Ahad, 20 Ogos 2023

The Untold Story:Kisah MB SANUSI-Kami Dan Bukit Behong ; Gerek Tua Pak

 Kisah MB SANUSI

Kami Dan Bukit Behong ; Gerek Tua Pak


Pagi tu Pak bersiap awal. Parang dengan tali sudah di tangan... “Shi! Shi! Jik! Bakek! Jom ikut aku gi bukit." Pak mengejutkan kami sambil menyarungkan bajunya.  

"Bangat laa!.. matahari nak nek dah nuu.. satgi sape sayok, nak kelek pukol bropa." 

Aku mengeliat sambil menahan liur basi dalam rongga mulut, takut tertumpah ke bantal. "Laaa bangat laa... gi basoh muka. Pakey seluar panjang. Roto-roti pong habih dah. Kelek satgi la kita makan kot kedei Mat"

Aku bingkas duduk, menggenyeh mata, kain gebar yang malam tadi berkongsi dengan Ajik dan Adi, dapat kat Ajik semua, dia tarik kat dia sorang. 

“Woi! Jik, jom, Pak hajak gi cari petey”! Aku kejutkan Ajik, air liur basi bertakung di bawah lidah.

Pak ikat tali nilon warna biru bergulung-gulung di pinggang. Baju kemeja yang sudah hilang warna, hanya  tinggal dua butang di tengah sudah membungkus tubuhnya. Parang berhulu kayu kopi, Pak selit antara peti rantai dengan semanggang. Kami sudah atas pelantar gerek yang Pak tambah dua batang kayu terjongket di belakang. Nanti nak letak petai senang.

Pak pusing pedal pengayuh ke belakang... Ppraaappp!! rantai bergeser dengan peti yang menutupnya. Sebelah kakinya atas pedal, sebelah kaki menujah tanah, gerek meluncur menuruni gon depan rumah. Gerek tua bergalang dua tu Pak beli daripada Usin gagap dengan harga $60. Gerek itu menabur jasa sehingga tersandar di dinding belakang rumah. Pak jual bangkainya di Batu Lima. 

Kayuhan Pak laju, mengejar matahari yang semakin mula menyinsing. Ada irama kayuhan Pak yang menemani kesejukan pagi itu. Pak berdiri sambil mengayuh bila sampai di gon depan rumah Kholed Bedah, gon itu tinggi dan lanjut, selekohnya tajam, kiri kanannya gaung, beberapa buah kereta pernah terjunam ke semak samun dibawah tebing. Di belakang telinga Pak, peluh sudah meleleh. Bau keringat Pak sekuat kasih sayangnya kepada anak-anak.

Pak membelok ke jalan kolam, batu yang menonjol atas muka jalan menujah melambung gerek tua Pak, punggung di atas pelantar terhentak terhempas , gerek yang hanya berirama perlahan di atas jalan raya tadi kini hingar bingar. Semua sendinya longgar dan bergegar.

Pak sandarkan gerek di perdu cempedak dalam tanah yang dipugar orang-orang siam. Lalang dan pokok kapal terbang yang tumbuh bebas di sekeliling, masih basah disiram embun. Matahari mula menyuluh, kabus tebal menyelubungi bukit belantara sayup-sayup berbalam di depan, warna putihnya terserlah disimbah sinar mentari, mawa dan lotong di bukit mula menyanyi.

Perjalanan menyusur denai belukar di tanah rata itu membasahkan seluar baju, meranduk embun di hujung dedaun, sesekali Pak mendengus sambil asap rokok daunnya menggulung pecah membelah dedaun lalang yang tegak hijau dan tunduk separa kering.

Laluan mula menempuh alur charok dari bukit sebelum memasuki kawasan yang Pak namakan Charok Air (A) Merah. Pak mendahului kami melangkah alur, dua tiga kali kami melompat berpaut pada batang anak-anak kayu sebesar lengan.

Air charok jernih tapi nampak seperti keruh dek lumut-lumut dan daun kayu yang perang- kuning mendap di dasarnya. Sesekali anak katak menujah arus, lelabah berkaki panjang merayap laju di permukaan. Kami terus mendaki bongkah-bongkah batu besar berlumut hijau.

Nyanyian burung, mawa dan lutong - bersipongang

Bunyi nyaring lolongan mawa, kera dan lotong bersahutan berulang-ulang, bergema saling memantul, membelah dan mencelah batang pokok dan bungkah batu, menyapa dedaun, menuruni lembah mendaki puncak, (Mungkin irama inilah yang SN Dato’ Shahnon Ahmad namakan 'bersipongang') seperti menyambut kami datang. 

Di atas kepala sepasang burung enggang melintas dengan suara nyaring… kuang! Kuang! kuang!..kepalanya berjambul, paruhnya besar berbonggol, kakinya melunjur ke belakang, kepaknya lebar berbulu hitam, seekor di depan seekor di belakang, laju, makin sayup dan hilang. 

Pak berhenti di perdu pokok petai besar, sebesar tiga atau empat pemeluknya. Mendongak sambil menepuk batangnya. "Tua dah! Moha tungu sini, aku nak cari galah". Kata Pak. 

Aku dan Ajik melabuh punggung atas batu besar, di sebelah kanan tebing curam, berbatu bongkah besar, licin berlumut hijau. Dibawahnya ada larian air yang laju di celah-celah batu menuruni permukaan curam, jernih, sejuk, taat menuruti hukum alam.

Galah dan sigai

Pak muncul dari celah anak-anak pokok dengan sebatang buluh panjang, siap diberkas 'rawit' cabang kayu dihujungnya, aku mengetuk anak-anak batu, berhibur dengan bunyi yang memantul-mantul meluru di celah-celah pokok. Ajik mengibas nyamuk, mukanya merah basah berpeluh.

Pak memanjat pokok berdaun lebar berbatang merah empat lima depa dari perdu petai. Galah bersandar menjulang, di tangan Pak segulung rotan, dipinggangnya gulungan tali yang terbuai terhayun. Pokok batang merah mula condong ke arah pokok petai, rotan pak melingkari batang kedua- dua pokok, semakin ditarik semakin dekat dan bercantum. Pokok batang merah itu kini menjadi sigai.

Sukar untuk diceritakan bagaimana Pak mampu memaut, mencondong dan mencantum dua pokok sebesar itu dengan seutas rotan, tekniknya luar biasa. Dalam kehairanan itu, Pak sudah mencapai celah dahan pertama pokok petai tinggi menyayup itu. 

Bayang pokok petai dan pokok-pokok di sekeliling bawahnya menjadikan naungannya redup dan gelap. Hanya beberapa celah antara dedaun, cahaya matahari menikam tanah dalam sinaran halus dan condong.

Condong cahaya itu menandakan waktu, pastinya jam masa itu melewati pukul 10 pagi. Maknanya perjalanan menyusuri denai dan mendaki berpaut anak pokok, merandok akar dan duri rotan, membawa kami ke Bukit Behong itu melebihi dua jam. Perut sudah mula menyanyi.

Pranggg! Gugusan buah petai yang terlucut daripada rawit di hujung galah Pak terhempas ke daun, dan menjuntai di dahan anak kayu.

"Moha kutip himpun hat dok jatuh tu nah, satgi aku turun ikat". Suara pak sayup-sayup memberi arahan, tubuhnya hilang di sebalik rimbunan daun dan dahan. Kesayupan suara yang sering mengecutkan isi perut itu menandakan betapa tingginya Pak di pucuk pokok, sedang memulas, segugus lepas segugus, dihimpun di celah dahan tempat dia berdiri.

Ajik ambil sebunga, aku sebunga, bersila sambil tangan mengopek papan petai, lepas satu mata satu mata lagi dimamah mengalas perut. Mulut pahit bukan kepalang, air di alur yang sejuk terasa manis, menggantikan air teh atau kopi. Hingga gigi, lidah dan pipi tak sanggup lagi menampung pahit dan kelat, baru kami sudah bersarapan pagi.

"Haaaa! Buka tali". Seberkas petai Pak hulurkan dari atas menyusur batang petai mencecah tanah di celah banir di perdunya. "Buka! Aku nak holor lagi ni." 

Ajik berlari, membuka tali dan melepas, tali merayap naik semula. Seberkas lepas seberkas, akhirnya seluruh tali dilepas, tandanya Pak akan turun, buah sudah terhimpun.

Bintik hijau dihanyut keringat

Aku berdiri di belakang Pak yang mencangkung melilit memberkas gugusan buah petai dengan akar, daun petai berbintik-bintik hijau melekat di belakang dan lehernya disimbah peluh, bajunya yang terlondeh ke belakang, berbau tengik dari bakaran keringat hari ini dan beberapa hari sebelumnya. Rambut dan tubuh kecil Pak basah seperti sedang mandi. Ajik berlari mengutip sisa yang jatuh dan patah, Pak membungkus dengan kain batik dipinggangnya. 

"Dekat seribu keping ada dah niii, kita susuk sini dulu, depan tu ada sepokok lagi." Kata pak, kakinya terus melangkah, meredah, mendaki bukit lagi. Matahari sudah terpacak di atas ubun-ubun.

Pak menebang buluh beting, rantingnya dicantas meninggalkan tunggul-tunggul menjadi anak tangga, ditambat ke perdu petai dengan rotan, galah di tangan, tali di pinggang, Pak memanjat lagi.

Kami dibawah menjamu nyamuk. Sesekali mata terlelap keletihan, bunyi mawa, kera dan lotong sudah tidak kedengaran, hanya kibasan sayap unggas dan kicauan burung menjadi teman. 

"Jaga! Aku nak thok (tohok) galah nii". Gedebuk!, buluh itu terpacak di tanah, tergedik- gedik menjulang di celah dahan-dahan pokok. Pak turun mengikat hasil yang dipulas, disangkut di hujung kayu pengandar sepanjang sedepa, memulakan langkah pulang. 

Singgah di perdu pokok pertama tadi, kayu pengandar menjadi dua. Lebih seribu keping di depan dan belakang kayu pengandar di bahu kiri dan kanan, menenggelamkan separuh tubuh Pak. Aku terhoyong hayang di belakang dengan 50 keping, Ajik 100 keping kerana badannya lebih besar.

Lekok bahu dibenam kayu- lekok tanah dibenam langkah.

Masih terbayang ternampak-nampak, kayu pengandar dua batang itu tenggelam merenyak otot di bahu Pak, kakinya terbenam dalam taburan daun-daun hitam basah yang menutupi tanah. Setiap langkahannya jelas begitu berat menampung beban, menuruni tebing meninggalkan lubang di tanah. Lubang-lubang itu kami turuti mengelak tersembam. Sesekali punggung terhempas ke tanah, terlambat bangun, Pak hilang di balik perdu pokok jauh di depan.

Gugusan petai sudah menutup tayar dan galang gerek tua Pak, kayu dua batang di hujung pelantar menampung limpahan kepingan papan petai melayah ke belakang, kami menapak di belakang kehausan, Pak menyorong gerek, sesekali terhoyong ke kiri ke kanan.

Husin Tok Ratna tersenyum menanti di bangsal depan rumah Mad Jab Pak Long Ad (Saad). Pak Su Mid menyedut curut cap ikan sambil bersandar di tiang bulat. Beberapa gugus petai yang dalam ikatan kecil, nampak layu tergantung di depan bangsal, mungkin buah kelmarin. 

"Petai papan ka padi Nok?" Husin Tok Ratna menyapa sambil membelek melurut keping petai yang masih di atas gerek. Pak mengehela nafas keletihan. "Petai papan Bang Seng oo! Butey mata besar molek, papan panjang-panjang, buah bukit Behong!" Pak menggoda harga terbaik daripada Hussin Tok Ratna. 

"Tolak kat ku la sikit Bang Seng ooo, banyek tu mu tak dan habih juai". Pak Su Mid mencelah. Buah petai bertukar tangan, aku di pelantar gerek antara Ajik dan Pak, menuruni gon kubur, makin laju gerek meluncur, makin sejuk angin menyapa muka, lega. Pak beli beras, ikan masin dan roti empatsegi (biskut) di kedai Mat. Air lemenet sarsi membasah tekak, Ajik meneguk air oren, tercungap-cungap, menghela bunyi puas.

Sampai di rumah, sepi. Mak mungkin ke rumah Tok Wamah atau rumah Mak Long Jah atau rumah Kak Yam Mahmud menyeret adik-adik. Kami menerpa ke dapur. Lauk tamban masin bakar, cabai tumbuk, sisa kuah sayur air ikan darat menanti dibawah saji buluh beranyam. Nasi masik dalam periuk hitam bertelinga di atas dapur. 

Matahari sudah condong ke barat, panas teriknya kian reda, bayang kayu penyidai kian panjang, petunjuk itu membawa maksud waktu sudah lebih jam 4:00 petang.

Berebut Rezeki Antara Kera dan Lotong

Episod begini berulang-ulang, berpuluh tahun lamanya, selalunya hanya Pak seorang saja ke hutan. Ada kalanya dia pulang tangan kosong, sasarannya sudah menjadi rezeki kera dan lotong, sudah masak kehitaman, atau ada orang lain sudah mendahului. Kadang-kadang dia hanya pulang dengan buah tampoi, pucuk cemperai, atau gelung rotan atau akar kayu. Demikian kehidupan yang dijalani sarat dengan kegigihan, merenyak tubuhnya yang kecil tapi sasa.... Pak adalah hero kami sepanjang zaman....

Pada satu malam, lepas aku berceramah, Pak Long Chek – kawan lama Pak yang setia , usianya 6 tahun lebih tua daripada  Pak – yang asyik tersenyum puas, mengangguk dan ketawa sejak awal ceramah, berbicara tentang kisah lama mereka berdua. “Pak mu bela moha semua anak-anak dia, berebut rezeki dengan kera dan lotong di hutan. Aku kenai sungguh-sungguh moha adik-beradik sebab aku thu sangat-sangat lorong denai yang  Pak mu lalu, untuk bela moha sampai besar.”

“Berpuluh tahun aku dok tengok sendiri setara mana kuatnya Pak mu berdepan dengan susah payah untuk anak-anak dia. Syarahan mu tadi hebat sebab Pak mu orang hebat, rezeki moha berkat. Masa dok ambik upah mukol padi kot belah padang dulu, aku paling kuat buleh lah 12 hingga 15 guni sehari, Pak mu koman-koman pun dapat 20 guni sehari. Seumur aku hidup atas bumi ni, tak dak orang boleh teng Pak mu! Sungguh niii!” 

Demikian Pak Long Chek memberi testimoninya tentang Pak, Hj Md Nor bin Taib, pesara Imam Masjid Ubudiyah, Kg Sungai Pau, Sik Kedah.

0 ulasan:

Catat Ulasan