Kota Bharu: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan individu mampu merawat wabak Covid-19 secara alternatif.
Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya menyedari iklan yang ditularkan dalam media sosial, semalam di mana pihak tertentu didakwa menawarkan rawatan alternatif untuk virus berkenaan.
Katanya, sebaik-baiknya pesakit Covid-19 mendapatkan rawatan di klinik atau hospital.
"Kajian saintifik membuktikan punca Covid-19 disebabkan oleh virus.
Penyebaran jangkitan sudah ada maklumat yang sahih, jadi saya berharap orang ramai membuat rawatan segera di klinik atau hospital.
"Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak cepat terpengaruh dengan dakwaan rawatan alternatif Covid-19 yang tiada bukti secara saintifik," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Terdahulu, tular hebahan rawatan penyakit Covid-19 yang dijalankan oleh pengamal perubatan Islam dan rakannya di aplikasi WhatsApp sejak malam tadi.
Rawatan secara alternatif berkenaan mendapat reaksi ramai apabila beberapa individu menghubungi mereka dan menyebarkan nota suara itu.
Pengamal perubatan itu juga mendakwa dia dan rakannya tidak sempat membuat rawatan terhadap pesakit Covid-19 kerana baru semalam menyiapkan hebahan sebelum ia tersebar.
Lelaki berkenaan juga tidak menyangka hebahan itu tular dan susulan itu lebih 50 individu yang menghubunginya untuk mendapatkan rawatan.-myMetro
0 ulasan:
Catat Ulasan