"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label Perbicaraan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Perbicaraan. Papar semua catatan

Khamis, 16 Jun 2022

Hampir AS$670 juta dipindah ke akaun peribadi Najib

 Najib Razak hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Najib Razak hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Kuala Lumpur: Seorang pegawai bank hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, bahawa hampir AS$670 juta dipindahkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak, membabitkan lima transaksi antara 2011 hingga 2013, termasuk dana daripada Putera Faisal Turkey Al-Saud.

Pengurus Bahagian Unit SWIFT di Ambank (M) Berhad, Wedani Senen, 48, berkata, kesemua transaksi itu melibatkan akaun bekas perdana menteri itu, berakhir dengan nombor 694.

Saksi pendakwaan ke-29 itu berkata, wang berjumlah US$20 juta dimasukkan ke dalam akaun Najib bernombor 694 oleh Putera Faisal melalui dua transaksi pada 24 Feb 2011 dan 14 Jun 2011.

Saksi itu juga mengesahkan bahawa pada 30 Okt 2012 dan 19 Nov 2012, sebanyak AS$4,999,988 dan AS$24,999,988 dipindahkan daripada Blackstone Asia Real Estate Partners (syarikat milik sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low iaitu Eric Tan) ke dalam akaun Najib.

Mahkamah juga diberitahu bahawa AS$620 juta dipindahkan ke dalam akaun Najib daripada Tanore Finance Corp pada 22 Mac 2013.

Beliau berkata, demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Najib berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada prosiding sebelah pagi, pakar undang-undang bagi Polisi Perniagaan di Unit Polisi Perniagaan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) Mohamed Fairudz Mohd Hanif, 38, mengesahkan bahawa dua syarikat iaitu Good Star Limited dan PetroSaudi International Limited (PSI) yang menerima dana sebanyak AS$1.83 bilion daripada 1MDB di antara 2009 dan 2011, masing-masing telah dibubarkan pada 2014 dan 2015.

Good Star Limited yang dimiliki oleh Jho Low dibubarkan pada 2 Mei 2014, manakala PSI yang dimiliki warga Arab, Tarek Obaid dibubarkan pada 8 April 2015.

Mohamed Fairudz berkata, pihaknya menerima maklumat itu daripada Seychelles Financial Services Authority (Seychelles FSA), selepas LFSA menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan maklumat dari empat buah negara pesisir bagi kes 1MDB.

Negara-negara tersebut adalah British Virgin Island, Seychelles, Caracao dan Cayman Island. SPRM yang mewakili kerajaan Malaysia memohon kepada LFSA bagi mendapatkan maklumat berhubung Good Star Limited dan PSI yang didaftarkan di kepulauan Seychelles," katanya.

Saksi pendakwaan ke-28 itu berkata, susulan itu, beliau telah menghantar satu surat bertarikh 10 Ogos 2018 kepada Ketua Pengarah Eksekutif, Seychelles FSA dan juga kepada Supervision Manager, Seychelles FSA dan jawapan daripada pihak Seychelles FSA diterima selepas dua bulan permohanan itu dibuat.

Beliau berkata, menurut pihak Seychelles FSA, kedua-dua syarikat itu yang berada di dalam daftar syarikat Syechelles FSA mempunyai alamat perniagaan yang sama dan menggunakan ejen pendaftaran syarikat yang sama iaitu Vistra (Seychelles) Limited (sebelum ini dikenali sebagai Offshore Incorporations (Seychelles) Limited).

Sebelum ini, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu mahkamah bahawa AS$1.83 bilion dana 1MDB disuntik ke dalam PSI dan Good Star Limited.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini.

-myMetro

Rabu, 15 Jun 2022

‘Malaysia masih berhutang RM13.3 bilion yang dimeterai Najib’

 


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Malaysia masih berhutang AS$3 bilion atau RM13.3 bilion hasil usaha sama (JV) antara 1MDB dan Aabar Investments.

Bekas pegawai kementerian kewangan, Siti Zauyah Md Desa, yang pernah berkhidmat di bahagian pengurusan pinjaman kementerian itu, berkata 1MDB tidak pernah melaporkan kepada bahagiannya berhubung usah sama berkenaan. (1MDB dimiliki sepenuhnya oleh MoF Inc).

Semasa perbicaraan kes rasuah RM2.28 bilion 1MDB yang membabitkan bekas perdana menteri dan menteri kewangan Najib Razak, saksi pendakwaan ke-23 itu mendakwa bahawa firma pelaburan negara tersebut cenderung berurusan secara langsung dengan tertuduh dan bukannya melalui bahagiannya.

Siti Zauyah memaklumkan bahawa Najib menandatangani surat sokongan (LOS) bagi menyokong usaha sama antara 1MDB dan Aabar Investments PJS, yang adalah anak syarikat International Petroleum Investment Company (IPIC).

“Saya mengesahkan bahawa status pinjaman AS$3 bilion yang dirujuk dalam kenyataan saksi, bahawa 1MDB sebagai peminjam AS$3 bilion, telah gagal membayar balik pinjaman itu mengikut terma yang ditetapkan.

“Perkara ini menyebabkan kerajaan hari ini terpaksa membayar balik hutang 1MDB berdasarkan LOS yang dikeluarkan kerajaan yang ditandatangani oleh menteri kewangan Najib Razak pada 2013.

“Selepas surat sokongan kepada 1MDB dikeluarkan pada 2013, menteri kewangan itu tidak lagi mengeluarkan sebarang jaminan kepada 1MDB,” kata Siti Zaudah hari ini.

Dia memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa sekiranya 1MDB gagal membayar balik hutangnya, bank pemberi pinjaman akan “mengejar” kerajaan Malaysia kerana LOS ditandatangani oleh Najib.

Pinjaman itu didakwa dikumpul melalui terbitan bon 1MDB oleh Bank of New York Mellon Group. Bon tersebut matang tahun depan.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa akibat daripada jejak aliran kewangan yang diselewengkan itu, sejumlah AS$681 juta (RM2,081,476,926 mengikut kadar pertukaran asing ketika itu) masuk ke akaun Najib pada awal 2013.

Sementara itu Bernama melaporkan bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa kerajaan masih menanggung hutang US$3 bilion yang dipinjam oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sembilan tahun lepas.

Datuk Siti Zauyah Mohd Desa, 63, yang ketika itu bertugas di Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan Dan Aktuari (BPKA), berkata pinjaman tersebut diluluskan oleh kerajaan melalui surat sokongan yang ditandatangani Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan pada 2013.

Saksi pendakwaan ke-26 itu juga mengesahkan bahawa pihaknya tidak pernah menerima apa-apa laporan daripada 1MDB ke mana wang tersebut telah dibelanja dan digunakan.

“Saya mengesahkan 1MDB selaku pihak yang membuat pinjaman berjumlah US$3 bilion telah gagal untuk membuat bayaran pinjaman seperti terma ditetapkan.

“Hal ini menyebabkan kerajaan pada masa ini terpaksa menanggung bayaran balik hutang 1MDB ini berdasarkan kepada surat sokongan yang dikeluarkan kerajaan yang ditandatangani oleh Menteri Kewangan (Najib),” katanya.

US$3 bilion adalah wang yang diperoleh daripada bon yang diterbitkan oleh anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Global Investment Ltd untuk usaha sama 50:50 antara 1MDB dan Aabar Investments PJS.

Sebelum ini, mahkamah diberitahu hutang itu sepatutnya dibayar sepenuhnya pada 2023.

Siti Zauyah juga berkata pihak BPKA bertanggungjawab mendapatkan laporan daripada 1MDB namun mengesahkan sepanjang bertugas di bahagian itu, beliau tidak menerima apa-apa laporan balas daripada pihak pengurusan 1MDB berkaitan penggunaan dana berjumlah US$3 bilion.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan bekas Perdana Menteri itu berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1MDB.

“Pihak 1MDB bertanggungjawab untuk mengemukakan laporan pelaburan mereka sepertimana tujuan permohonan surat sokongan itu dikemukakan kepada pihak Kementerian Kewangan.

"Pihak saya ada berhubung dengan wakil 1MDB pada masa itu, Zahid Taib, untuk mereka memberikan maklum balas mengemukakan dokumen atau laporan kepada Kementerian Kewangan namun pada masa itu, pihak 1MDB tidak mengemukakan apa-apa laporan kepada bahagian saya.

“Saya juga sahkan saya sendiri tidak pernah melihat dokumen perjanjian antara 1MDB dengan pihak Aabar seperti yang dimaklumkan dalam permohonan mereka kerana pihak 1MDB tidak melaporkan kepada bahagian saya pada masa itu.

“Antara dokumen yang diminta secara konsisten adalah laporan kewangan beraudit 1MDB yang perlu mereka berikan salinan kepada pihak Kementerian Kewangan namun dokumen itu gagal dikemukakan oleh pihak 1MDB,” katanya.

Siti Zauyah berkata dasar di peringkat kementerian itu menetapkan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) yang ingin membuat apa-apa perjanjian usaha sama atau pelaburan dengan pihak luar perlu dibentang kepada Bahagian MKD dan Bahagian MKD akan menyediakan kertas untuk mendapatkan kelulusan Menteri Kewangan sebelum dibentang untuk kelulusan Kabinet.

“Ini adalah dasar dan proses sedia ada. Dalam kes 1MDB, saya sahkan pihak 1MDB tidak mengemukakan laporan untuk mereka membuat perjanjian usaha sama dengan pihak Aabar seperti yang dirujuk dalam keterangan saya hari ini.

“Saya tidak dapat pastikan sama ada 1MDB telah mendapat kelulusan khas daripada Menteri Kewangan tentang perjanjian usaha sama yang hendak mereka jalankan ini,” katanya.

Beliau berkata selepas surat sokongan kepada 1MDB pada 2013, Kementerian Kewangan tidak lagi mengeluarkan apa-apa jaminan kepada syarikat itu.

Berkaitan perjalanan syarikat 1MDB yang diletak di bawah kawalan MKD, Siti Zauyah mengesahkan bahawa tiada mana-mana pegawai Kementerian Kewangan atau Bahagian MKD dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah 1MDB kerana dalam syarikat lain, Menteri Kewangan tidak terlibat secara langsung yang menyaksikan Menteri Kewangan telah melantik diri sendiri sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

“Saya sahkan dalam syarikat MKD yang lain hal seperti ini tidak berlaku,” katanya sambil menambah pihak 1MDB sering berkomunikasi terus dengan Najib jika kurang bersetuju dengan permintaan atau pendapat BPKA dalam hal berkaitan surat sokongan US$3 bilion itu.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-mKini

Najib lantik diri sendiri jadi Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB - Saksi

 Datuk Seri Najib Razak hadir perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Datuk Seri Najib Razak hadir perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Razak melantik dirinya menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat (BOA) 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa, saksi ke-26 pendakwaan ketika membaca penyataan saksinya, berkata menteri kewangan tidak terbabit secara langsung dalam syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan yang lain selain 1MDB.

Beliau memberitahu demikian dalam perbicaraan kes Najib yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Katanya, tiada mana-mana pegawai Kementerian Kewangan atau dari bahagian Menteri Kewangan Diperbadankan dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah 1MDB.

"Saya sahkan, dalam syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan yang lain, hal seperti ini tidak berlaku," katanya ketika membacakan penyataan saksinya.

Sementara itu, Siti Zauyah berkata bidang kuasa Menteri Kewangan Diperbadankan secara jelas dinyatakan dalam Undang-Undang Malaysia, Akta 375, Akta Menteri Kewangan (Diperbadankan) 1957.

Katanya, Seksyen 3 (1) akta itu menyatakan, menteri kewangan bertanggungjawab dalam hal kewangan atas nama badan korporat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, oleh itu mengikut seksyen 3(2) akta sama, ia boleh menyaman dan disaman.

Beliau menjelaskan, apabila terdapat satu dokumen atau apa-apa resolusi, persetujuan atau arahan yang dibuat oleh seseorang Menteri Kewangan (Diperbadankan) kepada sesebuah syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan, ia dianggap sah dan adalah satu bentuk kelulusan.

Selain itu, Menteri Kewangan Diperbadankan sebagai pemegang saham tunggal kepada sebuah syarikat milik Kerajaan adalah tertakluk kepada Akta 125 Akta Syarikat 1965. Oleh demikian, kuasa Menteri Kewangan Diperbadankan sebagai pemegang saham tertakluk juga kepada perincian di dalam akta syarikat berkenaan," katanya.

-BH Online

Rabu, 18 Mei 2022

'Altantuya buat laporan polis, minta cari Razak Baginda jika apa-apa berlaku kepadanya' - Saksi

 'Altantuya buat laporan polis, minta cari Razak Baginda jika apa-apa berlaku kepadanya' - Saksi

Saksi itu berkata Inspektor Zamilah Mamat telah ditugaskan sebagai pegawai penyiasat untuk menyiasat laporan polis tersebut, namun beliau tidak sempat mengambil keterangan daripada mendiang Altantuya. - Gambar fail
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa wanita warga Mongolia yang mati dibunuh, Altantuya Shaariibuu pernah membuat laporan polis menyatakan 'sekiranya apa-apa berlaku kepadanya, cari Razak Baginda', hari yang sama wanita itu hilang hampir 16 tahun lepas.
Supt Tonny Anak Lunggan, 42, pegawai penyiasat dalam kes bunuh wanita itu berkata pada 3 Nov 2016 beliau dihubungi melalui telefon oleh DSP Gan Tack Guan memaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh Altantuya di Balai Polis Tun H.S. Lee pada 1.08 tengah hari, 19 Okt 2006.
"Saya telah menyemak laporan polis itu melalui Police Reporting System (PRS) dan mencetaknya keluar. Saya dapati adalah benar bahawa laporan polis itu dibuat oleh Altantuya dan memaklumkan kepada DSP Gan dan Supt Zainol Samah mengenai laporan polis tersebut.
Saya ingat satu perkara yang amat jelas. Altantuya nyatakan dalam laporan itu sekiranya apa-apa berlaku kepadanya, cari Razak Baginda (penganalisis politik Abdul Razak Baginda)," kata saksi ke-26 itu ketika membacakan pernyataan saksinya.
Beliau berkata demikian pada prosiding kes saman RM100 juta difailkan bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev Shaariibuu dan keluarganya terhadap dua bekas anggota polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, Abdul Razak serta kerajaan Malaysia.
Kepada soalan peguam keluarga Altantuya, Sangeet Kaur Deo, saksi itu berkata Inspektor Zamilah Mamat telah ditugaskan sebagai pegawai penyiasat untuk menyiasat laporan polis tersebut, namun beliau tidak sempat mengambil keterangan daripada mendiang Altantuya.
Tonny, yang kini bertugas di Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang Bukit Aman berkata adalah penting untuk siasatan dibuat terhadap laporan polis itu kerana ia dibuat oleh si mati dan berkait langsung dengan kehilangannya.
"Tambahan pula, laporan itu dibuat pada hari sama dengan kehilangan beliau (19 Okt 2006).
"Walaupun saya bukan pegawai penyiasat bagi laporan itu, saya masih mengambil kira laporan tersebut kerana berkait terus dengan siasatan saya khususnya terhadap laporan Namiraa Gerelmaa mengenai kehilangan rakannya (Altantuya)," katanya.
Menurut Tonny, kandungan laporan polis Namiraa menyatakan bahawa pada 19 Okt 2006, pada 7 malam, semasa beliau dan Altantuya berada di sebuah hotel, Altantuya telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memberitahu Altantuya bahawa suaminya meminta lelaki itu menjemput Altantuya pergi ke sebuah rumah di Damansara Heights.
"Kira-kira 8 malam, Altantuya kemudiannya menghubungi Namiraa dan menyatakan beliau sudah sampai di rumah suaminya bernama Abdul Razak Abdullah Baginda.
"Namiraa menyatakan bahawa beliau telah cuba menghubungi rakannya itu, namun gagal. Beliau membuat laporan polis kerana takut terjadi apa-apa hal keselamatan terhadap rakannya itu," katanya.
Tonny berkata berdasarkan siasatan serta kandungan laporan polis tersebut, DSP Gan telah mengarahkan ASP Lim Meng Seah untuk menangkap Abdul Razak dan lelaki itu kemudian ditangkap pada 7 Nov 2006.
Sementara itu, Tonny berkata Abdul Razak juga telah membuat laporan polis pada 23 Okt 2006 berkenaan ugutan oleh Altantuya, yang juga dikenali sebagai Amina pada 17 Okt dan laporan berhubung gangguan daripada seorang lelaki serta dua perempuan warga asing, yang dibuat pada 20 Okt tahun sama.
Ditanya Sangeet adakah saksi itu tahu mengapa laporan polis tersebut dibuat tujuh hari selepas Altantuya pergi ke rumah Abdul Razak pada 17 Okt, Tony menjawab, beliau tidak tahu kenapa laporan oleh Abdul Razak dibuat lewat dan beliau tidak diberi penerangan berhubung perkara itu.
Pada 4 Jun 2007, ibu bapa Altantuya, Dr Shaariibuu dan isterinya, Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelaki mereka, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman RM100 juta terhadap dua bekas anggota polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, Abdul Razak serta kerajaan Malaysia.
Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga kemudian dikeluarkan daripada senarai plaintif apabila dia meninggal dunia pada 2017.
Dalam pernyataan tuntutan, keluarga itu mendakwa kematian Altantuya mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, melayakkan mereka dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera bersambung esok.
-- BERNAMA

Rabu, 23 Mac 2022

Guan Eng 'Tak Boleh Disentuh' Semasa PH Memerintah - Saksi

 

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan pernah meluahkan kebimbangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung keselamatannya ekoran pendedahan beliau ketika siasatan kes rasuah projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang melibatkan Lim Guan Eng.

Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, mendiang Datuk Ewe Swee Kheng bagaimanapun menolak tawaran SPRM untuk dilindungi oleh pihak berkuasa sebagai saksi kerajaan walaupun risaukan keselamatannya.

Mendiang antara lain mendedahkan pernah berjanji untuk memberikan beberapa unit kediaman kepada Guan Eng sebagai balasan jika bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu membantu syarikatnya, EZSB meneroka tanah-tanah kerajaan yang telah ditambak untuk membangunkan projek perumahan.

Guan Eng kemudian memaklumkan kerajaan negeri bersetuju melantik sebuah syarikat kontraktor melaksanakan projek terowong yang mana cara pembayaran dibuat melalui pertukaran tanah dan mencadangkan beliau berurusan dengan syarikat tersebut supaya tanah kerajaan dijual kepadanya (Swee Kheng).

Butiran tersebut dimaklumkan kepada pegawai perakam SPRM, Penolong Penguasa Muhammad Nazree Mansor, 32, sewaktu mendiang membuat penambahan dalam rakaman percakapan yang diberikan berhubung siasatan tersebut.

Ketika membacakan rakaman percakapan itu di mahkamah, Mohd. Nazree menyatakan, mendiang menyifatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai individu yang ‘tidak boleh disentuh’ (untouchable).

Jelasnya, mendiang memaklumkan, ketika pihak SPRM memulakan siasatan kes terowong, negara ini di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) manakala Guan Eng terlepas daripada kes mahkamah berkaitan skandal banglo.

“Sekiranya terdapat pihak yang mengetahui saya membuat pendedahan ini, dibimbangi ianya akan memberikan implikasi buruk kepada saya. Selepas itu saya ada mendengar banyak berita bahawa YB LGE (Guan Eng) juga ada menerima wang daripada syarikat kontraktor. Saya rasa harus ceritakan perkara yang sebenar. “Oleh kerana terlalu banyak yang saya rahsiakan, saya fikir akan sampai masa perkara ini akan terbongkar dan menjejaskan perniagaan saya,” menurut rakaman percakapan itu.

Mendiang bagaimanapun menyatakan tidak pernah menerima gangguan daripada mana-mana pihak ketika siasatan SPRM dan memberi jaminan akan mengambil langkah berjaga-jaga.

Swee Kheng, 53, yang sepatutnya dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-15, bagaimanapun ditemukan maut selepas terjatuh dari kondominium mewah The Palazzo, Jalan Kelawei, Pulau Pinang.

Mendiang meninggal dunia pada pukul 5.37 pagi, 5 Oktober 2021 selepas ditemukan di bahagian bawah kondominiumnya manakala sebab kematian ialah kecederaan berganda akibat jatuh daripada tempat tinggi.

Pada 16 Disember 2021, mahkamah membenarkan rakaman percakapan mendiang diterima masuk dan ditandakan sebagai eksibit dalam perbicaraan kes rasuah Guan Eng.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Guan Eng didakwa atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dilantik melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Zarul Ahmad merupakan Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) yang dilantik sebagai kontraktor bagi projek berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana. – UTUSAN