Jumaat, 4 Jun 2021

Covid19: KKM kesan 15 kes varian yang membimbangkan

 

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 15 daripada 19 kes varian baharu virus SARS-CoV-2 yang dilaporkan antara 24 Mei hingga hari ini, adalah varian membimbangkan (VOC) jenis Beta (B.1.351) manakala empat lagi adalah kes varian Delta (B.1.617.2).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada 15 kes baharu varian Beta (B.1.351) yang dahulunya dikenali sebagai varian Afrika Selatan, sebanyak enam kes dilaporkan di Johor, lima kes di Kelantan serta masing-masing satu kes di Kuala Lumpur, Kedah, Melaka, dan Terengganu.

Beliau berkata, kesemua kes adalah jangkitan tempatan.

"Kes baharu varian Delta (B.1.617.2) yang dahulunya dikenali sebagai varian India adalah sebanyak tiga kes di Labuan dan satu kes di Kuala Lumpur.

"Kesemua tiga kes di Labuan adalah jangkitan dari luar negara iaitu kes-kes dari kluster Layangan Labuan manakala satu kes di Kuala Lumpur adalah jangkitan tempatan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, sehingga hari ini, jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mempunyai kepentingan (VOI) adalah sebanyak 138 kes.

Katanya, daripada jumlah yang dikesan itu, 122 kes adalah VOC dan 16 kes adalah VOI.

-BH Online

0 ulasan:

Catat Ulasan