Jumaat, 18 Jun 2021

Kluster Teratai rekod kes tertinggi dan Kluster Tabligh rekod kematian tertinggi Covid-19

 GAMBAR hiasan

GAMBAR hiasan

Kuala Lumpur: Kewujudan pelbagai kluster Covid-19 belum menunjukkan tren penurunan di negara ini, malah masih berlaku pertambahan setiap hari.

Penularan pandemik berkenaan jika tidak dikawal secara berkesan dalam kluster ini bakal membawa musibah lebih besar dalam komuniti.

Ini kerana jika wabak ini sudah 'terlepas' ke dalam komuniti sudah pasti kawalan jangkitan akan menjadi lebih rumit khususnya kepada petugas barisan hadapan.

Untuk rekod, sebanyak 2,532 kluster sudah dicatatkan di Malaysia sehingga kelmarin dengan tidak kurang 15 kluster direkodkan dalam tempoh seminggu yang lalu.

Menerusi data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kluster Teratai yang dikesan dalam kalangan kakitangan di kilang sarung tangan menjadi kluster terbesar negara, setakat ini.

Dengan jumlah jangkitan seramai 7,205 orang, sudah pasti bencana besar boleh berlaku jika KKM lewat mengambil tindakan sewajarnya.

Malah, lebih ditakuti kluster yang terdiri di kalangan warga asing itu sudah mula menyusup masuk ke dalam komuniti menyebabkan proses pengesanan kontak rapat semakin mencabar.

KKM juga melaporkan, Kluster Tabligh yang dikesan pada gelombang pertama Covid-19 tahun lalu merekodkan jumlah kematian tertinggi.

Perhimpunan jemaah tabligh di sebuah masjid di Bukit Jalil itu merekodkan sebanyak 34 kematian daripada pelbagai latar belakang dan peringkat usia.

Malah, tempoh pengesanan kontak rapat bagi kluster ini juga mencabar kerana jumlah peserta perhimpunan yang ramai dari pelbagai negara.

Siasatan lanjut KKM juga mengesyaki penjujukan genom terhadap sampel diambil daripada kalangan pesakit Covid-19 daripada kluster itu berpunca dari Indonesia.

Keengganan segelintir peserta perhimpunan itu membuat ujian calitan menambah lagi beban KKM untuk mengawal kluster berkenaan daripada merebak.

Dalam pada itu, kluster kedua tertinggi yang merekodkan kematian adalah Kluster Pasai di Sarawak dengan 25 kes.

Kluster Pasai menyebabkan ramai penduduk di beberapa rumah panjang di Bahagian Sibu dijangkiti selepas seorang wanita pulang dari Johor ke daerah itu untuk menghadiri pengebumian bapanya.

Kluster Dah Mahsuri menyebabkan 10 kematian yang terdiri daripada jemaah sebuah masjid di Taman Mahsuri, Jitra, Kedah setakat ini.

Kini, cabaran menjadi semakin besar apabila kes sporadik dikesan dalam komuniti yang tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kes atau kluster sedia ada.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham sebelum ini dilaporkan berkata, negara kini berdepan trend peningkatan mendadak kes baharu dan kes kematian Covid-19 terutama sejak 1 April lalu.

Katanya, kebanyakan kes baharu dan kematian adalah kes sporadik yang dikesan dalam komuniti dan tidak dapat dikaitkan dengan kes atau kluster sedia ada.

Apa yang menjadi harapan sebagai 'jalan keluar' untuk pandemik ini adalah program vaksinasi mega yang membolehkan Malaysia mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.

Dengan pertambahan pusat pemberian vaksin (PPV) mega, kaedah pandu lalu dan pembabitan sektor swasta diharap dapat merealisasikan sasaran 80 peratus rakyat divaksin menjelang akhir tahun ini.-myMetro

0 ulasan:

Catat Ulasan