"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label Laporan Polis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Laporan Polis. Papar semua catatan

Khamis, 8 Disember 2022

Tuduhan dibiayai syarikat judi,PN buat laporan polis terhadap PM

 

Wan Ahmad Fayhsal menunjukkan salinan laporan polis terhadap Perdana Menteri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini. - Foto NSTP/Fathil Asri

1. PN buat laporan polis terhadap PM

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan tuduhan mengaitkan parti itu dengan pembiayaan daripada syarikat judi bertujuan untuk memusnahkan kredibiliti setiap Ahli Parlimen PN.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, PN tidak akan melindungi tindakan yang salah dan mengalu-alukan setiap siasatan yang ingin dilakukan pihak berkuasa.

"Saya sebagai seorang Ahli Parlimen menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bahawa kita menerima dana daripada syarikat judi.

"Ini adalah permainan politik untuk membina persepsi seolah-olah kami menerima dana syarikat judi. Namun saya yakin rakyat tidak akan termakan dengan fitnah ini kerana kepimpinan tertinggi PN termasuk Datuk Seri Hamzah Zainudin, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri sudah memberi kenyataan dan tiada apa yang boleh diselindungkan.

"Bukan sahaja mengenai judi tetapi isu dana RM600 bilion juga satu fitnah serta tohmahan yang serius," katanya selepas membuat laporan bersama Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) di Balai Polis Dang Wangi, di sini, berhubung dakwaan terbabit.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media di pejabatnya di Putrajaya membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian yang terbabit dengan syarikat judi.

Bagaimanapun Muhyiddin kelmarin menyifatkan tuduhan Anwar bahawa PN menerima pembiayaan daripada syarikat judi untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebagai serius.

Menepis dakwaan itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, tuduhan Anwar tidak disokong bukti kukuh selain sekadar andaian yang dibuat berdasarkan kempen meluas PN ketika PRU15.

Ditanya mengenai senarai dana, Wan Ahmad Fayhsal berkata, setakat ini PN tidak akan mendedahkan dana itu memandangkan tiada satu pun parti yang bertanding dalam PRU15 berbuat demikian.

"Bagaimanapun kita terbuka mengenai akta pendanaan politik jika ia dibentangkan di Parlimen dan jika ia menjadi perkara utama, saya sendiri akan sahut.

"Ia sepatutnya sudah diselesaikan sewaktu kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tetapi tidak sempat," katanya.

-ibnuhasyim.com

Rabu, 29 Jun 2022

“Saya tak nak melawan” – Mak Wan Buat Laporan Polis Lepas Dipukul, Ditendang, Ditumbuk & Diugut Bunuh

 


Hilang sabar dengan segala tohmahan mengenai dirinya, dramatis Mak Wan Latah ambil tindakan dengan membuat satu laporan polis untuk mempertahankan maruahnya daripada seorang wanita yang juga merupakan kenalan rapatnya.

Mak Wan Latah atau nama sebenar Halimatussa’diah Mohd Daud mengatakan bahawa laporan polis itu dibuat sebab terpaksa kerana wanita itu pernah pukul, tendang malah mengugut untuk membunuhnya, lapor Kosmo!

“Sudah lama saya diamkan. Kelakuan kasarnya terhadap saya baharu saja saya laporkan kepada polis. Banyak kali dia buat. Pukul, tendang, tumbuk dan baling kepala saya dengan botol Coke yang masih penuh air.”

“Perbuatan itu dia lakukan dalam tahun ini. Saya takut nak melawan atau mengadu kepada orang lain, tambahan pula telefon (bimbit) saya dia pegang.”


“Sebenarnya, malam sebelum nak bergerak ke Genting Highlands menjalani penggambaran, saya baharu kena pukul. Masa itu kami berada di Taiping.”

“Kali terakhir dia pukul saya di depan ramai saksi termasuk emak dia. Mak dia kata itu baru sikit. Apa pun semua bukti saya sudah sertakan dalam laporan polis.”

Isu ini mula timbul setelah wanita itu menunjukkan beberapa video termasuk paparan pelakon itu seperti baca mantera.

Bagi menjawab dakwaan tersebut, Mak Wan, 61 yang membuat laporan polis di Taiping, Perak itu menegaskan bahawa ia adalah rakaman lama sewaktu latihan untuk sebuah drama.


“Video yang kononnya saya baca mentera itu pun dia yang rakam sendiri, bukan ambil curi-curi pun. Saya yang bodoh sebab mengikut saja. Sekarang dia fitnah saya buat kerja syirik gunakan video berkenaan.”

“Drama berjudul Pelaris itu pun sudah lama dan sudah disiarkan. Kalau dia terus nak bercakap pasal itu, biarkanlah. Benda tak betul, dia pun tahu.”

“Saya pun sedang kumpul bukti dan akan buat laporan polis pasal fitnah pula. Doakan saya terus kuat.”

-lobakmerah.com

Rabu, 16 Mac 2022

Laporan polis ke atas artikel alegasi hakim terlibat kes 1MDB, SRC


PUTRAJAYA – Satu laporan polis telah dibuat oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia ke atas dua artikel berkaitan alegasi penglibatan seorang Hakim Mahkamah Rayuan dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn. Bhd. (SDR).

Menurut kenyataan Istana Kehakiman, dua artikel tersebut bertajuk ‘Group calling for Najib’s pardon now wants judge Nazlan arrested’ dan ‘Shocking Revelation: Najib’s Trial Judge Nazlan’s Conflict-of-Interest Exposed’ bertarikh 14 Mac 2022.

 “Adalah dimaklumkan bahawa kenyataan yang disiarkan dalam artikel-artikel tersebut mengandungi beberapa perkara yang dipercayai akan menganggu gugat penjalanan pentadbiran keadilan jenayah dan institusi kehakiman negara ini.

Berikutan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh Pejabat ini agar siasatan dapat dijalankan di bawah seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, seksyen 499 Kanun Keseksaan dan lain-lain peruntukan undang-undang yang berkaitan,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai diminta agar lebih berhati-hati dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu penjalanan sesuatu kes yang sedang dibicarakan, sekali gus mengganggu-gugat pentadbiran keadilan jenayah dan institusi kehakiman negara. – KOSMO! ONLINE

Rabu, 21 Julai 2021

'Misi Gaza guna duit sendiri, bukan derma' kata Ustaz Ebit Lew,buat laporan polis serta akan adakan sidang media esok

 Ebit Lew selepas membuat laporan polis berkaitan isu bantuan kemanusiaan Gaza di IPD Dang Wangi hari ini. - Foto NSTP/ Mohd Yusni Ariffin

Ebit Lew selepas membuat laporan polis berkaitan isu bantuan kemanusiaan Gaza di IPD Dang Wangi hari ini. - Foto NSTP/ Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Pendakwah Ebit Lew menjelaskan bahawa segala kos perbelanjaan misi kemanusiaan ke Semenanjung Gaza, Palestin, adalah menggunakan wangnya sendiri bukannya daripada kutipan mana-mana tabung derma.

Beliau menyatakan perkara itu bagi menafikan dakwaan pihak tertentu yang menyatakan dia membazirkan kos tertentu hasil sumbangan terhadap misi berkenaan untuk masuk ke Gaza.

"Saya pergi dengan duit saya sendiri dan tak pernah buka satu tabung pun untuk misi berkenaan.

"Bagaimanapun, apabila ada pihak yang menyatakan sebaliknya maka saya anggap ini sebagai ujian dari Allah SWT," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, petang tadi.

Beliau yakin perkara untuk memburuk-burukkan niat baik pasukan bantuannya itu tidak akan berkesudahan sampai bila-bila.

"Niat kami bersama sahabat-sahabat saya adalah membantu rakyat di Gaza, Palestin dan tak pernah ada satu tabung pun diwujudkan.

"Segala kos dan perbelanjaan adalah menggunakan duit saya sendiri," katanya.

Ebit Lew buat laporan polis


KUALA LUMPUR: Pendakwah terkenal Ebit Lew tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sebentar tadi untuk membuat laporan polis dipercayai berkaitan isu misi kemanusiaan di Semenanjung Gaza, Palestin, baru-baru ini.

Ebit yang tiba jam 6.16 petang menaiki Toyota Vellfire dengan diiringi tiga pikap dijangka mengadakan sidang media selepas itu.

Hari ini, rakyat Malaysia yang tinggal di Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamamrulzaman atau dikenali sebagai Nadir Al-Nuri tampil membuat penjelasan berhubung isu misi kemanusiaan oleh Ebit.

Nadir yang juga Ketua Pegawai Ekslusif, sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Cinta Gaza Malaysia, mendakwa pasukan misi Ebit membayar kos yang tinggi kepada sebuah syarikat bagi menguruskan kemasukan mereka ke Gaza dan tidak menggunakan khidmat NGO tempatan di Gaza.

Ebit Lew (kiri) membuat laporan polis di IPD Dang Wangi. - Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Ebit Lew (kiri) membuat laporan polis di IPD Dang Wangi. - Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin


Ebit Lew akan buat penjelasan terperinci esok


KUALA LUMPUR: Pendakwah terkenal Ebit Lew hari ini membuat laporan polis bagi menyangkal dakwaan dan tuduhan tidak berasas terhadap dirinya berhubung misi kemanusiaan membantu rakyat Palestin di Gaza, baru-baru ini.

Ebit bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci butiran laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, sebelum menyatakan akan memperjelaskan isu berkenaan esok.

Sebelum ini saya berdiam diri dengan tohmahan dan fitnah terhadap diri saya dari dulu lagi, namun berkaitan isu terbaru ini apabila anak dan isteri saya sendiri menangis dan kecewa mengenai segala tuduhan yang dilemparkan, maka saya rasa terpanggil untuk membuat laporan polis.

USTAZ Ebit Lew mengadakan sidang akhbar selepas membuat laporan polis menafikan tuduhan isu bantuan kemanusiaan Gaza di IPD Dang Wangi. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
USTAZ Ebit Lew mengadakan sidang akhbar selepas membuat laporan polis menafikan tuduhan isu bantuan kemanusiaan Gaza di IPD Dang Wangi. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

"Laporan ini adalah sebagai menyangkal segala dakwaan yang tidak benar berkaitan misi di Semenanjung Gaza, Palestin," katanya kepada pemberita ketika ditemui di IPD Dang Wangi.

Terdahulu rakyat Malaysia yang tinggal di Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamamrulzaman atau dikenali sebagai Nadir Al-Nuri tampil membuat penjelasan berhubung isu misi kemanusiaan oleh Ebit.

Nadir yang juga Ketua Pegawai Ekslusif, sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Cinta Gaza Malaysia mendakwa pasukan misi Ebit Lew membayar kos yang tinggi kepada sebuah syarikat bagi menguruskan kemasukan mereka ke Gaza dan tidak menggunakan khidmat NGO tempatan di Gaza.

Ebit berkata beliau sedih dengan laporan tidak berasas yang disebarkan di media sosial sehingga menjatuhkan semangat ahli keluarga dan pasukan misi bantuannya sendiri.

"Apa yang saya boleh katakan laporan ini sememangnya bagi menyangkal dakwaan yang sebelum ini dikeluarkan oleh Nadir Al-Nuri dan selebriti Caprice.

"Segalanya akan saya perjelaskan esok," katanya.

-BH ONLINE

Khamis, 8 Julai 2021

Vaksin Covid19: Individu dakwa disuntik picagari kosong, polis sah terima laporan

 GAMBAR HIASAN

GAMBAR HIASAN

Kuala Langat: Polis mengesahkan ada menerima laporan daripada seorang individu yang mendakwa disuntik dengan picagari kosong ketika mendapatkan vaksin Covid-19 di sebuah hospital semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, laporan berkenaan diterima sekitar jam 6.21 petang.

"Pihak kami kini membuka kertas enkuari polis dan dalam proses menyiasat lanjut aduan berkenaan," katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, satu laporan polis tular di media sosial hari ini yang mana seorang lelaki mendakwa disuntik dengan picagari kosong ketika hadir mendapatkan vaksin di sebuah hospital semalam.

Menurut laporan itu, lelaki berkenaan merakam proses suntikan dan apabila melihat semula rakaman berkenaan, dia mendapati tiada cecair vaksin dalam picagari berkenaan malah jarum suntikan tidak ditekan.

Lelaki itu turut mendakwa dimarahi dan memadam rakaman video berkenaan selepas mendapat suntikan sebenar.

-myMetro

Jumaat, 2 Julai 2021

Fitnah: Polis sahkan terima laporan Zarina Anjoulie

Menerusi perkongsian di Instagram (yang sudah pun dipadam), Zarina memaklumkan akan menentang secara habis-habisan berhubung dengan isu berkenaan.

SEREMBAN - Polis mengesahkan menerima laporan yang dibuat selebriti sensasi, Zarina Anjoulie yang didakwa bakal mengambil tindakan saman terhadap seorang anggota polis wanita.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman berkata, pihaknya menerima laporan polis yang dibuat oleh selebriti tersebut pada jam 12.05 pagi, Khamis.

"Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang dan turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Selain itu, satu siasatan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, IPK Negeri Sembilan turut dilakukan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Tambahnya, pihaknya memandang serius terhadap laporan yang dibuat oleh pengadu dan tindakan tegas akan dilakukan tanpa kompromi jika siasatan mendapati terdapat wujud perlanggaran undang-undang dan prosedur siasatan.

Orang ramai dinasihatkan tidak mensensasikan isu ini dan memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara telus.

Terdahulu, menerusi perkongsian di Instagram (yang sudah pun dipadam), Zarina memaklumkan akan menentang secara habis-habisan berhubung dengan isu berkenaan.

“Alhamdulillah, laporan sudah dibuat kepada anggota polis wanita berkenaan. Selepas siasatan, saya akan mengambil tindakan menyaman anggota tersebut.

“Saya akan menentang habis-habisan tentang isu ini. Memandangkan anggota ini nak tular dan glamor, saya akan bagi dia glamor yang dia idamkan. Di manakah integriti kamu sebagai seorang anggota polis wanita? Saya bimbang adakah nanti orang lain akan kena senasib juga?” tulisnya.

Pada Rabu, media melaporkan seorang selebriti wanita ditahan kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah di sebuah rumah di Nilai, Negeri Sembilan.

Walau pun pihak polis tidak mendedahkan identiti selebriti tersebut, rata-rata netizen membuat andaian bahawa individu berkenaan ialah Zarina.

-SH Online

Isnin, 7 Jun 2021

Walau dikecam hebat, Nini Siron pertahan dakwaan MB Kedah sertai pandu uji kereta

Predeep Nambiar

Tangkap layar pengguna Facebook berkongsi catatan Nini Siron, suami dan anaknya, termasuk catatan lama wanita itu cuba menjual Perodua Kelisanya tahun lalu. (Gambar Facebook)

 GEORGE TOWN: Seorang wanita yang merakam gambar dan video individu didakwa Menteri Besar Kedah dan dua pembantunya menaiki kereta untuk dipandu uji di Juru Auto City, Sabtu lalu, menjadi sasaran pembuli siber dengan fotonya bersama keluarga, termasuk anak berusia lapan tahun, disebarkan secara meluas di media sosial. 

 Tetapi, Nini Siron, 36, tetap yakin dan berpegang kepada dakwaan beliau serta suami melihat Muhammad Sanusi Md Noor bersama beberapa individu membawa kereta untuk dipandu uji. 

 Bagaimanapun, Nini kesal kerana selain dituduh memfitnah Sanusi, warganet sanggup menyebarkan gambarnya, suami, anak dan kakaknya secara meluas di media sosial supaya mereka sekeluarga dikecam kerana catatan Facebooknya itu.

 Dakwaan Nini terhadap Sanusi kini disiasat polis untuk memastikan sama ada Menteri Besar itu melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0. Sanusi memberitahu FMT, beliau menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan, tetapi setiausaha politiknya mendakwa Menteri Besar itu menjadi mangsa fitnah. 

 Afnan Hamimi Taib Azamuddin berkata, Sanusi hanya “pi jengok kereta itu. Bukan pi nak beli”, dan tidak ada sebarang pandu uji kenderaan melibatkan Menteri Besar itu. 

 Nini bagaimanapun tidak berganjak daripada dakwaannya bahawa Sanusi memang terlibat dalam pandu uji itu dan video diambilnya adalah bukti. 

 Wanita itu berkata, beliau bukan ahli politik dan kesal apa yang disaksikannya itu dinafikan pihak tertentu sehingga memfitnahnya sekeluarga dengan pelbagai tohmahan dan ugutan di media sosial. 

 "Saya jarang ‘post’ apa-apa di Facebook. Saya bukan ahli politik, hanya rakyat biasa yang sudah muak dengan ‘lockdown’ berulang kali.

 “Saya hanya meluahkan rasa marah kerana melihat orang tertentu jelas melanggar SOP ketika pandemik (Covid-19) mengganas. 

Ketika semua orang menanti untuk ‘lockdown’ 14 hari berakhir, ada pihak lain bertindak ikut suka hati. 

 “Itulah sebabnya saya catatkan apa yang saya lihat (di Juru Auto City), (saya hanya) ikut nasihat MKN untuk menjadi mata dan telinga mereka terhadap sesiapa yang melanggar undang-undang,” katanya kepada FMT.

 Nini menafikan tuduhan di media sosial beliau memadamkan catatan dan gambar mengenai “pandu uji” berkenaan daripada Facebooknya.

 Sebaliknya, beliau hanya mengehadkan akses catatan dan gambar itu kepada kenalannya, bagi mengekang kecaman bertali arus warganet yang tidak dikenali. 

 Suami Nini yang bekerja sebagai jurujual kereta, juga terpaksa menyahaktifkan “Facebook Page” yang mempunyai lebih 400 pengikut, selepas nombor telefon bimbit dan gambar pelanggannya tersebar.

 Telefonnya juga dibanjiri ratusan panggilan kebencian dan “spam” sejak semalam. 

 Telefon Nini Siron dihujani panggilan dan mesej daripada orang tidak dikenali susulan catatan di Facebooknya. 

Nini sekali lagi menegaskan, beliau dan suami terserempak individu mirip Sanusi dan dua individu lain, termasuk jurujual kereta memasuki sebuah kenderaan yang dibawa untuk pandu uji.

 Katanya, kenderaan itu kembali ke premis syarikat berkenaan kira-kira 14 minit kemudian. 

 Nini yakin orang yang dilihatnya adalah Sanusi, kerana beliau menanggalkan pelitup muka kira-kira dua minit sebelum memakainya semula. 

 “Apabila mereka kembali, saya keluar dari kereta dan bertanya jurujual itu sama ada beliau menyedari atau tidak menjadi kesalahan menawarkan kenderaan untuk dipandu uji ketika PKP berkuatkuasa. 

Dia menjawab ‘habis bagaimana saya mahu cari makan’?” Katanya, beliau turut melihat Sanusi dan pembantunya memasuki kereta rasmi kerajaan negeri bernombor pendaftaran KEP 5000 yang tertera perkataan “Menteri Besar Kedah”. 

 Nini membuat laporan polis mengenai insiden itu pada hari sama dan mengemukakan video yang dirakam dengan telefon bimbitnya sebagai bukti. 

 “Saya mengambil keputusan tampil secara terbuka mempertahankan (dakwaan) saya ini kerana ramai menuduh saya melakukan fitnah. 

Saya tak boleh terima tuduhan (sebegitu). Saya bersumpah dengan nama Allah bahawa ia betul-betul berlaku. 

 “Saya amat kecewa kerana kami sekeluarga menjadi mangsa pembuli siber yang bertindak sewenang-wenangnya. 

Telefon saya berbunyi tak henti-henti dengan panggilan dan pesanan daripada orang tidak dikenali. 

 “Saya hanya rakyat biasa. Saya tidak meminta pingat kerana membuat pendedahan itu. Saya cuma memainkan peranan dalam mengekang Covid-19,” katanya. 

 Semalam, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Shafee Abd Samad, berkata siasatan dilakukan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

 “Polis akan memanggil semua yang terlibat termasuk Menteri Besar,” katanya.

-Kerengga

Pemuda trauma ditumbuk polis, wang dirampas

 Muhd Izani Mustapha menunjukkan 'kaki laporan' polis yang dibuat pada Jumaat lalu selepas mendakwa wang tunai miliknya berjumlah RM600 dilarikan oleh empat lelaki yang mendakwa anggota polis dalam kejadian pada malam Khamis lalu. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Muhd Izani Mustapha menunjukkan 'kaki laporan' polis yang dibuat pada Jumaat lalu selepas mendakwa wang tunai miliknya berjumlah RM600 dilarikan oleh empat lelaki yang mendakwa anggota polis dalam kejadian pada malam Khamis lalu. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Machang: Seorang pekerja kilang mendakwa terkejut dan trauma apabila ditumbuk di perut selain wang tunai RM600 dilarikan empat lelaki dipercayai anggota polis dalam kejadian Khamis lalu.

Dalam kejadian di lampu isyarat di Kilometer 2.6 Jalan Machang-Tanah Merah, dekat bandar Machang, Muhd Izani Mustapha, 21, dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di kampung Hutan Putih pada 8.15 malam.

Muhd Izani berkata, dia sepatutnya pulang ke rumah jam 6 petang, namun disebabkan mengalami sakit kepala, dia berehat di kilang selepas menelan panadol sebelum bergerak pulang ke rumah jam 8 malam.

"Bagaimanapun, ketika berada di lampu isyarat 'flyover' di bandar Machang, secara tiba-tiba motosikal saya dihalang oleh sebuah kereta jenis Proton Preve yang mempunyai lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari hadapan menyebabkan saya terkejut dan pada ketika itu juga tidak banyak kenderaan yang berada di atas jalan.

"Sebaik menyerahkan kad pengenalan, saya di minta untuk memberikan beg galas yang dibawa bersama," katanya ketika ditemui dirumahnya di Kampung Padang Selising, di sini, hari ini.

Muhd Izani berkata, selepas dompet dan beg galasnya diambil, salah seorang daripada mereka bertanya dan mendakwa dia mengambil barangan terlarang, namun dia menafikan perkara itu dan secara tiba-tiba perutnya ditumbuk.

"Pada masa sama, mereka juga bertanya sama ada saya mampu membayar atau tidak. Ketika itu saya terpinga-pinga dan tidak mengetahui apa yang dimaksudkan sebelum wang RM630 diambil di dalam dompet yang dipegang oleh mereka.

"Saya cuba merayu supaya mereka mengembalikan semula wang itu kerana wang berkenaan untuk membayar ansurans bulanan motorsikal, cukai jalan, serta melunaskan sewa rumah.

"Bagaimanapun selepas merayu, mereka hanya memberikan RM30 kepada saya sebelum beredar menghala ke Kota Bharu," katanya yang masih trauma dalam kejadian yang berlaku itu.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, selepas kejadian malam itu, dia balik dalam keadaan ketakutan dan masih terfikir kenapa dia diperlakukan sedemikian.

"Saya tidak pernah mengambil barang terlarang sebagaimana yang didakwa anggota polis berkenaan.

"Susulan kejadian itu, saya sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang Jumaat lalu untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintenden Ganti Jimmy mengesahkan menerima laporan berkenaan ketika dihubungi dan siasatan lanjut akan dijalankan.

"Polis sudah menjalankan siasatan dibawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

"Tindakan akan diambil bagi melengkapkan siasatan termasuk merakamkan percakapan serta membuat kawad cam bagi mengenal pasti suspek yang terbabit selain tindakan lain yang perlu," katanya.-myMetro

Selasa, 29 Disember 2020

Cabul: Ustaz Budak ditahan kali ketiga


KOTA BHARU – Polis sekali lagi menahan Ustaz Budak untuk membantu siasatan berhubung laporan yang dibuat oleh bekas pelajarnya melibatkan kes cabul di Balai Polis Penarik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu, Terengganu pada Khamis lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pengetua sebuah madrasah di Machang itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota, Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Machang pada pukul 5 petang kelmarin.

Katanya, berdasarkan laporan polis yang dibuat, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan kerana disyaki mencabul seorang bekas pelajarnya yang berusia 18 tahun.

“Ustaz terbabit kini ditahan reman sehingga 3 Januari depan untuk siasatan lanjut.

” Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melakukan kelucahan melampau,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

 Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, polis menerima laporan berkaitan perbuatan cabul melibatkan Ustaz Budak di Balai Polis Penarik, IPD Setiu kira-kira pukul 4.38 petang kelmarin.


Laporan itu dibuat bekas pelajarnya yang berasal dari Kampung Bandar Permaisuri, Setiu yang mendakwa dia dicabul oleh Ustaz Budak ketika berada di dalam bilik tidur di sebuah rumah di Machang dua tahun lalu. – Kosmo

Sumber: https://cin-ca.blogspot.com/

Rabu, 9 Disember 2020

Ugut pengusaha vape: SPRM buat laporan polis

 ABDUL HAMID BADOR

KUALA LUMPUR: Satu laporan polis dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan seorang pengusaha vape dikatakan diugut individu bergelar Datuk bersama pegawai SPRM ketika ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes Macau Scam, Oktober lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberitahu Utusan Malaysia, laporan polis itu dibuat pihak SPRM kira-kira pukul 10 pagi ini berhubung dakwaan itu.

“Pihak SPRM juga ada membuat laporan pagi,” katanya ringkas.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan, lelaki terbabit yang berusia 32 tahun memaklumkan rumahnya di Taman Melawati di sini, diserbu pihak SPRM, kira-kira 7 pagi pada 2 Oktober lalu.

Dalam serbuan itu, bilik tidur lelaki berkenaan didakwa telah digeledah dan barangan seperti telefon bimbit, iPad, beberapa fail serta dokumen, empat beg berjenama serta wang tunai berjumlah RM1.7 juta dirampas.

Lapor akhbar itu yang memetik kenyataan sumber mendedahkan lelaki itu kemudian dibawa ke pejabat SPRM Putrajaya untuk soal siasat berkaitan kes Macau Scam dan hubungannya dengan individu bernama Addy Kanna.

Ketika soal siasat dilakukan, pegawai SPRM dikatakan mengugut untuk menahan reman ibu lelaki terbabit jika dia tidak mahu mengaku terbabit dengan Macau Scam dan Addy Kanna.

Dakwanya, ketika disoal siasat, seorang individu bergelar Datuk mengugut lelaki itu supaya menyerahkan tiga kenderaan miliknya dan wang tunai sebanyak RM20 juta, serta berkongsi hasil perniagaan kilang perabot milik mangsa.

Lapor akhbar itu lagi, ugutan itu kononnya bagi mengelak lelaki itu daripada dikenakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Akibat takut dengan ugutan itu, lelaki itu dikatakan bersetuju memberi dua kenderaan miliknya kepada Datuk terbabit dan meminta masa berfikir berkenaan perkongsian kilang perabot serta meminta melepaskan semua barang kemas dan lain-lain milik ibunya yang turut disita oleh pihak SPRM. – UTUSAN ONLINE

Selasa, 8 Disember 2020

Satu lagi laporan cabul terhadap pendakwah selebriti

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin membuat lawatan selepas merasmikan Majlis Perasmian Balai Polis Sri Muda di Seksyen 25 Shah Alam. - Foto NSTP/Muhd Asyraf Sawal
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin membuat lawatan selepas merasmikan Majlis Perasmian Balai Polis Sri Muda di Seksyen 25 Shah Alam. - Foto NSTP/Muhd Asyraf Sawal

SHAH ALAM: Polis menerima satu lagi laporan kes cabul membabitkan pendakwah selebriti yang didakwa berlaku pada hujung tahun lalu, sekali gus menjadikan sembilan laporan diterima setakat ini.

Dalam laporan terbaru, mangsa ialah jururawat di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur mendakwa dicabul suspek pada Disember tahun lalu di sebuah unit studio di Seksyen 7 di sini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata mangsa berusia 26 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, Ahad lalu dan kes berkenaan dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

 "Difahamkan, mangsa mengenali suspek menerusi media sosial pada 2018 dan mula berkawan sejak itu.

"Modus operandi (MO) suspek sama seperti kes sebelum ini yang dia akan mengajak mangsa keluar makan sebelum membawa mangsa ke rumahnya dengan alasan mahu mengambil barang.

"Bagaimanapun semasa di rumah, dia didakwa memeluk mangsa daripada belakang," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Balai Polis Seri Muda, Seksyen 25 di sini hari ini.

Noor Azam berkata, dengan laporan terbaru itu, secara keseluruhan pihaknya sudah menerima sembilan laporan membabitkan dakwaan rogol dan cabul.

Bagaimanapun katanya, dua daripada laporan itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut atau NFA.

Noor Azam, pihaknya kini masih menjalankan siasatan dan akan lihat dari semua sudut dengan mengumpul maklumat berkaitan.

"Polis akan menjalankan siasatan dengan adil dan semua maklumat diperoleh akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan lanjut. Suspek kini masih dalam perintah reman hingga Jumaat," katanya.

Semalam, suspek yang juga bekas peserta realiti keagamaan itu direman lima hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan polis berhubung dua laporan polis dibuat terhadapnya di Petaling Jaya atas dakwaan merogol, mencabul dan melakukan seks luar tabii.

Polis Petaling Jaya sebelum ini menjalankan siasatan kes mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (merogol), Seksyen 377C Kanun Keseksaan (seks luar tabii) dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan (mencabul).

Permohonan reman itu dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung dua laporan polis terhadap suspek pada akhir bulan lalu.

Laporan pertama dibuat di IPD Petaling Jaya pada 29 November lalu oleh seorang wanita berusia 22 tahun yang juga pelajar kolej swasta atas dakwaan dicabul dan dipaksa melakukan seks oral oleh suspek di sebuah rumah di Damansara Perdana, dekat sini.

Laporan kedua pada 30 November lalu pula, dibuat di Balai Polis Damansara oleh seorang guru wanita berusia 22 tahun atas dakwaan dirogol suspek di sebuah rumah di Damansara Perdana.-BH Online

Sabtu, 5 September 2020

Ketua Wira PUTRA buat laporan polis terhadap Azmin Ali


Ketua Wira Putra, parti yg diasaskan oleh Ibrahim Ali membuat laporan polis & SPRM ke atas Azmin Ali utk membuka kertas siasatan berikutan maklumat setebal 69 mukasurat tentang kekayaan luarbiasa dimiliki Azmin, anak2nya & pegawai khasnya, Muhamad Hilman Idham yg melibatkan transaksi bernilai RM1.74 trillion yg tular di media sosial ketika ini.....

Selasa, 18 Ogos 2020

Polis siasat tuduhan liwat terhadap ahli politik terkemuka


Polis sedang menyiasat akuan berkanun (SD) yang muncul pada hujung minggu lalu yang menuduh seorang pemimpin politik pembangkang terkemuka melakukan liwat.

Individu yang membuat SD itu juga dikatakan membuat laporan polis pada hari Ahad mendakwa dimanipulasi setelah dokumen itu disiarkan di blog Malaysia Today. Bagaimanapun ia tidak dapat disahkan.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayag Wilayah Persekutuan Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan bahawa laporan polis telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.

"Kami telah menerima laporan dan siasatan sedang dilakukan. Penyiasatan kami akan merangkumi setiap aspek," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut SD itu, lelaki itu mendakwa dia melakukan hubungan seks dengan ahli politik berkenaan sebanyak empat kali pada 2013 di hotel yang berlainan di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Dia juga mendakwa bahawa setiap kali selepas melakukan hubungan seks dengan ahli politik berkenaan, dia akan diberi wang tunai RM300.

Dia turut mendakwa bahawa atas permintaan ahli politik itu, dia juga memperkenalkan seorang kawannya kepada ahli politik berkenaan.

Dia mendakwa kawannya itu turut diliwat oleh ahli politik berkenaan dan diberikan wang dalam jumlah yang sama.

SD itu bertarikh 29 Jun 2020.

Malaysiakini sudah menghubungi Pesuruhjaya Sumpah yang bertanggungjawab terhadap SD, yang mengesahkan bahawa SD berkenaan telah difailkan dan ditandatangani di hadapannya.

"Ya, SD dibuat oleh orang yang menandatangani dokumen itu," katanya dalam pesanan teks.

Malaysiakini juga menghubungi pengadu. Dia mengesahkan bahawa laporan polis dibuat tetapi enggan mengulas lebih lanjut.

"Saya sangat tertekan. Kes ini dalam siasatan polis. Biarkan PDRM (polis) menjalankan tugas mereka," katanya.

Malaysiakini juga telah menghubungi ahli politik itu untuk memberi komen mengenai tuduhan tersebut.