Sabtu, 12 Jun 2021

Misi Bantuan Gaza: Wisma Putra sedang kesan Ebit Lew

Wisma Putra sedang kesan Ebit Lew
Gambar yang dimuat naik di Facebook Ebit Lew pada 27 Mei lalu memaklumkan beliau akan bergerak ke Gaza bagi menghantar bantuan barang keperluan asas dan ubat-ubatan. - Foto Facebook/Ebit Lew
SHAH ALAM: Kementerian Luar Negeri sedang mendapatkan perkembangan terkini mengenai pendakwah terkenal, Ebit Lew yang kini difahamkan masih berada di Gaza dalam misi kemanusiaan bagi membantu rakyat negara terbabit.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaafar berkata, pihaknya akan memeriksa lanjut tarikh penerbangan pulang pendakwah itu ke tanah air.

 “Kami sedang periksa (perkembangan Ebit),” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pada 25 Mei, Ebit Lew dilapor berlepas ke Mesir untuk menjayakan misi bantuan kemanusiaan dengan menyampaikan sumbangan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan Israel.

Kamarudin dalam satu kenyataan pada 26 Mei lalu memaklumkan misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin yang dirancang oleh delegasi Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew itu mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa.
Menurutnya, segala persiapan dan persediaan dilakukan oleh pihak Ebit Lew sendiri, menerusi kerjasama rapat dengan rakan NGO di Mesir.
Bagaimanapun, tindakan Ebit Lew tidak mengemas kini laman sosial miliknya sejak berlepas ke Mesir menimbulkan kerisauan buat masyarakat negara ini khusus pengikutnya.
Pada Khamis, penyanyi rap, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli memaklumkan bahawa Ebit Lew berada dalam keadaan baik setelah berjaya menghubunginya melalui aplikasi WhatsApp.
-AstroAwani

0 ulasan:

Catat Ulasan