IKTIKAF
Bahagian 1
ARTI IKTIKAF
Iktikaf الاعتكاف pada bahasa berarti :
الإقامة على الشيء والملازمة له
Artinya : “Mendirikan atas suatu dan melazimi baginya.”
Dan arti iktikaf pada syarak ialah :
اللبث في المسجد بنية مخصوصة
Artinya : “Tinggal atau berdiam di dalam masjid dengan niat yang tertentu.”
Menyebut olih Syeikh Khatib As-Syarbini :
وَشَرْعًا: اللُّبْثُ فِي الْمَسْجِدِ مِنْ شَخْصٍ مَخْصُوصٍ بِنِيَّةٍ
Artinya : “Dan arti iktikaf pada syarak ialah berdiam di dalam masjid olih seseorang dengan niat.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)
Syeikh Ramli membuat takrif iktikaf yang lengkap yaitu :
لُبْثٌ فِي مَسْجِدٍ بِقَصْدِ الْقُرْبَةِ مِنْ مُسْلِمٍ مُمَيِّزٍ عَاقِلٍ طَاهِرٍ عَنْ الْجَنَابَةِ وَالْحَيْضِ وَالنِّفَاسِ صَاحٍ كَافٍ نَفْسَهُ عَنْ شَهْوَةِ الْفَرْجِ مَعَ الذِّكْرِ وَالْعِلْمِ بِالتَّحْرِيمِ
Artinya : “Diam di dalam masjid dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah olih seorang Islam yang mumayyiz yang beraqal yang suci dari janabah dan haidh dan nifas yang menahan akan dirinya dari syahwat faraj serta ingat dan tahu dengan diharamkan.” (Kitab An-Nihayah)
Dan disyaratkan pula dengan Islamnya orang yang iktikaf kerana iktikaf adalah ibadah yang memerlkukan kepada niat.
Berkata Syeikh Ibnu Hajar :
فلا يصح من كافر لتوقفه على النية وهو ليس من أهلها
Artinya : “Maka tiada sah iktikaf dari orang bukan Islam kerana terhenti sahnya iktikaf itu atas niat dan orang bukan Islam itu bukan ia dari orang yang sah berniat.” (Kitab Minhajul Qawwim)
Adapun kanak-kanak yang telah mumayyiz dan hamba dan orang perempuan maka sah iktikaf mereka ini.
DALIL DISYARIATKAN IKTIKAF
Dalil disyariatkan iktikaf ialah Al-Quran dan sunnah dan ijmak.
Telah berfirman Allah Taala :
وَلاَ تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ
Artinya : “Dan jangan kamu sekelian menggauli akan mereka itu (isteri-isteri) sedangkan kamu sekelian sedang iktikaf di dalam segala masjid.” (Al-Baqarah : 187)
Dan telah diriwayatkan daripada Aisyah r.a. :
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الْأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ، حَتَّى تَوَفَّاهُ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ، ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ
Artinya : “Sungguhnya Nabi saw adalah baginda beriktikaf pada sepuluh yang akhir daripada Ramadhan sehingga baginda diwafatkan olih Allah Taala. Kemudian beriktikaf pula sekelian isteri-isterinya selepasnya.” (Hadith riwayat Imam Muslim)
Dan pada satu riwayat yang lain :
أَنَّهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اعْتَكَفَ الْعَشْرَ الْأُوَلَ مِنْ رَمَضَانَ، ثُمَّ الْأَوْسَطَ، ثُمَّ الْأَخِيرَ وَلَازَمَهُ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ تَعَالَى
Artinya : “Sungguhnya Nabi saw iktikaf pada sepuluh yang awal dari Ramadhan kemudian iktikaf pula pada pertengahannya kemudian yang akhir dan baginda melaziminya seghingga Allah Taala mewafatkannya.”
Dan pada riwayat Anas :
منذ قدم المدينة إلى أن توفاه الله تعالى
Artinya “(Nabi saw melakukan ibadah iktikaff) semenjak tiba di negeri Madinah sehinggalah mewaftkannya olih Allah Taala.” (Riwayat Bukhari)
Adalah iktikaf ini dari syariat Nabi-Nabi yang terdahulu.
Firman Allah Taala :
وَعَهِدْنَآ اِلٰٓى اِبْرٰهٖمَ وَاِسْمٰعِيْلَ اَنْ طَهِّرَا بَيْتِيَ لِلطَّاۤىِٕفِيْنَ وَالْعٰكِفِيْنَ وَالرُّكَّعِ السُّجُوْدِ
Artinya : “Dan telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail bersihkanlah akan rumah-Ku yakni Ka’bah bagi sekelian orang yang tawaf dan sekelian orang yang iktikaf dan sekelian yang rukuk dan sujud.” (Al-Baqarah : 125)
Dan adalah faedah iktikaf seperti yang disebut olih Dr Wahbah Az-Zuhaili :
صفاء القلب بمراقبة الرب والإقبال والانقطا ع إلى العبادة في أوقات الفراغ، متجرداً لها، ولله تعالى، من شواغل الدنيا وأعمالها، ومسلِّماً النفس إلى المولى بتفويض أمرها إلى عزيز جنابه والاعتماد على كرمه والوقوف ببابه، وملازمة عبادته في بيته سبحانه وتعالى والتقرب إليه ليقرب من رحمته، والتحصن بحصنه عز وجل، فلا يصل إليه عدوه بكيده وقهره، لقوة سلطان الله وقهره وعزيز تأييده ونصره. فهو من أشرف الأعمال وأحبها إلى الله تعالى إذا كان عن إخلاص لله سبحانه؛ لأنه منتظر للصلاة، وهو كالمصلي، وهي حالة قرب.
فإذا انضم إليه الصوم عند مشترطيها ازداد المؤمن قرباً من الله بما يفيض على الصائمين من طهارة القلوب، وصفاء النفوس
Artinya : “Menyucikan hati dengan muraqabah akan Tuhan dan berhadap dan terputus kepada beribadah pada segala waktu yang lapang dalam keadaan bersunyi baginya dan bagi Allah Taala dari sekelian gangguan dunia dan sekelian pekerjaannya dan dalam keadaan menundukkan diri kepada Tuhan dengan menyerahkan segala pekerjaannya kepada Tuhan yang maha agung dan berpegang atas kemuliaan-Nya dan berdiri pada pintu-Nya dan melazimi akan ibadah pada rumah-Nya Taala yakni masjid dan mendekatkan diri kepada-Nya supaya dekat kepada rahmat-Nya dan berlindung dengan perlindungan Allah Taala. Maka tiada sampai kepadanya olih musuhnya dengan tipu dayanya dan kekuatannya kerana kekuasaan Allah dan gagah-Nya dan kehebatan sokongan-Nya dan bantuan-Nya. Maka iktikaf itu setengah dari semulia-mulia amalan dan yang paling kasih kepada Allah apabila adalah ia ikhlas bagi Allah Taala dari kerana sungguhnya dia sedang menunggu akan solat yang adalah sama seperti sedang solat dan berada dekat dan apabila disertai pula kepada iktikaf itu olih amalan berpuasa maka bertambahlah seorang mukmin itu dekat dengan Allah dengan barang yang meliputi atas segala orang yang berpuasa itu yaitu suci segala hati dan suci segala jiwa.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)
HUKUM IKTIKAF
Iktikaf hukumnya adalah disunatkan pada sekelian masa dan pada bulan Ramadhan lebih lagi disunatkannya dan pada sepuluh yang akhir dari bulan Ramadhan bertambah sangat disunatkannya.
Menyebut olih Syeikh Khatib As-Syarbini :
(هُوَ مُسْتَحَبٌّ كُلَّ وَقْتٍ) فِي رَمَضَانَ وَغَيْرِهِ بِالْإِجْمَاعِ وَلِإِطْلَاقِ الْأَدِلَّةِ
Artinya : “Iktikaf itu disunatkan pada setiap waktu samada pada Ramadhan atau lainnya dengan ijmak dan dengan umumnya segala dalil.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)
Dan berkata Imam Nawawi :
الِاعْتِكَافُ سُنَّةٌ مُؤَكَّدَةٌ، وَيُسْتَحَبُّ فِي جَمِيعِ الْأَوْقَاتِ، وَفِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ آكَدُ، اقْتِدَاءً بِرَسُولِ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -، وَطَلَبًا لِلَيْلَةِ الْقَدْرِ
Artinya : “Iktikaf itu hukumnya sunat muakkad dan disunatkan iktikaf itu pada sekelian masa dan iktikaf pada sepuluh hari terkahir Ramadhan itu lebih kuat sunatnya kerana mengikut akan Nabi saw dan kerana menuntut akan lailatul qadar.” (Kitab Raudhah At-Talibin)
Ulamak membahagikan hukum iktikaf ini kepada tiga yaitu :
Pertama : Sunat
Yaitu pada sekelian masa sepanjang tahun.
Dan terkadang makruh seorang itu iktikaf misalnya perempuan yang dimakruhkan keluar berjemaah.
Berkata Syeikh Al-Qalyubi :
وَعَلَى الْجَدِيدِ كُلُّ امْرَأَةٍ يُكْرَهُ لَهَا الْخُرُوجُ لِلْجَمَاعَةِ يُكْرَهُ لَهَا الْخُرُوجُ لِلِاعْتِكَافِ وَمَنْ لَا فَلَا
Artinya : “Dan atas qaul jadid setiap perempuan yang dimakruhkan baginya keluar bagi tujuan berjemaah nescaya dimakruhkan baginya iktikaf. Dan yang tidak dimakruhkan keluar kepada berjemaah maka tidak dimakruhkah atasnya iktikaf.” (Hasyiah Al-Qalyubi Wa ‘Umairah)
Maka disyaratkan bagi harus perempuan keluar iktikaf ke masjid itu ialah mendapat izin suaminya dan begitu juga hamba disyaratkan mendapat izin penghulunya.
Berkata Imam As-Syairazi :
ولا يجوز للمرأة أن تعتكف بغير إذن الزوج لأن إستمتاعها ملك له فلا يجوز إبطاله عليه بغير إذنه ولا يجوز للعبد أن يعتكف بغير إذن مولاه لأن منفعته لمولاه فلا يجوز إبطالها عليه بغير إذن
Artinya : “Dan tiada harus bagi perempuan beriktikaf tanpa izin suaminya dari kerana hak berseronok dengan isteri itu milik bagi suami maka tidak harus membatalkan hak atasnya dengan ketiadaan izinnya. Dan tidak harus bagi hamba itu iktikaf tanpa izin penghulunya kerana kegunaan hamba itu ialah milik penghulunya maka tidak harus membatalkan hak atasnya dengan ketiadaan izinnya.” (Kitab Al-Muhazzab)
Dan makna tidak harus hamba iktikaf tanpa izin penghulu dan perempuan tanpa izin suami itu ialah haram maka jika dilakukan juga maka berdosa keduanya.
Berkata Syeikh Zakaria Al-Ansari :
(سُنَّ) الِاعْتِكَافُ فِي كُلِّ وَقْتٍ لِلْأَخْبَارِ السَّابِقَةِ وَإِنَّمَا يَصِحُّ (اعْتِكَافُ مُسْلِمٍ ذِي عَقْلِ) وَلَوْ صَبِيًّا وَرَقِيقًا وَزَوْجَةً لَكِنْ يَحْرُمُ بِغَيْرِ إذْنِ السَّيِّدِ، وَالزَّوْجِ فَلَهُمَا إخْرَاجُهُمَا مِنْهُ وَ
Artinya : “Disunatkan iktikaf pada setiap masa kerana hadith-hadith yang telah lalu dan hanya sungguhnya sah iktikaf orang yang Islam yang beraqal walaupun kanak-kanak dan hamba sahaya dan isteri akan tetapi haram dengan tiada izin penghulu dan suami. Maka harus bagi penghulu dan suami itu mengeluarkan keduanya dari masjid tersebut.” (Kitab Al-Ghurarul Bahiyyah)
Kedua : Sunat Muakkad
Yaitu iktikaf pada sepuluh hari yang terakhir dari bulan Ramadhan.
Dan hikmah dikuatkan perintah beriktikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadhan ini kerana menuntut akan lailatul qadar. Maka sungguhnya malam tersebut adalah malam terbaik dalam sepanjang tahun.
Firman Allah Taala :
لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ
Artinya : “Malam lailatul qadar itu lebih baik dari seribu bulan.” (Al-Qadar : 3)
Seribu bulan itu menyamai dengan 83 tahun dan lebih sedikit atau 30 ribu malam dan lebih sedikit.
Dan maksud malam yang lebih baik itu ialah malam tersebut lebih baik dari seribu bulan yang tiada padanya lailatul qadar.
Dan pendapat jumhur ulamak lailatul qadar itu berlaku pada sepuluh malam terakhir daripada Ramadhan.
Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini :
قَالَ الْمُتَوَلِي يسْتَحبّ التَّعَبُّد فِي كل ليَالِي الْعشْر حَتَّى يجوز الْفَضِيلَة على الْيَقِين فَظَاهر هَذَا أَنه يجوز فَضلهَا سَوَاء اطلع عَلَيْهَا أم لَا وَهَذَا أولى
Artinya : “Telah berkata Imam Al-Mutawalli : Disunatkan beribadah pada setiap malam dari sepuluh malam terkahir itu sehingga mencapai akan kelebihannya dengan yakin. Maka zahirlah ini mencapai ia akan kelebihan lailatul qadar samada dia menunggu atasnya atau tidak dan inilah yang lebih utama.” (Kitab Al-Iqna’)
Ketiga : Wajib
Hukum iktikaf bertukar dari sunat kepada wajib apabila seorang telah bernazar seperti dikatanya : Aku bernazar kerana Allah untuk beriktikaf pada malam ini. Maka pada malam itu wajib atas yang bernazar itu melakukan ibadah iktikaf kerana dia telah mewajibkannya dengan lafaz nazarnya itu.
Berkata Imam Ghazali :
الِاعْتِكَاف قربَة مسنونة وَلَا يلْزم إِلَّا بِالنذرِ
Artinya : “Bermula iktikaf itu perbuatan mendamping diri kepada Allah yang disunatkan dan tidaklah ia wajib melainkan dengan sebab nazar.” (Kitab Al-Wasith Fi Al-Mazhab)
wallahua’lam
Bersambung bahagian ke 2.
0 ulasan:
Catat Ulasan