Rabu, 16 Jun 2021

Nafi Papagomo, Wan Muhammad Azri diminta perjelas gelaran di mahkamah

 

KUALA LUMPUR 11 MARCH 2016. Wan Muhammad Azri Wan Deris, 33 atau lebih dikenali sebagai blogger, Papagomo didenda RM4,300 atas tiga kesalahan mencederakan seorang buruh binaan warga Pakistan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Jalan Duta hari ini. NSTP/GHAZALI KORI

KUALA LUMPUR – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris perlu memberi penjelasan di Mahkamah Tinggi di sini
berhubung gelaran Papagomo yang merujuk kepada dirinya dalam kes saman fitnah berhubung dakwaan penyeludupan wang tunai RM2 juta ke Singapura.

Wan Muhammad Azri diperintah menjawab secara afidavit lapan soalan yang dikemukakan kepadanya dalam tempoh 14 hari selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).

Saman fitnah itu dikemukakan oleh bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan anak lelakinya Clint Lim Way Chau selepas mereka
dikaitkan dengan dakwaan penyeludupan wang ke negara jiran.

Wan Muhammad Azri menerusi penyataan pembelaannya yang difailkan pada 23 November tahun lalu menafikan beliau dikenali sebagai
Papagomo dan juga pemilik akaun Facebook atas nama Papa Azri.

Ekoran itu, Pemimpin DAP tersebut dan anak lelakinya memfailkan permohonan interogatori pada 20 Mei lalu bagi mendapatkan perintah
mahkamah agar Wan Muhammad Azri selaku defendan tunggal dalam kes saman itu menjawab lapan soalan yang dikemukakan melalui afidavit.

Kedua-duanya selaku plaintif antara lain turut memohon Wan Muhammad Azri (defendan) memberi penjelasan berhubung akaun Facebook
atas nama Papa Azri dan identiti individu bernama Datuk Seri Goh yang dinyatakan di dalam Facebook berkenaan.

Antara soalan yang turut dikemukakan ialah mengenai identiti `sumber yang boleh dipercayai’ yang dirujuk oleh defendan dalam hantaran
tersebut serta kaitannya dengan Datuk Seri Goh.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Simon Murali yang mewakili kedua-dua plaintif selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Haslinda A. Raof yang dikendalikan secara dalam talian hari ini.

Pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 13 Julai ini.

Menerusi penyataan tuntutan yang difailkan pada 15 Oktober tahun lalu, Guan Eng dan anaknya mendakwa defendan telah menerbitkan dan
menyiarkan penyataan fitnah membabitkan mereka menerusi Facebook atas nama Papa Azri yang dibuat pada 14 Mac tahun lalu.

Kedua-dua plaintif mendakwa kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa pihak berkuasa Singapura telah menahan Way Chau atas kesalahan membawa masuk wang tunai RM2 juta ke negara itu tanpa membuat sebarang pengisytiharan selain mendakwa menipu seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Datuk Seri Goh.

Dakwa mereka, kata-kata fitnah itu adalah tidak benar dan mencemarkan nama baik mereka selain mendakwa defendan gagal mengambil sebarang langkah untuk memastikan kebenaran kandungan penyataan fitnah sebelum menerbitkannya.

Dalam saman fitnah ini, Guan Eng dan anaknya menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan; faedah atas ganti rugi yang ditetapkan; kos serta perintah lain yang dianggap adil, wajar dan berpatutan oleh mahkamah.

Sementara itu, Wan Muhammad Azri menerusi pernyataan pembelaannya menyatakan, plaintif-plaintif bertanggungjawab membuktikan bahawa dia pemilik akaun Facebook atas nama Papa Azri.

Menurut defendan, pernyataan yang didakwa fitnah itu adalah luas kerana tiada sebarang audio atau video yang dimuat naik yang menunjukkan ia merujuk kepada plaintif dan anaknya.- K! ONLINE.

0 ulasan:

Catat Ulasan