Ahad, 4 April 2021

Ahli UMNO Yang Ramai, Tetapi Tidak Mampu Menjanjikan Kemenangan

 


Walaupun saya sudah cuba untuk mengelak dari memberi komentar ke atas UMNO tetapi malam tadi saya terpaksa juga bercakap mengenainya disebabkan komitmen awal ke atas jemputan untuk berforum mengenai hala tuju UMNO pasca PAU anjuran O2, sebuah badan pemikir kelolaan Datuk Dira Abu Zahar, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, bersama-sama Naib Ketua Pemuda PAS, Ustaz Afnan Hamimi, dan EXCO Pemuda UMNO, Muhammad Azri aka Papagomo.

Antara lainnya saya mengajak UMNO supaya memikirkan semula hasrat untuk bertanding sendirian atas nama BN kerana sifat nostalgic dan sentimental dengan rekod dan dominasi lama tidak memberikan banyak kelebihan dalam suasana politik yang begitu cepat berubah, apatah lagi bila BN sekarang hanya mempunyai 4 parti komponen yang sudah tidak lagi bersedia mendukung sepenuhnya keputusan UMNO berbanding 14 parti komponen sebelum ini.

Saya juga menyebut mengenai betapa didengungkan dalam PAU lalu bahawa UMNO masih kekal sebagai parti politik terbesar dengan bilangan ahli terramai di Malaysia dengan Sabah mencatatkan bilangan ahli UMNO tertinggi, iaitu 583,979 ahli, diikuti oleh Johor (451,778 ahli), Selangor (421,899 ahli) dan Kedah (300,589 ahli) tetapi, tanya saya malam tadi:

(1) Apalah yang mahu dibanggakan sangat dengan bilangan 583,979 ahli di Sabah bila dalam PRU 14 kerusi yang dimenangi hanya 29 daripada 60 dan bila dalam PRN kerusi yang dimenangi hanya 14 daripada 73?

(2) Apalah yang mahu dibanggakan sangat dengan bilangan 451,778 ahli di Johor bila dalam PRU 14 kerusi yang dimenangi hanya 19 daripada 56?

(3) Apalah yang mahu dibanggakan sangat dengan 421,899 ahli di Selangor bila dalam PRU 14 kerusi yang dimenangi hanya 4 daripada 56?

(4) Apalah yang mahu dibanggakan sangat dengan bilangan 300,589 ahli di Kedah bila dalam PRU 14 kerusi yang dimenangi hanya 3 daripada 36?


Jelaslah bahawa bilangan ahli yang ramai tidak menjanjikan apa-apa kemenangan untuk mana-mana parti politik kerana penentu kemenangan sebenar adalah para pengundi yang tidak menjadi ahli parti dan sebuah parti yang mempunyai beberapa masalah imej yang serius pastilah akan mengalami kesukaran untuk mendapatkan sokongan para pengundi yang tidak menjadi ahli parti.

Rakaman forum yang sehingga kini telah mendapat lebih 35,000 tontonan boleh dilihat di sini:

https://www.facebook.com/O2Malaysia/videos/973920146685589/

FB Dr Kamarul Yusof

-Wak Labu Farm

0 ulasan:

Catat Ulasan