Rabu, 23 Jun 2021

Lan Solo musykil 'salah besar' dibuat hingga 9 kali diadukan ke PBT

 


Lan Solo mengakui dia sebenarnya tertanya-tanya apakah 'kesalahan besar' yang dilakukan hingga mengakibatkan Pasar Mini Solo Borneo Mart miliknya diadukan ke pihak berkuasa tempatan sembilan kali sepanjang tempoh kira-kira 18 bulan beroperasi.

Kesal sering menjadi mangsa segelintir pihak, Lan mencadangkan agar individu terbabit menghubunginya untuk menjelaskan keadaan dan ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara waima melalui mesej menggunakan akaun palsu di media sosial.

Dihubungi Malaysiakini selepas dia disaman sekali lagi oleh PBT, Lan berkata banyak perkara tidak masuk akal ditimbulkan.

"Ada sekali tu kedai saya diadukan kotor, padahal tahap kebersihan premis adalah A.

“Sepanjang setahun lebih beroperasi, sudah masuk sembilan kali kedai runcit saya diadukan pada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ). Tiga daripada aduan tersebut menyebabkan saya menerima disaman.

“Jadi jika masih ada pihak masih tak berpuas hati, silalah kita bersemuka. Kalau mahu bersemuka, direct message (mesej langsung) guna fake account pun boleh,” katanya.

Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof itu turut menasihatkan individu berkenaan supaya bertindak berani untuk menegur dan bukannya terus mengadu kepada PBT.

“Perkara boleh selesai cara mudah dan jika ada pihak berani datang beri teguran saya boleh saja terima dan perbaiki kelemahan yang ada, tapi ini terus buat laporan,” katanya.

Lama mana nak bersabar

Semalam penyanyi lagu Berpisah Tanpa Rela itu mendedahkan dia disaman selepas ada pihak membuat aduan kepada MBSJ mendakwa barang-barang jualannya - yang dipunggah dari sebuah kontena - menghalang lalu lintas.

Kata Lan, 36, kejadian itu berlaku di kawasan kedai runcit yang terletak di Puchong, Selangor.

Ditanya sekiranya dia ada mengesyaki sesiapa atau bermusuhan dengan pihak tertentu dalam perniagaan, Lan menjawab: “Setahu saya tidak.”

Katanya lagi dia juga tidak berminat untuk membuat sebarang tuduhan apa lagi bermain serkap jarang ke atas siapa yang mengadu mengenai kedainya itu.

“Bukan saya nak tuduh-tuduh, cuma yang saya tahu individu yang buat aduan adalah orang di sekeliling sini saja,” katanya.

Bagaimanapun, Lan menegaskan dia enggan terus berdiam diri sekiranya masih terdapat aduan-aduan baru yang dirasakannya tidak wajar daripada pihak tertentu selepas ini.

“Selama mana boleh bersabar? Sikit-sikit, kena kacau.. sikit-sikit kena kacau. Saya nak berniaga lama.

"Lepas ni kalau ada lagi aduan, saya akan buat laporan polis dan tunggulah apa tindakan susulan selepas tu.

“Saya nak buat laporan sebab ada pihak gemar timbulkan fitnah membabitkan pintu rezeki saya dan pekerja-pekerja saya,” katanya.

Lan pada masa sama berkata dia enggan berpindah ke tempat baru walaupun banyak pihak mencadangkan agar Pasar Mini Solo Borneo Mart itu bertukar lokasi.

“Macam mana nak pindah? Rumah saya di belakang kedai runcit ni saja.

“Saya juga tak perlu mengalah dengan orang macam ni dan bertekad terus berusaha mencari pendapatan terutama ketika wabak Covid-19 masih menular,” katanya.

-mKini

0 ulasan:

Catat Ulasan