Petaling Jaya: Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus dan memandang serius insiden pergaduhan kumpulan penghantar makanan dengan seorang pelanggan yang didakwa menggunakan nama menyentuh sensitiviti agama.
Presidennya, Zulhelmi Mansor berkata, insiden itu seharusnya dijadikan pengajaran kepada semua pihak supaya tidak sesekali menyentuh sensitiviti agama dan menimbulkan provokasi.
Menurutnya, pihaknya berasa sedih dengan kejadian itu yang membabitkan kumpulan penghantar makanan, malah ada antaranya adalah ahli jawatankuasa persatuan itu sendiri.
"Apa yang menyedihkan kelima-lima individu yang ditahan hanya bertindak untuk meleraikan keadaan selepas mengetahui pergaduhan dan membawa lelaki yang dipukul itu ke balai polis, tetapi sebaliknya mereka turut sama ditahan.
"Kehadiran mereka sebenarnya berjaya meredakan situasi. Andai kata kejadian itu diketahui oleh lebih ramai penghantar atau orang awam, sudah tentu keadaan akan jadi lebih buruk," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, hari ini.
Beliau sebelum itu membuat laporan polis berhubung kejadian penahanan lima penghantar makanan yang terbabit pergaduhan dengan seorang pelanggan di Sungai Way di sini, seperti tular di media sosial semalam.
Turut hadir, Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Petaling Jaya A'zlan Abu Bakar.
Zulhelmi meminta individu yang mempunyai maklumat atau mengenali mereka yang terbabit pergaduhan berkenaan supaya menyalurkan maklumat kepada Penghantar atau polis.
Selain itu, katanya, Penghantar turut melancarkan tabung bagi membantu kelima-lima individu yang ditahan terbabit.
Sementara itu, A'zlan berkata, pihaknya mengambil inisiatif menawarkan khidmat guaman percuma kepada lima penghantar makanan terbabit.
"Khidmat itu bagi memberi pembelaan dan mencari jalan penyelesaian terbaik.
"Dalam kalangan komuniti berbilang agama dan bangsa, tidak kira siapa saja yang cuba mencetuskan provokasi menghina agama, tiada kompromi untuk segera diambil tindakan supaya tidak berulang," katanya.
Semalam, enam individu terdiri daripada seorang pelanggan dan lima penghantar makanan ditahan selepas terbabit dalam pergaduhan.-myMetro
0 ulasan:
Catat Ulasan