Selasa, 1 Jun 2021

Moratorium: Kelulusan automatik bagi permohonan peminjam terjejas semua peringkat termasuk B40


Moratorium: Kelulusan automatik bagi permohonan peminjam terjejas semua peringkat termasuk B40
Tengku Zafrul berkata, berkata golongan yang terjejas termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan membabitkan kumpulan B40, M40 dan T20. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kelulusan secara automatik bagi permohonan moratorium serta pengurangan pembayaran balik ansuran pinjaman sebanyak 50 peratus akan diberi oleh bank kepada golongan yang terjejas dengan pelaksanaan 'total lockdown' atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata golongan yang terjejas termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan membabitkan kumpulan B40, M40 dan T20 selain penerima Bantuan Sara Hidup atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
Turut layak memohon adalah usahawan perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor yang tidak dibenarkan beroperasi berikutan PKP 3.0.
Beliau berkata, peminjam yang terjejas boleh memilih pakej bantuan sama ada moratorium selama tiga bulan atau pengurangan bayaran balik ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan dengan menghubungi bank masing-masing.
Tengku Zafrul berkata, peminjam kumpulan M40 dan T20 yang berdepan pengurangan pendapatan juga boleh memohon untuk mengurangkan bayaran ansuran pinjaman mereka.
"Peminjam yang terjejas boleh menghubungi bank mereka untuk memilih apa (bantuan) yang mereka mahukan dan kelulusan akan diberikan secara automatik.
"Saya ingin menekankan bahawa bantuan bukan saja dalam bentuk moratorium saja, institusi perbankan juga telah menyediakan pakej khusus untuk peminjam yang terjejas. Institusi perbankan komited untuk memproses pakej ini dengan cara mudah dan berkesan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media secara maya di sini, hari ini, ketika mengulas lanjut mengenai pemberian moratorium dan bantuan bayaran balik pinjaman.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi, mengumumkan semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas kerana kehilangan pekerjaan, selain perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP 3.0 diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama tiga bulan atau boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama tempoh enam bulan.
Ia adalah sebahagian daripada Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa PLUS) bernilai RM40 bilion.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, moratorium dan bantuan bayaran balik pinjaman kepada peminjam terjejas itu adalah hasil perbincangan membabitkan Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak bank.-AstroAwani

0 ulasan:

Catat Ulasan