PETALING JAYA – Sikap prihatin rakyat Malaysia terbukti apabila apabila lebih ramai netizen menyahut seruan kempen mengibar bendera putih di pelbagai platform media sosial hari ini.
Ramai meluahkan rasa terharu dengan solidariti yang ditunjukkan dan menyifatkan ia sebagai lambang kekuatan rakyat.
“Kibarkan bendera putih menjadi satu daripada sebab mengapa saya bangga menjadi rakyat Malaysia.
“Rakyat Malaysia sangat penyayang, bijaksana, baik hati dan pemurah. Terima kasih rakyat Malaysia. Bukti bahawa kita boleh jaga kita,” ujar pemilik akaun Twitter bernama @SyazanaMI.
“Terharu bila inisiatif ini dibuat oleh rakyat. Terbukti Malaysia ramai orang yang baik-baik. Sama-sama cakna bila nampak jiran atau yang terdekat memerlukan pertolongan,” tulis Wan Wan di ruangan komen Facebook Kosmo! Online.
“Senang tidak perlu isi borang. Bagus rakyat kita prihatin sampai begini,” komen pengguna Facebook bernama Red Ros.
Ada juga dalam kalangan netizen berkongsi mereka telah mula memerhatikan jika ada jiran tetangga menaikkan bendera putih berdekatan rumah masing-masing.
“Saya akan melihat di sekitar kawasan saya jika ada bendera putih. Bantuan makanan Insya-Allah. Saya percaya kepada rakyat Malaysia. Mereka akan menolong anda,” ujar netizen bernama The Comedian.
“Bolehkan kita mempunyai bendera lain juga. Bendera untuk orang yang tidak memerlukan barang dapur tetapi sangat memerlukan teman berbual untuk menyembuhkan tekanan jiwa,” ciap @FrugalFliza.
“Naikkan bendera putih jika perlu bantuan. Sama ada anda berada di rumah atau media sosial. Boleh hantar mesej kepada saya jika anda memerlukan sokongan mental dan emosi dan seseorang untuk bercakap,” balas netizen bernama @etresm0I.
Segelintir netizen turut mencadangkan mereka yang menghulurkan bantuan tidak merakam gambar atau video penerima bantuan.
“Kali ni jangan ambil gambar atau video, biar kebaikan kamu Tuhan saja yang tahu. Kita kena jaga maruah mereka,” komen Vijay Kumar Vijay di laman Facebook.
“Inilah masa mak cik bawang bertindak gunakan sensitiviti anda untuk membantu bukan menghakimi mereka. Mohon jaga perasaan penerima dengan tidak menyiarkan gambar mereka,” sokong Maureen Danau.
Tanda pagar Rakyat Jaga Rakyat yang sohor kini di laman Twitter hari ini turut dilihat senada dan mempunyai matlamat serupa dengan kempen berkenaan. – K! ONLINE
0 ulasan:
Catat Ulasan