PETALING JAYA: Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan membidas keputusan membenarkan sektor Kredit Komuniti (KK) atau Pemberi Pinjam Wang (PPW) yang berdaftar beroperasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan 3.0 (PKP).
Mohamad atau lebih mesra dipanggil Tok Mat menyifatkan tindakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu sebagai sangat tidak masuk akal.
“Menghumban rakyat yang terdesak ke lembah hutang bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi sangat tidak bermoral.
Berhutang dalam tempoh pandemik bukan jalannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mempersoalkan sama ada ini cara KPKT meringankan beban rakyat yang berada dalam kesempitan.
“Di mana munasabahnya mengalakkan rakyat untuk berhutang? Inikah namanya strategi pemulihan yang bertanggungjawab?
“Rakyat sangat memerlukan bantuan ekonomi yang sewajarnya dalam tempoh PKP 3.0 yang dilanjutkan,” katanya
Tok Mat berkata KPKT seharusnya menggunakan ‘reserve’ kerajaan tempatan untuk melakukan lebih banyak intervensi kebajikan kepada rakyat.
Katanya, banyak kerajaan tempatan mempunyai ‘reserve’ yang besar.
“Tugas kerajaan tempatan mesti mengutamakan keperluan manusiawi pembayar cukainya dan bukan sekadar melakukan kerja-kerja perbandaran.
“Begitu ramai rakyat kita yang terpaksa membuat pinjaman dengan ceti-ceti berlesen demi kelangsungan hidup serta perniagaan kecil mereka yang semakin malap. Mereka terhimpit dengan kadar faedah yang sangat tinggi.
“Tugas kerajaan adalah untuk mencari jalan keluar dari semua ini demi pemulihan semula ekonomi negara.
“Tetapi menggalakkan rakyat berhutang dengan ceti, bukan jalannya,” katanya.-FMT
0 ulasan:
Catat Ulasan