FIQAH PUASA
Bahagian 11
SUNAT-SUNAT PUASA
MAKAN SAHUR
ARTI SAHUR
Perkataan sahur السَّحُورُ dengan fatah huruf sin artinya makanan yang dimakan pada waktu sahur dan dengan dhommah huruf sin artinya makan.
Berkata Imam Ibnu Al-Asir :
هُوَ بِالْفَتْحِ اسْمُ مَا يُتَسَحَّرُ بِهِ وَقْتَ السَّحَرِ مِنْ طَعَامٍ وَشَرَابٍ
Artinya : “Sahur السَّحُورُ dibaca dengan fathah ialah nama bagi barang yang dibuat bersahur dengannya pada waktu sahur yaitu makanan dan minuman.”
Disunatkan dengan sepakat ulamak bersahur ke atas siapa yang hendak menunaikan puasa samada puasa fardu atau sunat.
Berkata Imam Nawawi :
فَاتَّفَقَ أَصْحَابُنَا وَغَيْرُهُمْ مِنْ الْعُلَمَاءِ عَلَى أَنَّ السَّحُورَ سُنَّةٌ
Artinya : “Maka telah sepakat olih Ashab kami dan selain mereka itu daripada para ulamak atas bahawa bersahur itu ialah sunat.” (Kitab Al-Majmu’)
Akan tetapi tidak berdosa seorang yang berpuasa tanpa bangun ia bagi makan sahur cuma jika sengaja dia tinggalkan maka perbuatannya itu adalah makruh.
Berkata Imam Ibnu Al-Munzhir :
أَجْمَعَتْ الْأُمَّةُ عَلَى أَنَّ السَّحُورَ مَنْدُوبٌ إلَيْهِ مُسْتَحَبٌّ لَا إثْمَ عَلَى مَنْ تَرَكَهُ
Artinya : “Telah ijmak olih umat atas bahawa bersahur itu disunatkan yang tidaklah berdosa atas orang yang meninggalkannya.” (Kitab Al-Asyraf)
Dan tidak dinamakan bersahur jika seorang itu hanya bangun ia pada waktu sahur tetapi tiada makan akan makanan atau minum akan minuman.
Dan samada makan seorang itu ketika bersahur akan sedikit dari makanan atau banyak maka dia telah mendapat fadhilat bersahur.
Berkata Dr Mustafa Al-Khin :
ويحصل فضل السحور بكثير المأكول، وقليله، وبالماء
Artinya : “Dan tercapai fadhilat bersahur dengan makan yang banyak atau sedikit dan tercapai juga dengan hanya minum air.” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)
Dan tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah :
وَكُل مَا حَصَل مِنْ أَكْلٍ أَوْ شُرْبٍ حَصَل بِهِ فَضِيلَةُ السَّحُورِ
Artinya : “Dan setiap apa yang berhasil dari makan atau minum nescaya berhasil dengannya kelebihan bersahur.”
Dan jika tiada didapat akan makanan maka hendaklah dia minum akan air supaya mencapai ia akan perbuatan bersahur.
Dan makanan yang afdhal dimakan ketika bersahur ialah buah tamar seperti masa berbuka.
Dan sekurang-kurang bersahur itu ialah dengan meminum seteguk air jika tiada ada yang lain dari itu pada sisinya.
Telah meriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr r.a. beliau berkata :
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: تَسَحَّرُوا وَلَوْ بِجَرْعَةٍ مِنْ مَاءٍ
Artinya : “Telah bersabda olih Rasulullah saw : Hendaklah kamu sekelian makan sahur walaupun hanya dengan seteguk daripada air.” (Hadith riwayat Ibnu Hibban di dalam Sahihnya)
FADHILAT MAKAN SAHUR
Telah diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. :
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: تَسَحَّرُوا؛ فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً
Artinya : “Sungguhnya Rasulullah saw telah bersabda : Bersahurlah kamu sekelian maka sungguhnya pada bersahur itu ada keberkatan.” (Hadith riwayat Muslim)
Berkata Imam Ibnu Daqiq Al-‘Ied :
فِيهِ دَلِيلٌ عَلَى اسْتِحْبَابِ السُّحُورِ لِلصَّائِمِ. وَتَعْلِيلُ ذَلِكَ بِأَنَّ فِيهِ بَرَكَةً. وَهَذِهِ الْبَرَكَةُ: يَجُوزُ أَنْ تَعُودَ إلَى الْأُمُورِ الْأُخْرَوِيَّةِ. فَإِنَّ إقَامَةَ السُّنَّةِ تُوجِبُ الْأَجْرَ وَزِيَادَتَهُ. وَيُحْتَمَلُ أَنْ تَعُودَ إلَى الْأُمُورِ الدُّنْيَوِيَّةِ، لِقُوَّةِ الْبَدَنِ عَلَى الصَّوْمِ، وَتَيْسِيرِهِ مِنْ غَيْرِ إجْحَافٍ بِهِ
Artinya : “Pada hadith ini menjadi dalil atas disunatkan bersahur bagi orang yang hendak berpuasa kerana bahawasanya terdapat pada bersahur itu berkat. Dan keberkatan ini harus ia dengan perkara-perkara akhirat kerana mendirikan sunnah itu mewajibkan pahala dan bertambah pahala. Dan harus juga keberkatan itu berkait dengan perkara keduniaan kerana menguatkan badan atas berpuasa dan memudahkan berpuasa tanpa memaksa dengannya.” (Kitab Ihkam Al-Ahkam)
Maka dapat kita ketahui bahawa hikmah yang paling besar dalam perintah supaya bersahur ini ialah menguatkan tubuh badan kerana beribadah kepada Allah Taala.
Berkata Al-Qadhi Iyadh :
أصل البركة الزيادة، وقد تكون هذه البركة القوة على الصيام، وقد جاء كذلك مفسراً فى بعض الآثار، وقد تكون الزيادة فى الأكل على الإفطار، وهو مما اختصت به هذه الأمة فى عمومها، وقد تكون البركة فى زيادة الأوقات المختصة بالفضل، وهذا منها؛ لأنه فى السحر، ومنه اشتق اسم السحور، وقد جاء فى فضل ذلك الوقت، وقبول الدعاء فيه والعمل فيه، وتنزل الرحمة ما جاء. وقد تكون هذه البركة ما يتفق للمتسحر من ذكر أو صلاة أو استغفار، وغيره من زيادات الأعمال التى لولا القيام للسحور لكان الانسان نائماً عنها وتاركاً لها
Artinya : “Asal arti berkat ialah bertambah atau berlebih. Dan terkadang adalah makna berkat ini kekuatan atas berpuasa dan terkadang datang yang demikian itu sebagaimana yang telah dijelaskan dalam sebahagian ucapan para sahabat. Dan terkadang berarti bertambah kebajikan pada ketika makan pada waktu berbuka. Dan keberkatan pada bersahur ini ialah keistimewaan umat ini pada umumnya. Dan terkadang kelebihan atau bertambah yang berkait dengan waktu dengan fadhilat dan ini adalah setengah daripadanya dari kerana bahawasanya ia terdapat pada bersahur itu. Dan terkadang adalah bertambah pada waktu dan qabul doa pada waktu sahur dan amalan pada waktu sahur dan turun rahmat seperti datang riwayat dan terkadang keberkatan ini barang yang berbetulan bagi yang bersahur itu yaitu berzikir dan solat dan istighfar dan lainnya dari tambahan-tambahan amalan yang andainya tiada bangun bersahur nescaya adalah manusia itu sedang tidur dan meninggalkan baginya.” (Kitab Ikmal Al-Mu’lim)
Telah diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri r.a. Nabi saw telah bersabda :
السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ فَلاَ تَدَعُوهُ وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جَرْعَةً مِنْ مَاءٍ فَإِنَّ اللَّهَ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ
Artinya : “Bermula makan sahur itu berkat maka jangan kamu sekelian meninggalkannya walau pun seorang kamu hanya meminum seteguk daripada air. Maka bahawasanya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang bersahur.” (Hadith riwayat Ahmad)
Dan sungguhnya makan sahur itu akan menolong atas kuat tubuh badan berpuasa pada siangnya.
Telah diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. daripada Nabi saw bersabda :
اسْتَعِينُوا بِطَعَامِ السَّحَرِ عَلَى صِيَامِ النَّهَارِ
Artinya : “Hendaklah kamu meminta tolong dengan makan sahur atas berpuasa pada waktu siang.” (Hadith riwayat Ibnu Majah & Al-Hakim)
Dan makan sahur itu adalah ttitik bezanya puasa kita dengan puasa orang-orang yahudi kerana mereka berpuasa tanpa makan sahur.
Telah diriwayatkan daripada ‘Amr bin Al-‘Aas r.a. :
أَنَّ رسولَ اللَّهِ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم قالَ: " فَضْلُ مَا بيْنَ صِيَامِنَا وَصِيامِ أَهْل الكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ
Artinya : “Sungguhnya Rasulullah saw telah bersabda : Kelebihan antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah makan sahur.” (Hadith riwayat Muslim)
WAKTU MAKAN SAHUR
Adalah masuk waktu bersahur itu selepas separuh daripada malam dan sayugia tidak bersahur sebelum dari separuh malam kerana berselisih fuqahak pada sahnya dan pada mencapai fadhilatnya.
Maka siapa yang telah makan ia sebelum dari separuh waktu malam nescaya disunatkan dia ulangi memakannya selepas dari separuh malam.
Berkata Imam Nawawi :
وَقْتُ السَّحُورِ بَيْنَ نِصْفِ اللَّيْلِ وَطُلُوعِ الْفَجْرِ
Artinya : “Dan waktu sahur itu ialah di antara separuh malam dan terbit fajar.” (Kitab Syarah Al-Muhazzab)
Dan lebih lewat waktu makan sahur itu adalah lebih baik.
Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah :
وَيُسَنُّ تَأْخِيرُ السَّحُورِ عِنْدَ جُمْهُورِ الْفُقَهَاءِ مَا لَمْ يَخْشَ طُلُوعَ الْفَجْرِ الثَّانِي
Artinya : “Dan disunatkan melambatkan bersahur di sisi jumhur fuqahak selama tidak ditakuti terbit fajar yang kedua.”
Maksud fajar yang kedua ialah fajar subuh.
Rasulullah saw telah bersabda :
لَا تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا أَخَّرُوا السَّحُورَ
Artinya : “Sentiasalah umatku dengan kebaikkan selama mana mereka melambatkan bersahur.” (Hadith riwayat Ahmad)
Maksudnya bersahur awal kurang fadhilatnya berbanding bersahur lewat.
Dan pada riwayat Ibnu Hibban Nabi saw bersabda :
إن تَأخِيرَ السحور ِمن سُنَنِ المرْسَلِينَ
Artinya : “Bahawasanya melambatkan makan sahur itu ialah dari sunnah para Rasul.” (Kitab Sahih Ibnu Hibban)
Berkata Syeikh Nawawi Al-Bantan :
وَيدخل وقته بِنصْف اللَّيْل وَالْأَفْضَل تَأْخِير السّحُور مَا لم يَقع فِي شكّ لخَبر الصَّحِيحَيْنِ لَا تزَال أمتِي بِخَير مَا عجلوا الْفطر وأخروا السّحُور
Artinya : “Dan masuk waktu bersahur pada setengah malam dan yang afdhal ialah melambatkan bersahur selama jangan sampai waktu syak kerana hadith Bukhari dan Muslim : Sentiasa umatku berada dalam kebaikkan selama mereka segerakan berbuka dan lambatkan bersahur.” (Kitab Nihayah Zain)
Dan antara sebab lebih afdhal dilambatkan waktu makan sahur itu ialah supaya lebih dekat ia dengan waktu berpuasa maka lebih tahan dan lebih kuat badannya.
Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah :
وَلأِنَّ الْمَقْصُودَ بِالسَّحُورِ التَّقَوِّي عَلَى الصَّوْمِ، وَمَا كَانَ أَقْرَبَ إِلَى الْفَجْرِ كَانَ أَعْوَنَ عَلَى الصَّوْمِ.
وَنَقَل الْحَطَّابُ عَنِ ابْنِ شَاسٍ أَنَّ تَأْخِيرَ السَّحُورِ مُسْتَحَبٌّ
Artinya : “Dan dari kerana sungguhnya yang dimaksudkan dengan bersahur itu ialah menguatkan badan atas berpuasa. Dan apabila lebih hampir makan sahur dengan waktu subuh adalah lebih membantu atas berpuasa. Dan telah menaqal olih Al-Hatthab dari Ibnu Abbas r.a. sungguhnya melambatkan bersahur itu perkara yang digalakkan.”
Dan afdhal berhenti makan sahur kira-kira sepuluh minit atau lima belas minit sebelum masuk waktu subuh kerana mengikut amalan Rasulullah saw.
Telah diriwayatkan daripada Zaid bin Tsabit r.a. beliau berkata :
تَسحَّرْنَا مَعَ رسولِ اللَّهِ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم، ثُمَّ قُمْنَا إِلى الصَّلاةِ. قِيلَ: كَمْ كانَ بَيْنَهُمَا؟ قَالَ: قَدْرُ خَمْسينَ آيةً
Artinya : “Kami pernah bersahur serta Rasulullah saw kemudian kami bangun untuk solat. Ditanya orang : Berapakah jarak masa antaranya dengan solat? Berkata Zaid : Sekadar bacaan lima puluh ayat.” (Hadith riwayat Syaikhain)
Adalah jarak tersebut ialah dikira dari masa berhenti makan sahur bukannya dikira daripada mula makan sahur.
Ini adalah berdasarkan riwayat Anas bin Malik r.a. berkata :
أن النبي صلى الله عليه وسلم وزيد بن ثابت تسحرا، فلما فرغا من سحُورهما، قام نبي الله صلى الله عليه وسلم إلى الصلاة فصلى. قلنا لأنس: كم كان بين فراغهما من سحورهما ودخولهما في الصلاة؟ قال: قَدْر مَا يَقْرَأ الرجُلُ خمسَينَ آيَةً
Artinya : “Bahawasanya Nabi saw dan Zaid bin Tsabit r.a. bersahur keduanya. Maka apakala telah selesai keduanya dari bersahur maka bangun Nabi saw kepada solat kemudian bersolat. Kami berkata bagi Anas : Berapa lama masa antara selesai keduanya dari bersahur dan masuk keduanya di dalam solat? Berkata Anas : Kadar masa seorang membaca akan lima puluh ayat (dari Al-Quran).”
Akan tetapi jika seorang itu baru mula makan sahur tidak mengapa dia meneruskan makan sehingga hampir masuk waktu subuh.
wallahua’lam
0 ulasan:
Catat Ulasan