Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan (Pondok Madani) tampil menegur Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang susulan dakwaannya bahawa DAP memimpin Pakatan Harapan (PH) bagi meneruskan agenda penjajah untuk menghapuskan kedudukan Melayu dan Islam.
Pengerusinya, Baba Zulkarnain Harun berkata tuduhan seberat itu boleh dianggap sebagai fitnah dan tidak berasas sekiranya gagal disertakan dengan bukti jelas dan sahih.
Menurutnya, pendekatan sedemikian bukan sahaja berpotensi menimbulkan prasangka dan kebencian, malah boleh memecahbelahkan umat Islam serta menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk.
Lebih membimbangkan, katanya, politik sedemikian bercanggah dengan tuntutan syariat yang menekankan keadilan, tabayyun serta larangan membuat tuduhan tanpa bukti.
Kesatuan itu turut memetik Surah al-Hujurat ayat 12 mengenai larangan berprasangka serta Surah al-Ma’idah ayat 8 yang menuntut umat Islam berlaku adil sekalipun terhadap pihak yang dibenci.
“Justeru, kebencian politik tidak boleh menjadi alasan untuk melemparkan tuduhan bahawa sesuatu kelompok mahu menghapuskan Melayu dan Islam tanpa pembuktian yang kukuh,” katanya dalam kenyataan.
Pondok Madani turut menolak gambaran bahawa penyertaan DAP dalam Kerajaan Perpaduan membolehkan parti itu dengan sendirinya menghapuskan kedudukan Melayu dan Islam.
Menurutnya, Malaysia bergerak berasaskan sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, manakala kedudukan Islam serta kepentingan Melayu mempunyai perlindungan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kesatuan itu turut mengingatkan pemimpin yang membawa imej Islam supaya lebih bertanggungjawab kerana setiap kenyataan mereka mempunyai pengaruh besar terhadap masyarakat.
“Islam tidak menjadi kuat dengan fitnah. Melayu tidak menjadi kuat dengan ketakutan. Negara tidak menjadi kukuh dengan perpecahan,” tegasnya.
Sebaliknya, mereka mahu politik negara beralih daripada menakut-nakutkan rakyat kepada persaingan menawarkan penyelesaian terhadap isu ekonomi, kos sara hidup, pekerjaan, pendidikan dan kemiskinan.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan tulisan Abdul Hadi yang mendakwa DAP memimpin PH bagi menyambung agenda penjajah menghapuskan Melayu-Islam.










0 ulasan:
Catat Ulasan