KUALA LUMPUR: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akhirnya mengesahkan legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari meledak 89 gol antarabangsa bersama skuad kebangsaan sepanjang kariernya.
Pengesahan itu muncul selepas badan induk bola sepak dunia itu mengeluarkan senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman di laman Twitter mereka, hari ini.
Perkembangan itu turut menyaksikan Mokhtar yang lebih dikenali sebagai 'Supermokh' berada dalam kelompok tiga pemain teratas senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman.
Jumlah sebenar jaringan gol antarabangsa yang di ledak Mokhtar sebelum ini menjadi perdebatan apabila ada yang mendakwa dia meledak 86 gol daripada 131 penampilan bersama skuad kebangsaan.
Malah, terdapat juga laporan sebelum ini yang memetik beberapa sumber statistik bahawa Mokhtar menjaringkan 85 gol buat Harimau Malaya sepanjang kariernya.
Berdasarkan laporan BH Sukan, minggu lalu, beberapa statistik yang melaporkan mengenai jumlah jaringan gol antarabangsa, Mokhtar meledak 89 gol dalam 142 penampilan bersama skuad kebangsaan.
Pencapaian 89 gol itu dikatakan dilakar sehingga tahun 1991 sebelum Mokhtar menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun itu.
Berdasarkan rekod terbabit, Mokhtar berjaya memintas pencapaian legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas yang menjaringkan 84 gol dalam 85 penampilan.
Pendahulu senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman kini dikongsi pemain Iran, Ali Daei dan Cristiano Ronaldo dari Portugal yang meledak 109 gol.
Senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman:
1. Ali Daei (Iran), Cristiano Ronaldo 109 gol
2. Mokhtar Dahari (Malaysia) 89 gol
3. Ferenc Puskas (Hungary) 84 gol
4. Godfrey Chitalu (Zambia) 79 gol
5. Hussein Saeed (Iraq) 78 gol
6. Pele (Brazil) 77 gol
7. Ali Mabkhout (Emiriah Arab Bersatu) 76 gol
8. Sandor Kocsis (Hungary), Kunishige Kamamoto (Jepun), Bashar Abdullah (Kuwait), Lionel Messi (Argentina) 75 gol -BH Online
0 ulasan:
Catat Ulasan