Isnin, 14 Jun 2021

Sajat dikehendaki polis, bantu kes tukar maklumat kad pengenalan

NUR Sajat. FOTO arkib NSTP
NUR Sajat. FOTO arkib NSTP

Ampang Jaya: Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes penipuan menukar maklumat kad pengenalan.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dalam kenyataan hari ini, memaklumkan Sajat yang juga saksi dikehendaki hadir prosiding perbicaraan kes berkenaan di Mahkamah Ampang Jaya pada 14 Julai ini.

"Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Ampang Jaya sedang mengesan Muhammad Sajjad yang beralamat terakhir di No 2 Jalan Polo Country Club Selangor, 10/3 Kota Damansara, Seksyen 10, Petra Jaya, Selangor bagi menghadiri perbicaraan kes terbabit," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Sajad, 36, diburu pihak berkuasa selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan selepas gagal hadir sebutan semula pertuduhan berpakaian wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Sebelum ini, media melaporkan Sajat didakwa sedang bersembunyi di Thailand selepas menghilangkan diri susulan waran tangkap berkenaan.

Katanya, pihak polis turut mengesan seorang lelaki berkaitan kes penipuan pelaburan saham yang sedang dalam prosiding perbicaraan di Mahkamah Ampang Jaya.

"Suspek, Cheah Kok Hau yang beralamat terakhir di No 18 Jalan 5, Taman Kandan Batu 8, Jalan Puchong, Puchong, Selangor, didapati tidak hadir pada prosiding perbicaraan kes itu di mahkamah hari ini.

"Kedua-dua individu berkenaan atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai mereka boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Syafrina Nadzleen Ibrahim di talian 019-2692954," katanya.

-myMetro

0 ulasan:

Catat Ulasan