Khamis, 3 Jun 2021

Kutipan Tabung Bencana Covid Anjuran PAS Mencecah RM100K

 

Kutipan Tabung Bencana Covid cecah RM100,000

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man telah merasmikan Tabung Bencana Covid dengan sumbangan daripada peringkat parti yang mencecah hampIr RM100,000, malam tadi.

Menurutnya, tonggak utama perjuangan Islam yang dibawa PAS bukan hanya pada tarbiah, siasah dan dakwah tetapi kebajikan juga dapat membantu sesiapa sahaja yang dalam kesusahan.

“Kita kena ingat bahawa antara hikmah besar hubungan kita dengan Allah SWT ada tiga iaitu mengharapkan semua perkara kepada Allah, mendoakan sahabat tanpa pengetahuannya dan melakukan sesuatu kebaikan lalu kita menyembunyikan dari pengetahuan orang.

“Allah SWT sebut bahawa sedekah itu sama ada waktu siang atau malam, waktu terang-terangan atau sembunyi, betapa sedekah yang kita sembunyi, ia adalah sedekah-sedekah sunat supaya kita takut akan menimbulkan riak dan sebagainya.

“Adapun sedekah yang kita sumbangkan tujuan menggalakkan orang lain supaya turut menyumbang, maka itu tidak salah kerana rezeki kita diuar-uarkan tujuannya bukan untuk riak, apatah lagi menyakiti hati orang lain yang kita turut memberi sumbangan, nauzubillah.

Beliau yang juga Penaung Sekretariat Tabung Bencana Covid PAS Pusat berkata demikian pada pelancaran tabung itu menerusi di laman Facebook rasmi PAS Pusat secara langsung.

Di samping itu, katanya hikmah bersedekah adalah boleh mengampunkan dosa, Allah SWT akan menggantikan sesuatu dengan perkara yang lebih baik dan Allah SWT juga mengangkat darjat di akhirat kelak.

Beliau juga menyeru agar semua menteri daripada PAS dapat menyumbang sebanyak RM10,000 seorang ke dalam tabung itu, timbalan menteri (RM5,000), Naib Presiden / Senator (RM2,000) dan ahli parlimen sekurang-kurangnya RM1,000 dan mereka juga telah menyediakan bakul makanan kepada mangsa Covid-19.

“Dan ini sedikit sumbangan dengan kita jangka hampir mencecah RM100,000, sumbangan-sumbangan di peringkat parti yang telah saya sebutkan tadi.

“Saya mengharapkan malam yang mulia ini agar Allah SWT memudahkan urusan kita dan bagi pihak parti, saya ingin merakamkan penghargaan tahniah kepada urusetia sekretariat khas Tabung Bencana Covid-19 yang telah pun mengadakan program pada malam ini.

“Maka, dengan rasminya saya melancarkan tabung Bencana Covid-19 siru ala barakatilah, mudah-mudahan Allah SWT merahmati dan memudahkan urusan dan menjadikan kita sebagai penolong-penolong kepada agama Allah SWT,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/6/2021

0 ulasan:

Catat Ulasan