“Jadi kenapa tak ambil pemimpin yang jelas boleh bawa UMNO kehadapan? Saya lihat mereka ini sudah tidak tahan dengan apa yang berlaku dalam parti. Jadi eloklah Zahid berundur dia pun sudah tidak relevan,” katanya kepada Agenda Daily.
Malah salah seorang pemimpin senior UMNO yang masih menjadi Ahli Parlimen sejak 1995 lagi, Datuk Seri Nazri Aziz mendedahkan bahawa majoriti daripada 42 Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah hilang kepercayaan terhadap Zahid.
Mengulas lanjut, Dr Salawati berkata desakan itu juga bertitik tolak daripada tindakan Zahid yang dilihat ‘ada sesuatu yang disembunyikan’ bagi memenuhi keperluan politiknya.
“Mereka rasa ada permainan di belakang, jadi kalau Zahid melakukan tindakan seperti memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, kena berundurlah… sudah sampai masanya… dia ada kes (mahkamah) lagi,” katanya sambil menjelaskan jika Zahid segera berundur, UMNO akan dapat disusun dalam keadaan yang lebih baik.
Sementara itu, Pensyarah Pengajian Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis berkata, Zahid kini berada di posisi yang lemah kerana UMNO kini tidak memiliki kuasa.
“Jelas kepimpinan presiden itu tidak kuat seperti dahulu sehingga tidak dapat mengatasi masalah yang dihadapi kini, tidak seperti dahulu ketika jadi pemerintah.
“Presiden sudah tiada kuasa penawaran untuk meredakan krisis dalaman, kalau dulu lain sebab ada kuasa,” katanya.
Sementara mengulas ‘kehilangan’ Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika ini, Mujibu berkata Mohamad sudah melakukan apa yang sepatutnya beliau lakukan bagi mengatasi krisis itu.
“Kita lihat Tok Mat ada kritikan dan input yang jelas, beliau sudah melihat apa yang perlu disuarakan beliau ambil tindakan kukuh parti dan tak mahu timbulkan kontroversi baharu,” katanya.
-Agenda Daily
0 ulasan:
Catat Ulasan