Selasa, 8 Jun 2021

Sangat munasabah harga minyak masak RM30 bagi setiap 5kg - Khairuddin


ULASAN | Minyak masak sawit berada di bawah pengurusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), namun sebagai menteri yang menjaga sawit saya terpanggil untuk menjelaskan isu kenaikan harga minyak sawit mentah yang memberi kesan pada harga minyak masak.

Harga minyak sawit mentah di pasaran dunia sekarang ialah antara RM4,000 hingga RM4,500 bagi setiap satu tan berbanding hanya sekitar RM2,000 pada 2019 dan sebelumnya.

Kesannya harga buah tandan segar di ladang naik sekitar RM1,000 per tan berbanding RM300 per tan dulu yang meletakkan 450,000 pekebun kecil sawit dalam kategori miskin.

Dengan kenaikan harga ini sekarang mereka bertukar status daripada B40 yang berpendapatan kecil dan miskin kepada berpendapatan baik yang mencukupi untuk sara hidup sekeluarga.

Ahli keluarga mereka lebih daripada 3 juta rakyat Malaysia.

Untuk makluman, purata harga minyak sawit mentah untuk 2021 adalah seperti berikut:

  • Jan RM3,748
  • Feb RM3,895
  • Mac RM4,041
  • April RM4,220
  • Mei RM4,572

Cuba bandingkan dengan purata harga pada 2020. Purata Harga Minyak Sawit Mentah 2020:

  • Jan RM3,013
  • Feb RM2,714
  • Mac RM2,382
  • April RM2,299
  • Mei RM2,074
  • Jun RM2,411
  • Julai RM2,519
  • Ogos RM2,815
  • Sep RM2,924
  • Okt RM2,979
  • Nov RM3,422
  • Dis RM3,620

Purata harga minyak sawit mentah pada 2019 ialah RM2,079 per tan. Dengan harga minyak sawit mentah sekitar RM2,000 pekebun kecil menjual buah sawit di ladang dengan harga RM300 sahaja. Ia tidak cukup untuk menampung kos keringat dan baja mereka.

Tetapi dengan harga RM4,000 pekebun kecil menikmati harga di ladang sehingga RM1,000 per tan menjadikan purata pendapatan bulanan pekebun kecil dengan 4 hektar sawit antara RM5,000 hingga RM6,000.

Ditambah kos baja dan lain-lain

Kenaikan harga inilah yang menguntungkan 3 juta rakyat miskin dari kalangan keluarga peneroka dan pekebun kecil sawit. Alhamdulillah sawit anugerah Tuhan.

Ekoran kenaikan harga minyak sawit mentah berlakulah kenaikan harga pada minyak sawit bertapis atau minyak masak. Harga minyak masak bertapis lebih tinggi iaitu sekitar RM5,000 per tan berbanding harga minyak sawit mentah.

Oleh itu, dengan harga minyak sawit mentah antara RM4,000 hingga RM4,500 purata kos harga minyak masak di kilang ialah RM4.50 hingga RM5 bagi setiap kg. Kalau 5kg sekitar RM25. Belum dikira kos pembungkusan dan lain-lain.

Dengan rantaian bekalan menerusi pemborong dan peruncit, sangat munasabah harga minyak masak di pasaran sekitar RM30 bagi setiap 5kg.

Sudah lama rakyat M40 dan T20 (60 peratus rakyat Malaysia) yang kaya menikmati harga minyak masak dengan harga rendah di atas kudrat dan keringat para pekebun kecil yang berpendapatan kecil.

Golongan kaya menikmati harga minyak masak sekitar RM20 untuk 5kg. Kos proses di kilang sekitar RM3 per kg termasuk botol dan pembungkusan.

Ditambah dengan keuntungan pembekal, pemborong dan peruncit menjadi RM20 untuk 5kg. Sangat murah, tetapi pekebun kecil di kampung-kampung tidak cukup makan kerana harga sawit yang rendah ditambah dengan kos baja dan lainnya.

Ramai pekebun kecil terpaksa membiarkan kebun sawit terbiar kerana kos kerja tidak setimpal dengan pendapatan. Tetapi tidak lagi sekarang dengan harga minyak sawit mentah di antara RM4,000 hingga RM4,500 per tan.

Untuk 12 juta rakyat miskin kerajaan telah menyediakan harga subsidi RM2.50 dengan pek 1kg meskipun harga modal di kilang menjangkau RM5. Kerajaan membayar untuk subsidi purata 720,000 tan setahun atau sebanyak 720 juta pek minyak masak 1kg dikeluarkan.

Bukan hanya cukup untuk 12 juta rakyat B40 malah dengan angka rakyat Malaysia 32 juta, setiap orang boleh menikmati 1.8 kg minyak sebulan dengan harga subsidi.

Kalau keluarga dengan 5 orang bererti satu keluarga boleh menikmati purata 9kg minyak masak bersubsidi sebulan.

Menguntungkan 3 juta rakyat

Minyak masak pek 2kg dan 5kg beredar di pasaran sekitar 300,000 tan. Minyak masak pek bersubsidi 1kg beredar di pasaran sekitar 720,000 tan. Sementara itu 19 juta tan dipasarkan di pasaran antarabangsa menerusi eksport.

Dalam keadaan minyak 1kg bersubsidi dikeluarkan, berlaku penyelewengan penipuan subsidi di pasaran. Mereka mengumpulkan minyak bersubsidi RM2.50 dan dipek semula menjadi minyak pek 5kg serta dijual dengan harga pasaran dulu RM20 dan sekarang RM30.

Sangat besar keuntungan daripada penyelewengan ini.

Sekiranya subsidi diperluaskan kepada minyak masak 5kg untuk kegunaan M40 dan T20 penyelewengan boleh berlaku lagi dengan sekala lagi besar dan memerlukan penguatkuasaan lebih ketat oleh kerajaan menerusi KPDNHEP.

Kerajaan menikmati hasil cukai yang tinggi dengan kenaikan harga minyak di pasaran dunia. Sebanyak 19 juta tan minyak sawit dieksport berbanding 1 juta sahaja kegunaan dalam negara.

Hasil cukai itu dipulangkan kepada rakyat menerusi pelbagai cara antaranya Bantuan Prihatin RM1,200 hingga RM1,800 setahun kepada keluarga B40 disamping bantuan-bantuan lain.

Ia juga membantu mereka memenuhi keperluan kenaikan harga minyak masak jika minyak masak pek 2kg atau pek 5kg yang mereka mahu gunakan bukannya pek 1kg bersubsidi.

Kerajaan Sabah menikmati hasil cukai jualan hampir RM1 bilion pada 2020 ekoran kenaikan harga minyak sawit. Untuk lima bulan pertama 2021 pula dianggarkan kerajaan Sabah mendapat hampir RM500 juta.

Inilah antara sumber utama kerajaan Sabah sekarang. Begitu juga Sarawak mendapat cukai jualan sawit yang tinggi juga meskipun lebih rendah daripada Sabah.

Kerajaan Malaysia pula dijangka menikmati levi cukai keuntungan luar biasa untuk 2021 lebih RM1 bilion.

Kesimpulannya ialah kenaikan harga minyak sawit menguntungkan 3 juta rakyat Malaysia dan mengeluarkan mereka daripada status miskin. Kesan kenaikan harga sawit ditanggung oleh M40 dan T20 yang cukup makan dan kaya namun ia memulangkan nilai keringat sebenar pekebun kecil yang telah lama diabaikan.

Hasil cukai daripada kenaikan minyak sawit dipulangkan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk yang dapat dirasai oleh semua rakyat. Negeri seperti Sabah dan Sarawak menikmati pendapatan tinggi kerana kenaikan harga sawit.

Diharap penjelasan ini merasionalkan isu yang dibangkitkan melibatkan kenaikan harga minyak masak.


MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI ialah menteri Perusahaan Ladang dan Komoditi, juga ahli parlimen Kuala Nerus dari PAS.

-mKini

0 ulasan:

Catat Ulasan