Ahad, 13 Jun 2021

Polis Siasat NGO Kutip Derma Kes Rider Pukul Pelanggan Hina Agama Islam.


PETALING JAYA - Polis menasihatkan orang ramai agar tidak terperdaya dengan satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook berkaitan kutipan derma bagi membiayai wang jaminan lima penghantar makanan. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lima penghantar makan tersebut ditahan polis dalam insiden melibatkan sensitiviti agama di Sungai Way pada Jumaat. 

Beliau berkata, kenyataan memohon derma berkenaan dipercayai dimuat naik di halaman Facebook didakwa milik sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

"Kenyataan tersebut menyatakan lima penghantar makanan telah ditahan kerana mempertahankan kalimah ALLAH dan mereka perlu membayar wang ikat jamin sebanyak RM3,000 sehingga RM4,000 seorang. 

"Menurut kenyataan itu, sumbangan boleh disalurkan ke satu laman web atau akaun bank bernombor 8604296996 yang dipercayai milik NGO berkenaan," katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

 Beliau berkata, polis menafikan kenyataan tersebut kerana pihaknya tidak pernah mengenakan atau meminta sebarang bayaran bagi ikat jamin terhadap Orang Kena Tangkap (OKT).

 Menurutnya, polis mengesyaki terdapat individu atau persatuan yang mengambil kesempatan terhadap insiden berkenaan dengan membuat kutipan derma untuk kepentingan peribadi.

 "Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan dengan curangnya mendorong supaya harta diserahkan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

 "Polis turut menjalankan siasatan terhadap penyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebook NGO berkenaan," katanya.

 Beliau sehubungan itu menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terperdaya dengan sebarang kenyataan dimuat naik individu atau mana-mana persatuan di media sosial dengan melibatkan nama Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

"Orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan dengan pihak polis terlebih dahulu sebagai pencegahan awal sebelum menjadi mangsa penipuan media sosial," katanya. 

Pada jumaat, enam individu termasuk seorang pelanggan dan lima penghantar makanan ditahan berhubung pergaduhan melibatkan sensitiviti agama di Sungai Way di sini.

Sumber:lazdropviral.com

0 ulasan:

Catat Ulasan