Budapest: Cristiano Ronaldo menyebabkan nilai pasaran Coca-Cola mengalami kerugian AS$4 bilion (RM16.4 bilion) selepas tindakannya pada sidang media semalam.
Legenda Portugal itu yang menjaringkan dua gol lewat permainan ketika mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Hungary hari ini, menasihatkan orang ramai mengambil minuman air kosong ketika berdepan dengan media semalam.
Penyerang Juventus itu mengetepikan dua botol Coke di atas mejanya pada sidang media menjelang pertemuan dengan Hungary.
Harga saham Coca-Cola jatuh merundum daripada AS$56.10 (RM231) kepada AS$55.22 (RM227.39 sen).
Coke sudah mengeluarkan kenyataan bagi membalas tindakan Ronaldo apabila menyatakan setiap orang mempunyai hak untuk memilih minuman mereka.
Jurucakap minuman itu berkata: "Pemain diberikan air kosong bersama Coca-Cola dan Coca-Cola tanpa gula apabila tiba di sidang media."
Ronaldo, 36, sememangnya mengamalkan diet yang ketat dan mengelak daripada mengambil terlalu banyak gula untuk mengekalkan fizikalnya berikutan usianya semakin meningkat.
Semasa di Real Madrid, doktor pasukan berkata Ronaldo mempunyai tubuh seorang pemain 10 tahun lebih muda dan mampu beraksi di pentas tertinggi sehingga usia 40 tahun.
Ketika syarikat minuman itu berusaha menyelamatkan imej mereka, Ronaldo memberi reaksi seperti biasa di atas padang apabila mempamer aksi cemerlang ketika bertemu Hungary.
Berita berkaitan:
0 ulasan:
Catat Ulasan