّ ذَكَرَهُ الْقَاضِي حُسَيْنٌ فِي فَتَاوِيهِ لِأَنَّهُ خِلَافُ الْمَشْرُوعِ

Artinya :“Maka jikalau  seorang solat akan tarawih dengan empat rakaat satu salam nescaya tidak sah ia. Telah menyebutnya olih Al-Qadhi Husain pada Fatawanya kerana sungguhnya iaitu menyalahi yang telah disyariatkan.” (Kitab Al-Majmu’)

Berkata Fuqahak :

لَوْ صَلَّى فِي التَّرَاوِيحِ أَرْبَعًا بِتَسْلِيمَةٍ وَاحِدَةٍ لَمْ يَصِحَّ، فَتَبْطُل إِنْ كَانَ عَامِدًا عَالِمًا، وَإِلاَّ صَارَتْ نَفْلاً مُطْلَقًا

Artinya : “Kalau seorang itu kerjakan solat tarawih dengan empat rakaat satu salam nescaya tidak sah dan membatalkan jika sengaja dan tahu. Dan jika bukan disengajakan maka jadilah solat itu solat sunat mutlak.” (Kitab Qalyubi & An-Nihayah)

Dan telah sepakat para ulamak fiqh disunatkan duduk imam dan makmum selepas selesai empat rakaat dengan dua kali salam dan harus dia berzikir dan berdoa ketika berehat itu dengan apa jua zikir dan doa yang elok berkait urusan dunia dan akhirat.

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyyah :

اتَّفَقَ الْفُقَهَاءُ عَلَى مَشْرُوعِيَّةِ الاِسْتِرَاحَةِ بَعْدَ كُل أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ؛ لأِنَّهُ الْمُتَوَارَثُ عَنِ السَّلَفِ، فَقَدْ كَانُوا يُطِيلُونَ الْقِيَامَ فِي التَّرَاوِيحِ وَيَجْلِسُ الإْمَامُ وَالْمَأْمُومُونَ بَعْدَ كُل أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ لِلاِسْتِرَاحَةِ

Artinya : “Telah sepakat para Fuqahak atas disunatkan duduk berehat selepas empat rakaat kerana bahawasanya ialah yang diwarisi dari para salaf. Maka sungguhnya mereka itu telah memanjangkan qiam pada solat tarawih dan duduk imam dan sekelian makmum selepas empat rakaat kerana merehatkan diri.”

SOLAT TARAWIH DI MASJID BERJEMAAH

Mengerjakan solat tarawih secara berjemaah di masjid lebih afdhal dari mengerjakannya di rumah secara berjemaah atau sendirian.

Ini adalah kerana sabit dalam hadith-hadith Nabi saw keluar kepada solat tarawih di masjid selama tiga malam berturut-turut sebelum pada malam ke empatnya solat baginda di dalam rumah.

Maka Nabi saw solat tarawih di masjid itu menunjukkan atas afdhalnya dan solat di rumah pula selepas itu menunjukkan atas harusnya.

Berkata Imam Nawawi :

قَدْ ذَكَرْنَا أَنَّ الصَّحِيحَ عِنْدَنَا أَنَّ فِعْلَ التَّرَاوِيحِ فِي جَمَاعَةٍ أَفْضَلُ مِنْ الِانْفِرَادِ وَبِهِ قَالَ جَمَاهِيرُ الْعُلَمَاءِ

Artinya : “Sungguh telah kami sebutkan bahawa yang sahih disisi kami mengerjakan tarawih secara berjemaah itu afdhal dari solat sendirian. Dan dengan pendapat inilah telah berkata olih jumhur ulamak.” (Kitab Al-Majmu’)

Berkata Imam As-Syairazi :

والافضل ان يصليها في جماعة نص عليه البويطي لِمَا رُوِيَ أَنَّ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ جمع الناس علي ابى بن كعب

Artinya : “Dan yang afdhal bahawa dikerjakan solat tarawih itu dalam berjemaah sebagai telah menaskan atasnya olih Imam Al-Buwaithi kerana telah diriwayatkan sungguhnya Umar r.a. telah mengumpulkan manusia bersolat di belakang Ubai bin Ka’ab r.a.” (Kitab Al-Muhazzab)

Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili :

وفعلها في المسجد أفضل؛ لأن النبي صلّى الله عليه وسلم «صلاها مرة ثلاث ليال متوالية» كما روته عائشة

Artinya : “Dan menunaikan tarawih di masjid itu afdhal dari kerana sungguhnya Nabi saw telah kerjakannya (dimasjid) tiga malam berturut-turut seperti yang telah meriwayatkannya olih Aisyah r.a.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

BACAAN SOLAT TARAWIH

Tidak ada sebarang surah atau ayat tertentu yang dibaca ketika mengerjakan solat tarawih maka harus bagi seorang yang solat sendirian atau yang menjadi imam membaca akan apa jua surah atau ayat yang dia suka selepas membaca fatihah sekira-kira meraikan akan orang-orang yang menjadi makmum dibelakangnya jika dia imam.

Jika dia suka maka dibacanya surah yang panjang dan jika dia suka maka dibacanya surah yang pendek.

Dan setengah ulamak menyebut jika di baca satu juzuk sehari sehingga khatam dalam sebulan Ramadhan nescaya ia adalah sangat elok.

Dan setengah imam yang membaca tiga kali surah Al-Ikhlas pada setiap rakaat maka yaitu elok dan setengahnya membaca akan surah Al-Qadar dan Al-Ikhlas dan setengahnya membaca surah Al-Kafirun dan surah Al-Ikhlas dan berbagai surah yang dibaca mengikut imam yang berbeza dan tempat yang berlainan.

Berkata Syeikh Al-Qalyubi :

وَأَفْتَى ابْنُ الصَّلَاحِ وَابْنُ عَبْدِ السَّلَامِ بِأَنَّ خَتْمَ الْقُرْآنِ فِي مَجْمُوعِهَا أَفْضَلُ مِنْ قِرَاءَةِ سُورَةِ الْإِخْلَاصِ ثَلَاثًا فِي كُلِّ رَكْعَةٍ

Artinya : “Telah menfatwakan olih Imam Ibnu As-Solah dan Ibnu Abdi As-Salam dengan bahawa khatamkan Al-Quran pada sekelian solat afdhal dari membaca surah Al-Ikhlas tiga kali setiap rakaat.” (Hasyiah Al-Qalyubi)

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyyah :

وَصَرَّحَ الْمَالِكِيَّةُ وَالشَّافِعِيَّةُ بِأَنَّهُ يُنْدَبُ لِلإِْمَامِ الْخَتْمُ لِجَمِيعِ الْقُرْآنِ فِي التَّرَاوِيحِ فِي الشَّهْرِ كُلِّهِ، وَقِرَاءَةُ سُورَةٍ فِي تَرَاوِيحِ جَمِيعِ الشَّهْرِ تُجْزِئُ، وَكَذَلِكَ قِرَاءَةُ سُورَةٍ فِي كُل رَكْعَةٍ

Artinya : “Telah menjelaskan olih ulamak mazhab Maliki dan Syafie bahawasanya disunatkan bagi imam khatam akan Quran pada solat tarawih dalam sebulan sekeliannya. Dan memadai jika membaca satu surah pada satu tarawih sekelian bulan. Dan begitu juga harus membaca satu surah pada setiap rakaat.”

Berkta Imamm Al-Kasani :

مَا أَمَرَ بِهِ عُمَرُ - رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُ - هُوَ مِنْ بَابِ الْفَضِيلَةِ، وَهُوَ أَنْ يَخْتِمَ الْقُرْآنَ أَكْثَرَ مِنْ مَرَّةٍ، وَهَذَا فِي زَمَانِهِمْ، وَأَمَّا فِي زَمَانِنَا فَالأْفْضَل أَنْ يَقْرَأَ الإْمَامُ عَلَى حَسَبِ حَال الْقَوْمِ، فَيَقْرَأُ قَدْرَ مَا لاَ يُنَفِّرُهُمْ عَنِ الْجَمَاعَةِ؛ لأِنَّ تَكْثِيرَ الْجَمَاعَةِ أَفْضَل مِنْ تَطْوِيل الْقِرَاءَةِ.

Artinya : “Apa yang disuruh olih Umar r.a. itu adalah termasuk dalam bab kelebihan yaitu mengkhatamkan Quran lebih banyak dari sekali. Dan ini ialah pada zaman mereka. Dan adapun pada zaman kita ini maka yang afdhal bahawa dibaca olih imam atas sekira-kira manusia yang menjadi makmum. Maka bacalah sekadar yang tidak melarikan makmum dari jemaah kerana meramaikan jamaah lebih afdhal dari memanjangkan bacaan.”

wallahua’lam 

ustaz azhar idrus

0 ulasan:

Catat Ulasan