"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label Sokongan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sokongan. Papar semua catatan

Rabu, 22 Mei 2024

7 YB BERSATU kena ikrar sokongan terkini jika mahu kekalkan status

 Dari kiri Zahari Kechik, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Datuk Zulkafperi Hanapi, Mohd Azizi Abu Naim, Datuk Suhaili Abdul Rahman, Datuk Abdul Rashid Asari dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Dari kiri Zahari Kechik, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Datuk Zulkafperi Hanapi, Mohd Azizi Abu Naim, Datuk Suhaili Abdul Rahman, Datuk Abdul Rashid Asari dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

'Lompat-melompat' dan mengalih sokongan dalam kalangan wakil rakyat adalah fenomena biasa dalam amalan politik Malaysia selepas merdeka. Antara peristiwa berpaling tadah pernah menggegarkan politik negara ialah dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS iaitu Wan Said Mohd Noor dan Abdul Kader Mohamed mengisytiharkan keluar parti untuk menyertai UMNO menyebabkan kerajaan Terengganu tumbang pada 30 Oktober 1961.

Peristiwa Turn About turut berlaku pada 1968 di Kelantan apabila lima ADUN PAS iaitu Abdul Rahman Salleh, Yusoff Abdul Latiff, Saiful Idris, Abdullah Yusof dan Omar Mohammad mengalih sokongan kepada UMNO tetapi gagal menggugat kerajaan Kelantan.

Pada 2009, empat ADUN Pakatan Rakyat (PR) di Perak, Datuk Nasarudin Hashim, Datuk Jamaluddin Mohd Radzi, Datuk Mohd Osman Mohd Jailu, dan Datuk Hee Yit Foong mengumumkan menyokong Barisan Nasional (BN) sekali gus menumbangkan kerajaan PR berusia 11 bulan di Perak.

Pada 2020, 11 Ahli Parlimen PKR diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertindak keluar daripada parti membentuk blok bebas menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Semua peristiwa berpaling tadah ini tidak mengejutkan kerana sudah berlaku sebelum Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) melarang ahli Parlimen bertukar parti dikuatkuasakan pada 5 Oktober 2022.

Namun, apa yang lebih menggemparkan arena politik negara apabila enam wakil rakyat BERSATU mengumumkan menyokong Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2023 meskipun selepas pindaan akta ini dikuatkuasakan dan Perkara 10.4 Perlembagaan BERSATU diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 1 April lalu.

Mereka adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari menjadi wakil rakyat BERSATU membuat keputusan menyokong Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Berdasarkan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan dan pindaan Perkara 10 Perlembagaan BERSATU diluluskan ROS, jelas semua wakil rakyat terbabit hilang status mereka sebagai Ahli Parlimen dan ADUN, sekali gus wujud kekosongan membolehkan pelaksanaan pilihan raya kecil (PRK).

Justeru, Speaker Dewan Rakyat seharusnya tidak berlengah melaksanakan tugas selaras dengan Perkara 54 Fasal 1 Perlembagaan menyerahkan notis memaklumkan kekosongan kerusi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan PRK dalam tempoh 60 hari.

Enggan kosongkan kerusi

Bagaimanapun, enam Ahli Parlimen terbabit bertegas menyatakan tidak akan mengosongkan kerusi selagi mahkamah tidak mengarahkan tindakan sedemikian kerana mereka yakin masih berstatus wakil rakyat berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes empat Ahli Parlimen BERSATU di Sabah pada 2023.

Pada 2023, BERSATU membuat semakan kehakiman terhadap Speaker dan empat Ahli Parlimen iaitu Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang) tetapi Mahkamah Tinggi pada November lalu menolak permohonan berkenaan kerana bertentangan Perkara 63 Perlembagaan melindungi prosiding Majlis Parlimen mahupun Jawatankuasa daripada dipertikaikan dalam mana-mana mahkamah.

Keputusan Speaker dan Mahkamah Tinggi membabitkan empat Ahli Parlimen ini mempunyai fakta dan merit, jelas berbeza daripada situasi dialami tujuh wakil rakyat BERSATU di Semenanjung.

Tiga fakta kes terbabit memperkukuh hujah bahawa kekosongan tidak berlaku di empat kerusi di Sabah iaitu keputusan mereka keluar BERSATU Sabah dilakukan secara en bloc, menjadi ahli langsung dan bertanding atas tiket parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

Persoalannya, adakah tujuh wakil rakyat BERSATU di Semenanjung keluar parti secara en bloc atau menjadi ahli langsung dan bertanding menggunakan tiket gabungan parti politik lain pada PRU-15 lalu. Semakan maklumat dan fakta terhadap tujuh wakil rakyat berkenaan membuktikan tidak ada satu tindakan mereka sama seperti empat Ahli Parlimen di Sabah sebelum ini.

Bagi menyelamatkan kerusi dimiliki parti, BERSATU pada 17 Mei lalu menghantar surat kepada semua wakil rakyatnya untuk menyatakan sokongan kepada parti dan perlu dijawab dalam tempoh 14 hari. Jika surat berkenaan gagal dijawab dalam tempoh ditetapkan, maka keahlian mereka akan terhenti dan kedudukan sebagai wakil rakyat tergugur serta-merta.

Tindakan BERSATU ini tidak bercanggah perlembagaannya dan usaha tujuh wakil rakyat terbabit mencabar keputusan berkenaan di mahkamah adalah langkah sia-sia kerana bertentangan Seksyen 18 (C) Akta Pertubuhan 1966 iaitu sebarang keputusan parti adalah muktamad dan parti tidak boleh dicabar di mahkamah.

Oleh demikian, tujuh wakil rakyat BERSATU terbabit mempunyai beberapa pilihan sekiranya masih mahu mengekalkan kedudukan dan menikmati keistimewaan sebagai Ahli Parlimen dan ADUN sehingga berakhirnya penggal perkhidmatan mereka.

Pertama, mereka perlu menjawab surat dikirim parti untuk menjelaskan dan menyatakan sokongan mereka yang terkini. Kedua, menamatkan perbalahan dan perang mulut berlarutan dengan kepimpinan parti kerana kemenangan mereka pada PRU-15 atas kapasiti parti, bukannya perjuangan individu.

Ketiga, elakkan bertindak bertentangan dengan prinsip parti seperti berceramah atas pentas seteru politik dalam mana-mana PRK mahupun program di luar musim kempen pilihan raya dan keempat, usah mentafsir undang-undang dan perlembagaan parti mengikut selera politik masing-masing demi menghalalkan tindakan politik peribadi.

Di samping itu, Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar tidak perlu melayan tujuh wakil rakyat parasit politik daripada BERSATU yang tidak menguntungkan kerajaan hari ini bahkan boleh mencalarkan imej kerajaan kerana 'membela katak politik' yang tidak mempunyai pendirian tetap.

Kerajaan Perpaduan hari ini amat stabil untuk mengemudi negara kerana memiliki 146 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan perlu bersedia untuk menyertai PRK pada bila-bila masa untuk mengisi kekosongan enam Parlimen dan satu DUN.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya


Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

-BH Online 

Rabu, 14 Julai 2021

Jemaah Menteri kekal sokong PM, tumpu usaha tangani Covid-19

Pejabat pentadbiran kerajaan Malaysia di Putrajaya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin diberikan sokongan sebulat suara daripada semua ahli-ahli Jemaah Menteri untuk terus kekal memimpin pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan menumpukan usaha ke arah menangani penularan Covid-19.

Dalam satu kenyataan ahli-ahli Jemaah Menteri hari ini, ia menegaskan setiap keputusan yang dibuat oleh kerajaan dilakukan secara kolektif dengan mengambil kira pandangan semua pihak.

“Ahl-ahli Jemaah Menteri dalam Mesyuarat Kabinet yang berlangsung pada 14 Julai telah membuat keputusan sebulat suara untuk kekal memberi sokongan penuh kepada kepimpinan YAN Tan Sri Muhyiddin yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Ahli-ahli Jemaah Menteri juga ingin memaklumkan bahawa setiap keputusan kerajaan dibuat secara kolektif oleh Jemaah Menteri setelah mengambil kira pandangan semua pihak,” kata kenyataan itu.

Tegas kenyataan itu lagi, keutamaan kerajaan adalah ke arah usaha membawa negara keluar dari penularan pandemik Covid-19.

“Keutamaan kerajaan pada ketika ini adalah untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara serta membawa negara keluar dari pandemik Covid-19,” katanya lagi.

Pada Rabu minggu lepas, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas selesai Mesyuarat Majlis Tertingginya mengumumkan keputusanmenuntut supaya Muhyiddin berundur secara terhormat dan memutuskan UMNO menarik sokongan daripada kerajaan PN.

Zahid juga menuntut supaya PM baharu dilantik bagi menggantikan Muhyiddin bagaimanapun tidak menamakan individu yang layak untuk memegang jawatan nombor satu negara itu.

Bagaimanapun, Zahid berkata hanya PM sahaja berundur dan Menteri Kabinet sedia ada akan kekal.

Bagaimanapun, gesaan Zahid tersebut tidak menerima sambutan daripada Menteri dan Timbalan Menteri UMNO yang dilihat tidak sehaluan dengan beliau, ia memandangkan wujud curiga anak murid kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu yang cuba membawa parti ke arah kerjasama bersama PKR dan DAP.

Setakat ini, tidak ada seorang Menteri atau Timbalan Menteri yang mengikut telunjuk Zahid yang seakan cuba menjatuhkan kerajaan PN.

-Agenda Daily

Sabtu, 12 Disember 2020

Peruntukan 22 kementerian lulus bukti PH gagal dapat sokongan, kata Otai Reformis

 

Sehingga 10 Dis lepas, peruntukan 22 kementerian diluluskan di peringkat jawatankuasa walaupun pembangkang mendakwa mempunyai cukup sokongan untuk menghalangnya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) perlu berhenti mengharapkan sokongan daripada Ahli Parlimen untuk merampas kembali kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin, kata kumpulan penyokong Anwar Ibrahim.

Setiausaha Otai Reformis 1998, Abdul Razak Ismail membuat gesaan itu kerana terbukti pembangkang gagal mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen dalam menolak Belanjawan 2021 di peringkat dasar dan jawatankuasa.

Katanya, pembangkang juga tidak perlu membuang masa dalam mendapatkan sokongan akuan bersumpah (SD), termasuk daripada wakil Umno bagi menubuhkan kerajaan baru.

Sebaliknya kata beliau, ia harus kembali memberi tumpuan kepada persiapan dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15.

“Sejak awal-awal lagi kegagalan PH menyediakan 15 wakil rakyat untuk sokong undi belah bagi terhadap Belanjawan 2021 di peringkat dasar memberikan presepsi ‘the game is already over’.

“Ia semakin jelas apabila peruntukan 22 kementerian lulus satu persatu di peringkat jawatankuasa tanpa banyak halangan setakat ini.

“Kita mula tertanya-tanya bilakah masanya PH akan berhenti berharap belas ehsan Ahli Parlimen PN-BN untuk ‘cross-over’ menyokong Anwar walaupun dikhabarkan beliau mempunyai cukup SD untuk membentuk kerajaan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, sekiranya presiden PKR itu mempunyai jumlah SD ditangan untuk menubuhkan kerajaan, ia tidak memberi jaminan kukuh bahawa kerajaan baru dapat dibentuk kerana pendirian wakil rakyat berubah-ubah mengikut situasi semasa.

“Percaturan politik di Perak jelas menunjukan ADUN bertukar sokongan berdasarkan situasi semasa dan sukar bagi Anwar untuk mengharap sokongan Ahli Parlimen BN-PN.

“Sewajarnya Anwar ‘bakar’ sahaja SD itu dan mula turun ke negeri untuk bertemu pimpinan setempat dan ‘move on’,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin PKR, DAP dan Amanah perlu bersatu dan bekerjasama dengan pembangkang di Sabah dan Sarawak, termasuk Warisan, untuk kembali menerajui Putrajaya.

“PH sewajarnya sudah menggerakkan jentera parti di peringkat ranting atau cabang untuk tumpu ke arah PRU 15.

“PKR dan Amanah harus berbincang untuk ambil alih kawasan yang dimenangi PPBM dan kumpulan pro Mohamed Azmin Ali dalam PRU-15.

“Tumpu untuk rampas semula 11 kawasan Parlimen yang PKR menang tetapi ‘lari’ mengikut Azmin,” katanya.

Razak berkata, PH perlu mengambil peluang untuk memperkukuh kerjasama antara parti gabungan pada saat Umno dan PPBM bertelagah.

“Pergeseran Umno-PPBM akan berlarutan hingga PRU15. Sabotaj-mensabotaj akan berlaku antara dua parti itu. PH harus mengambil peluang daripada situasi ini,” katanya.

Sept lepas Anwar mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh dan meyakinkan, iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen, untuk membentuk kerajaan.

Ia bagaimanapun gagal diterjemahkan sehingga ke hari ini, termasuk semasa pengundian Belanjawan 2021 peringkat dasar pada 26 Nov.

Walaupun mendakwa mereka akan menolak belanjawan ketika pengundian di peringkat jawatankuasa, namun sehingga 10 Dis lepas, ia tidak berhasil dengan peruntukan 22 kementerian melepasi undian di peringkat itu.-wrlr