Selasa, 27 April 2021

Langgar SOP:Tiga parti tampil nak bantu peniaga burger dikompaun RM50,000

 Kebimbangan seorang peniaga burger di Kota Bharu, Kelantan, yang dikenakan kompaun RM50,000 kerana melanggar prosedur standard operasi (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) mendapat perhatian parti-parti politik yang mahu membantunya.

Sejak berita yang menimpa Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, disiarkan semalam, beberapa pihak berkunjung ke rumahnya dan menyatakan kesediaan untuk membantu khususnya membabitkan khidmat bantuan guaman.

Peguam yang mewakili Amanah Kelantan, Alawi Mohd Rashid berkata, pihaknya mendapati terhadap dua kes dikompaun dengan jumlah besar itu termasuk Wan Mohd Faisal.

Sehubungan itu katanya, Amanah Kelantan menawarkan khidmat guaman percuma kepada mereka untuk membuat rayuan terhadap kompaun tersebut.

"Sekiranya mereka didakwa di mahkamah, kami akan sediakan pasukan peguam bagi membantu mereka," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Wan Mohd Faisal dikenakan kompaun dengan nilai RM50,000 atas alasan berniaga melebihi masa dihadkan dalam tempoh PKP.

Sementara itu Pemuda Umno Kelantan turut terpanggil untuk membantu peniaga tersebut sekali gus turut menawarkan khidmat guaman percuma.

Ketuanya Noor Hariri Mohamed Noor (bawah) berkata pihaknya bersedia memberi bantuan guaman kepada Wan Mohd Faisal dalam berdepan saman tersebut.

"Ini sejajar dengan khidmat bakti Pemuda Umno yang sentiasa berkhidmat untuk kebajikan rakyat.

"Barisan peguam Pemuda Umno Kelantan, akan meneliti kes saman ini bagi pihak Wan Mohd Faisal. Pemuda Umno Kelantan melalui peguam akan membantu merayu pengurangan kompaun dengan menyediakan surat representasi peguam kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan," katanya dalam kenyataan media.

Perkara sama turut dinyatakan Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Kelantan, Muhammad Amiin Ridhuwan Ab Aziz (bawah), bagi membantu peniaga burger tersebut.

Menurutnya, Armada Kelantan bersama Wan Mohd Faisal mengemukakan rayuan di Pejabat Kesihatan, hari ini.

-mkini

0 ulasan:

Catat Ulasan