Sabtu, 5 Jun 2021

Pas-UMNO ibarat adik-beradik, haram diputuskan.Bersatu Adik beradik sesusu – Takiyuddin

 

Takiyuddin Hassan

HUBUNGAN antara Pas dan UMNO yang ‘retak menanti belah’ ketika ini disifatkan ‘haram’ diputuskan, sebaliknya perlu diteruskan demi kepentingan agama dan bangsa.

Bercakap mengenai soal itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut menyifatkan hubungan antara Pas dan UMNO yang ketika ini bekerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) diibaratkan sebagai adik-beradik ‘sedarah sedaging’.

Pada masa sama, hubungan antara parti tersebut dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula merupakan adik-beradik sesusu.

Menurut beliau, ketiga-tiga parti tersebut wajib disatukan kembali dalam kerjasama perpaduan nasional.

“Pas-UMNO adalah hubungan adik-beradik sedarah sedaging yang haram diputuskan. Pas-Bersatu adalah hubungan adik-beradik sesusu.

“Ketiga-tiga wajib disatukan kembali dalam keluarga besar perpaduan nasional demi bangsa, agama dan watan. #Bulatairkeranapembetungbulatkatakeranamuafakat,” kata beliau dalam akaun Twitter miliknya hari ini.

Baca artikel berkaitan: UMNO-Pas masih ‘cium mulut lagi’ kata Tok Mat

Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Md. Alwi Che Ahmad yang menyifatkan gesaan untuk menamatkan kerjasama dengan Pas dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagai tidak relevan.

Sebaliknya, Md. Alwi mahu kerjasama kedua-dua parti itu terus diperkukuh serta dipertahankan dalam MN kerana ia merupakan harapan orang Melayu melihat dua parti itu bersatu dan memenangi pilihan raya.

Semalam, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menegaskan Pas sebagai satu liabiliti sekiranya UMNO menjadikan parti itu sebagai sekutu dalam PRU-15.

Beliau mendakwa Pas ketika ini lebih cenderung memiliki kuasa, kedudukan dan wang serta tidak lagi boleh diharap mendukung tanggungjawab sebagai rakan sekutu dalam MN.

-utusantv.com

0 ulasan:

Catat Ulasan