Jumaat, 21 Ogos 2020

Pantau media Cina jadi ‘medium’ sebar hasutan

TUDUHAN LIAR DAKWA MOHD ASRI, NGO ADA AGENDA TERSEMBUNYI


BANGI – Kerajaan perlu memantau akhbar dan portal berita berbahasa Cina supaya tidak menerbitkan sebarang artikel berbaur hasutan.

Sekiranya pantauan itu tidak mampu dilakukan oleh kerajaan, syarikat media lain atau NGO mungkin boleh mengambil tanggungjawab berkenaan, kata Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.

“Mungkin boleh keluarkan sedikit wang untuk proses menterjemah artikel yang diterbitkan di media-media Cina untuk dijadikan berita dalam bahasa yang kita semua faham.

“Malah, ianya mampu membuka peluang dan dimensi baharu dalam landskap media di negara ini.

“Dengan itu juga, media-media Cina akan lebih berhati-hati jika mahu menerbitkan artikel-artikel berbaur hasutan sebegini atau ‘mesej-mesej’ tertentu daripada politikus-politikus Cina kepada masyarakat Cina yang tidak dilapor di media bahasa Melayu atau Inggeris,” katanya.

Haji Aminuddin berkata demikian sebagai mengulas artikel yang disiarkan di akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily, mendakwa wujud ‘agenda tersembunyi’ di antara Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid dan NGO dalam isu pusat perjudian di Sungai Buloh.

Memetik artikel bertajuk Hew Wai Weng: Krisis Ekonomi Melayu Bandar yang disiarkan kelmarin, penulis mendakwa ISMA dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mempunyai agenda sama apabila membantu Mohd Asri menularkan videonya.

“PPIM selalu melancarkan serangannya melalui kerja-kerja ‘menolong golongan lemah’ baik secara langsung atau tidak langsung menuding jari pada orang Cina bukan Islam membuli atau menindas pengguna dan peniaga muslim,” dakwa penulis.

Menyifatkan dakwaan itu tuduhan liar dan berbaur hasutan, Aminuddin menyelar penulis artikel terbabit yang mewujudkan ‘teori’ kononnya PPIM, ISMA dan parti-parti politik Melayu memanipulasikan isu berkenaan demi manfaat politik.

“Apakah beliau lupa isu ini cepat tular kerana sentimen benci masyarakat terhadap sindiket perjudian berleluasa yang merosakkan masyarakat? Malah masyarakat Cina pun ramai yang memuji pendedahan ini.

“Apa yang lebih lucu, tiba-tiba penulis menyebut mengenai ICERD dan Kempen Beli Produk Muslim yang dipelopori oleh dua NGO ini. Apakah motif beliau?,” soalnya.

Beliau berkata, dakwaan penulis itu menimbulkan persoalan terhadap cubaannya menghasut masyarakat Cina yang menyokong pembanterasan kegiatan judi di daerah berkenaan.

“Lebih-lebih lagi artikel ini hanya ditulis dalam bahasa Mandarin dan diterbitkan di portal media Cina.

“Sudahlah sekolah pun diasingkan dengan naratif yang berbeza dan subversif, takkan media mahu begitu juga,” katanya.

-Dialog Rakyat

0 ulasan:

Catat Ulasan