KUALA LUMPUR: Kecondongan paksi bumi sebanyak 23.5 darjah ketika mengelilingi matahari menyebabkan matahari kelihatan seolah-olah terbit dari utara.
Penolong Mufti Kanan, Bahagian Falak Jabatan Mufti Selangor, Hardi Sadali, berkata kecondongan paksi bumi itu menyebabkan berlakunya perubahan cuaca dan musim.
Katanya, pada bulan ini, negara di bahagian utara bumi akan memasuki musim panas manakala negara di bahagian selatan akan memasuki musim sejuk.
"Matahari masih terbit dari timur seperti kebiasaannya cuma disebabkan ia tidak berlaku pada sudut tepat 90 darjah, maka menyebabkan matahari seolah-olah terbit dari arah utara.
"Pada ketika ini, matahari terbit dari timur pada sudut 66 atau 67 darjah dan ini menyebabkan ia condong ke arah utara. Mengikut arah mata angin, kedudukan matahari terbit kini ialah di bahagian Timur Laut.
"Fenomena matahari terbit di timur tetapi condong ke utara ini sudah berlaku sejak penghujung Mei tetapi baru disedari orang ramai beberapa minggu lalu menjelang kemuncaknya 21 Jun (esok)," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Isu matahari seperti terbit dari utara timbul berikutan tular rakaman video di Jeneponto, Sulawesi Selatan, Indonesia baru-baru ini.
Hardi berkata, selepas 21 Jun, arah terbit matahari akan mula 'bergerak ke bawah' semula dan berada pada garisan 0 darjah khatulistiwa, iaitu kedudukan tepat arah timur pada sudut 90 darjah.
"Seterusnya matahari akan terbit condong ke arah Selatan dan kemuncaknya adalah pada 22 Disember.
"Keadaan ini menyebabkan negara di bahagian utara bumi mengalami musim sejuk manakala negara di bahagian selatan bumi mengalami musim panas.
"Bagi yang jarang memerhatikan pergerakan matahari, mungkin mereka akan menyangkakan seolah-olah matahari pada masa itu terbit dari selatan pula berbanding dakwaan ia terbit dari arah utara kini," katanya.
-BH Online
0 ulasan:
Catat Ulasan