Kuala Lumpur: Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 36, atau Sajat dipercayai sedang bersembunyi di Thailand selepas menghilangkan diri susulan waran tangkap dikeluarkan mahkamah.
Sajat dikenakan waran tangkap selepas gagal hadir sebutan semula pertuduhan berpakaian wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.
Sumber memberitahu Harian Metro bahawa, Sajat kini sedang bersembunyi di Thailand.
Ditanya bagaimana dia lolos ke negara jiran itu, sumber itu bagaimanapun tidak mendedahkannya.
Menjadi persoalan sama ada Sajat menggunakan laluan tikus untuk keluar dari Malaysia ke Thailand ataupun dia menggunakan pakej perlancongan yang membenarkan pelancong asing memasuki negara berkenaan selain kunjungan perniagaan.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika dihubungi mengesahkan bahawa Sajat kini sedang berada di negara jiran namun beliau tidak menyatakan negara dimaksudkan.
"Ya dia kini berada di negara jiran. Cuma saya nasihatkan kepada dia pulang dan pergilah ke mahkamah," katanya kepada Harian Metro.
Harian Metro sebelum ini melaporkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sudah berkongsi maklumat berkaitan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 36, atau Sajat yang didakwa berkemungkinan sudah berada di luar negara.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dilaporkan berkata, bagaimanapun pihaknya tidak akan mendedahkannya kerana dikhuatiri mengganggu siasatan.
Muhammad Sajjad mencetuskan kontroversi baru-baru ini apabila memuat naik video mahu keluar daripada Islam selepas menghilangkan diri susulan waran tangkap dikeluarkan mahkamah terhadapnya berhubung kes dikendalikan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (Jais) mengikut Seksyen 10, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor.
Pada 6 Januari lalu, Nur Sajat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Syarie Mohamad Khalid Shaee @ Shaii.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu dalam majlis bacaan Yasin dan solat hajat, pada 7.30 malam, 23 Februari 2018 di premis kecantikannya, Nursajat Beauticion, Jalan Serai Wangi G16/G, Seksyen 16, Shah Alam.
Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.-myMetro
0 ulasan:
Catat Ulasan