Jumaat, 4 Jun 2021

Ben 'Bapa Segala Bapa' atau 'Raja Penyeludup' rokok

 

Kuala Lumpur: Siapa Ben? Itu persoalan besar di sebalik kegiatan penyeludupan rokok seludup di Malaysia yang menyebabkan negara kerugian lebih RM5 bilion setiap tahun.

Ben kini didakwa menjadi 'Bapa Segala Bapa' atau 'Raja Penyeludup' rokok di negara ini.

Dia juga didakwa antara individu pertama menjalankan kegiatan haram itu di negara ini sebelum menjadi 'jutawan segera' apabila permintaan rokok seludup meningkat.

Untuk rekod, permintaan rokok seludup melambung selepas kerajaan menaikkan kadar cukai rokok menyebabkan harga rokok sah dalam pasaran menjadi mahal bermula tahun 2015.

Menurut sumber, Ben diibaratkan sebagai gunting dalam lipatan buat negara kerana dipercayai mengawal dan menjadi dalang di sebalik kegiatan haram itu di seluruh negara sejak 2012.

"Ramai mendengar namanya, tetapi tidak mengenalinya. Namanya sering disebut mendalangi kegiatan haram ini dan pelbagai kisah diperkatakan mengenai sosok berkenaan," katanya.

Bercerita lanjut, sumber itu berkata, Ben didakwa memulakan perniagaan haramnya iaitu aktiviti penyeludupan rokok seludup jenis Canyon, U2 dan John serta berpangkalan di Johor pada tahun 2012.

"Ketika itu permintaan rokok seludup masih rendah kerana harga rokok sah dalam pasaran tidak terlalu mahal. Dasar kerajaan yang menaikkan cukai rokok pada tahun 2015 menjadikan Ben jutawan segera.

"Rokok sah mahal, perokok tegar mula mencari alternatif untuk membeli rokok seludup dan permintaannya hingga kini meningkat. Malah, rokok seludup kini dikatakan menguasai sehingga 60 peratus pasaran di seluruh Malaysia," katanya.

Sumber itu berkata, Ben kemudian mengembangkan empayarnya ke seluruh Semenanjung termasuklah Sabah dan Sarawak.

"Ketika awal mulakan bisnes ini (rokok seludup), Ben kuasai Johor. Ketika itu ramai pesaing namun kini selepas dia bergelar jutawan, Ben mula menggabungkan pesaingnya di bawah satu konsortium dan memayungi mereka semua hinggalah dia digelar sebagai King of Smuggler atau Raja Penyeludup," katanya.

Katanya, Ben juga tidak lagi menguruskan aktiviti penyeludupan di Johor sebaliknya ia sudah diambil alih pengganti dikenali sebagai Ken.

"Ken dikatakan orang kanan kepada Ben dan dia jugalah antara pemain utama menguruskan aktiviti kemasukan rokok di seluruh negara," katanya.

Ditanya adakah pihak berkuasa mengetahui identiti sebenar Ben, sumber itu berkata, pasukan penguatkuasaan berkaitan mungkin mengetahuinya.

"Mungkin juga tidak (tahu siapa Ben) tetapi saya percaya ada pasukan penguatkuasa yang memiliki atau mempunyai profil siapakah Ben sebenarnya. Mereka mungkin gagal mengaitkannya dengan aktiviti haram itu kerana cut off yang diwujudkan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai konsortium dikendalikan Ben itu, sumber itu berkata, jutawan itu mungkin hanya memberi arahan kepada orang kanannya untuk menggerakkan aktiviti penyeludupan ataupun memantau dari jauh sahaja bagaimana bisnes haram itu dikendalikan.

"Bisnes ini besar dan tidak boleh bergerak sendirian. Ia perlukan ramai orang. Saya dengar Ben dah cuci tangan, remote (kawal) dari jauh sahaja sebab pasukannya sudah lengkap. Tunggu hasil (duit) sahaja," katanya.

Katanya, konsortium itu mempunyai hirarki lengkap untuk mengawal dan menguruskan kewangan (pembelian/pembayaran), perundangan, transport, simpanan (stor) hinggalah rokok seludup sampai kepada peruncit.

"Transport sahaja merangkumi perkapalan, bot, kenderaan darat serta laut. Ini bukan biasa-biasa. Mereka satu organisasi yang sangat tersusun," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, sindiket penyeludupan rokok kini melakukan pemindahan ratusan juta batang rokok seludup dari kapal kargo atau kapal tangki yang diubahsuai ke bot barter trade di lautan antarabangsa.

Modus operandi terkini aktiviti penyeludupan selepas kerajaan mengehadkan transhipmen rokok di pelabuhan khusus sahaja selain mengenakan cukai import ke atas rokok yang bertujuan untuk dieksport .-myMetro

0 ulasan:

Catat Ulasan