Kota Bharu: Seorang ibu tunggal yang mendakwa dirinya diperkosa pegawai polis dituduh di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis methamphetamine.
Wanita berkenaan dituduh bersama bekas suaminya dan tiada pengakuan direkodkan daripada mereka selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh masing-masing berusia 29 dan 28 tahun itu didakwa mengedar dadah disyaki jenis methamphetamine dengan berat kasar 61 gram.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua, mereka didakwa ada dalam kawalan mereka dadah disyaki jenis methamphetamine dengan berat kasar 13.6 gram.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan tiga hingga sembilan sebatan jika sabit kesalahan.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Bunut Payong, kira-kira jam 4.20 petang, pada 4 Jun 2021.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan dan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mahkamah kemudian menetapkan 15 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan laporan kimia.
Akhbar sebelum ini melaporkan, wanita dua anak yang bekerja sebagai pembantu rumah mendakwa menjadi mangsa rogol membabitkan seorang pegawai penyiasat polis berpangkat Inspektor, minggu lalu.
Susulan kejadian itu, pegawai polis terbabit ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis semalam.
0 ulasan:
Catat Ulasan